Assalamualaikum warahmatullah,
Dalam kebanyakan buku-buku yang membincangkan tentang perkahwinan dalam Islam, biasanya terdapat satu konsep yang menjelaskan tentang peranan suami iaitu sebagai seorang yang bertanggungjawab dalam memberi nafkah kepada keluarga. Misalnya, dalam buku 'Memasuki Gerbang Perkahwinan' yang menjadi panduan kepada bakal pengantin dan diterbitkan oleh JAKIM dengan jelas mencatatkan perkara tersebut iaitu:
“Pemberian nafkah oleh suami kepada keluarga merupakan satu tanggungjawab yang mesti ditunaikan. Nafkah tersebut merangkumi perbelanjaan makan minum, tempat tinggal, keselamatan dan perlindungan. Walaupun ia merupakan satu tanggungjawab, pemberian nafkah juga boleh diibaratkan sebagai sedekah kepada keluarga.”
Konsep ini dibentuk berasaskan kepada hujah dari ayat-ayat al-Quran dan al-Sunnah yang berkaitan. Antaranya yang terpenting ialah ayat yang bermaksud: “Kaum lelaki itu adalah pemimpin dan pengawal yang bertanggungjawab terhadap kaum perempuan, kerana Allah telah melebihkan orang lelaki (daripada beberapa keistimewaan) atas orang-orang perempuan, dan juga kerana orang lelaki telah membelanja (memberi nafkah) sebahagian dari harta mereka.” (Surah an-Nisaa’, ayat 34)
Begitu juga dengan satu hadis yang diriwayatkan oleh Abu Daud dan al-Nasa’i yang bermaksud: “Ya Rasulullah, apakah hak isteri ke atas kami?” Sabda Rasulullah SAW, “Hendaklah engkau memberi makan kepadanya apabila engkau makan dan hendaklah memberi pakaian kepadanya seperti mana engkau berpakaian.”
Hujah-hujah ini telah menjadi panduan umum kepada umat Islam di seluruh dunia tentang kewajipan yang diamanahkan kepada kaum lelaki iaitu dalam konteks pemberian nafkah keluarga. Walaupun konsep tersebut telah diterima pakai lebih dari seribu tahun, perubahan yang berlaku dalam masyarakat seperti perindustrian dan kini kepada masyarakat dalam lingkungan teknologi komunikasi maklumat dikatakan menuntut kepada perbincangan baru tentang kedudukan lelaki sebagai ‘breadwinner’ utama kepada keluarga. Berita Harian, 22 Julai 2002 misalnya, memfokuskan satu perbincangan tentang jangkaan perubahan struktur keluarga dalam masa 10 tahun akan datang disebabkan dominasi mahasiswa wanita melebihi lelaki di hampir kesemua institusi pengajian tinggi awam di Negara kita.
Universiti-universiti utama seperti Universiti Kebangsaan Malaysia, Universiti Malaya, Universiti Sains Malaysia, Universiti Putra Malaysia, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dan Universiti Teknologi Mara mempunyai nisbah mahasiswa wanita melebihi lelaki sehingga ada yang mencapai nisbah 60:40. Memetik kata-kata Kamarudin M. Said, Ketua Program Antropologi dan Sosiologi, UKM, beliau berpendapat, “… wanita akan berhadapan dengan masalah kerana sejauh mana kepimpinan mereka boleh diterima, terutama oleh golongan yang tidak mengiktiraf wanita sebagai ketua keluarga… sejarah sosial menunjukkan walaupun kepimpinan diterajui wanita, namun tidak wujud masyarakat di mana wanita lebih dominan dari lelaki.”
Persoalannya :
- Apakah wanita akan menjadi peneraju utama keluarga yang akan mengubah konsep asas kehidupan seperti yang diamalkan sejak ribuan tahun dahulu?
- Apakah perubahan set-set pekerjaan dengan bentuk pekerjaan yang bernilai lebih tinggi dipegang oleh golongan wanita akan menyebabkan fungsi kebapaan seperti yang difahami umum turut berubah?
- Apakah persepsi Islam terhadap perubahan persekitaran yang dikatakan mendesak dan mempengaruhi kepada perubahan konsep suami sebagai pemberi nafkah seperti tercatat dalam ayat dan hadis yang disebut di atas?
