PAGE

Isnin, November 26, 2007

Khatan - pencacatan organ seks perempuan?


Assalamualaikum warahmatullah,

Saya ada baca artikel yang mufti di negara timur tengah (Mesir - Syeikh Dr. Ali Jum'ah) mengeluarkan fatwa mengharamkan khatan perempuan. Memang isu ini telah menjadi satu isu antarabangsa yang hangat diperdebatkan.

Seingat saya, sejarah khatan perempuan dilakukan oleh isteri pertama Nabi Ibrahim, Sarah. Ia dilakukan kerana Sarah 'jeles' dgn Hajar dan bersumpah utk memotong 3 bahagian badan. Salah satu bahagian badan yang dipotongnya adalah telinga kiri dan kanan (ditindik) dan Nabi Ibrahim menasihatkan Sarah memotong sedikit kat 'tut'.

Dari segi kebersihan/kesihatan, tiada bukti yang menyokong amalan ini kerana ia tiada kena-mengena dengan alat kelamin perempuan. Saluran kencing terletak jauh dari klitoris dan tidak 'berkongsi' dengan saluran vagina, jadi mengapa ia dikatakan bagus dari segi kesihatan? Alaman sunat cuba baik untuk lelaki (dari segi kesihatan) kerana saluran kencing lelaki tertutup oleh lebihan kulit dan boleh menyebabkan jankitan kuman jika tidak dibersihkan dgn sempurna.

Kita ikut Mahzab Syafie, hukum khatan perempuan adalah sunat sahaja, BUKAN wajib! Jadi kalau tak buatpun taklah berdosa. Personally, saya tak setuju dengan khatan perempuan. Sebab tiada hadis yang sahih tentang amalan ni, yang WAJIB cuma pada lelaki. Banyak amalan tradisi turun-temurun yang tidak diketahui dengan jelas kebaikan/keburukannya. Bagi saya, tak perlulah kita lakukan amalan yg tidak jelas dan disebabkan turun-temurun. This is just personal opinion, minta jangan diperdebatkan.

Sedikit info tentang KHATAN WANITA, sumber dari UtusanOnLine

PENGKHATANAN bayi perempuan yang diamalkan di negara ini tidak seperti yang digambarkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO). Khatan wanita telah menjadi satu isu antarabangsa yang hangat diperdebatkan. Kalangan Barat banyak menentangnya kerana menganggap ia tidak lebih dari pencacatan anggota kelamin selepas berlaku beberapa peristiwa tidak diingini ke kanak-kanak perempuan yang dikhatan.

Ulama Islam berbeza pendapat berhubung amalan ini. Nas yang ada mengenainya juga adalah tidak sahih. Apa yang lebih penting adalah penjagaan hak-hak wanita, pendidikan dan pemeliharaan kehormatan mereka. Fatwa mutakhir Dr. Yusuf Qardawi – semuanya bergantung kepada ibu bapa. Jika mereka hendak mengkhatankan anak masing-masing, ia diharuskan, dan sebaliknya jika mereka enggan melakukannya, ia tidaklah menjadi suatu kesalahan. Walau bagaimanapun, berdasarkan sepotong hadis, bagi ibu bapa yang cenderung untuk mengkhatan anak-anak perempuan mereka, beliau menasihatkan agar dikhatankan sedikit sahaja daripada kulit (NB: bukan daging!).

“Potonglah sedikit sahaja dan jangan sampai ke akarnya kerana ia mengelokkan wajah dan menyenangkan hati suami.” (Hadis Daif)

Di Sudan, ramai bayi perempuan dikhatankan. Ia dilabelkan sebagai pencacatan genital perempuan. Di kalangan penduduk pantai timur Semenanjung pula, berkhatan atau juga dikenali sebagai bersunat ini masih diamalkan tetapi dengan cara yang berbeza.

Kajian yang dilakukan oleh Prof. Mohd Shukri Othman dan Prof. Datin Rashidah Shuib di Kelantan mendapati, apa yang diperakukan oleh masyarakat tempatan merupakan satu ritual dan bukannya pembedahan yang mencacatkan. Mengapakah ia masih dipraktiskan oleh masyarakat tempatan yang rata-ratanya menerima pakai upacara turun-temurun? Sedangkan amalan ini telah diabaikan oleh masyarakat yang celik ilmu perubatan.

