PAGE

Selasa, Februari 12, 2008

Cuti bersalin 90 hari?

Sebanyak 119 negara di dunia kini menetapkan cuti bersalin untuk wanita tidak kurang daripada 12 minggu iaitu tiga bulan atau lebih. Namun 16 buah negara pula memberi cuti bersalin sehingga 14 minggu atau tiga bulan setengah yang bersamaan 105 hari, iaitu tempoh maksimum yang ditetapkan oleh Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO).

Begitupun Malaysia yang sedang menuju status negara maju adalah antara 31 buah negara di dunia yang memberi pelepasan kerja bergaji kepada wanita yang melahirkan bayi. Para ibu di negara ini diberi cuti bersalin 60 hari, kurang daripada tempoh minimum yang ditetapkan ILO iaitu sekurang-kurangnya 12 minggu atau 90 hari.

Ini bermakna, anak-anak yang dilahirkan di Malaysia hidup dan membesar tanpa makanan susu ibu, belian dan kasih-sayang ibu sepenuhnya.

Sedangkan tanggungjawab ibu bapa ke atas bayi yang dilahirkan begitu jelas sebagaimana firman Allah SWT dalam mafhum-Nya, "Para ibu hendaklah menyusukan anak-anaknya selama dua tahun penuh, iaitu bagi yang ingin menyempurnakan penyusuan. Dan kewajipan ayah memberi makan dan pakaian kepada para ibu dengan cara makruf. Seseorang tidak dibebani melainkan menurut kadar kesanggupannya.

Janganlah seorang ibu menderita kesengsaraan kerana anaknya dan seorang ayah kerana anaknya, dan waris pun berkewajipan demikian. Apabila keduanya ingin menyapih (sebelum dua tahun) dengan kerelaan keduanya dan permusyawaratan, maka tidak ada dosa atas keduanya. Dan jika kamu ingin anakmu disusukan oleh orang lain, maka tidak ada dosa bagimu apabila kamu memberikan pembayaran menurut yang patut..." (Surah al-Baqarah, ayat 233)

Dr. Wahbah al-Zuhaily dalam tafsirannya mengenai ayat ini berkata, hukum menyusu (memberi susu ibu) secara umumnya adalah sunat ke atas seseorang ibu. Namun, ia menjadi wajib jika anak enggan menyusu dengan orang lain (ibu susuan) atau bapa tidak mampu menyediakan penyusu (ibu susuan) kerana miskin atau sebagainya.

Imam Malik bagaimanapun berpendapat, kerja menyusukan anak adalah tanggungjawab yang mesti dilaksanakan oleh ibu yang melahirkannya selagi ia tidak bercerai atau anak tidak mahu menyusui dengan orang lain.

Malah kata Dr. Wahbah lagi, ibu-ibu yang enggan menyusui anak kerana ego atau alasan menjaga kecantikan dan kesihatan adalah berlawanan dengan fitrah wanita (ibu) serta telah mengabaikan keutamaan ke atas anak (Tafsir Al-Munir Juz 2; ms:466). Kesimpulannya seseorang ibu perlu sentiasa di sisi bagi membelai dan memberi kasih sayang serta penjagaan sepenuhnya ke atas bayi yang dilahirkan sehingga usianya dua tahun.

Pensyarah Jabatan Undang-Undang Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Madya Datin Noor Aziah Mohd. Awal berkata, cuti bersalin pekerja wanita negara ini bukan lagi isu mereka perlu rehat panjang kerana bersalin tetapi ia membabitkan isu modal insan negara untuk jangka panjang.

Pengorbanan

“Bersalin adalah pengorbanan terbesar daripada seorang wanita dalam membantu membangunkan keluarga, ekonomi dan negara. Jadi mereka kena diberi elaun dan pengiktirafan serta menambah tempoh cuti bersalin adalah hak bagi seseorang wanita bekerja,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa mempengerusikan Wacana Wanita yang membincangkan mengenai ‘Patutkah Cuti Bersalin Ditambah’ di dewan syarahan Masjid Negara, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Wacana selama tiga jam anjuran Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) itu antara perjuangan Majlis Perundingan Wanita Islam Malaysia (MPWIM) dalam usaha menuntut cuti bersalin pekerja wanita di negara ini ditambah ke sekurang-kurangnya 90 hari atau tiga bulan.

Menurut Noor Aziah, jika produktiviti atau tenaga kerja dijadikan alasan oleh para majikan untuk tidak memanjangkan tempoh cuti bersalin, mustahil bagi pekerja wanita di setiap agensi cuti bersalin secara serentak dalam satu masa.

Malah katanya, bersalin adalah pengorbanan terbesar seseorang wanita, khususnya yang bekerja dalam membantu membangunkan keluarga, ekonomi dan negara.

“Jadi mereka kena diberi elaun serta pengiktirafan dengan menambah tempoh cuti bersalin,” jelas beliau.

Dalam hubungan ini, ahli psikologi yang juga pensyarah UKM, Prof. Madya Dr. Khaidzir Ismail berkata, cuti bersalin perlu lebih fleksibel.

“Dalam situasi masa kini, keperluan cuti bersalin perlu lebih daripada dua bulan barulah modal insan yang dilahirkan itu dapat dijamin baik kualitinya,” katanya.

Ini kerana, menurut Dr. Khaidzir, pembangunan insan berkualiti adalah modal terpenting untuk menjamin kekuatan ekonomi, negara, masyarakat dan keluarga bagi jangka masa panjang.

Menurut beliau, sikap terlalu mengejar dan menabur kekayaan wang ringgit dalam membesar anak-anak bukan sahaja akan merosakkan pembangunan insan dan sumber manusia akan datang tetapi boleh memusnahkan ekonomi keluarga dan negara.

Sebab itu tegas Dr. Khaidzir, pentingnya tempoh dua tahun pembesaran bayi pada peringkat awal, menerima susu ibu dan dibelai serta mendapat kasih sayang ibu sepenuhnya.

Tiga lagi panel ialah ahli ekonomi yang mewakili Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF), Azizah Talib; Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Didalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Omar Osman dan Presiden Biro Informasi Penyusuan Dada Malaysia (BIBM), Siti Norjinah Moin.

Wacana itu bagaimanapun hanya dihadiri oleh pekerja wanita di sektor perkhidmatan awam serta badan bukan kerajaan sahaja.

Sumber : Utusan

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Kongsikan komen anda di sini...