PAGE

Isnin, Februari 20, 2012

Syaitan menyuntik keraguan



Assalamualaikum warahmatullah,

Allah SWT mencipta jin dan syaitan dalam keadaan manusia tidak dapat melihatnya. Namun Allah SWT memberi amaran kepada manusia akan bahaya hasutan syaitan yang sentiasa menyesatkan manusia agar tidak mengikut petunjuk-Nya.

Antara cara syaitan menyesatkan manusia adalah dengan menanamkan rasa ragu-ragu dalam ati manusia agar tidak berpegang dengan agama. Aisyah r.ha. meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, “Sesungguhnya syaitan dating kepada seseorang daripada kamu, dia akan (membisikkan) dengan berkata: ‘Siapakah yang mencipta langit?’ Maka dia pun berkata: ‘Allah.’ Syaitan berkata lagi : ‘Siapakah yang mencipta bumi.’ Maka dia berkata : ‘Allah.’ Syaitan seterusnya bertanya lagi “ ‘Siapa pula mencipta Allah?’ Apabila terjadi demikian, maka hendaklah dia berkata : ‘Saya beriman kepada Allah dan Rasul-Nya.” (Hadis riwayat Ahmad)

Jelas di sini syaitan memang panjang akal dalam usaha menyesatkan anak Adam. Ada-ada sahaja perancangan yang berstrategi diketengahkan.

Ibn Umar berkata : “Kami pernah duduk berdekatan Nabi SAW. Tiba-tiba muncul seorang lelaki yang amat buruk muka dan pakaiannya. Baunya yang busuk menyengat hidung. Lelaki tersebut datang melangkahi bahu para sahabat sehingga dia duduk di hadapan Rasulullah SAW.”

Apakah yang dikehendaki oleh lelaki itu? Ðia sebenarnya ingin bertanya beberapa soalan berikut kepada Rasulullah SAW.

Lelaki asing itu memulakan dialognya dengan Rasulullah : “Siapakah yang menciptakanmu?”

Rasulullah SAW menjawab : “Allah.”

Lelaki itu bertanya lagi : “Siapakah yang menciptakan langit?”

Rasulullah SAW menjawab : “Allah.”

Lelaki itu bertanya lagi : “Siapakah yang menciptakan bumi?”

“Allah,” jawapan yang sama diberikan.

Lelaki itu bertanya soalan terakhir : “Siapa pula yang mencipta Allah?”

Rasulullah SAW bersabda : “Subhanallah (Maha Suci Allah).”

Baginda SAW kemudian memegang jubahnya dan menundukkan kepala. Sementara lelaki itu bangun dan terus berlalu pergi. Baginda SAW mengangkat kepala dan memerintahkan supaya lelaki itu dibawa kepada Baginda.

Para sahabat berusaha mencari lelaki tersebut, namun tidak ditemui seolah-olah dia tidak langsung wujud. Maka Nabi SAW bersabda : “Itu iblis. Ðia datang untuk menimbulkan rasa ragu-ragu terhadap agama kamu.”

Nauzubillah, semoga Allah menjauhkan kita daripada bisikan syaitan laknatullah.

Malaikat menimbulkan keyakinan beragama

Ini berbeza dengan malaikat yang mendorong manusia agar yakin dan berpegang kuat dengan agama Allah.

Umar bin al-Khattab meriwayatkan bahawa pada suatu hari, ketika mereka sedang duduk bersama Rasulullah SAW, tiba-tiba muncul di hadapan mereka seorang lelaki yang pakaiannya serba putih dan rambutnya sangat hitam. Tidak diketahui asal usulnya, malah tidak ada seorang pun daripada kalangan sahabat yang mengenalinya.

Lelaki itu terus duduk di hadapan Nabi SAW sehingga lututnya bersentuhan dengan kedua-dua lutut Baginda. Kedua-dua tangannya diletakkan di atas paha Baginda SAW.

“Wahai Muhammad, ceritakan kepadaku tentang Islam.”

Itu pemula bicara lelaki asing itu. Sebuah soalan.

Rasulullah SAW menjawab : “Islam ialah kamu bersaksi bahawa tiada tuhan kecuali Allah dan bahawa Muhammad ialah utusan Allah, mendirikan solat, menunaikan zakat, berpuasa pada bulan Ramadan dan menunaikan haji ke Baitullah bagi yang mampu menempuh perjalanannya.”

Lelaki itu menjawab : “Kamu benar.”

Para sahabat kehairanan. Mana kan tidak, si penanya sendiri mengesahkan kesahihan jawapan bagi soalan yang ditanya.

“Ceritakan kepadaku tentang iman.”

Nabi menjawab : “Kamu percaya dengan sepenuh hati kepada Allah, malaikat-Nya, kitab-kitab-Nya, rasul-rasul-Nya dan hari kiamat serta kamu percaya takdir Allah sama ada yang buruk atau baik.”

“Kamu benar.”

Soalan selanjutnya : “Ceritakan pula kepadaku tentang ihsan.”

Baginda SAW menjawab : “Kamu menyembah Allah seakan-akan kamu melihat-Nya. Jika kamu tidak mampu, yakinlah bahawa Allah melihat kamu.”

Lelaki itu bertanya lagi : “Ceritakan kepadaku tentang kiamat.”

Baginda tidak menjawab sebaliknya memberikan kenyataan : “Orang yang bertanya lebih mengetahui daripada yang ditanya.”

Lelaki itu bertanya lagi : “Jika begitu jelaskan kepadaku tentang tanda-tanda hari kiamat.”

Baginda SAW bersabda : “Apabila seorang hamba perempuan melahirkan tuannya. Apabila kamu melihat orang fakir miskin yang tidak berkasut, bertelanjang dan mengembala kambing itu berlumba-lumba membina bangunan (yang megah).”

Setelah itu, lelaki itu terus menghilang. Sahabat diam seketika. Kemudian Baaginda SAW bertanya : “Wahai Umar, tahukan kamu siapa penanya tadi?”

Umar menjawab ringkas : “Allah dan Rasul-Nya lebih mengetahui.”

Baginda SAW bersabda : “Sesungguhnya orang yang bertanya itu ialah Jibrail. Ðia datang untuk mengajarkan urusan agamamu.” (Hadis riwayat Muslim)




Credit : Mohamad Wahid Abd. Hamid, Solusi ISU#39

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Kongsikan komen anda di sini...