MINGGU ini dipaparkan pandangan daripada seorang wanita yang tinggal di luar negara. Dia meminati ruangan ini sejak berusia belasan tahun. Walaupun kini telah berumah tangga dan beranak-pinak serta tinggal jauh di luar negara, dia tetap mengikuti ruangan ini melalui Internet tetapi setiap kali membaca kisah yang memaparkan tentang kehidupan wanita yang dianiaya suami, beliau mula susah hati.
‘‘Saya mempunyai dua orang anak, kami suami isteri adalah orang profesional dan telah menetap di negara Barat ini sejak lebih 12 tahun lalu. Saya amat tertarik dengan kisah yang dipaparkan beberapa minggu lalu mengenai poligami, terutama dengan tulisan seorang gadis bernama Farra Emelia.
‘‘Pada pandangan saya kebanyakan orang Melayu Islam khususnya di Malaysia tidak memahami konsep poligami dalam Islam sebenarnya selain daripada apa yang diuar-uarkan oleh ustaz-ustaz dalam ceramah agama mereka khususnya mengenai isu ini. Berada di luar negara dan bekerja dikelilingi oleh kesemua orang beragama Kristian atau ateis, saya sering ditanya mengenai Islam, terutama mereka yang faham bahawa Islam hanyalah agama yang menindas kaum wanita, menegakkan keganasan (terrorist) kejam dan sebagainya, melalui media yang mereka baca dan TV yang mereka tonton dan dengar. Memang saya bukanlah alim tetapi bila ditanya tentang agama Islam yang kita cintai dan tanggapan negatif mereka menyebabkan saya membaca banyak buku untuk dijadikan rujukan.”
‘‘Mereka tidak mahu mendengar hujah kita tanpa sebarang benda yang boleh dijadikan rujukan. Jadi saya terpaksa membaca untuk mendapatkan rujukan dari cendekiawan Islam terkenal seluruh dunia, melalui majalah, tafsiran dan sebagainya. Di sini tak cukup kalau kita kata, Islam membenarkan lelaki berpoligami tanpa diikuti hujah-hujah cerdik pandai Islam untuk meyakinkan mereka dan mempertahankan agama Islam yang saya anuti. Masalah ini menjadi mudah sedikit kerana saya juga penyelidik (mempunyai ijazah doktor falsafah) untuk mencari maklumat membuat rujukan mengenai satu-satu isu yang mereka tanya. Dan saya akan terangkan kepada mereka sehinggalah mereka puas hati.”
‘‘Dalam zaman serba canggih, ilmu di hujung jari, Internet banyak membantu saya mencari ilmu pengetahuan yang berguna. Nak cuba, taipkan polygamy in Islam atau wife obedience in Islam di mesin pencari Google tentu anda akan dapat jawapannya. Di sini juga terdapat banyak pandangan cendekiawan Islam dari merata dunia. Saya akui jarang dan tidak berminat menghadiri ceramah agama semasa di Malaysia. Bagi saya tafsiran ustaz atau penceramah agama kita amat berat sebelah. Kebanyakan mereka tidak seiring dengan pandangan para cendekiawan dan cerdik pandai, ulama Islam di seluruh dunia kerana mereka bergantung kepada pemahaman mereka dan apa yang telah diterima oleh budaya kita.”
‘‘Pada pendapat saya, masyarakat kita terlalu casual mengenai poligami. Kenapa perbincangan masyarakat kita selalu diarah kepada isu poligami, isu isteri dengan poligami tetapi tidak kepada cara-cara suami mengukuhkan rumah tangga yang ada?
‘‘Pelbagai masalah sosial dan rumah tangga yang kita alami sekarang adalah kerana lelaki dan para suami tidak memperlengkapkan diri dengan ilmu agama yang wajib – tidak ada rasa tanggungjawab untuk “mengekal dan mengukuhkan” keluarga, tidak bangga untuk memastikan kejayaan sendiri seiringan kejayaan keluarga.
‘‘Bila umur mencecah 40-an ataupun umur perkahwinan masuk tujuh tahun ke atas, konsentrasi suami lebih untuk diri sendiri, selalunya bagaimana untuk menyalurkan hawa nafsu yang tidak dapat dikekang bila melihat anak dara atau perempuan muda melintas di depan mata?
