|
|
MAMMOGRAFI merupakan satu teknik penyiasatan sinar-X terhadap payudara. Ia membolehkan doktor mencari kanser payudara pada peringkat awal di mana rawatan mungkin lebih untuk memulihkan pesakit.
Lebih kurang satu daripada lapan wanita akan menghidapi kanser payudara dalam tempoh hidup mereka.
Kebanyakan kes kanser payudara berlaku tatkala wanita sudah pun mengalami menopaus. Harus diberi perhatian juga bahawa kebarangkalian berlakunya kanser payudara meningkat dengan peningkatan umur.
Oleh itu, adalah lebih baik untuk golongan wanita menjadikan pemeriksaan mammografi sebagai satu ujian berkala kesihatan apabila umur mereka mencecah 40-an.
Payudara
Payudara secara anatominya terdiri daripada kelenjar, lemak dan tisu-tisu fibrous yang tebal. Anggota badan ini dirangsang secara berkala dengan perubahan hormon wanita, estrogen dan progesteron.
Hormon-hormon ini menukar kandungan air di dalam jisim payudara. Ketika kandungan air meningkat, tempat di payudara yang terdapat banyak tisu fibrous menebal dan mungkin menjadi sakit sedikit.
Seorang wanita mungkin mengalami kesakitan serta perubahan payudara semasa kitaran haid, mengandung, menyusu badan dan juga menopaus.
Kontraseptif berbentuk hormon dan juga perawatan hormon gantian juga memberi perubahan pada payudara.
Pemeriksaan Mammografi
Mammografi merupakan satu proses sinaran-X yang mudah dengan alat yang digunakan melepaskan sinaran-X dalam jumlah yang rendah pada payudara.
Tidak ada bahan pewarna yang perlu disuntik atau dimakan dan juga tiada apa-apa peralatan lain yang perlu dimasukkan ke dalam badan untuk pemeriksaan mammografi.
Ketumbuhan awal biasanya kecil dan mungkin tidak dapat dirasai dengan tangan. Mungkin juga kedudukannya jauh ke dalam payudara.
Mammografi mampu mengesan ketumbuhan kanser sebelum ianya menjadi besar tetapi perlu diingat bahawa sesetengah ketumbuhan payudara mungkin juga tidak membahayakan pesakit.
Walau bagaimanapun, jika ketumbuhan itu terbukti kanser, pengesanan awal melalui mammografi memolehkan rawatan diberikan pada peringkat awal dan meningkatkan kebarangkalian untuk sembuh sepenuhnya.
Pesakit tidak perlu dimasukkan ke wad sebelum dan selepas prosedur mammografi yang dijalankan dan dibaca doktor yang mempunyai pengkhususan dalam bidang radiologi.
Mereka yang berisiko
Ramai wanita yang mendapat kanser payu dara tidak mempunyai apa-apa risiko kecuali umur yang meningkat.
Walau bagaimanapun, anda mempunyai risiko lebih tinggi sekiranya mempunyai faktor-faktor berikut:
1. Gen-gen tertentu seperti BRCA1 dan BRCA2 yang merupakan faktor keturunan, jadi sejarah keluarga amatlah penting.
2. Sekiranya ibu, anak ataupun adik-beradik perempuan mempunyai kanser payudara.
3. Tidak pernah mengandung sehingga cukup bulan ataupun hanya mengandung kali pertamanya selepas berumur 30 tahun.
4. Kehadiran haid pertama pada usia muda, sebelum berumur 12 tahun.
5. Menopaus pada umur yang lewat, melebihi umur 55 tahun.
6. Tidak pernah menyusu badan, secara langsung ataupun secara pam.
Faktor-faktor lain yang mungkin juga meningkatkan risiko kanser payudara termasuklah:
1. Sejarah kesihatan pesakit, sebelum ini pernah mengalami kanser usus, rahim, ovari dan juga payudara.
2. Berat badan yang berlebihan selepas menopaus.
3. Penggunaan hormon gantian wanita.
4. Penggunaan produk perancangan keluarga berbentuk hormon.
5. Bentuk badan yang tinggi.
Ada juga faktor yang mengkaitkan keguguran dengan kanser payudara, tetapi buat masa ini tiada kajian yang kukuh yang mengaitkan kedua-duanya.
Siapakah yang perlu menjalani mammografi?
Sekiranya anda berumur di antara 40 hingga 49 tahun, anda dinasihatkan supaya menjalani penyiasatan mammografi sekali setiap satu atau dua tahun.
Sekiranya umur anda melebihi 50 tahun, anda dinasihatkan supaya menjalani ujian tersebut setiap tahun.
Walau bagaimanapun, sekiranya anda tergolong sebagai berisiko tinggi, doktor mungkin akan menasihatkan anda mula menjalani pemeriksaan mammografi pada usia yang lebih muda.
Doktor juga akan menasihatkan anda menjanai pemeriksaan mammografi sekiranya anda mengalami perkara-perkara berikut:
1. Payudara mempunyai bengkak yang sukar diterangkan secara klinikal dan patologi, ataupun sekiranya mempunyai bengkak di ketiak yang mana mungkin disyaki sebagai bengkak kelenjar limfa.
