Assalamualaikum
warahmatullah dan salam sejatera,
Pemaaf adalah sifat
luhur yang perlu ada pada diri setiap muslim. Antara sifat positif yang terdapat
dalam diri manusia adalah pemaaf, yakni lawan kepada sifat pemarah dan
pendendam. Ketika manusia diciptakan oleh Allah SWT, Allah mencipta juga
pelbagai bentuk emosi dan keinginan dalam diri manusia yang berbentuk positif
dan negatif yang saling mempengaruhi antara satu sama lain.
Ada beberapa ayat
al-Quran dan hadis yang menekankan keutamaan bersifat pemaaf yang juga disebut
sebagai sifat yang hampir di sisi Allah SWT. Allah SWT berfirman yang
bermaksud, “Dan orang yang menahan amarahnya dan memaafkan orang lain, Allah
mencintai orang yang berbuat kebajikan.” (Surah ali-Imran ayat 132)
Kadang kala, perasaan
marah juga disebabkan persaingan untuk mendapatkan sesuatu. Dalam keadaan itu,
pesaing dianggap sebagai musuh yang perlu diatasi dengan apa cara sekalipun.
Punca ini boleh merebak kepada fitnah, ugutan dan tindakan fizikal secara kekerasan.
Namun, diakui bukan mudah untuk menjadi seorang pemaaf. Sikap negatif yang
menjadi lawannya iaitu pemarah sentiasa berusaha menidakkan wujudnya sifat
pemaaf dalam seseorang.
Pertembungan dua unsur
ini mewujudkan satu mekanisme yang saling ingin menguasai diri seseorang. Iman
dan takwa menjadi pengemudi melahirkan sifat pemaaf, manakala syaitan pula
mengambil tempat mendidik sifat pemarah. Hakikatnya, syaitan sentiasa
menggunakan kelemahan manusia untuk digoda dari pelbagai penjuru agar timbul
sifat haiwaniah dalam diri manusia.
Memang tepat sifat
pemaaf itu bukanlah satu perbuatan yang mudah dilakukan. Firman Allah SWT yang
bermaksud, “Tetapi, sesiapa yang sabar dan suka memaafkan, sesungguhnya
termasuk pekerjaan yang berat ditanggung.” (Surah asy-Syura ayat 43)
Sifat pemaaf memang
sukar dilakukan memandangkan manusia sentiasa dikuasai fikiran logik untuk
bertindak atas sesuatu perkara sehingga membunuh nilai moral sebenar.
Bukan
penyelesaian
Emosi manusia pula
memang mudah terpengaruh ke arah melakukan tindakan yang pada pandangannya
logik adalah tindakan yang sepatutnya. Apatah lagi jika hasutan syaitan berjaya
menguasai diri. Di sinilah pentingnya kita memupuk sifat pemaaf dalam diri.
Sesuatu yang lojik tidak semestinya betul. Sebaliknya, ajaran agama adalah
petunjuk kepada kebenaran yang mesti diamalkan untuk mendapat kebaikan di dunia
dan di akhirat. Tindakan marah melampau dan diikuti pula dengan tindakan
fizikal bukanlah jalan penyelesaian masalah atau untuk menunjukkan siapa yang
benar. Jika diteruskan niat melakukan tindak balas atas kemarahan itu, mungkin
ada tindakan yang mendatangkan keburukan sehingga berlakunya pembunuhan.
Sesiapa berupaya
menahan kemarahan, bererti dalam dirinya memiliki kemuliaan, keberanian,
keikhlasan dan kekuatan yang sebenar. Sebaliknya, orang yang tidak mampu
menahan marah adalah golongan yang lemah. Nabi Muhammad SAW bersabda, “Bukanlah
orang yang kuat itu (dinilai) dengan (kekuatan) dalam pergelutan,
sesungguhnya orang yang kuat ialah orang yang dapat menguasai dirinya ketika
marah.” (Hadis riwayat Bukhari)
Pentingnya sifat
menahan marah mendorong Nabi Muhammad SAW apabila diminta oleh seorang lelaki
agar berpesan atau mengajarnya mengenai sesuatu perkara, Nabi menjawab ringkas
iaitu “jangan marah”. Lelaki itu seperti tidak berpuas hati dengan jawapan itu.
Dia mungkin merasakan apalah besar sangat kebaikan menahan marah. Lalu dia
bertanya buat kali kedua mengharapkan agar Rasulullah memberitahu amalan lain
yang lebih besar pahalanya. Tetapi Rasulullah SAW tetap mengulangi perkataan
“jangan marah”. Untuk mendidik sifat baik dalam diri perlulah menghampiri diri
dengan memperbanyakkan melakukan ibadah wajib dan sunat. Dengan kekuatan takwa
dan iman secara langsung akan menjauhkan perakara yang ditegah, termasuklah
sifat pemarah.
Sifat pemaaf lahir
dari jiwa dan hati yang tenang, hasil daripada tarbiyah yang berterusan. Sebab
itu, selalulah cuba memupuk sifat pemaaf. Bermulalah dengan perkara yang kecil.
Bagi orang yang bersifat pemaaf, tiada tersimpan perasaan marah dalam hatinya.
Sebab itu, hati orang yang bersifat pemaaf tidak mudah terbakar dengan
provokasi yang menekan dirinya.
Hati tidak
tenteram
Banyak masalah
berkaitan hubungan sesama manusia berpunca dari sifat marah dan membalas
dendam. Biarpun perselisihan kecil, perkara itu tidak dapat diselesaikan
disebabkan perasaan dendam masih bertapak di hati. Sikap berdendam hanya
merugikan kedua-dua pihak. Paling tertekan ialah pihak yang lebih banyak
berdendam.
Hatinya tidak tenteram
dan sentiasa ada perasaan buruk sangka. Kadangkala, yang berdendam hanya
sebelah pihak. Sedangkan, sebelah pihak lagi menganggap persengketaan sebelum
ini sudahpun selesai. Jika sifat memaafkan diamalkan, insya Allah, kita tidak
akan menanggung kemarahan daripada orang lain. Sesungguhnya Allah SWT terlebih
awal memberi keampunan dengan rahmat-Nya.
Jika ada sesuatu yang
menimbulkan perasaan marah, berfikirlah sejenak untuk menilai atau muhasabah
diri sendiri terlebih dahulu. Renungkan dalam hati adakah perkara itu
berpunca dari kita sendiri? Adakah sebelum ini kita mengambil langkah yang
wajar untuk mengelak perkara itu daripada berlaku? Jika kita mampu berfikir
sedemikian, cahaya kebenaran mudah memasuki ruang hati dan memberi petunjuk
tindakan yang wajar dilakukan seterusnya. Pada ketika itu, syaitan tidak
berpeluang untuk menyemarakkan perasaan marah, yang lahir adalah keinsafan dan
sifat memaafkan.
Sifat
pemaaf memberi manfaat yang besar kepada diri sendiri terutama dari segi
rohani. Orang yang brsifat pemaaf selalu dalam keadaan tenang, hati bersih,
berfikiran terbuka, mudah diajak berunding dan sentiasa menilai diri sendiri
untuk melakukan kebaikan.
Renung-renungkan…
Sumber : Mohd Huzairi Zainuddin di MW#1276
Mungkin di kalangan kita ada yang pernah membaca tentang kisah 'Pisang dan Hati'. Di mana menyimpan pisang busuk dianalogikan dengan menyimpan perasaan demdam dan sakit hati...
BalasPadamMoga Allah jadikan kita seorang yang pemaaf...