PAGE

Jumaat, Februari 08, 2008

Kita tanggung dosa sendiri

Soalan

Saya seorang yang menjaga perihal tentang sembahyang manakala suami saya agak liat dan jarang sembahyang cukup lima waktu. Pada hari cuti, suami saya lebih rela tidur dari bangun sembahyang subuh. Apakah saya berdosa kalau saya tidak mengejutkan suami saya supaya bangun bersembahyang.

Kadang-kadang saya ada juga kejutkan suami tetapi dia tetap tidak mahu bangun. Adakah saya dikira berdosa kerana bersubahat?


Jawapan:

Ramai di kalangan kita membincangkan isteri derhaka pada suaminya, tetapi jarang orang membincangkan derhaka suami kepada isterinya. Kenapa keadaan ini berlaku? Bukankah nampak macam tidak adil di pihak isteri?

Mungkin juga isteri menjadi derhaka kerana suaminya yang tidak pandai mendidik isteri yang menjadi amanah yang diterimanya melalui akad yang sah. Sebuah keluarga yang bahagia terbentuk dengan kesefahaman, toleransi, bantu membantu dan berkasih sayang di antara satu sama lain.

Bahagialah sebuah rumahtangga yang diketuai oleh suami atau si ayah yang memahami tanggungjawabnya sebagai khalifah dalam rumah. Tetapi apabila suami gagal memahami tugasnya selaku ketua rumahtangga akan berlaku ketidakstabilan pengurusan dalam rumahtangga.

Namun demikian bersyukur apabila isteri mengambil alih tugasan memberi peringatan mengenai solat. Sepatutnya suami yang mengingatkan, tidak salah jika isteri yang ingatkan. Tetapi bila isteri yang suruh atau isteri yang mengajak kepada kebaikan suaminya tak berapa nak buat. Kerana dia hanya dilihat sebagai seorang wanita.

Menyuruh kepada kebaikan dan mencegah keburukan adalah tugas bersama. Jika si suami melihat isterinya melakukan sesuatu yang salah atau melanggar perintah Allah maka si suami berkewajipan menegur dan membetulkan dan jika sebaliknya suami yang melakukan kesalahan maka si isteri berkewajipan membetulkannya. Ini termasuklah mengajak suami solat.

Mengemudi

Suami perlu diperbetulkan supaya mereka yang di bawah jagaannya terdidik. Suami bertanggungjawab mengemudi bahtera rumahtangga.

Suami umpama kepala gerabak kereta api, kalau sesat kepala kereta api itu sesatlah seluruh penumpangnya. Allah SWT menegaskan akan kedudukan lelaki dalam masyarakat dengan firman-Nya yang bermaksud, "Kaum lelaki itu adalah pemimpin dan pengawal yang bertanggungjawab terhadap kaum perempuan, oleh kerana Allah telah melebihkan orang-orang lelaki (dengan beberapa keistimewaan) atas orang-orang perempuan, dan juga kerana orang-orang lelaki telah membelanjakan (memberi nafkah) sebahagian dari harta mereka. Maka perempuan-perempuan yang soleh itu ialah yang taat (kepada Allah dan suaminya), dan yang memelihara (kehormatan dirinya dan apa jua yang wajib dipelihara) ketika suami tidak hadir bersama, dengan pemuliharaan Allah dan pertolongan-Nya. Dan perempuan-perempuan yang kamu bimbang melakukan perbuatan derhaka (nusyuz) hendaklah kamu menasihati mereka, dan (jika mereka berdegil) pulaukanlah mereka di tempat tidur, dan (kalau juga mereka masih degil) pukullah mereka (dengan pukulan ringan yang bertujuan mengajarnya). Kemudian jika mereka taat kepada kamu, maka janganlah kamu mencari-cari jalan untuk menyusahkan mereka. Sesungguhnya Allah Maha tinggi, lagi Maha besar." (Surah al-Nisaa’ ayat 34)

Dalam ayat lain Allah menegaskan bahawa suami berkewajipan menyelamatkan ahli keluarga daripada seksaan api neraka, firman-Nya yang bermaksud, "Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari neraka yang bahan-bahan bakarannya: manusia dan batu (berhala)." (Surah al-Tahrim ayat 6)

Qatadah menjelaskan berkenaan ayat ini menyuruh mereka supaya taat perintah Allah serta menegah mereka dari melakukan maksiat kepada Allah serta membantu mereka dalam mentaati Allah SWT.

Ayat ini menyuruh ketua keluarga menyelamatkan dirinya dahulu sebelum menyelamatkan orang lain. Selamatkan diri dengan mentaati perintah Allah dan meninggalkan maksiat dan bersegera bertaubat dari segala kesalahan yang menjadi kemurkaan Allah SWT.

Seorang isteri tidak memikul dosa suami yang tidak sembahyang. Selagi mengingat dan mengajak suami tidak mendatangkan mudarat pada fizikal, maka selagi itulah puan berkewajipan mengingatkannya. Namun dosa dia tinggalkan solat dia sendirilah yang tanggung.

Dalam al-Quran jelas Allah menerangkan yang bermaksud, "Sesiapa yang beroleh hidayah petunjuk (menurut panduan al-Quran), maka sesungguhnya faedah petunjuk yang didapatinya itu hanya terpulang kepada dirinya sendiri, dan sesiapa yang sesat maka sesungguhnya kesan buruk kesesatannya hanya ditanggung oleh dirinya juga. Dan seseorang yang boleh memikul, tidak akan memikul dosa perbuatan orang lain (bahkan dosa usahanya sahaja). Dan tiadalah Kami mengazabkan sesiapapun sebelum Kami mengutuskan seorang Rasul (untuk menerangkan yang benar dan yang salah)." (Surah al-Isra’, ayat 15)

Sumber: Utusan 08/02/2008

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Kongsikan komen anda di sini...