Perbincangan ini akan berlegar di sekitar satu kerangka umum seperti yang ditegaskan oleh Islam iaitu manusia dicipta oleh Allah, asasnya ialah sebagai ‘khalifah’ yang memakmurkan bumi. Dalam penciptaan tersebut, terdapat konsep fitrah atau sunnatullah yang tidak boleh berubah akibat perubahan persekitaran. Namun Islam turut meraikan, malah menggalakkan juga perubahan dalam perkara-perkara murunah (fleksibel) yang memberi kebaikan kepada manusia. Keidupan manusia, seperti yang dibahaskan oleh Ibn Khaldun, terikat kepada proses yang disebut oleh beliau sebagai ‘teori kitaran’ yang melalui phasa kelahiran, pembesaran, muda, dewasa dan kematian. Generasi demi generasi akan silih berganti dengan fungsi sebagai khalifah dalam teori kitaran tersebut sehingga berlakunya hari kiamat.
Fungsi Asas Bapa dan Ibu
Barangkali kalau diterbalikkan persoalan yang selalunya dianggap menjadi kebiasaan dalam menjalani kehidupan seharian, ia boleh memberi gambaran bentuk kerangka logik berfikir yang munasabah. Misalnya, apakah boleh dipersetujui umum bahawa wanita perlu mencari nafkah untuk keluarga dan lelaki akan menjadi suri rumah yang bertanggungjawab dalam mengurus urusan seharian rumahtangga termasuk memberi tumpuan kepada mendidik, menyusu dan membesarkan anak-anak? Apakah lelaki yang bergelar bapa dibekalkan dengan segala kekuatan fizikal dan emosi untuk menjalankan tanggungjawab tersebut secara berkesan untuk pembangunan masyarakat? Apakah keseluruhan wanita pula sanggup menukar pemikiran mereka untuk menjadi meneraju utama rumahtangga yang menjadi ‘breadwinner’ sepenuhnya untuk keluarga?
Persoalan-persoalan seperti ini memaparkan tentang realiti kemanusiaan yang akan memperlihatkan tahap pemikiran manusia dan kegelisahan dalam usaha untuk melakukan adjustment dan akomodasi kepada persoalan perubahan di sekitar ruang lingkup kehidupan.
Al-Quran telah lama menyediakan jawapan kepada persoalan di atas. Di dalam al-Quran terdapat dua surah yang dikatakan paling banyak membicarakan hal ehwal berkaitan wanita iaitu Surah an-Nisaa’ dan Surah at-Thalaq. Tiada satu pun surah yang ditujukan khusus kepada pembicaraan tentang lelaki. Walaupun begitu, di permulaan surah an-Nisaa’, Allah SWT menggambarkan dengan jelas tentang kejadian manusia, baik lelaki ataupun perempuan, bahawa mereka dicipta daripada nafs (jiwa) yang satu (iaitu Adam) dan kemudian diciptakan bagi Adam a.s. seorang isteri dan dari mereka lahirlah zuriat manusia seterusnya yang terdiri dari kumpulan lelaki dan wanita.
Berdasarkan prinsip ajaran Islam, adalah disepakati pada asasnya bahawa darjat lelaki dan wanita di sisi Allah SWT adalah sama, sesuai dengan fungsi biologi dan peranan masing-masing. Lelaki dicipta oleh Allah SWT dari segi biologinya tidak mempunyai keupayaan untuk mengandung, melahirkan anak dan menyusu. Ini berbeza dengan biologi wanita yang mempunyai segala keupayaan di atas. Walaupun berbeza dari segi biologi, lelaki dan wanita yang dicipta oleh Allah SWT mempunyai fungsi kehidupan yang saling melengkapi dan saling memerlukan untuk memenuhi fitrah keinsanan. Ia dianggap sebagai sunnatullah. Manusia lelaki tidak boleh hidup dalam satu komuniti jika didalamnya hanya terdapat yang berjantina lelaki sahaja, begitu sebaliknya.
Perbezaan fungsi dan biologi disebut oleh Allah sebagai iktibar seperti diungkap oleh isteri ‘Imran maksudnya “dan anak laki-laki tidaklah sama dengan anak perempuan..” (Surah ali-Imran, ayat 36). Apa yang dipersetujui dalam konteks tidak sama antara anak lelaki dan anak perempuan ialah dari sudut fizikal di mana dalam nazar isteri ‘Imran’, beliau amat mengharapkan supaya dikurniakan seorang anak lelaki untuk berkhidmat di Baitul Maqdis. Apabila diketahui bahawa jantina anak yang dilahirkan adalah anak perempuan, beliau bermunajat kepada Allah SWT dengan mengakui bahawa anak lelaki tidaklah sama dengan anak perempuan dari segi fizikal, namun dia masih boleh mencapai tahap ketakwaan tertinggi kepada Allah SWT.
