FIRMAN Allah SWT yang bermaksud, Dan nabi mereka mengatakan kepada mereka: “Sesungguhnya tanda ia akan menjadi raja, ialah kembalinya tabut kepadamu, di dalamnya terdapat ketenangan daripada Tuhanmu dan sisa daripada peninggalan keluarga Musa dan keluarga Harun; tabut itu dibawa malaikat.”
Sesungguhnya pada yang demikian itu terdapat tanda bagimu, jika kamu orang yang beriman.
Maka tatkala Thalut keluar membawa tenteranya, ia berkata: “Sesungguhnya Allah akan menguji kamu dengan suatu sungai. Maka siapa di antara kamu meminum airnya; bukanlah ia pengikutku dan barang siapa tiada meminumnya, kecuali menceduk seceduk tangan, maka dia adalah pengikutku.”
Kemudian mereka meminumnya kecuali beberapa orang di antara mereka. Maka tatkala Thalut dan orang-orang yang beriman bersama dia telah menyeberangi sungai itu, orang- orang yang telah minum berkata: “Tak ada kesanggupan kami pada hari ini untuk melawan Jalut dan tenteranya.” Orang-orang yang meyakini bahawa mereka akan menemui Allah, berkata: “Berapa banyak terjadi golongan yang sedikit dapat mengalahkan golongan yang banyak dengan izin Allah dan Allah beserta orang-orang yang sabar.” (Surah al-Baqarah, ayat 248 dan 249)
Syeikh Sya’rawi berkata: “Mereka telah menerima pilihan Tuhan dengan ingkar dan tidak menghiraukannya kecuali dengan perkara yang dapat disaksi dan dilihat sebagai hujah yang lazim. Yang demikian itu tidak dapat tidak dengan mendatangkan mukjizat justeru Allah berfirman: Dan nabi mereka mengatakan kepada mereka: Sesungguhnya tanda ia akan menjadi raja, ialah kembalinya tabut kepadamu, di dalamnya terdapat ketenangan daripada Tuhanmu dan sisa daripada peninggalan keluarga Musa dan keluarga Harun; tabut itu dibawa malaikat. Sesungguhnya pada yang demikian itu terdapat tanda bagimu, jika kamu orang yang beriman.”
Al-Nasafi berkata: “Iaitu peti Taurat, dan adalah Musa apabila berperang meletakkannya di hadapan. Sehingga jadilah jiwa-jiwa Bani Israel tenang dan tidak melarikan diri.”
Sayyid Qutub berkata: “Dahulu musuh-musuh mereka yang telah mengusir mereka dari bumi suci, yang dapat ditakluk mereka di bawah pimpinan Nabi Yusya’ selepas masa merayau di padang gurun dan wafatnya Nabi Musa telah merampas peninggalan suci mereka, iaitu sebuah peti atau tabut yang mengandungi barang-barang peninggalan para anbiya mereka daripada keluarga Musa dan keluarga Harun.”
“Menurut satu riwayat peti itu mengandungi naskhah loh-loh Taurat yang dikurniakan Allah kepada Musa di atas Bukit Tursina. ... Nabi mereka telah menentukan satu alamat daripada Allah kepada mereka, iaitu mereka akan menyaksi satu mukjizat, di mana Tabut berisi peninggalan suci itu akan datang kepada mereka dibawa oleh para malaikat. Dan ketika itu hati mereka akan dilimpahi ketenangan dan ketenteraman dan beliau telah berkata kepada mereka: Bahawa mukjizat ini cukup untuk menjadi bukti bahawa Thalut itu benar dipilih oleh Allah jika kamu benar beriman.”
Al-Maghari berkata: “Disifatkan dengan Tabut pada kitab Bani Israel dengan pelbagai sifat yang menggambarkan amat pelik dalam membuat dan amat menarik kerana ia dihiasi dengan emas serta ukiran kayu yang bernilai tinggi.
Dengan sebab itulah golongan Mesir penyembah berhala telah menjadikan Bani Israel sebagai hamba dalam tempoh yang lama untuk bekerja dalam pertukangan tersebut. Sedangkan Islam datang menegah perhiasan yang berlebihan dan melampau di masjid dan rumah ibadat sehingga orang yang solat tidak lalai daripada munajat Tuhannya”.
Nampaknya daripada keterangan ayat ini mukjizat itu berjaya membawa kaum Israel kembali kepada keyakinan.
Al-Sonhaji berkata: “Dengan kedatangan tanda-tanda seperti adanya raja dan kembalinya peti pusaka mereka, akhirnya percayalah mereka akan kenabian Syamwil dan mengaku taat setia kepada Thalut sebagai raja”.
