
Tidak hairanlah jika spesies kulat yang sering diklasifikasikan dalam kumpulan yang sama dengan buah-buahan dan sayur-sayuran ini bakal muncul kelas seterusnya yang tersendiri dalam perubatan alami.
Pengamal perubatan tradisi Cina, Martin Powell dalam kunjungannya ke Kuala Lumpur baru-baru ini berkongsi maklumat bagaimana ‘sentuhan ajaib’ cendawan yang dakwanya, boleh digunakan untuk meningkatkan keberkesanan rawatan kanser.

Menurut Powell, terdapat banyak perubatan herba yang tidak diterima oleh doktor kerana berkemungkinan interaksi dengan ubat, tetapi penggunaan cendawan ini dianggap selamat dan telah digunakan oleh doktor sebagai rawatan tambahan di Barat. Coriolus versicolor merupakan cendawan yang paling banyak dikaji untuk menyokong kegunaannya ke atas kanser dan telah digunakan untuk terapi kanser di China dan Jepun. Pada lewat 1980-an jualan Coriolus di Jepun dianggarkan berjumlah AS$600 juta (RM2.884 bilion).

Pemakanan berkhasiat cendawan adalah salah satu bidang pengkhususannya.
Mengulas lanjut, Powell berkata, dua ekstrak daripada Coriolus versicolor telah diuji secara mendalam di China dan Jepun dan didapati mampu meningkatkan jangka hayat penghidap kanser payudara, paru-paru, perut, usus dan nasofarinks. Kini, cendawan ini digunakan secara meluas untuk menyokong sistem imuniti badan dalam pengawalan kanser. Rawatan radioterapi dan kemoterapi akan melemahkan sistem imuniti badan dan pengambilan cendawan membantu keberkesanan rawatan, mengurangkan kesan sampingan serta menyokong sistem imun.

Powell tertarik dengan bagaimana masyarakat Cina membuat penilaian mengenai kesihatan dan penyakit. Ia ada kaitan dengan ‘yin dan yang’, tujuh emosi. Contohnya jantung adalah keceriaan, limpa adalah kerisauan, ginjal adalah ketakutan, hati adalah kemarahan dan paru-paru adalah kesedihan. Manakala konsep keharmonian dan keseimbangan juga dianggap sebagai sesuatu yang diperlukan dalam kehidupan, jelas beliau.

Dalam masalah kanser seperti payudara, perut, usus, prostat, hati dan juga leukemia, pengambilannya berupaya membantu menyokong sistem imun. Di UK, ada doktor haiwan yang memberi Coriolus kepada anjing dan kucing yang menghidap kanser tahap akhir dan ia membantu meningkatkan selera makan dan kualiti kehidupan haiwan berkenaan.
Produk cendawan yang dimaksudkan oleh Powell adalah daripada MRL di California, yang memfokuskan kepada perkembangan klinikal untuk menyokong sistem imun. MRL mempunyai perpustakaan yang ekstensif mengenai jenis-jenis cendawan untuk memastikan spesies cendawan yang betul dan bioaktif digunakan. Contohnya, spesies yang betul mengikut Chinese Pharmocopoeia adalah Cordyceps sinensis, tetapi dianggarkan 75 peratus produk di pasaran menggunakan Cordyceps militarium.

Powell merupakan seorang ahli biokimia yang juga berkemahiran dalam perubatan Cina setelah melanjutkan pelajaran dalam bidang tersebut di Sekolah Akupuntur dan Perubatan Tradisional Cina London serta di Klinik Perubatan Tradisional Cina, Shanghai, China. Kini, beliau merupakan pensyarah Perubatan Herba Cina dan Terapi Nutrisi di Universiti Westminister, London selain memberi syarahan tentang khasiat cendawan untuk Mycology Research Laboratories (MRL) di Portugal, Ireland dan England. Powell telah menjadi tenaga pengajar sejak tahun 1997 dan mengajar mengenai perubatan Cina di Ireland dan Sweden.
Sumber: Utusan 13/01/2008
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Kongsikan komen anda di sini...