PAGE

Khamis, Julai 10, 2008

Jangan pandang ringan sakit pedih hulu hati




RAMAI antara kita mungkin pernah mengalami masalah pedih hulu hati, iaitu terasa perit seakan terbakar di belakang tulang dada yang menaik ke leher dan tekak.

Keadaan ini boleh menyebabkan rasa masam dan merasai seperti makanan separuh hadam memasuki semula mulut. Ia selalu berlaku selepas makan dan mungkin berlangsung selama beberapa jam.

Selain itu, gejala-gejala berbeza sering hadir antara individu seperti kembung perut atau sendawa yang kerap walaupun belum menikmati makanan.

Secara umumnya, pedih hulu hati atau dalam istilah perubatannya, gastroesophageal reflux disease (gerd) adalah masalah biasa yang dihadapi hampir 50 peratus orang dewasa di seluruh dunia, terutama golongan lelaki hingga menyebabkan ramai yang tidak dapat bekerja dan terpaksa mengambil cuti sakit.

Walaupun tidak mengancam nyawa, pedih hulu hati telah menyebabkan mutu kehidupan seseorang menurun serta boleh membuatkan hidup mereka merana.

Ini diakui sendiri, Pakar Bedah Am, di Hospital Rawatan Islam (PUSRAWI), Datuk Abdul Fahmi Abdul. Karim ketika menyampaikan ceramah bertajuk ‘Pedih Hulu Hati dan Kembung Perut’ di pusat rawatan tersebut, baru-baru ini.

Kembung perut

Menurutnya, ramai yang kurang mengambil berat masalah ini sedangkan jika seseorang mengalaminya lebih daripada dua kali seminggu secara berpanjangan memungkinkan mereka menghadapi masalah lebih serius termasuk menghidap barah.

“Sebahagian besar orang mengalami pedih hulu hati dari semasa ke semasa tetapi jika simptom itu mengganggu atau muncul lebih daripada dua kali seminggu, mereka dinasihatkan agar berjumpa doktor.

“Sebaiknya dapatkan pandangan doktor jika masalah pedih hulu hati tidak hilang selepas mendapatkan rawatan. Ini kerana, tanpa rawatan sewajarnya, kemungkinan ia boleh menyebabkan ulser dan jika dibiarkan berlarutan ia boleh membawa kepada barah esofagus,’’ tegasnya.

Menerangkan lebih lanjut mengenai gerd pula, beliau berkata, ia berlaku disebabkan penyonsangan pengaliran kandungan dari perut ke dalam esofagus (saluran yang menghubungkan perut dengan mulut) menyebabkan komplikasi atau simptom yang menyukarkan kehidupan harian pesakit.

Proses ini dikenali sebagai refluks dan biasanya disebabkan oleh masalah otot sfinkter yang menghubungkan perut kepada esofagus. Jika otot sfinkter itu lemah atau mengendur secara tidak normal, ia tidak dapat menghalang pengaliran songsang ke dalam esofagus.

“Pada kebiasaannya, asid dalam perut hanya memasuki saluran pemakanan dalam jumlah kecil sahaja dan akan segera dineutralkan kembali. Bagaimanapun dalam kes ini, jumlah asid yang banyak disalurkan ke esofagus dan dalam jangka masa panjang mungkin menyebabkan lapisan tisu saluran itu terhakis.

“Bagi pesakit pedih hulu hati, hakisan berulang sehingga ke sel-sel saraf sehingga menyebabkan kesakitan di bahagian dada,’’ ujarnya.

Pedih hulu hati juga kata Abdul Fahmi, sering berlaku di kalangan wanita hamil. Punca berlakunya masalah tersebut termasuk kembung perut serta loya dan muntah terutama antara minggu keenam hingga ke-14 awal kehamilan yang dipercayai ada kaitannya dengan perubahan hormon.

Beliau menerangkan, kesakitan atau ketidakselesaan di dada pesakit berpunca daripada kumpulan saraf berhampiran jantung yang dikongsi bersama salur esofagus.

Kumpulan saraf ini dikongsi memandangkan esofagus melalui belakang jantung sebelum bercantum ke perut.

Disebabkan kedudukan struktur seperti ini, pesakit tidak akan sakit pada perut tetapi akan merasa sakit pada tengah dada (sternum) dan kerap pedih pada hulu hati.

Pesakit juga akan kerap merasa masam (asid) atau pahit di dalam mulut akibat masalah refluks asid ini.

Selain kegemukan, faktor lain yang turut meningkatkan pedih hulu hati termasuk pengambilan makanan dan minuman yang mengandungi kafein, makanan bergoreng dan berlemak, buah-buahan sitrus, coklat dan makanan bertomato seperti sos spageti dan pedas.

Rawatan

Beberapa kaedah rawatan biasa digunakan bagi menangani masalah ini, termasuk melalui pembedahan mengetatkan cerutan struktur, selain kaedah ubat-ubatan yang dapat mengekang asid.

Ubat Proton Pump Inhibitor (PPI) misalnya, menjadi pilihan pakar sistem salur pemakanan untuk mengawal penghasilan asid oleh sel-sel di dalam perut, seterusnya mengawal masalah refluks asid pesakit pedih hulu hati.

Ubat PPI digunakan untuk rawatan segera simptom utama pedih yang menyukarkan kehidupan harian pesakit dan juga untuk kawalan jangka panjang penyakit tersebut.

Ujian endoskopi juga boleh dilakukan untuk memastikan jika terdapat hakisan asid pada esofagus pesakit tetapi ujian ini tidak menjadi kewajipan untuk rawatan pedih hulu hati.

Beliau turut menegaskan, meskipun ia tidak dapat dicegah, namun risikonya boleh dikurangkan jika seseorang itu mengamalkan gaya hidup sihat.

Panduan menghindari pedih hulu hati

*Elakkan terus berbaring selepas makan. Tunggu sekurang-kurangnya tiga jam sebelum membongkok dan baring selepas makan bagi mengelakkan asid mengalir semula ke dalam esofagus.

*Jika doktor memberikan preskripsi, adalah penting bagi anda menghabiskan ubat tersebut walaupun sudah berasa selesa. Jika tidak, gejala tersebut mungkin berulang kembali.

*Tinggikan kedudukan kepala anda semasa tidur dengan bantal atau penyendal. Dengan cara itu, kepala akan berada pada kedudukan yang lebih tinggi daripada perut sekali gus meminimumkan risiko pedih hulu hati.

*Makan sedikit tetapi kerap.

*Mengurangkan berat badan.

*Jangan memakai pakaian ketat.

*Elakkan makan makanan pedas dan berempah.

Sumber: Utusan ARKIB : 08/07/2008

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Kongsikan komen anda di sini...