PAGE
▼
Jumaat, Mac 28, 2008
Keganasan Wanita dan Rumahtangga
Apakah Keganasan Terhadap Wanita?
Keganasan terhadap wanita adalah perbuatan yang menganiayai wanita dan kanak-kanak dalam pelbagai cara, semata-mata kerana wanita tersebut dianggap sebagai tidak mempunyai taraf yang sama dengan seorang lelaki. Ia meliputi semua bangsa, agama, pendapatan, kelas dan budaya. Ianya juga sudah tertanam dalam semua budaya sehinggakan berjuta-juta wanita menganggapnya sebagai satu cara hidup mereka. Keganasan terhadap wanita adalah satu jenayah, dan melanggar hak-hak asasi manusia.
Prinsip-prinsip berkenaan mengenai keganasan terhadap wanita mesti diteliti:
· Keganasan terhadap wanita adalah lebih berdasarkan kepada kuasa dan kawalan.
· Tiada wanita yang berhak dipukul sama sekali. Wanita mempunyai hak penting untuk merasa selamat.
· Lelaki mesti dipertanggungjawabkan untuk sikap ganas mereka.
· Sistem Kehakiman Jenayah mesti mempunyai respon yang bersesuaian untuk isu Keganasan Terhadap Wanita.
· Keganasan Terhadap Wanita tidak mempunyai justifikasi sama ada dari aspek sosial, budaya atau ekonomi.
· Setiap individu di mana-mana sahaja mesti tidak boleh bertoleransi tentang sebarang tindakan keganasan terhadap wanita.
Apakah Keganasan Rumahtangga?
Keganasan seumpama ini adalah pada asasnya suatu bentuk penyalahgunaan kuasa yang sering berlaku apabila seorang pasangan(lazimnya lelaki) cuba untuk mengawal atau mendominasi pasangannya.
Beberapa contoh keganasan rumahtangga:
· Memutuskan perhubungan wanita daripada kawan-kawan atau saudara-maranya.
· Memalukan wanita tersebut di hadapan kawan-kawannya.
· Menyekat beliau dari menggunakan telefon atau kereta.
· Memaksa wanita tersebut sering terpaksa memberitahu ke mana beliau pergi dan dengan siapa beliau berada.
· Penderaan fizikal atau psikologikal (penghinaan dan tomahan)
· Menjadikan wanita terpaksa bergantung dari segi kewangan.
· Mengasingkan wanita tersebut dari sokongan yang beliau perlukan untuk meninggalkan pendera.
Walaupun seseorang wanita yang didera itu akan cuba untuk menghentikan penderaan terhadapnya, perubahan hanya boleh berlaku apabila pendera itu sendiri memilih untuk berhenti dari bersifat ganas.
Kesan Keganasan Rumahtangga Terhadap Anak-Anak
Kanak-kanak yang menyaksikan penderaan tersebut akan lebih mudah menjadi sugul atau berasa kurang berupaya/berkuasa.
· Mereka mungkin akan merasa bersalah atas penderaan itu atau malu akan kesannya.
· Mereka mungkin akan merasa diketepikan atau takut menyuarakan keadaan emosi mereka.
· Kanak-kanak ini mungkin akan mengalami kepayahan untuk mempercayai orang lain.
· Mereka juga mungkin bertindak agressif terhadap ibu mereka sendiri.
· Ramai kanak-kanak yang menyaksikan penderaan ini di rumah akan sama ada menyisihkan diri mereka atau menjadi agresif. Mereka akan menjadi pasif atau membuli kanak-kanak lain.
· Mereka juga mungkin menjadi kurang peka kepada rasa sakit.
Kategori-kategori utama keganasan yang berlaku terhadap wanita
Keganasan terhadap wanita bukan hanya tertakluk kepada penderaan fizikal.
Penderaan Psikologi dan Emosi
Ugutan, penghinaan, menjatuhkan maruah wanita boleh meninggalkan kesan buruk sama seperti penderaan fizikal kerana ianya boleh membahayakan nilai harga diri dan perasaan wanita dan keupayaan beliau mengawal kehidupan sendiri.
Penderaan Fizikal
Memukul, menumbuk, menampar, menggigit, menendang, melukakan, mematahkan tulang, membaling barang dan menggunakan senjata adalah contoh jelas penderaan seumpama ini. Menghalang keperluan manusia seperti makan, minum, tidur dan juga tempat perlindungan adalah juga merupakan salah satu bentuk penderaan fizikal.
Penderaan Seksual
Memaksa melakukan atau melihat sesuatu berbentuk seksual tanpa kemahuan wanita tersebut atau menyakiti wanita ketika melakukan hubungan boleh dikategorikan sebagai penderaan seksual.