‘‘Dalam perkhidmatan perubatan serta kesihatan di hospital terutamanya di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Jabatan Perbidanan dan Sakit Puan tidak pernah menerima pesakit bayi perempuan yang telah dicacatkan organ kelaminnya kerana perbuatan berkhatan seperti yang diamalkan di Afrika,’’ demikian menurut Pakar Perbidanan dan Sakit Puan, HUSM, Prof. Madya Dr. Shah Reza Johan Noor.

Beliau berkata, istilah yang diguna pakai di Barat (pencacatan genital perempuan) yang secara longgar dilabelkan sebagai perkhatanan bayi perempuan sebenarnya melibatkan prosedur pembuangan sebahagian atau kesemua bahagian luar genital perempuan.

Ia dilakukan sama ada kerana upacara tradisi, keagamaan dan mungkin juga kepercayaan perawatan terhadap sesuatu penyakit.

Pencacatan genital perempuan mengikut klasifikasi oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dibahagikan kepada empat.

1. Jenis Pertama: Pemotongan/pembuangan prepus/kulup, melibatkan sebahagian atau kesemua bahagian klitoris

2. Jenis Kedua: Pemotongan klitoris dan juga pembuangan separa atau sepenuhnya labia minora (bibir kecil di organ genital perempuan)

3. Jenis ketiga: Pemotongan sepenuhnya ataupun separuh dari anatomi luaran genital perempuan serta pengecilan faraj dilakukan

4. Jenis keempat: Memotong klitoris dan juga bibir-bibir genital, menegang serta menarik keluar klitoris untuk tujuan pemotongan, bibir-bibir genital juga dipotong buang.

‘‘Ada juga prosedur melecuh serta melecurkan klitoris, bibir-bibir dan tisu-tisu di sekelilingnya. Ada juga masyarakat yang mengikis bukaan faraj dan juga memotong sebahagian dari luar faraj. Sekiranya prosedur-prosedur di atas gagal, ada yang memasukkan bahan berkorosif serta herba-herba lain ke dalam faraj, bertujuan untuk mengecilkan faraj,’’ ujarnya.

Di Malaysia, kata Dr. Shah Reza, perkhatanan anak perempuan tidak seperti mana yang digambarkan oleh WHO.

‘‘Berdasarkan pengalaman, khatan ini dilakukan secara simbolik dengan mengguriskan bahagian prepus klitoris ataupun badan klitoris itu sendiri menggunakan jarum yang dicuci serta disteril. Bukan semua masyarakat Malaysia khususnya orang Melayu, mempraktikkan prosedur ini,’’ jelasnya.

Konon mengapa berkhatan dilakukan pada bayi perempuan

* Sebab keagamaan. Ada mereka yang percaya yang praktis ini merupakan satu amalan yang dituntut agama namun kalau mengikut sejarah, berkhatan ini telah pun ada sebelum kehadiran Islam.

* Mitos, kononnya berkhatan ini meningkatkan kesuburan dan juga melanjutkan kemandirian bayi tersebut

* Faktor kebersihan serta kecantikan. Aib sekali genitalia perempuan dikaitkan dengan kekotoran, jadi pembersihan perlu dilakukan.

* Faktor sosial di mana perempuan yang dikhatankan diterima sebagai ahli masyarakat, menunjukkan kebalighan lantas mengintergrasikan masyarakat yang berkepercayaan sama.

* Kononnya untuk kebersihan dan juga kecantikan, genitalia perempuan dikatakan selepas berkhatan akan membersihkan lagi perempuan dan menaikkan seri, semua ini mitos belaka.

* Dongeng tradisi yang menyatakan berkhatan akan meningkatkan kesuburan serta kemandirian bayi yang dilahirkan.

* Konon menambahkan lagi nafsu serta syahwat suami, mengekalkan sifat kedaraan.

