PAGE

Selasa, Mei 20, 2008

Undang-undang tidak jelas 'aniaya' wanita

Oleh Halina Mohd Noor
Sumber: BH 20/05/2008


MENARIK: Noor Aziah (tengah) berbincang dengan peserta yang hadir pada Wacana Hadhari: Pembelaan Wanita Melalui Undang-Undang di UKM, baru-baru ini.

Kajian dibuat pensyarah UKM dapati ramai dakwa dipenjara akibat jenayah dilakukan suami

JIKA diteliti dan diamati, undang-undang sedia ada di negara ini belum dapat membela hak wanita sepenuhnya. Malah, tidak keterlaluan jika dikatakan sesetengah undang-undang yang ada hanya 'menjerat' wanita, manakala sesetengahnya lagi bagaikan tidak pernah wujud akibat kurang kesedaran di kalangan pihak yang melaksanakannya.

Antara yang paling ketara misalnya undang-undang membabitkan kes dadah yang terlalu 'straight forward' (lurus) sehingga tanpa disedari menganiaya wanita tidak bersalah. Berdasarkan satu kajian dijalankan di Penjara Wanita Kajang oleh Pensyarah Fakulti Undang-Undang Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Datin Noor Aziah Mohd Awal, kebanyakan penghuni penjara berkenaan dihukum penjara akibat jenayah yang dilakukan suami yang menjual dadah.


"Ramai wanita di penjara ini tidak tahu aktiviti suami sehingga menyebabkan mereka turut didakwa kerana memiliki dadah yang ditemui di rumah mereka. Undang-undang ini sangat lurus sehingga wanita yang tidak bersalah dipenjarakan. Akibatnya, anak-anak turut menjadi mangsa dan terpaksa dihantar ke rumah kebajikan," katanya.

Noor Aziah berkata demikian ketika ditemui selepas membentangkan kertas kerja bertajuk, Pembelaan Wanita Melalui Undang-Undang di Malaysia pada Wacana Hadhari di UKM baru-baru ini. Wacana berkenaan bermatlamat menyingkap perkembangan hak wanita dari zaman penjajahan sehingga kini dan menganalisa sama ada hak wanita di Malaysia benar-benar terbela melalui undang-undang sedia ada.

Noor Aziah yang juga Pengetua Kolej Dato Onn, UKM, berkata amat menyedihkan apabila undang-undang yang siap digubal hanya sekadar dibuat sebagai 'kertas pembungkus kacang putih' dan diperap sehingga dilupakan kewujudannya. Ironi sekali apabila timbul sesuatu perkara berkaitan dengannya, undang-udang yang sama digubal semula.

"Sesetengah undang-undang sudah lama wujud, tetapi malangnya tiada pelaksanaan ke atasnya. Misalnya, perintah ke atas ibu bapa yang cuai terhadap keselamatan anak masing-masing sudah lama wujud, tetapi oleh kerana ia tidak pernah dilaksanakan, undang-undang ini terbiar. Baru-baru ini, kita lihat ramai yang sibuk mahu memasukkan perintah yang sama dalam Akta Kanak-Kanak 2001 sedangkan ia sudah lama ada," katanya.

Justeru, katanya, amat penting sebarang perubahan atau penggubalan undang-undang di war-warkan bagi membolehkan kewujudan sesuatu undang-undang disedari dan diketahui umum terutama di kalangan mereka yang menguatkuasakan undang-undang berkenaan seperti pihak polis atau mereka di jabatan agama.

"Rujukan secara bersilang perlu ada di antara mahkamah sivil, syariah dan mereka yang menguatkuasakannya. Pihak polis juga perlu diberikan kursus bagi membolehkan mereka menyedari mengenai sesuatu undang-undang. Misalnya bagi kes suami gagal membayar nafkah, walaupun waran tangkap dikeluarkan terhadap suami, polis enggan melaksanakannya dengan alasan ia bukan bidang tugas mereka," katanya.

Secara keseluruhan, pembelaan ke atas wanita seakan tiada penghujungnya akibat keliru terhadap undang-undang sedia ada dan tiada keupayaan untuk melaksanakannya secara tersusun.

"Sesuatu undang-undang perlu diletakkan di bawah akta yang betul bagi mengelakkan kekeliruan. Misalnya, undang-undang berkaitan rogol dalam rumah tangga, sudah diluluskan di bawah undang-undang sivil, tetapi ramai yang tidak memahaminya. Ia sebaiknya diletakkan di bawah Akta Keganasan Rumahtangga kerana membabitkan keganasan suami terhadap isteri.

"Sekarang ini terdapat aliran suami yang meliwat isteri. Perbuatan ini tentunya menakutkan dan boleh mencederakan isteri. Itulah sebabnya ia boleh didakwa kerana berlaku keganasan. Undang-undang ini bukan diwujudkan secara membuta tuli, tetapi perlu ada bukti. Masalahnya, wanita tidak berani bercakap hal seksual kecuali ketika meminta fasakh," katanya.

Selain keliru, masih ada undang-undang yang belum digubal membabitkan beberapa isu yang dikenal pasti mampu membela nasib wanita. Antara yang masih dipersoalkan, mengapa hingga kini masih tiada undang-undang berkaitan gangguan seksual? Apa yang ada hari ini cuma Kod Etika Gangguan Seksual yang sehingga kini belum terbukti mampu membela mangsa gangguan seksual.