Fungsi asas kepada bentuk kehidupan lelaki dan wanita yang saling bekerjasama disebut dan wanita yang saling bekerjasama disebut dengan jelas dalam beberapa ayat yang menggambarkan wujudnya kerjasama jantina dalam menjalani kehidupan di atas muka bumi. Antara ayat-ayatnya ialah yang bermaksud, “Dialah yang mencipta kamu dari diri yang satu, dan menciptakan pasangannya darinya, supaya kamu tinggal bersamanya.” (Surah al-A’raaf, ayat 189). “Dan Allah mencipta isteri-isteri bagimu dari jenismu. Dan dia jadikan bagimu anak-anak dan cucu-cucu melalui isteri-isterimu.” (Surah an-Nahl, ayat 72).
Islam mengakui perbezaan biologi yang wujud dan menggariskan informasi asas yang jelas sebagai rangka rujuk kepada perjalanan kehidupan manusia. Perubahan persekitaran yang diakibatkan oleh beberapa faktor seperti berlakunya bencana alam, peperangan, kematian dalam jumlah yang besar akibat epidemik dan penciptaan teknologi yang mengubah kaedah bekerja tidak mungkin mengubah ketetapan asas yang menjadi fitrah manusia. Dari sudut itu, dengan lain perkataan, tidak mungkin bapa akan menjadi ibu atau ibu akan menjadi bapa. Walaupun begitu, bapa masih boleh memainkan peranan yang dimainkan oleh ibu dalam perkara-perkara yang bersifat murunah untuk mewujudkan perasaan mawaddah wa rahmah dalam kehidupan berkeluarga.
Seorang bapa boleh membasuh pakaian, memasak, mengemas rumah dan pelbagai set pekerjaan yang selalu dirujuk kepada tugas seorang wanita. Begitu juga dengan seorang ibu. Beliau boleh bercucuk tanam, menoreh getah, bersawah, berniaga dan pelbagai set pekerjaan lain yang selalu dihubungkan dengan pekerjaan lelaki.
Bapa dan Pekerjaan
Istilah “pekerjaan” sebenarnya mempunyai makna yang luas, bukan terhad kepada kerja yang dibayar dengan upah (wang). Kamus Dewan memberi pelbagai pengertian kepada istilah “pekerjaan” iaitu antaranya sesuatu yang dikerjakan; sesuatu yang dilakukan (harus dilakukan) sebagai tanggungjawab, kewajipan, tugas; sesuatu (usaha, kegiatan, dsb) yang dilakukan berterusan (dari sehari ke sehari) untuk keperluan hidup, usaha atau kegiatan untuk mendapat wang, pencarian; pergerakan atau perjalanan sesuatu; dan majlis (istiadat) perkahwinan dan lain-lain.
Pengertian pekerjaan yang paling relevan dalam perbincangan ini barangkali boleh dirujuk kepada aktiviti seharian yang dilakukan secara berterusan untuk memperoleh ganjaran atau pendapatan yang dinilai dalam bentuk wang. Walaupun begitu, perlu juga disebutkan bahawa terdapat pelbagai set pekerjaan lain yang tiada ganjaran dalam bentuk wang yang MESTI juga dilakukan oleh seorang bapa untuk memenuhi tanggungjawab yang disebut oleh Islam sebagai “memberi nafkah”.
Terdapat perbezaan makna berhubung istilah ‘nafkah’ dengan kewajipan suami yang disebut dalam kitab-kitab feqah dengan istilah “pekerjaan” seorang bapa yang seringkali dikaitkan dengan profesion tertentu kini. Nafkah yang dimaksudkan dalam Islam adalah lebih luas pengertiannya berbanding dengan istilah pekerjaan. Para ulama Islam selalu menyebut nafkah dengan merujuk kepada nafkah zahir dan nafkah batin.