‘‘Adakah dengan membenar dan menggalakkan suami berkahwin lebih dari satu kerana tidak dapat mengekang hawa nafsu, menjadi penyelesaiannya? Kenapa tidak memikirkan menambah ilmu agama di dada, supaya Allah mengukuhkan iman, menjaga mata dan hawa nafsu, supaya tidak tergoda dengan cubaan dunia? Adakah kerana kaum lelaki tidak dapat menahan hawa nafsu, maka keluarga dan anak-anak berpecah belah?
‘‘Islam adalah agama yang menggalakkan monogami dan bukan menggalakkan poligami. Poligami dibenarkan tetapi tidak digalakkan. Sebab utama adalah kerana pada zaman Rasullulah s.a.w. terdapat ramai balu tentera Islam dan juga ramai anak yatim yang kehilangan suami tempat bergantung disebabkan perang, bukan kerana suami tidak dapat menahan hawa nafsu.
‘‘Walaupun poligami dibenarkan, tetapi dikenakan syarat yang ketat, sesiapa yang ingin berpoligami perlu halusi situasi diri dan keluarga sebelum melaksanakannya.
‘‘Sebagai contoh Rasulullah hanya ada seorang isteri iaitu Siti Khadijah hinggalah Siti Khadijah meninggal dunia. Siti Khadijah dan anak-anak dapat perhatian sepenuhnya daripada Rasullulah.
‘‘Di akhir 13 tahun hayat Rasullulah, baginda mengahwini balu rakan-rakannya yang meninggalkan banyak anak. Dan menurut surah an Nisaa’ (ayat 3), menyediakan atau memberi ayah atau father figure kepada anak yatim adalah satu-satu sebab yang khusus dalam al-Quran mengapa Islam benarkan poligami
‘‘Contoh yang ditunjukkan Rasullulah memberitahu kita bahawa seorang lelaki dan suami mesti memberikan sepenuh perhatian dan kesetiaan terhadap perkahwinan mereka dan kepada isteri dan anakanak, supaya dapat membina keluarga bahagia. Jika lelaki guna alasan ikut sunah Nabi, kenapa contoh ini tidak diikuti?
‘‘Dalam Islam, jelas dinyatakan syarat poligami dibenarkan berdasarkan kepada surah al-Nisa’ ayat 3: Dan jika kamu tidak akan dapat berlaku adil terhadap (hak-hak) perempuan yang yatim (apabila kamu mengahwininya), maka kahwinilah wanita-wanita (lain) yang kamu senangi; dua, tiga atau empat. Kemudian jika kamu takut tidak akan dapat berlaku adil, maka (kahwinilah) seorang saja, atau hamba-hamba yang kamu miliki. Yang demikian itu adalah lebih dekat kepada tidak berbuat aniaya. Dan lagi, Firman Allah s.w.t.: Kamu sekali-kali tidak akan dapat berlaku adil terhadap isteri-isteri kamu, sekalipun kamu berusaha untuk berlaku adil. (an-Nisa: 129)
‘‘Berdasarkan firman ini jika lelaki merasakan tidak boleh berlaku adil, dan sememangnya Allah telah berfirman lelaki tidak akan berlaku adil, maka diharuskan berkahwin satu sahaja kerana ketidakadilan di dalam rumah tangga adalah berdosa di sisi Allah.
‘‘Jadi, jika suami tidak dapat memastikan mereka berlaku adil terhadap isteri dan bakal isteri adalah lebih baik mengekang hawa nafsu dan menjauhkan diri dari poligami. Suami sepatutnya memberikan penuh perhatian kepada satu keluarga dan satu isteri. Psikologi dan kebajikan anakanak adalah lebih utama.
‘‘Melalui pembacaan saya, ada beberapa perkara asas kalau mahu poligami. Pertama, poligami bukan penyebab kepahitan atau kesengsaraan kepada yang terbabit; jika lelaki ingin berpoligami itu ada anak, maka poligami itu hampir pasti akan berlaku satu penderaan; poligami kerana ingin mengahwini perempuan yang lebih muda atau hawa nafsu adalah melanggar ketentuan Allah.
‘‘Satu lagi saya perhatikan, masyarakat kita punya sikap “perkahwinan adalah penyelesaian segala masalah”. Perempuan belum berkahwin pula rela menjadi isteri nombor dua tanpa memikirkan akibatnya, semata-mata kerana ingin ada suami tempat bergantung? Mereka juga terlalu naif tentang kehidupan berumah tangga sambil mengharapkan suami akan berlaku adil.