2. Sekiranya kulit di payudara mempunyai perubahan seperti pada kulit limau, kemerahan, melekuk dan apa-
apa sahaja perubahan yang boleh dikaitkan dengan kanser payudara.
3. Puting payudara mengeluarkan darah ataupun cecair lain yang sebelum ini belum pernah berlaku.
4. Perubahan pada puting payudara seperti ianya tidak lagi timbul dan tenggelam ke dalam.
Saiz payudara tidak mempengaruhi penyiasatan, begitu juga sekiranya anda mempunyai implan di dalam payudara.
Sejarah kanser payudara lampau juga mungkin memerlukan pesakit menjalani pemeriksaan mammografi dijalankan. Sekiranya umur puan masih muda, mungkin penyiasatan ultrasound akan didahulukan.
Apa yang perlu dilakukan
Mammografi penting untuk semua wanita. Pada hari ujian, seboleh-bolehnya elakkan daripada memakai bedak, deodoran ataupun krim-krim lain.
Ini kerana ada di antara bahan-bahan ini yang menyebabkan muncul gangguan imej pada imbasan sinar-X. Doktor pakar radiologi akan tersalah tafsir sekiranya berlaku gangguan sedemikian.
Kakitangan di jabatan pengimejan akan memaklumkan kepada anda bagaimana untuk meletakkan payudara di antara dua alat sinar-X. Jisim payudara pula akan dimampatkan supaya kesemua kawasan dapat dirakamkan dan juga mengurangkan gangguan pada imej yang terhasil.
Tekanan akibat dari mampatan tadi mungkin akan menyebabkan sedikit rasa tidak selesa dan mungkin sedikit kesakitan. Semua ini cuma untuk seketika sahaja demi memastikan pemeriksaan tersebut dapat mengekalkan tahap kesihatan anda.
Sekiranya anda datang haid pada hari ujian, mungkin anda ingin tundakan pada minggu berikutnya supaya ketidakselesaan pada payu dara tidak berganda.
Sekiranya anda mempunyai implan payudara, maklumkan kepada doktor bertugas. Kehadiran implan mungkin menyulitkan tafsiran pada filem sinar-X dan juga dikhuatiri mungkin bocor akibat daripada proses tekanan serta mampatan semasa mammografi.
Risiko sinar-X
Jumlah radiasi sinar-X yang digunakan ketika pemeriksaan mammografi sedikit sahaja. Radiasi yang diterima lebih kecil daripada yang diterima dari atmosfera bumi sepanjang tahun.
Sekiranya perlu, mammografi juga boleh dilakukan semasa mengandung. Tambahan pula, dengan peralatan moden serta teknik terkini, pendedahan kepada sinar-X dapat dikurangkan ke tahap minimum dan tidak perlu dibimbangkan.
Anda juga perlu faham bahawa mungkin terdapat juga keabnormalan yang tidak dapat dikesan melalui pemeriksaan mammografi.
Selain itu, anda juga dinasihatkan melakukan pemeriksaan payudara sendiri dan berjumpa dengan doktor untuk pemeriksaan serta pengesahan kesihatan secara berkala.
Kombinasi ketiga-tiga modaliti ini memberikan peluang terbaik untuk mengesan dan merawat kanser payudara pada peringkat awal, sekiranya ia berlaku kepada anda.
Sekiranya keputusan mammografi positif
Kebanyakan bengkak di dalam payudara bukanlah kanser. Anda mungkin akan dirujuk untuk penyiasatan lanjut melalui ujian ultrasound dan mungkin juga melalui ujian pengimejan magnetik resonans (MRI). MRI menggunakan kuasa magnetik dan juga gelombang radio untuk melihat di dalam payudara.
Ultrasound juga dapat melihat ke dalam jisim payudara dan boleh membezakan di antara keabnormalan padat dan juga sista.
Doktor juga mungkin menasihatkan anda supaya melakukan ujian ulangan sekiranya ujian pertama tidak jelas ataupun menimbulkan syak wasangka.
Doktor juga mungkin akan menasihatkan anda menjalani ujian pembedahan kecil seperti:
1. Aspirasi, jarum akan disuntik pada keabnormalan pada payudara dan disedut keluar cecair ataupun tisu-tisu di dalamnya untuk dibaca oleh doktor yang berkepakaran dalam bidang penyakit (patologis).
2. Biopsi, satu pembedahan kecil bagi mengeluarkan sama ada sebahagian ataupun kesemua jisim abnormal untuk dikaji dengan lebih lanjut oleh doktor.
Selain mammografi, anda mungkin juga dinasihatkan supaya menjalani ujian sinar-X lain yang lebih kompleks. Perlu diingat, semua ujian yang dicadangkan adalah untuk kesejahteraan serta menjaga kualiti kehidupan anda.
Pencegahan serta diagnosis awal boleh membantu meningkatkan peluang untuk penyembuhan penuh.
Sumber: Utusan ARKIB : 06/07/2008
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Kongsikan komen anda di sini...