Nafkah zahir merujuk kepada menyediakan keperluan asas kehidupan meliputi makan minum, pakaian, tempat tinggal dan juga memberi perlindungan dan keselamatan. Misalnya Allah menegaskan kewajipan nafkah berkaitan makan minum, tempat kediaman dan pakaian seperti berikut: “Dan kewajipan ayah (suami) memberi makan minum dan pakaian kepada para ibu dengan cara yang sepatutnya.” (Surah al-Baqarah, ayat 233)
Rasulullah SAW bersabda maksudnya: “Suami adalah penjaga (pemimpin) terhadap kaum keluarga dan ia dipertanggungjawabkan terhadap orang-orang di bawah jagaannya dan isteri adalah penjaga (pemimpin) di dalam rumah tangga suaminya dan anak-anaknya dan dipertanggungjawabkan terhadap orang-orang yang di bawah tanggungannya.” (Hadis riwayat al-Bukhari)
‘Perlindungan dan keselamatan’ pula merupakan nafkah yang terikat dengan faktor biologi di mana wanita yang tiada tempat pergantungan kepada lelaki akan menghadapi saat kehidupan yang ada kalanya tiada ketenangan terutama dalam memenuhi keperluan keinsafan. Jika wanita bersuami, ia mungkin bergantung pada bapa, anak atau adik lelaki terutamanya ketika berhadapan dengan saat-saat kecemasan.
Nafkah batin pula termasuk keperluan memenuhi nafsu seks untuk tujuan menjamin kesinambungan zuriat dan aspek psikologi yang disebut dengan istilah mawaddah wa rahmah yang bernatijahkan sebuah keluarga yang bahagia menurut kacamata Islam. Ia boleh dicapai melalui pergaulan yang baik antara suami dan isteri dan ahli keluarga yang lain. Islam meletakkan konsep amanah sebagai pengawas tertinggi kepada setiap bapa sebagai individu untuk menunaikan nafkahnya kepada keluarga.
Justeru, Islam menggalakkan agar bapa dan ibu saling bekerjasama dalam memenuhi keperluan keluarga tanpa meletakkan satu garis set pekerjaan yang serba tetap untuk jantina tertentu. Dalam masyarakat tradisi yang terikat dengan pertanian, jenis-jenis pekerjaan yang dibahagikan kepada bapa adalah jelas perbezaannya dan diturunkan generasi demi generasi. Pekerjaan seperti memburu, menggembala, bertukang kayu atau besi, membuat rumah, alat-alat upacara dan sebagainya yang dianggap memerlukan kekuatan akan dirujuk kepada lelaki.
Manakala set pekerjaan seperti memasak, mengangkut air, menganyam, bertenun, menjahit dan membuat pakaian dan sebagainya yang tidak memerlukan tenaga yang banyak serta boleh dibuat di rumah atau sekitarnya atau berdekatan dengan anak-anak selalunya dikhaskan sebagai pekerjaan perempuan. Walaupun begitu, terdapat pekerjaan yang saling dilakukan bersama seperti bercucuk tanam dan sebagainya yang merupakan usaha saling bantu-membantu bagi memenuhi keperluan hidup berkeluarga.
Zaman perindustrian pula menyaksikan pertumbuhan kilang-kilang dan industri yang memerlukan tenaga kerja yang mempunyai korektor tertentu untuk bidang pekerjaan tertentu. Kerja-kerja yang dulunya berat dan memerlukan tenaga fizikal yang selalunya dirujuk kepada lelaki telah dibantu oleh mesin-mesin. Justeru, kebanyakan kerja tidak boleh lagi diklasifikasikan mengikut jantina. Oleh sebab perindustrian membangun melalui ideologi kapitalisme, output material diletakkan sebagai objektif tertinggi yang mengetepikan persoalan kemanusiaan sehingga masa kerja tidak lagi fleksibel. Kilang-kilang memaksa kerja berlaku selama 24 jam sehari dan tujuh hari seminggu. Ini telah memberi kesan kepada perubahan struktur kehidupan kebanyakan keluarga yang terlibat dalam dunia industri. Bapa dan ibu yang kedua-duanya bekerja dalam waktu yang ditetapkan akan berhadapan dengan persoalan kemahiran menyusun masa untuk kerja dan pembangunan keluarga.
Zaman teknologi maklumat yang kembali memperkenalkan konsep 'working from home' boleh mengembalikan cara bekerja yang lebih fleksibel dan memberi lebih peluang kepada bapa dan ibu membahagikan set kerja yang lebih teratur untuk membangunkan kemanusiaan. Suami sebagai pemimpin kepada rumah tangga memerlukan kemahiran khusus dalam zaman ini bagi menentukan ketaatan isteri dan saling hormat menghormati serta memahami di antara satu sama lain bertunjangkan ketakwaan kepada Allah.
