SOALAN:
Saya baru berkahwin dengan seorang lelaki keturunan Arab yang berasal dari Arab Saudi. Beliau seorang berpelajaran agama yang tinggi. Namun hakikatnya, keegoan beliau begitu menebal.
Menurut katanya, suami harus menahan isterinya dari keluar rumah dan tidak dibenarkan untuk berkunjung atau berziarah ke rumah ibu bapa sendiri apa lagi ke rumah keluarga lain. Katanya, inilah yang dituntut oleh ajaran agama. Apa pandangan tuan berhubung perkara ini.
– Tiyyah Arsyad, Butterworth.
Islam menganjurkan perkahwinan untuk berkasih sayang dan bermesra antara suami isteri dan keluarga kedua belah pihak. Bukan untuk bermusuhan dan bercerai-berai. Dalam hal ini firman-Nya bermaksud, "Sebahagian dari tanda kebesaran-Nya iaitu menjadikan dari jenis kamu pasangan supaya kamu mendapat ketenangan dengannya dan menimbulkan antara kamu percintaan dan kasih sayang sesungguhnya pada yang demikian itu ada tanda-tanda (kebesaran Allah) bagi kaum yang berfikir." (Surah Ar-Rum ayat 21).
Bagaimana mereka bertindak melarang isteri keluar dari rumah untuk tujuan kebaikan dan melaksanakan kewajipan dan sebagainya itu dikatakan haram dan bidaah, sedangkan Allah berfirman bermaksud, "Layanilah mereka berdua (ibu bapa) di dunia ini dengan baik." (Surah Lukman ayat 15).
Mereka menggunakan alasan ajaran agama, walhal hakikatnya atas alasan keegoan dan cemburu buta mereka atau adat resam tempatan mereka sahaja. Bukankah amalan menziarah kaum keluarga dan mengeratkan hubungan silaturahim itu amatlah digalak dan disanjung agama? Meskipun mereka berdalilkan dengan satu cerita pada masa Rasulullah SAW yang memberitahu dan bersabda kepada wanita yang setia dan taat tidak melanggar perintah dan larangan suami dan bahawa Allah telah mengampuni bapanya itu dengan sebab kepatuhan anak tadi terhadap suaminya.
Mempersoalkan
Kita tidak pernah mempersoalkan kebaikan dan keistimewaan rahmat Allah SWT yang dikurniakan kepada hamba-nya yang benar-benar jujur dan ikhlas dalam hidupnya tetapi atas alasan apakah suami itu menghalang isterinya dari menghubungi silaturrahim dengan ibu bapanya yang merupakan suruhan Allah dan Rasul-Nya supaya melayani keduanya dengan baik selama di dunia ini?
Apalagi semasa mereka yang sudah uzur dan lanjut usia pula.Yang mana kitalah anak kesayangan yang menjadi harapan mereka selama ini. Tetapi apabila sudah berkahwin maka bertukar menjadi seperti kacang lupakan kulit. Alangkah besar pahala sekiranya suami tersebut dapat bersikap terbuka dan tidak terlalu cemburu buta dan tidak terikat mengikut adat resam tempatnya. Ini kerana dia bersukarela memilih untuk mengahwini wanita dari luar negaranya dan berlainan adat resamnya.
Wallahualam.
Sumber: UtusanOnLine 20/01/2008
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Kongsikan komen anda di sini...