Penderaan Sosial
Penderaan berbentuk ini sering berlaku di dalam rumah di mana wanita sering didorong untuk bergantung kepada pasangan masing-masing dan diasingkan dari mendapat sokongan luar.
Penderaan Kewangan
Seorang wanita yang dihalang dari mencari pekerjaan atau yang tidak dibenarkan untuk membuka akaun bank atau menyimpan wang pendapatannya sendiri sebenarnya menghadapi penderaan dari aspek kewangan. Tanpa kawalan terhadap kedudukan kewangannya akan menyebabkan seorang wanita bergantung sepenuhnya kepada tindakan orang lain untuk mendapatkan walaupun keperluan asas beliau.
Memahami Keganasan Rumahtangga
Mengapa lelaki memukul?
Memang benar, semua lelaki bukannya bersifat pendera, tetapi lazimnya, lelaki adalah pendera dan wanita menjadi mangsa. Lelaki memukul kerana mereka merasakan bahawa mereka mempunyai hak untuk bertindak demikian atau berfikir bahawa perasaan mereka adalah lebih utama dari wanita. Lelaki membuat pilihan bagaimana mereka harus meluahkan sikap agresif mereka dan ke atas siapa mereka harus berbuat demikian.
Selalunya, lelaki yang memukul isteri mereka tidak akan memukul majikan mereka, rakan sepejabat atau sahabat mereka sendiri. Mereka selalu memilih seseorang yang mereka anggap sebagai lebih lemah dan tidak dilindungi oleh masyarakat atau seseorang yang mereka tersalah anggap sebagai insan yang haknya lebih rendah dari mereka.
Didera oleh anggota keluarga?
Penderaan oleh anggota keluarga, biasanya ke atas seseorang yang tiada upaya adalah salah dan menyalahi undang-undang. Tiada alasan untuknya. Ianya berlaku dalam keluarga dari semua bangsa, agama dan lapisan masyarakat.
Membiarkannya tidak menjadikan keadaan bertambah baik. Jika tiada tindakan
diambil, penderaan lazimnya berterusan dan menjadi semakin buruk. Anak-anak
mungkin membesar dengan anggapan ianya adalah perkara biasa dan mereka
sendiri mungkin melakukannya. Ia BUKAN perkara peribadi, walaupun anda orang luar, anda boleh dan patut membantu.
Teori Kitaran Keganasan
Peringkat Pembangunan: Peningkatan rasa tertekan
Peringkat Pemerhatian: lelaki tersebut menjadi ancaman
Keganasan meletus: keganasan berlaku/bermula
Peringkat penyelesaian: lelaki tersebut meminta maaf dan berjanji tidak akan mengulangi perbuatannya lagi.
Peringkat Berusaha: Lelaki tersebut berusaha untuk memenangi kembali hati wanita tersebut dengan berjanji untuk berubah.
Peringkat Bulan Madu: keadaan adalah tenang dan juga mungkin penuh kasih-sayang.
Peringkat Pembangunan: Rasa tertekan bermula kembali.
Mengapa wanita sanggup terus tinggal?
"Pernahkah anda merasa dalam ketakutan sehinggakan anda tidak mampu berbuat apa-apa? Begitulah perasaannya hidup di dalam perhubungan yang menyeksakan."
Merasa kaku akibat perasaan takut akan meningkatkan lagi keganasan dan juga kerana survival ekonomi serta tidak mampu menyelesaikan masalah tersebut, bagaimana anda dapat meninggalkan keadaan ini?
Bolehkah pendera itu berubah?
Lelaki yang mendera mestilah bersedia untuk berubah. Lelaki memang boleh belajar untuk mengubah bagaimana mereka bertindak dan mempelajari cara-cara lain bagaimana untuk memahami wanita. Jika seseorang lelaki itu betul-betul ingin menghentikan sikap ganasnya terhadap pasangannya, dia mesti bertanggungjawab sepenuhnya atas setiap tindakan yang dilakukan. Dia mesti berhenti dari menyalahkan pasangannya, alkohol, dadah atau tekanan yang dihadapinya sebagai alasan sikap ganasnya. Lelaki boleh mendapatkan kaunseling dan mestilah bersetuju untuk menghadiri beberapa sesi.
Bagaimanakah anda tahu seseorang pendera itu sedang berubah?
Walaupun seorang suami atau teman lelaki meminta maaf dan berjanji untuk berubah, ini mungkin hanya merupakan tipu-helahnya untuk memujuk supaya wanita tersebut tidak meninggalkannya. Perhatikan tanda-tanda ini sebelum mempercayai sepenuhnya yang dia sudah atau sedang berubah:
Beberapa tanda yang beliau sedang berubah:
Dia sudah berhenti sepenuhnya dari mengatakan atau melakukan perkara-perkara yang menakutkan anda.