‘‘Hanya kerana kebenaran isteri pertama, bukan tiket untuk bahagia pada masa hadapan. Bagi saya, orang belum berkahwin mempunyai satu masalah tapi orang berkahwin mempunyai banyak lagi set masalah. Sebab itu kita banyak mendengar kisah yang tidak elok bagi yang berpoligami – suami tidak adil, buat hal itu dan ini.
‘‘Orang lelaki, sebelum berkahwin janjinya setinggi gunung, tetapi bila sudah dapat apa yang dihajati, segala janji dilupakan. Mereka hanya mahukan apa yang mudah untuk mereka. Segala ketidakadilan mereka pun jarang mendapat pembalasan dari Allah di dunia, semuanya akan dibalas di akhirat. Jadi suami tidak perlu takut jika tidak berlaku adil?
‘‘Pada saya pandangan mereka yang mendakwa isteri pertama kedekut kerana tak izin suami berpoligami adalah pandangan cetek dan berkepentingan. Saya percaya, apa yang isteri takutkan bukan pasal berkongsi suami, tetapi memikirkan nasib dan masa depan anak-anak yang terpaksa berkongsi kasih.
‘‘Semasa di Malaysia dulu saya tanya kepada rakan sepejabat bilakah dia nak kahwin dengan kekasihnya yang sudah empat tahun bercinta. Katanya, dia ingin “test the water” dan dia ada kekasih kerana ego dicabar oleh rakan-rakan. Katanya, nak kahwin tak mampu dan kedua dia tak sanggup berpisah dengan anak-anaknya. Si wanita itu tahu. Tetapi dia teruskan hubungan kerana cinta. Siapa yang bodoh dan rugi dalam hal ini?
‘‘Ada yang salahkan isteri pertama biarkan suami berzina. Kenapa tidak salahkan suami yang berzina? Tak izin suami kahwin tak bermaksud suami ada lesen buat dosa? Mana tanggungjawab suami terhadap agama dan keluarga? Berzina tetap jadi dosa orang berzina. Isteri tak pikul dosa suami. Suami tidak seharusnya ada kekasih.
‘‘Pemahaman yang cetek mengenai ketaatan isteri terhadap suami dalam Islam juga penyebab kenapa poligami kita banyak masalah. Tidak ada ayat al-Quran atau hadis mengatakan isteri yang benarkan suami berkahwin lagi akan dapat payung emas di syurga. Ini peribahasa yang dicipta oleh masyarakat Melayu untuk lembutkan hati isteri. Sama seperti tidak ada dalam al-Quran dan hadis yang mengatakan syurga terletak di bawah tapak kaki suami. Syurga hanya milik Allah dan amal ibadah yang di lakukan untuk mendapat keredaan Allah.
‘‘Saya tidak kata isteri perlu derhaka kepada suami. Tetapi ketaataan yang membabi buta dan tidak mengikut pemahaman Islam sebenarnya penyebab kenapa ramai wanita atau isteri berasa ditindas dan suami melayan isteri secara sambil lewa.
‘‘Ketaatan isteri terhadap suami adalah penting, tetapi terlalu banyak silap tafsiran mengenai kuasa lelaki atau suami terhadap isteri dalam Islam kerana kebanyakannya dipengaruhi oleh budaya setempat, tidak tersebut dan diperkatakan dalam al-Quran.
‘‘Sebagai isteri dan orang Islam, kita perlu banyak membaca supaya tidak dianiayai kerana di dalam Islam semuanya lengkap. Sebab itu Rasullulah pernah mengatakan, “Tuntutlah ilmu sehingga sampai ke negara
‘‘Saya bukan antipoligami, saya cuma anti- pemahaman atau hujah salah dan dipesongkan oleh mereka yang menggunakan ilmu pengetahuan yang cetek.
Ulama kita juga terlalu ambil mudah isu poligami. Kenapa tidak galakkan suami kukuhkan iman, kuatkan mental supaya menjadi suami yang baik?
‘‘Saya simpati dengan gadis yang belum kahwin, nasihat saya gunakan masa buatlah kerja kebajikan atau pelihara anak angkat, berkahwin bukan penyelesaian masalah anda,’’ demikian cerita Suhana panjang lebar mengikut kajiannya tentang poligami.
Maka kita semua pun perlu buat kajian, jangan main sembrono. Malangnya orang kita malas membaca kecuali mereka hanya suka benda-benda negatif yang menghancurkan tetapi benda yang betul mereka tidak suka nak dengar.
- MAIMUNAH : www.dcckmona.com
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Kongsikan komen anda di sini...