Dari segi ‘kuasa’ suami yang berhadapan dengan isteri yang mempunyai pendapatan sendiri, ada kalanya melebih pendapatan suami, konsep memberi nafkah yang disebut di awal ini masih lagi relevan. Dalam kajian Fatimah Abdullah (Jurnal Antropogi dan Sosiologi, 1987) mengenai wanita bekerja dan pengurusan rumah tangga, beliau mendapati masih terdapat kesedaran tinggi di kalangan wanita dual career terhadap tanggungjawab pengurusan rumah tangga dan berkongsi kerja. Banyak kerja-kerja seperti membasuh, memasak, mengemas rumah dan sebagainya diurus secara bersama atau dengan bantuan pembantu rumah.
Responden yang bekerja sebagai Ahli Sains Hayat, Sains Fizik, Arkitek, Jurutera, Doktor Perubatan/Haiwan, Akauntan, Pegawai Kewangan, Peguam, Guru, Wartawan, Pensyarah, Pentadbir dan lain-lain masih mengekalkan konsep bekerjasama dan menghormati suami sebagai pemimpin rumah tangga. Daripada 100 orang responden yang diselidiki, 94 orang masih memberi jawapan bahawa suami layak dianggap sebagai ketua ‘isi rumah’ apabila diajukan soalan tersebut dan mereka mengakui terlibat secara bersama salam membuat banyak keputusan berkaitan keluarga.
Dalam tulisannya berkenaan dengan keluarga, William J. Goode (1991) cuba menegaskan bahawa dalam sebarang analisis berkaitan pekerjaan jantina, perkara utama yang perlu selalu diingat ialah bahawa tidak semua individu dalam masyarakat akan melaksanakan peranan jantina yang dibebankan oleh masyarakat. Akan terdapat juga individu seperti wanita yang dikatakan bersifat kasih sayang dan pengasih yang tidak memenuhi tanggungjawab sepenuhnya. Beliau seterusnya menulis: “Sedikit sebanyak pembahagian kerja berdasarkan jantina adalah universal, tetapi nampaknya kebanyakan daripadanya tidak diperlukan disebabkan oleh keanehan biologi kedua-dua jantina. Seseorang lelaki memang tidak boleh mengandung atau menyusui anaknya. Pada umumnya lelaki adalah lebih kuat dan boleh berlari lebih pantas daripada perempuan yang kadangkala berhalangan disebabkan kehamilan dan datang haid. Sebaliknya, perempuan biasanya mempunyai kekuatan dan kepantasan yang cukup bagi melakukan hampir semua tugas dalam satu-satu masyarakat.”
Konsep hidup bekerjasama antara suami dan isteri atau bapa dan ibu bukanlah perkara baru dalam sejarah kemanusiaan. Islam menggariskan konsep asas yang perlu dipegang walaupun berlaku perubahan persekitaran. Manusia kini adalah juga manusia dahulu yang dicipta dengan naluri dan fitrah yang sama dan memerlukan keperluan yang masih sama iaitu keperluan rohani dan jasmani.
Kesimpulan
Pekerjaan kebapaan merupakan satu dari kepelbagaian tanggungjawab yang telah digariskan secara jelas oleh Islam untuk menjadi panduan melayari bahtera kehidupan di dunia bertujuan menjamin kebahagiaan abadi di akhirat. Sebagai ketua dalam keluarga yang dipertanggungjawabkan memastikan ahli keluarga terelak daripada memasuki api neraka, tanggungjawab tersebut adalah amanah berat yang menjadi fitrah keinsanan. Islam meletakkan objektif yang jelas bagi setiap keluarga iaitu pembentukan keluarga yang ada mawaddah wa rahmah yang menimbulkan ketenangan dalam kehidupan dan jauh dari kebimbangan, keresahan dan sebagainya yang merosakkan hati dan pemikiran. Dengan berada di bawah payung ketakwaan kepada Allah dan berusaha menunaikan amanah yang dipertanggungjawabkan, nescaya kaum bapa akan beroleh kebahagiaan hakiki yang disebut dengan saadah wa nasr al-salam (kebahagiaan dan menyebarkan kesejahteraan).
Renung-renungkan.
Sumber : Prof. Madya Dr. Zulkiple Abd. Ghani (UKM) di JAKiM
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Kongsikan komen anda di sini...