Tanpa undang-undang gangguan seksual, wanita ibarat berlindung di bawah payung bocor. Mangsa biasanya tertekan, malu akibat tohmahan yang dilemparkan dan akhirnya terpaksa berhenti kerja.

Lebih menyedihkan terdapat undang-undang yang berat sebelah dan menzalimi wanita seperti kes membabitkan wanita hamil luar nikah, hanya wanita dihukum sedangkan lelaki terlepas. Anak yang tidak sah taraf juga dibebankan kepada wanita semata-mata sedangkan bapa biologi patut memikul tanggungjawab sama.

Jika sebelum ini Mahkamah Syariah dikritik hebat kerana dianggap tidak membela hak wanita, namun sehingga kini ia sudah menunjukkan peningkatan. Malah, kajian pada 2001 mendapati kes perceraian dapat diselesaikan secepat mungkin.

Bagaimanapun, ini bukan bermakna ia bebas daripada kelemahan. Perintah mahkamah syariah yang masih dipandang rendah serta diabaikan seperti waran tangkap ke atas suami yang gagal membayar nafkah gagal dilaksanakan kerana ia lebih banyak bergantung kepada pegawai polis.

"Masalah potongan gaji gagal menyelesaikan kes tuntutan nafkah. Sewajarnya satu unit nafkah ditubuhkan seperti dilakukan di New Zealand. Majlis agama dan Baitulmal boleh bekerjasama dengan membayar nafkah kepada anak berkenaan dan ia terhutang kepada bekas suami.

"Satu lagi hak yang tidak diketahui wanita ialah apabila bekas suami gagal membayar nafkah anak, wanita boleh menuntut nafkah berkenaan daripada keluarga sebelah suami seperti bapa mentua mahupun saudara lelaki sebelah suami. Peruntukan ini ada, tetapi kita tidak menggunakannya. Tambahan pula wanita malu hendak meminta-minta.

"Bagaimanapun wanita harus ingat, hak penjagaan anak yang diterima mereka adalah bersifat sementara saja sedangkan hak sebenarnya adalah kepada wali termasuk saudara lelaki sebelah suami. Wanita perlu tahu punca tanggungjawab itu," katanya.

Noor Aziah turut menyentuh mengenai undang-undang keluarga bukan Islam yang dianggap masih belum selesai sehingga kini seperti akta memperbaharui undang-undang (perkahwinan dan perceraian), khususnya perenggan S 51 iaitu apabila salah satu pihak kepada perkahwinan bukan Islam memeluk Islam. Ia membabitkan hak pemeliharaan anak daripada perkahwinan bukan Islam, nafkah isteri bukan Islam apabila suami memeluk Islam dan pembahagian harta.

"Berkenaan perenggan S 51, perlu diwujudkan satu perbincangan dengan pelbagai agama dan kaum di negara ini. Pada masa ini, pihak bukan Islam boleh buat tuntutan perceraian di mahkamah dalam tempoh tiga bulan selepas pasangan memeluk Islam. Mengapa kena tunggu tiga bulan kerana yang bukan Islam, misalnya isteri tidak ada tempoh edah seperti wanita Islam? Mengenai hak penjagaan anak, ibu berhak memelihara anak walaupun dia bukan Islam," katanya.

Katanya, masalah utama lelaki yang masuk Islam sering membawa sekali anak memeluk Islam. Isu pusaka juga belum selesai kerana si suami ada dua perkahwinan iaitu Islam dan bukan Islam. Pasangan yang bukan Islam perlu membuktikan kedudukan mereka sebagai isteri atau suami bagi menuntut harta.

"Bagi mengatasi masalah ini, tiada salahnya kesyumulan undang-undang syariah dipanjangkan kepada bukan Islam bagi memastikan nasib wanita bukan Islam terus terbela. Ini kerana undang-undang sivil tidak mampu memberikan keadilan kepada wanita bukan Islam.

"Undang-undang Islam untuk orang bukan Islam bukan sesuatu yang mustahil. Ini terbukti apabila wanita bukan Islam terpaksa mengemukakan bukti untuk menuntut harta suami yang peluk Islam, sedangkan dalam Islam, wanita berhak mendapat sepertiga daripada harta suami selepas diceraikan," katanya.

Wanita Malaysia tidak kira apa saja agama mereka perlu melengkapkan diri dengan pengetahuan mengenai undang-undang yang boleh membela nasib mereka. Kelebihan ini memberikan wanita 'senjata' untuk mengatasi masalah mahupun penganiayaan yang berlaku ke atas diri mereka sama ada di tempat kerja dan rumah. Pelaksanaan undang-undang perlu dipertingkatkan kerana tanpanya, undang-undang umpama ular tanpa bisa.

INFO: Undang-undang yang dianggap kontroversi?

  • Perkosaan dalam perkahwinan.
  • Gangguan seksual.
  • Akta memperbaharui undang-undang perkahwinan & perceraian.
  • Kegagalan membayar nafkah kepada isteri dan anak oleh suami.
  • Seksyen 51-Bila salah satu pihak kepada perkahwinan bukan Islam memeluk Islam.
    • Hak pemeliharaan anak dari perkahwinan bukan Islam bila salah satu pihak memeluk Islam.
    • Hak nafkah isteri bukan Islam apabila suami memeluk Islam.
    • Hak menukar agama anak jika salah satu pihak kepada perkahwinan bukan Islam memeluk Islam.
    • Hak harta perkahwinan dari perkahwinan bukan Islam apabila salah satu pihak memeluk Islam.
    • Kesukaran memohon cerai.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Kongsikan komen anda di sini...