Firman Allah: Maka tatkala Thalut keluar membawa tentaranya, ia berkata: “Sesungguhnya Allah akan menguji kamu dengan suatu sungai. Maka siapa di antara kamu meminum airnya; bukanlah ia pengikutku dan barang siapa tiada meminumnya, kecuali menceduk seceduk tangan, maka dia adalah pengikutku”. Kemudian mereka meminumnya kecuali beberapa orang di antara mereka. Maka tatkala Thalut dan orang-orang yang beriman bersama dia telah menyeberangi sungai itu, orang-orang yang telah minum berkata: “Tak ada kesanggupan kami pada hari ini untuk melawan Jalut dan tenteranya”. Orang-orang yang meyakini bahwa mereka akan menemui Allah, berkata: “Berapa banyak terjadi golongan yang sedikit dapat mengalahkan golongan yang banyak dengan izin Allah dan Allah beserta orang-orang yang sabar”.
Sayyid Qutub berkata: “Di sini ternyatalah kepada kita kebenaran hikmah Allah dalam memilih Thalut. Beliau kini sedang menuju kepada satu peperangan dan bersama beliau ialah satu angkatan tentera dari satu umat yang kalah, iaitu umat yang mengalami kekalahan dan kehinaan berulang-ulang kali di dalam sejarah mereka. Beliau akan berdepan dengan angkatan tentera satu umat yang menang”.
Oleh sebab itu tentera-tenteranya pastilah mempunyai kekuatan hati untuk menentang kekuatan lahir yang telah mengalahkan mereka itu. Kekuatan batin ini terletak pada iradat, iaitu iradat yang sanggup mengawal keinginan nafsu, sanggup menghadapi ketiadaan dan kesusahan, sanggup mengatasi kesempitan dan segala keperluan, sanggup mementingkan kepatuhan dan memikul tugas dan sanggup menempuh ujian demi ujian.
Lantaran itu, seorang pemimpin tentera yang terpilih pastilah menguji iradat tenteranya dan semangat ketahanan dan kesabaran mereka. Pertama, ketahanan mereka dalam menghadapi keinginan nafsu dan kesabaran mereka dalam menghadapi ketiadaan dan kesusahan. Beliau telah memilih ujian ini ketika mereka sedang dahaga sebagaimana diceritakan oleh riwayat-riwayat untuk mengetahui siapakah di antara mereka yang benar-benar sabar dan siapakah yang ponteng dan suka memilih apa yang senang dan apa yang diduga oleh beliau itu adalah benar.
Firman Allah: Kemudian mereka meminumnya kecuali beberapa orang di antara mereka.
Yakni mereka minum dengan sepuas-puasnya. Sebelum ini Thalut telah membenarkan kepada mereka yang mahu minum supaya minum dengan mencedok dengan tangan sahaja untuk membasahkan kedahagaan.
Namun ini tidaklah membayangkan keinginan mahu ponteng daripada perjuangan. Kini mereka (yang minum sepuasnya itu) telah memisahkan diri mereka daripada Thalut sebaik sahaja mereka menyerah kalah dan enggan berjuang. Mereka telah memisahkan diri mereka daripada Thalut kerana mereka tidak layak dengan tugas yang diletakkan ke atas bahu mereka.
Memanglah menjadi suatu kebaikan dan ketegasan apabila mereka keluar dari barisan tentera yang sedang mara untuk berjuang kerana mereka merupakan benih-benih kelemahan dan kekalahan. Pasukan tentera itu bukan dinilai dengan bilangan yang ramai, tetapi dengan hati yang cekal dan berani, dengan iradat yang kukuh dan keimanan yang teguh dan lurus.
Ujian ini menunjukkan bahawa niat yang tersimpan dalam hati sahaja tidak cukup. Malah pastilah diuji dengan ujian amalan dan pastilah menghadapi realiti jalan menuju perjuangan sebelum menceburinya. Ia juga membuktikan ketabahan hati pemimpin yang terpilih itu, yang tidak bergoncang apabila sebilangan terbesar daripada angkatan tenteranya telah mengundurkan diri dalam ujian yang pertama, malah ia terus mara ke depan.
Iktibar Ayat:
* Sejarah penentangan umat terdahulu menjadi iktibar kepada kita semua.
* Ujian Allah terhadap manusia untuk membezakan antara hambanya yang sejati dan yang pura-pura.
* Allah sentiasa menolong hambanya yang sabar.
SUmber: Utusan 06/02/2008
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Kongsikan komen anda di sini...