* Melindungi dari perbuatan curang dan juga bertukar-tukar pasangan

Asal usul berkhatan di kalangan wanita

Di muzium British, fakta yang ditulis di atas papyrus bertarikh 163 tahun Sebelum Masihi, telah pun ada kenyataan berkhatan di Memphis semasa penerimaan mas kahwin. mungkin juga praktis ini dari upacara kebalighan masyarakat puak-puak di Afrika yang menular ke Mesir. Di Afrika, puak Kreophagoi yang menduduki sekitar pantai barat, merupakan antara puak yang memotong serta mencederakan genitalia perempuan. Perkara ini telah pun dicatatkan oleh mubaligh Kristian pada peringkat awal kehadiran mereka.

Orang Roman juga ada sejarah yang meletakkan cecincin logam di bibir genital perempuan dengan tujuan kontraseptif. Pada abad ke-12, wanita-wanita pejuang Perang Salib dipakaikan cawat besi dengan pembukaan hanya untuk membuang air kecil bertujuan untuk memelihara kehormatan mereka. Di Amerika Syarikat, aktiviti bersunat ini pernah popular pada tahun 1890.

Kajian pada tahun 1995 di Mesir mendapati, seramai 97% daripada wanita yang dikaji menjalani berkhatan, 90% sahaja yang mengamalkannya di kalangan mereka yang terpelajar. Praktis ini tidak pula menjadi amalan di Asia Barat dan semenanjung Arab.

Di pusat ketamadunan Islam sekarang, iaitu di Arab Saudi dan juga negara-negara lain seperti Iraq, Libya, Iran, Morocco dan Tunisia, amalan bersunat ini tidak diamalkan. Di zaman Internet sekarang, amalan ini berkait rapat di antara berpendidikan dan kejahilan. Mereka yang berpendidikan tinggi lazimnya tidak mengamalkan berkhatan bayi perempuan ini. Sekiranya diamalkan, hanya berbentuk ritual atau sebagai simbolik meletakkan jarum di klitori tanpa apa-apa kecederaan fizikal berlaku.

Yang paling mengecewakan dikhuatiri ada mereka yang melakukan amalan ini dengan bermotivasikan kewangan. Ibu bapa akan dicaj dengan terminologi pembedahan kecil. Sehingga sekarang masih tiada bukti-bukti perubatan yang menyokong amalan bersunat di kalangan bayi perempuan. Ia juga bukan amalan agama sebab amalan ini wujud sebelum kehadiran agama Kristian lagi.

Akhir sekali, amalan bersunat ini tidak dijalankan di hospital-hospital kerajaan mahupun hospital universiti. Tidak pula bersunat ini salah satu dari kurikulum mata pelajaran perbidanan dan sakit puan.




Sumber : Utusan 18/11/2007

8 ulasan:

  1. so boleh saya tau bawang goreng dulu dikhatankan oleh ibu or tak???

    BalasPadam
  2. utk tau sama ada penulisan ni dipengaruhi oleh pengalaman penulisnya atau tidak.. manfaatnya pembaca boleh membuat kesimpulan sama ada artikel ini ditulis berlandaskan akal ataupun fakta.

    BalasPadam
  3. @Tanpa Nama

    Pelik sungguh manusia 'tanpa nama' ini. Melontarkan komen, tetapi amat pengecut kerana menyembunyikan identiti.

    Sila baca semula artikel, gunakanlah akal kurniaan-Nya, dan jangan buat judgement berdasarkan emosi.

    Yang dipertikaikan adalah amalan khitan di Mesir dan Sudan (sila buat rujukan sendiri di internet), dan mutakhir dari Dr Yusof al-Qaradhawi dalam Fiqh Taharah menjelaskan hukum khitan kpd perempuan bukan wajib dan juga bukan sunat, cuma jaiz (harus) dan dilakukan dengan ringan sekali.

    Sila rujuk di website Dr Yusof untuk keterangan lebih lanjut. Artikel tidak ditulis atas logik akal ataupun mengikut emosi. Semoga berlapang dada dalam menimba ilmu yang terdapat khilaf ulama di sana sini.

    Harap maklum.

    BalasPadam
  4. dgn menggunakan nama bawang goreng dan pic katun tu boleh dikira sgt berani dan tak menyembunyikan diri?? saya pn boleh buat 1 akaun palsu, dan komen yg bukan2. tp saya tak rasa penyamaran itu perlu. klu malu, saya mengaku malu. sebenarnye saya sgt setuju dgn artikel ni. cuma nak tau atas dasar ape artikel ni ditulis. org tak boleh ikut adat semberono tanpa kajian terperinci. sbb tu skrg ramai suami yg 'tak senang'.. terima kasih atas ilmu yg dikongsi.