Bolehkah anda berasa marah kepadanya tanpa dihukum?
Bolehkah dia berselisih pendapat tanpa bertindak ganas atau cuba menguasai keadaan?
Adakah dia menghormati kehendak anda tentang seks dan sentuhan fizikal?
Sudahkah dia berhenti dari mengharapkan anda melakukan perkara untuknya?
Bolehkah anda bersama rakan-rakan anda tanpa merasa takut yang pasangan anda membantah?
Bolehkah anda melakukan perkara-perkara penting seperti ke sekolah atau mencari pekerjaan?
Adakah anda berasa selesa dengan cara beliau berinteraksi dengan anak-anak?
Adakah anda berasa selamat untuk meninggalkan anak-anak dengannya?
Adakah dia menyokong anda dan memberi pujian? Adakah dia mendengar apa yang anda katakan?
Adakah dia melakukan bahagian kerja-kerjanya dalam rumahtangga dan menjaga anak-anak?
Beberapa tanda yang beliau tidak berubah:
Adakah ianya selamat untuk membangkitkan topik-topik yang anda tahu akan menyebabkan dia marah?
Bolehkah dia mendengar pendapat anda dan menghormatinya walaupun dia tidak bersetuju?
Jika dia sedang menerima kaunseling, adakah dia akan menggunakan alasan ini terhadap anda?
Adakah dia memberitahu anda yang anda ini bersikap pendera?
Adakah dia menyatakan kepada anda yang anda perlu memberi dia peluang kali kedua?
Adakah dia menyatakan yang dia tidak boleh berubah tanpa sokongan anda?
Adakah dia cuba mendapatkan simpati dari anda dan anak-anak?
Adakah dia cuba untuk menakutkan anak-anak dengan menyatakan tentang masa hadapan, kewangan atau di mana-merka akan tinggal serta sebagainya?
Adakah anda sentiasa terpaksa mengingatkannya tentang sesi kaunseling yang dia terpaksa hadiri?
Adakah dia cuba menyatakan yang penderaannya terhadap anda adalah tidak seburuk mana apabila dia bercakap tentangnya?
Adakah dia memberi tekanan yang berterusan kepada anda untuk menggugurkan Perintah Lindungan terhadapnya?
Apa Yang Mangsa Keganasan Rumahtangga Boleh Lakukan?
1. Pelan Kecemasan
Buat Pelan tindakan tentang apa yang anda akan lakukan dan ke mana anda akan pergi jika anda dalam bahaya. Beritahu anak-anak anda tentang rancangan anda jika mereka cukup matang untuk memahaminya.
Bawa bersama anak-anak anda jika anda boleh berbuat demikian. Jika anda terpaksa meninggalkan mereka buat sementara waktu, pastikan mereka boleh bersama anda secepat mungkin. Dapatkan nasihat seorang peguam tentang hak penjagaan segera.
Apa jua jenis kenderaan yang anda gunakan, pastikan ia mempunyai petrol yang mencukupi.
Simpan satu set kunci dan nombor-nombor kecemasan di tempat yang anda pasti selamat.
Selalu pastikan yang anda ada menyimpan wang untuk membantu anda melarikan diri.
Bawa bersama kad pengenalan, surat-surat penting dan ubat-ubatan yang perlu untuk anda dan anak -anak anda.
Simpan senarai nombor-nombor penting yang anda boleh hubungi dan duit anda di tempat yang tersembunyi.
Gunakan perkataan berkod yang anda boleh cakapkan di telefon dengan seseorang yang anda boleh percayai apabila anda dalam bahaya.
2. Bagaimana Akta Keganasan Rumahtangga dapat membantu anda?
Anda boleh membuat aduan kepada pihak polis dan pejabat kebajikan.
Anda boleh tinggal di rumah perlindungan jika anda tidak berasa selamat di rumah.
Anda boleh memohon Perintah Perlindungan Sementara (IPO) dari mahkamah yang akan menghalang pendera tersebut dari memukul anda.
Anda boleh meminta mahkamah untuk menambah kuasa untuk menangkap kepada perintah tersebut , jika anda khuatir yang pendera akan mencederakan anda lagi.
Jika anda sedang menjaga seseorang yang didera, ( seperti anak atau orang yang kurang upaya), anda boleh juga memohon Perintah Perlindungan Sementara untuk mereka.
Jika orang yang melakukan kesalahan itu melanggar perintah tersebut, beliau boleh dihukum oleh mahkamah.
