PAGE
▼
Rabu, Disember 12, 2007
Puja usah sampai derita
TERLALU memuja, memanjakan suami sehingga tanpa sedar mengabdikan diri seolah-olah hamba bukanlah tuntutan dalam falsafah perkahwinan Islam.
Menurut Pensyarah Kanan Fakulti Syariah dan Undang-Undang, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Ustazah Nik Salida Suhaila Nik Salleh, mengemudi rumahtangga bahagia bukan hanya bersandarkan tanggungjawab isteri semata-mata tetapi ia ‘tanggungjawab bersama’. Beliau berkata, bersandarkan al-Quran, tujuan pernikahan untuk mendapatkan ketenangan dan kebahagiaan, sebagaimana firman Allah yang bermaksud:
"Dan antara tanda kebesaran Allah itu Dia jadikan bagi kamu pasangan hidup supaya kamu mendapatkan ketenangan atau kebahagiaan bersamanya. Kemudian Allah ciptakan antara kamu berdua mawaddah dan rahmah." (Surah al-Rum, ayat 21)
Menurutnya, kebahagiaan rumahtangga bukan hanya tanggungjawab isteri sebaliknya suami turut berperanan bersama tanpa menyeksa pasangan. Tidak guna terlalu memuja suami hingga diri menderita dan terseksa demi menyelamatkan rumahtangga sedangkan suami tidak berusaha mencapai kebahagiaan diharapkan. Jangan letak suami terlalu di atas sehingga apabila berlaku persengketaan atau diuji, isteri menjadi kecewa lalu menidakkan ketentuan Allah. Namun, jika Allah menjadi keutamaan dalam cinta seseorang, walaupun diuji dalam rumah tangga isteri tetap reda. Itu cinta terbaik.
Melihat kes sesebuah perceraian, isteri seolah-olah terlalu mendambakan pasangan sehingga sanggup memperhambakan diri. Katanya, alam ini terasa indah kerana Allah menciptakan manusia berpasangan.
Allah menciptakan pasangan untuk manusia supaya mereka dapat hidup seiring sejalan, berbahagi suka dan duka serta tetap bersama melayari kehidupan demi mencapai matlamat mendapatkan keluarga sakinah. Selain ketenangan dalam pernikahan, Allah juga menciptakan mawaddah dan rahmah di hati suami dan isteri.
Mawaddah adalah rasa cinta berdasarkan syahwat kemanusiaan iaitu keinginan untuk melakukan hubungan suami isteri. Mawaddah atau keinginan untuk melakukan hubungan suami isteri ini ada hadnya seiring dengan umur manusia. Apabila seorang lelaki berumur 60 tahun dan perempuan berumur 50 tahun, mawaddah ini akan berkurangan. Maka, pada saat inilah Allah akan menimbulkan rahmah atau kasih sayang kepada pasangan berkenaan. Namun, ada juga ujian dalam rumah tangga ketika usia menginjak tua.
Beliau mengaitkan mawaddah dan rahmah menerusi nukilan Profesor Dr Hamka Rahmah lebih tinggi kedudukannya daripada mawaddah sebab ia kasih mesra antara suami isteri yang bukan lagi berasaskan keinginan syahwat, sebaliknya rasa kasih murni suami isteri.
Justeru, apa yang diinginkan adalah mengisi hari-hari akhir dengan beribadah dan mendekatkan diri kepada Allah. Mereka juga berusaha memberikan contoh yang baik, teladan dan nasihat kepada anak cucu. Inilah hakikat rahmah, katanya. Menurutnya, apa yang menyedihkan melihat banyak pasangan tua yang berpisah kerana ingin bernikah dengan wanita muda sehingga memecah belah perkahwinan. Ketika ini, Allah hanya memberikan kita mawaddah tetapi mencabut nikmat rahmah.
Oleh itu, dalam proses membina satu rumah tangga, Rasulullah memberikan bimbingan kepada umat Islam agar memilih pasangan kerana empat prinsip, iaitu kecantikan, keturunan, kekayaan dan agamanya tetapi utamakan yang beragama, katanya. Wanita yang beragama akan timbul di wajahnya kecantikan lahir daripada jiwanya dan menyinari segenap tubuhnya, bukan kecantikan palsu yang diselaputi solekan.
Wanita yang beragama juga akan melahirkan sifat kana'ah iaitu cukup dengan apa yang dimiliki dan tidak memaksa diri mencapai sesuatu. Agama pula, membezakan seorang manusia dengan manusia lain, bukan kerana keturunan dan kedudukan seperti firman Allah yang bermaksud: "Sesungguhnya orang yang paling mulia di sisi Allah adalah orang yang paling takwa."
Renung-renungkan!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Kongsikan komen anda di sini...