PAGE

Sabtu, Jun 21, 2008

Bapa moden kurang berinteraksi


Peranan sebagai ketua keluarga menuntut tanggungjawab besar supaya dapat jadi contoh terbaik kepada anak

PERUMPAMAAN bapa borek anak rintik begitu besar maknanya dalam masyarakat Melayu. Ia menggambarkan betapa seorang bapa itu menjadi ikon kepada anak. Bapa sebagai ketua keluarga, dilihat berkuasa, bertanggung jawab sepenuhnya dan amat dihormati seluruh ahli keluarga. Sayangnya, gambaran ini tidak lagi relevan dengan bapa zaman kini kerana semakin ramai bapa mengabaikan tanggungjawab mereka.

Kajian Penduduk dan Keluarga Malaysia ke-4 oleh Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), mendapati kebanyakan bapa kurang berbincang dengan anak mereka mengenai kehidupan seharian serta kurang komited dalam menerapkan nilai murni kepada anak remaja.

Hasil kajian itu turut membuktikan, bapa moden kurang memainkan peranan mereka sebagai ketua yang sepatutnya membimbing keluarga masing-masing. Sebaliknya, tugas berkenaan lebih banyak diambil alih oleh isteri.

Penolong Pegawai Penerangan, Unit Pendidikan LPPKN, Hamzah Ibrahim pada Kursus Ilmu Keluarga LPPKN, berkata bapa hari ini perlu diberikan kesedaran untuk memperkasakan diri bagi menunaikan tanggungjawab mereka sebagai ketua keluarga agar lebih dihormati anak, tambahan pula bapa sentiasa diteladani anak yang cenderung meniru sikap mereka tidak kira negatif mahupun positif.

“Sebagai pemimpin, bapa adalah idola anak. Apabila bapa tidak memainkan peranan yang sepatutnya, anak hilang arah tuju. Sebagai pemimpin, bapa ada kuasa dan hak dalam keluarga. Kalau tidak mampu memainkan peranan seperti mengajar agama, seorang bapa perlu menghantar anak kepada mereka yang lebih arif untuk belajar mengenai agama. Berdosa jika tidak menunaikan tanggungjawab ini,” katanya ketika menyampaikan ceramah pada Kursus Bersiri LPPKN bertajuk Bapa dan Keluarga: Tanggungjawab dan Cabaran, di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Penyelidikan yang dijalankan pada 2004 dan setiap 10 tahun itu membabitkan ibu bapa muda berusia sehingga 49 tahun di sekitar Lembah Klang melalui pelbagai soalan yang dikemukakan kepada mereka. Soalan menyentuh mengenai pembabitan mereka sebagai teman anak, kekerapan berbincang dengan anak mengenai cita-cita, cara berpakaian, hal peribadi, perbelanjaan, pergaulan dengan rakan dan pendidikan.

Bapa juga mengaku kurang menerapkan nilai murni di kalangan anak berusia antara tujuh hingga 12 tahun berbanding ibu. Nilai murni yang dimaksudkan seperti rasa bersyukur, disiplin, berilmu, bertakwa, amanah, jujur dan hormat pada orang lain.

Hamzah berkata, berdasarkan dapatan daripada kajian itu beliau menyeru agar semua bapa meluangkan lebih banyak masa bersama anak dan keluarga agar dapat mengenali diri setiap anak.

“Kalau boleh jangan biarkan hanya ibu mengambil alih semua tugas ini sedangkan ia adalah amanah yang dipikul oleh bapa. Kurang membabitkan diri dalam aktiviti keluarga menyebabkan anak hilang rasa hormat terhadap bapa. Justeru, tidak hairanlah seandainya anak gemar melawan dan tidak mendengar nasihat bapanya kerana tidak melihat bapanya sebagai contoh yang baik.”

“Isteri juga tidak boleh dibiarkan keseorangan untuk menjaga anak sedangkan bapa keluar untuk melakukan aktiviti sendiri seperti memancing dan sebagainya. Kalau mahu keluar juga, mintalah keizinan isteri,” katanya.