    BalasPadam
  5. @Tanpa Nama

    Apa maksud "sbb tu skrg ramai suami yg 'tak senang'.. "

    Mengapa saya menggunakan nama Bawang Goreng? Sebab :
    1. Memang itu nama pena saya
    2. Seorang wanita tidak perlu menonjolkan diri kerana boleh menimpulkan fitnah.

    Itu tidak sepatutnya menjadi pertikaian. Yang penting, penyampaian isi dan pemahaman artikel.

    Jika hendak mencari kajian, cuba cari artikel 80% isteri tidak puas seks. Dari situ, kita dapat lihat dua kemungkinan :

    1. Khitan wanita memyebabkan wanita lambat klimaks dan sukar mendapat kepuasan.

    2. Memang suami akhir zaman tidak memelihara kesihatan dan ramai yang berpenyakit ED sehingga tidak mampu memuaskan isteri masing-masing.

    Anda boleh buat carian di MrGoogle.

    Terima kasih kerana masih menjenguk belog yang tidak seberapa ini.

    BalasPadam
  6. atas sebab yg sama saya hanya guna tanpa nama. artikel seumpama itu saya selalu baca. saya rasa klimaks tak penting pun kpd wanita. cuma sebagai bonus saja. apa pun itu bergantung kepada empunya diri masing2. suami tak senang bermaksud mereka bosan dgn isteri yg tak beri rangsangan. hanya membiarkan diri disetubuh suami tanpa sikit pun menunjukkan respon yg menyenangkan mereka. ramai antara kita yg tak sedar perkara tersebut. saya hanya memberi ulasan atas hasil bacaan dan pandangan saya terhadap beberapa artikel. maafkan saya sekiranya ada tersilap.. bagaimanapun bawang goreng adalah salah seorang daripada sedikit yg berani menyentuh perkara yg orang lain pandang remeh ni.. ia sedikit sebanyak dpt memberi kesedaran kpd org yg membacanya.

    BalasPadam
  7. @Tanpa Nama

    Salam.

    Saya kurang setuju jika dikatakan klimaks tidak penting bagi wanita. Sebenarnya, ramai tidak tahu (termaksuk wanita sendiri, apatah lagi lelaki) jika wanita tidak mencapai kepuasan salam hubungan seksual, sangat buruk akibatnya. Anda boleh buat sedikit rujukan di internet, untuk bacaan segera, sila rujuk entry Kemuncak seks wanita (orgasme).

    Bukan sedikit suami yang memandang remeh dan mengabaikan kepuasan isteri, walhal perkara ini telah disebut oleh Rasulullah SAW dalam sabda baginda yang bermaksud, “Apabila seorang dari kalian bersetubuh dengan isterinya maka hendaklah ia menyempurnakannya. Kemudian bila ia telah selesai telah selesai hajatnya (orgasme) sebelum selesai hajat isterinya maka janganlah ia mempercepatkan (meninggalkan) isterinya itu hingga selesai pula hajat isterinya itu.” (Hadis riwayat Abdul Razak & Abu Yala dari Anas)

    Salah wanita juga kerana malu tidak bertempat untuk berterus terang dengan suami, sedangkan hubungan intimasi adalah hak bersama. mungkin juga wanita terdidik untuk tidak 'memalukan' suami dan seks juga satu perkara yang sangat taboo untuk dibawa berbincang.

    Saya terfikir, banyak kes kecurangan isteri sejak akhir-akhir ini kerana :
    1. iman yang goyah
    2. sendiri cari penyakit
    3. peluang terbuka dan
    4. pengabaian hak oleh suami akan kehendak emosi isteri

    NB: Kajian yang disebutkan dalam komen sebelum ini adalah kajian yang dilakukan oleh pengeluar kondom iaitu 'Durex'.

    Saya mohon maaf kerana berkasar dengan saudara pada permulaannya kerana tersilap faham akan komen saudara. Harap maafkan saya.

    Terima kasih atas kunjungan saudara ke sini lagi.

    BalasPadam

Kongsikan komen anda di sini...