Firman Allah SWT yang bermaksud, "Siapakah yang sanggup memberi pinjaman kepada Allah, pinjaman yang baik (menafkahkan hartanya di jalan Allah), Maka Allah akan melipat gandakan pembayaran kepadanya dengan lipat ganda yang banyak. Dan Allah menyempitkan dan melapangkan (rezeki) dan kepada-Nya-lah kamu dikembalikan." (Surah al-Baqarah, ayat 245)
Syeikh Al-Maghari berkata: “Selepas Allah memerintahkan berperang pada ayat yang lalu bagi mempertahankan hak dan kebenaran, yang demikian itu terhenti dengan sanggup mengeluarkan harta bagi persiapan peperangan dan persediaan untuk pertahanan. Lebih-lebih lagi selepas maju dalam bidang-bidang ketenteraan dan keperluan kepada pelbagai ilmu serta peralatan yang banyak. Justeru Allah menggesa supaya pengorbanan harta untuk memudahkannya, meninggikan agama serta menghalang musuh yang menceroboh.”
Firman Allah: Siapakah yang sanggup memberi pinjaman kepada Allah, pinjaman yang baik (menafkahkan hartanya di jalan Allah).
Syeikh Sya’rawi berkata: “Apabila kamu mendengar perkataan ‘Allah memberi pinjaman’ yang demikian itu merupakan perkara yang besar kerana apabila kamu memberi pinjaman kepada manusia seolah-olah kamu memberi pinjaman kepada Allah SWT. Akan tetapi masalahnya tidaklah jelas kenapa? Ini kerana manusia akan mendapat manfaat dan faedah secara langsung tetapi apabila kamu menafkahkan pada jalan Allah SWT, maka tiada di sana manusia yang tertentu memberikan kepadamu. Ini bermakna seolah-olah kamu memberi pada makna yang umum hutang dan kamu bermuamalah padanya bersama Allah. Justeru jadilah kamu memberi pinjaman kepada Allah ketika kamu infakkan sebahagian harta kamu untuk persediaan kamu ketika berperang.”
Al-Nasafi berkata: “Disebut kalimah pinjaman kerana yang menerimanya telah memutuskannya dari sebahagian hartanya. Kemudian disebut kalimah pemberian yang baik atau pinjaman yang baik yang dikehendaki di sini dengan maksud nafkah pada jihad kerana apabila diperintahkan berperang pada jalan Allah dia memerlukan pada harta yang menggalakkan untuk bersedekah bagi persediaan sebab-sebab jihad.”
Sayyid Qutub berkata: “Jika mati dan hidup di tangan Allah dan hidup tidak akan hilang dengan sebab peperangan apabila Allah hendak mengekalkannya, maka begitu juga harta tidak akan hilang dengan sebab infak, kerana infak itu merupakan satu pinjaman yang baik kepada Allah dan terjamin ganjaran di sisi Allah yang akan membalas dengan gandaan yang banyak. Di dunia dibalasnya berganda-ganda dalam bentuk harta, keberkatan, kebahagiaan dan kerehatan dan di akhirat dibalas berganda-ganda dalam bentuk berbagai-bagai kenikmatan, keredaan dan perdampingan dengan Allah.”
Firman Allah SWT: Maka Allah akan melipat gandakan pembayaran kepadanya dengan lipat ganda yang banyak.
Al-Baghawi berkata: “Tafsiran tentang pinjaman ini adalah banyak. Antaranya seperti kata Al-Husin bin Ali al-Waqidi iaitu dengan penghisaban yang baik pada jiwanya.”
Sedangkan Ibnu Mubarak berkata: “Daripada harta yang halal tanpa diungkit dan menyakiti yang menerimanya.”
