PAGE

Jumaat, Mac 28, 2008

Adakah suami anda...?

Tanyalah pada mana-mana wanita pun, sama ada dia wanita yang berkerjaya hebat, atau sekadar surirumah sepenuh masa, tetap dia inginkan suami yang lebih baik daripadanya.

Jika bertanya kepada isteri, apa sifat suami yang tidak digemari, antara jawapan mereka termasuk:
  • Suami yang pemalas / malas bekerja
  • Suami yang suka ambil kesempatan
  • Suami yang tidak menghormati isteri
  • Suami yang suka ambil wang isteri
  • Suami yang pura-pura buat baik depan isteri (kata orang, pijak semutpun tak mati!)
  • Suami yang suka bermuka-muka
  • Suami yang kaki pukul
  • Suami yang malas mengerjakan suruhan agama
  • Suami yang masih suka berlagak seperti orang bujang
  • Suami yang tidak ada cita-cita dan tidak berinisiatif
  • Suami yang tidak mengenang budi

Memang sukar untuk mendapat lelaki atau suami yang menepati semua kriteria yang diinginkan hati. Sama seperti pesanan Rasulullah SAW dalam memilih isteri yang baik, hal yang sama perlu juga diberikan perhatian dalam mencari calon suami yang sesuai.

Dalam hal memilih isteri, Rasulullah SAW memberikan panduan seperti sabdanya yang bermaksud, “Perempuan dikahwini kerana empat sebab, kerana hartanya, keturunannya, kecantikannya dan agamanya. Pilihlah perempuan yang beragama, nescaya kamu akan diberkati.” (Riwayat Bukhari dan Muslim).

Jika Rasulullah SAW memberikan kriteria ini kepada lelaki dalam hal memilih calon isteri, rasanya tidak salah jika wanita juga menggunakan kriteria yang sama dalam mencari calon suami. Bukan itu sahaja, kepada lelaki, Rasulullah SAW juga memberikan peringatan kepada mereka agar mencari isteri bukan untuk tujuan ‘menumpang senang’ atau menumpang gah’ isteri semata-mata.

Baginda bersabda yang bermaksud, “Sesiapa yang mengahwini seorang perempuan kerana kemuliaannya, Allah akan menambahkan kepadanya penghinaan, sesiapa yang mengahwininya kerana harta, Allah tidak akan menambahkan kepadanya kecuali kesusahan dan kefakiran. Sesiapa yang mengahwininya kerana keturunan, Allah tidak akan menambahkan kepadanya kecuali kerendahan (kejatuhan). Dan sesiapa yang mengahwini perempuan itu bagi menghadkan pandangannya dan bagi melindungi diri daripada perbuatan maksiat atau kerana silaturrahim (eratkan hubungan persaudaraan), nescaya Allah akan memberkati dirinya dan akan memberkati isterinya.” (Hadis Riwayat Tabrani).

Cabaran Zaman

Cabaran rumahtangga hari ini memang sukar diduga. Zaman yang menuntut kebendaan menjadikan semua orang berlumba-lumba untuk mengejar material. Hal ini kadangkala menjadikan kita bagaikan tidak terkejar dengan keadaan.

Laporan akhbar menyebut, sekurang-kurangnya 900,000 hingga 1.2 juta penduduk negara ini adalah penagih dadah. Majoriti yang terbabit adalah belia dalam lingkungan usia 20 sehingga 40 tahun. Siapakah mereka? Mungkin mereka suami kita, adik-beradik kita atau anak lelaki kita? Majoriti yang menghuni Pusat Serenti adalah lelaki dan apa sudah jadi pada mereka?

Sama ada lelaki atau wanita, semua kita dalam dilema, antara tuntutan keadaan dengan tuntutan diri (emosi dan fizikal). Malah kadangkala tuntutan keadaan tidak selaras dengan tuntutan emosi. Emosi mahukan ketenangan, kedamaian dan kebaikan tetapi keadaan terlalu mendesak sehingga menjadikan manusia hilang pertimbangan. Begitulah yang selalunya berlaku sehingga mencetuskan dilema dalam diri.

Kepada wanita atau isteri, jika anda tidak beroleh apa yang anda inginkan (kerana kita tidak selalunya beroleh apa yang kita inginkan), tips di bawah mungkin dapat meredakan emosi anda yang bercelaru:

1. Terima adanya. Kita tidak akan dapat semua yang kita inginkan. Kadangkala kita beroleh suami yang baik tetapi kurang sempurna dari segi kewangan. Bersyukurlah. Jika anda wanita berkerjaya yang pandai mencari duit, itu sedikit sebanyak membantu anda.

2. Beri sokongan pada suami. Jika ditakdirkan anda beroleh suami yang memang termasuk dalam kriteria di atas, bantulah diri anda untuk bantu diri suami. Jangan anda juga terhanyut sama dalam kemelut yang melandanya.

3. Berdoa. Insya-Allah anda beroleh hati tenang kerana hati yang tenang akan menjadikan kita manusia yang lebih cekap berfikir.

4. Minta bantuan saudara-mara terdekat. Dia tidak pedulikan nasihat dan teguran anda. Tetapi barangkali dia akan menerima nasihat orang lain yang dihormatinya seperti ibubapa atau saudara-maranya yang lain. Mereka boleh jadi kumpulan sokongan terbaik untuk anda.

5. Jangan cepat putus harap. Insya-Allah, jalan keluar tetap ada. Hayati pesanan Allah seperti firman-Nya yang bermaksud, “Dan sesiapa yang bertakwa kepada Allah dengan mengerjakan suruhan-Nya dan meninggalkan larangan-Nya, nescaya Allah akan mengadakan baginya jalan keluar daripada segala perkara yang menyusahkan. Serta memberikannya rezeki dari Jalan yang tidak terlintas di hatinya. Dan ingatlah, sesiapa yang berserah diri bulat-bulat kepada Allah, maka Allah cukuplah baginya untuk menolong dan menyelamatkannya.” (Surah At-Talaaq, ayat 2-3)

6. Jangan abaikan kewajipan pada Allah SWT. Seperti firman Allah di atas, “Cukuplah Allah untuk menolong…” insya-Allah jika ingatan itu terus kekal dalam hati, kita akan beroleh manafaat dan ganjaran yang tidak kita duga sama ada di dunia mahupun di akhirat.

Jika anda tidak termasuk dalam kalangan mereka yang mengalami masalah ini, maka bersyukurlah. Dan doakanlah untuk rakan-rakan yang berdepan dengan masalah ini, agar mereka diberikan kekuatan untuk meneruskan kehidupan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Kongsikan komen anda di sini...