Beliau berkata, kuasa bukan bermakna bapa perlu bersikap dominasi atau garang tidak tentu pasal. Sikap tolak ansur perlu terhadap anak dan isteri demi memastikan keluarga hidup aman damai. Justeru, amat penting seorang bapa mengenal diri sendiri. Sekiranya sikap mereka itu tidak sesuai untuk dijadikan contoh keluarga, berusahalah untuk mengubah suai atau mengawalnya.

“Perubahan ini boleh dilakukan dengan mengenali sifat diri atau jenis personaliti yang dimiliki. Mengikut ilmu psikologi, setiap individu memiliki sifat atau gabungan sifat haiwan seperti kancil, singa, unta dan kuda. Kancil dianggap sebagai penghibur, singa pula pengarah, unta adalah pendamai dan kuda sebagai pemudah cara. Berdasarkan sifat ini, anda boleh mengubah suai dan mengawal diri apabila berdepan dengan pelbagai situasi atau anak.

“Renungkan ke dalam diri anak bagi mengenal pasti sifat mereka pula dan cuba fahami diri mereka. Misalnya, kancil sebagai penghibur gemar berseronok, suka perubahan, kreatif dan banyak berbicara. Jika anak suka mencabar, kuat semangat, berdikari, gemar mengawal atau membuat keputusan, bermakna dia memiliki sifat singa. Mengenali sifat diri dan anak, memudahkan anda berinteraksi dengan mereka,” katanya.

Sementara itu, Ketua Unit Kaunseling Bahagian Pembangunan Keluarga LPPKN, Dr Khamsiah Ibrahim tidak menafikan bapa moden hari ini berdepan cabaran berbeza dengan bapa dulu. Bagaimanapun, cabaran ada kalanya diperlukan bagi memberikan perubahan positif dan mendorong untuk melakukan perubahan dalam hidup.

Cabaran bapa di bandar mungkin berbeza dengan cabaran bapa di kampung. Apa yang sama adalah menjadi bapa bukan secara kebetulan! Cabaran tetap wujud walau di mana lokasi anda menjadi bapa.

“Cabaran dihadapi bapa semakin meningkat apabila bilangan anak bertambah, kos sara hidup yang tinggi, masa bekerja yang sibuk dan menyebabkan mereka kurang berada di rumah untuk bersama anak-anak dan isteri. Hasilnya, kurang masa berbual, kurang memahami anak yang berpunca daripada kurang peluang untuk mengenali mereka. Kuasa penuh ayah mendidik anak berkurangan, tetapi kuasa mendidik ini berpindah kepada pembantu rumah, rakan sebaya mereka atau persekitaran seperti televisyen dan internet,” katanya.

Beliau berkata, berbanding bapa tradisional berkuasa veto dalam membuat keputusan, mereka menjadi punca pendapatan utama dan menjadi model kepada anak-anak tanpa pengaruh internet seperti yang ada pada hari ini. Bapa moden pula adalah ‘ketua kerajaan campuran’ kerana suami isteri sama-sama bekerja. Kuasa veto bapa moden hari ini semakin menipis.

“Justeru, bagi memperkasakan diri seorang bapa, mereka perlu tampil hebat pada pandangan mata anak. Seorang bapa perlu ada pengetahuan dan penampilan yang unik agar boleh dibanggakan anak iaitu kehebatan dari segi emosi dan sosial. Mereka perlu menjadi demokrasi dan bertoleransi, pakar rujuk, dihormati dalam membuat keputusan. Anak berhak mendapat perhatian, empati (sifat memahami), didengari, merasa selamat, gembira dan dilindungi ketika bersama bapa,” katanya.

Bapa yang tidak mengajar anaknya mengenai tanggungjawab mereka adalah bersalah, sama dengan anak yang mengabaikan mereka. Kata-kata Confucius ini seharus direnung setiap lelaki yang bergelar bapa. Besarnya tanggungjawab bapa bukan saja pada anak dan isteri, tetapi peranan mereka sebagai anak. Jangan salahkan anak apabila mereka tidak mengendahkan ibu bapa kerana hakikatnya tanggungjawab itu tidak dilatih atau ditunjukkan contoh oleh anda sebagai bapa.

Aduhai bapa moden....




Sumber: Halina Mohd Noor di BHOnLine 10/06/08

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Kongsikan komen anda di sini...