Hamka berkata: “Pengorbanan untuk menegakkan yang hak tidak akan sia-sia. Namun Tuhan, kerana cinta-Nya dan kasih-Nya kepada hamba-Nya yang beriman, Dia mengatakan bahawa Dia hanya meminjam. Alangkah terharunya orang yang beriman yang mendengar kalam Allah ini, harta siapa yang dipinjam Tuhan? Sedangkan semua kekayaan yang ada pada kita adalah pinjaman daripada-Nya. Hati yang beriman pasti bergetar sekiranya mendengar sabda Allah ini. Tidak ada apa yang boleh menghalang kehendak Allah SWT untuk menjadikan ini sebagai apa yang diputuskannya yang mana Dia berjanji untuk menggantikannya dengan balasan yang berlipat ganda. Adakala harta benda yang kita keluarkan, tetapi kemerdekaan umat sebagai gantinya tanpa kita sedar dengan tertegaknya agama dan berjalannya kebenaran Tuhan di muka bumi ini.”
Punca kaya dan miskin adalah terpulang kepada iradat Allah. Bukannya kerana sikap tamak dan bakhil dan bukan pula kerana berperanan dan infak.
Firman Allah SWT: Dan Allah menyempitkan dan melapangkan (rezeki).
Sayyid Qutub berkata: “Perjalanan yang terakhir tetap kembali kepada Allah. Di manakah letaknya harta kekayaan, sedangkan manusia sendiri semuanya kembali kepada Allah SWT.”
Al-Sonhaji berkata: “Banyak jalan yang terbuka pintunya, tertadah tangannya, ternanti-nanti bagaikan menanti embun yang tidak akan menitik melainkan pada waktu pagi. Maka sebanyak itu pula terdapat umat Islam yang luas mata pencariannya, bahkan mewah pula hidupnya. Ada yang teragak-agak dan merasa asing atau takutkan rugi untuk mengasingkan sebahagian hartanya yang akan dibelanjakannya ke jalan Allah. Tetapi tidak takut rugi, tidak asing dan tidak teragak-agak membelanjakannya, walau dengan berhutang sekalipun, ke jalan yang dikehendaki oleh tuntutan hawa nafsu, ke jalan yang membawa kemaksiatan dan menderhakai Tuhan.”
Maka ingatlah, bahawasanya Allah itu berkuasa menyempitkan rezeki seseorang dan berkuasa pula melapangkan rezekinya. Allah berkuasa menahan dan menyempitkan rezeki sesiapa yang dikehendaki-Nya dari hamba-Nya. Ini ada hikmahnya. Iaitu sebagai cubaan kepadanya, dapatkah ia kelak bersabar atau tidak, disebabkan kesempitan dan kemiskinannya itu?
Allah berkuasa pula melapangkan atau mengayakan seseorang yang dikehendaki-Nya. Ini pun ada hikmahnya. Iaitu sebagai ujian kepadanya, mahukah kelak ia bersyukur atau tidak, sesudah ia mendapat kelapangan dan kekayaannya itu? Semua orang akan kembali kepada Allah dan masing-masing akan diberi balasannya.
Firman Allah: Dan kepada-Nyalah kamu dikembalikan.
Sayyid Qutub berkata: “Jika demikian apalah gunanya takut kepada mati dan apalah faedahnya takut kepada kemiskinan, kerana mahu tidak mahu kepada Allah juga kita kembali. Oleh itu hendaklah orang-orang yang beriman sanggup berjihad kerana Allah SWT dan hendaklah mereka sanggup mengorbankan jiwa dan harta. Yakinlah bahawa bilangan nafas mereka adalah terbatas dan rezeki mereka juga terbatas. Mereka lebih baik menghayati hidup yang kuat, bebas, berani dan mulia dan selepas itu mereka semua akan dikembalikan kepada Allah.”
Iktibar Ayat:
* Ibnu al-Arabi berkata: Sebagaimana perkataan al-Qiradh dikhususkan untuk erti mudarabah. Seolah-olah seseorang mendahulukan hartanya, dan seorang lagi mendahulukan kerjanya, lalu jadilah kedua-dua pihak sebagai dua pihak yang saling mendahulukan khidmat/harta. Oleh itu dinamakan al-Qiradh.
* Al-Qurtubi berkata: Wajib kepada yang meminjam mengembalikan pinjaman. Ini kerana mereka yang menafkahkan kepada jalan Allah akan dikembalikan pahala yang besar.
* Kelebihan pahala berjihad pada jalan Allah SWT sama ada pada harta atau jiwa raga.
Sumber : Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri di Utusan 23/01/2008
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Kongsikan komen anda di sini...