PAGE

Rabu, Mac 07, 2012

Minyak kayu putih aktifkan minda

minyak kayu putih ~ gambar hiasan

Assalamualaikum dan salam sejahtera,

Pokok gelam atau nama saintifiknya melaleuca cajuputi powell adalah sejenis tanaman hiasan yang banyak dijumpai di tepi jalan, tasik atau sungai. Pokok ini mudah dikenali dengan keadaan batangnya yang mudah merekah dan boleh dikopek. Kebiasaannya pokok ini dijadikan bahan dalam membuat perabot dan sebagainya. Di sesetengah negeri seperti di Melaka, pokok ini ada ditanam di sepanjang jalan yang berfungsi sebagai teduhan.

Namun begitu, kegunaan utama pokok gelam adalah untuk mendapatkan minyaknya. Minyak gelam ini selalunya digunakan sebagai perisa masakan dan pewangi yang menyegarkan dalam pembersih, penyegar udara, kosmetik, minyak wangi dan sabun.

Ðikenali juga dengan nama pokok kayu putih, pokok gelam tergolong dalam keluarga myrtaceae dan boleh dijumpai di Malaysia, Thailand, Vietnam, Indonesia, Papua New Guinea dan juga Australia. Pokoknya adalah jenis pokok renek atau sederhana besar. Kulit pokok berwarna putih, putih kelabu atau kelabu perang.

batang pokok gelam yang merekah

Kulit pokoknya juga sering mempunyai sedikit warna perang oren. Kulitnya lekang seperti kepingan kertas yang tanggal secara memanjang. Ðaun pokok gelam berwarna hijau kelabu dan berbentuk mata lembing, berukuran 5-12 cm. Ðaun mudanya berbulu. Bunganya kecil dan tangkai bunganya bercantum di ranting. Buahnya berbentuk bulat leper. Buahnya yang muda mampu menghasilkan buih dan digunakan sebagai sabun. Bahagian pokok gelam yang digunakan untuk tujuan perubatan adalah bahagian kulit pokok, daun, ranting dan juga buah.

daun pokok gelam berbentuk mata lembing

Ðaun gelam bersifat anti bakteria, anti inflamasi, sedatif serta menenteramkan fikiran dan meredakan sakit. Ðaun gelam dikatakan mampu menghasilkan kuantiti kecil minyak mudah meruap yang amat jernih dan mempunyai bau yang kuat. Minyak gelam yang disuling daripada pokok adalah minyak yang tulen dan mengandungi cineol. Minyak gelam tidak bertoksik dan tiada alahan tetapi pada kepekatan yang tinggi, ia boleh menyebabkan kulit menjadi gatal.

bunga pokok gelam

Minyak yang dihasilkan daripada daun gelam dikatakan mampu digunakan untuk tujuan perubatan. Apabila digunakan sebagai minyak sapu, ia dikatakan mampu memberi rangsangan dan mengendurkan rasa sakit pesakit reumatik dan gout. Bukan itu sahaja, minyak gelam juga sering digunakan untuk mengurut sakit sendi, lenguh anggota, gigitan haiwan, luka, sakit kepala, sakit gigi, sakit telinga, kejang otot kaki, pelbagai penyakit kulit, kulit lecur atau terbakar, menghalang jangkitan, mencuci luka, reumatisme dan sakit saraf di kepala dan muka.

Hilangkan letih

Minyak pati ini dikatakan mampu juga digunakan dalam merawat masalah sistem pencernaan dan masalah kulit. Ia juga dikatakan mampu membantu dalam menyeimbangkan dan merangsang minda agar lebih cergas dan aktif. Minyak pati ini juga mempunyai ciri-ciri antiseptik ke atas salur pernafasan di samping mampu meredakan kesakitan pada bahagian kepala, sakit gout dan juga lenguh-lenguh pada sendi. Selain itu, minyak pati daun gelam ini juga dapat membantu sesiapa yang terlalu letih, tertekan dan merasa lemah. Amalan penggunaan minyak daun gelam ini dikatakan mampu meredakan perasaan marah dan melawan perasaan yang tertekan.

Sedikit minyak gelam yang telah dicampurkan sedikit gula kemudian ditelan dikatakan membantu merawat perut memulas, kolera, sebagai tonik perut dan mengurangkan rasa sakit. Minyak gelam jika dihidu dikatakan mampu mengubati bengkak membrane mukus dalam hidung dan selsema. Kulit pokok gelam pula dikatakan boleh ditumbuk lumat dan dijadikan ubat pupuk atau ubat tampal untuk mempercepatkan bisul masak dan mengeluarkan nanah.

Buah gelam dikatakan dapat merawat deman kepialu, demam campak serta deman panas. Cara penggunaannya ialah 7 tangkai buah gelam dan 7 pokok dukung anak direbus sehingga mendidih. Kemudian diminum 3 kali sehari sebelum makan.

Buah gelam juga dikatakan boleh direbus bersama daun cucur untuk tujuan dijadikan air rebusan yang boleh diminum untuk mengatasi pelbagai masalah perut. Ðaun gelam juga dikatakan boleh dijadikan teh herba untuk diminum bagi rawatan penyakit busung dan asma.

Ðaun gelam yang segar pula dikatakan boleh dijadikan sebagai ramuan bagi melegakan masalah radang kulit dan ekzema. Bagi menyediakan ramuan ini, ambil kira-kira satu genggam daun yang telah dicuci bersih. Rebus daun ini dengan tiga gelas air hingga mendidih. Jadikan air ini sebagai air pencuci bahagian kulit yang bermasalah.

Ðaun gelam juga boleh bertindak sebagai ubat cacing. Cara penggunaannya ialah 14 helai daun gelam dicampur dengan daun pandan wangi serta beberapa jenis daun lagi. Rebus campuran tersebut sehingga mendidih. Ia boleh diminum 3 kali sehari sebelum makan.

Selain daun, bahagian kulit pokok yang kering juga dikatakan berguna sebagai ramuan ubatan. Antaranya adalah untuk mengurangkan rasa lesu, lemah dan insomnia. Penyediaannya, ambillah kira-kira 10 keping kulit yang telah dipotong dan kemudian rebus dengan tiga gelas air. Biarkan ia mereneh sehingga menjadi pekat (anggaran segelas air). Minumlah air ini setelah sejuk.

Walaupun terdapat pelbagai khasiat ubatan pokok gelam, namun begitu penggunaannya perlulah mendapat nasihat pengamal perubatan terlebih dahulu bagi mengelakkan kemudaratan di kemudian hari kelak.




Rujukan : MisteriAlam # 1359

Capaian entry berkaitan :
Merangsang minda dengan saffron

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Kongsikan komen anda di sini...