3. Bagaimanakah anda boleh mendapatkan perlindungan/bantuan?
1. Jika cedera, pergilah ke hospital kerajaan (BUKAN hospital atau doktor swasta) secepat mungkin untuk menjalani pemeriksaan perubatan dan kemudian dapatkan laporan perubatan yang mungkin memakan belanja sehingga RM20.00.
2. Buat laporan Polis seberapa segera:
a) Masukkan seberapa banyak butir yang boleh, termasuk nama pendera, butir-butir penderaan, tempat, waktu, tarikh
b) Bawa bersama bukti seperti gambar-gambar dan barang-barang yang rosak
c) Anda boleh membuat ketiga-tiga sekali (1) menjalani pemeriksaan perubatan (2) dapatkan laporan perubatan dan (3) buat laporan Polis di Pusat Krisis Sehenti Hospital Besar Kuala Lumpur
d) Minta bantuan pegawai Polis atau Jabatan Kebajikan Masyarakat untuk membuat aduan anda, untuk membawa anda ke pusat perlindungan atau hospital, dan untuk menerangkan hak-hak anda. Anda juga boleh meminta bantuan mereka untuk bersama ke rumah anda bagi mengambil barangan anda. Anda mungkin perlu mendapatkan Perintah Perlindungan jika pendera enggan membenarkan anda memasuki rumah anda.
e) Dapatkan Perintah Perlindungan dengan bantuan peguam daripada Biro Bantuan Guaman Kerajaan atau Pusat Bantuan Guaman Majlis Peguam, atau Printah Perlindungan Sementara dengan bantuan pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat, ikut mana yang relevan.
f) Ajak orang lain bersama anda ke balai Polis atau hospital jika boleh.
g) Tinggal di pusat perlindungan Jabatan Kebajikan Masyarakat atau NGO
h) Bawa bersama anda risalah ini, wang, buku bank, kad ATM, kunci rumah, kad pengenalan anda dan anak-anak anda, sijil-sijil kelahiran, pasport-pasport dan dokumen-dokumen penting lain
4. Bagaimana anda boleh membantu mangsa keganasan rumahtangga?
Sebagai seorang kawan, nyatakan kepadanya yang dia bukan keseorangan. Wanita teraniaya sering merasakan bahawa tiada sesiapa untuk mereka mengadukan masalah. Berterus-terang dengannya, nyatakan syak anda dan galakkan mereka supaya meluahkan masalahnya.
Jadilah "rakan telefon". Wanita sering terasing dan tidak dibenarkan keluar.
Membaca dan mengedar risalah serta maklumat kepada mereka. Bincangkan perkara ini dengan orang lain. Anda dapat menolong dengan lebih banyak jika anda mempunyai pengetahuan yang luas mengenai masalah ini.
Berbincang dengan wanita tersebut tentang pilihan yang boleh diambil dan bantu mereka membuat rancangan yang boleh digunakan sekiranya ada kecemasan.
Tunjukkan kepercayaan dan sokongan anda tidak kira apa jua keputusannya.
Berikan dia dan anak-anaknya tempat berehat pada waktu tengahari atau petang ketika waktu ketegangan.
Menyediakan pengangkutan bagi mereka ke pusat perlindungan atau rumah yang selamat.
Menolongnya menjaga anak-anaknya semasa beliau berjumpa dengan peguam atau menghadiri perbicaraan, mencari rumah, kerja dan lain-lain.
Menemani mereka ke perbicaraan di mahkamah dan mengambil nota serta menunjukkan sokongan anda.
Bantu beliau mencari rumah.
Bantu beliau memindahkan barang-barang sama ada dari rumahnya atau dari rumah perlindungan ke kediaman barunya.
Menelefon pihak polis dengan segera sekiranya anda terdengar jiran yang teraniaya/ dipukul
Talian Bantuan
Pertubuhan Pertolongan Wanita (WAO) 03-7956 3488
Pusat Krisis Wanita (WCC, Penang) 04-228 0342
All Women Action Society of Malaysia (AWAM) 03-7957 0224/03-7957 0221
Women’s Aid Organisation (utk kaunseling & perlindungan) 03-7956 3488/ 03-7956 4426
Pusat Bantuan Guaman Majlis Peguam (Kuala Lumpur) 03-269 13005/
03-2693 2072
Jabatan Kebajikan Masyarakat di Talian TELEDERA 1-800-88-3040
Pusat Krisis Sehenti HBKL 03-2690 5175
Ibu Pejabat Polis Bukit Aman (utk laporan polis) 03-2052 0999
BEFRIENDERS 03-7956 8144
P.S. The Children 03-74931303
Sumber : KLBar & WAO
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Kongsikan komen anda di sini...