PAGE

Khamis, Julai 17, 2008

Suami dengar nasihat isteri

Assalamualaikum warahmatullah,

Seorang sahabat di al-Falaah e-grup telah meminta idea tentang suami kena diminta mendengar nasihat isteri, walaupun jelas tertulis di dalam al-Quran ditegaskan lelaki adalah pemimpin bagi wanita.

Alrrijalu qawwamoona AAala alnnisai bima faddala Allahu baAAdahum AAala baAAdin wabima anfaqoo min amwalihim faalssalihatu qanitatun hafithatun lilghaybi bima hafitha Allahu waallatee takhafoona nushoozahunna faAAithoohunna waohjuroohunna fee almadajiAAi waidriboohunna fain ataAAnakum fala tabghoo AAalayhinna sabeelan inna Allaha kana AAaliyyan kabeeran

Terjemahan : Firman Allah yang bermaksud, Kaum laki-laki itu adalah pemimpin bagi kaum wanita, oleh kerana Allah telah melebihkan sebahagian mereka (laki-laki) atas sebahagian yang lain (wanita), dan karena mereka (laki-laki) telah menafkahkan sebagian dari harta mereka. Sebab itu maka wanita yang soleh, ialah yang taat kepada Allah lagi memelihara diri ketika suaminya tidak ada, oleh kerana Allah telah memelihara (mereka). Wanita-wanita yang kamu khawatirkan nusyuznya, maka nasihatilah mereka dan pisahkanlah mereka di tempat tidur mereka, dan pukullah mereka. Kemudian jika mereka menaatimu, maka janganlah kamu mencari-cari jalan untuk menyusahkannya. Sesungguhnya Allah Maha Tinggi lagi Maha Besar.” (surah An-Nisa, ayat 34)

Ada yang berpendapat, suami tidak perlu dengar cakap isteri kerana bagi mereka, suami adalah lelaki adalah pemimpin kaum wanita. Persoalannya :
  1. Benarkah suami tak wajar mendengar nasihat isteri?
  2. Apa masalahnya dengar nasihat isteri asal tidak mendorong kepada kemungkaran?
  3. Adakah kerana isteri itu seorang wanita?

Jika lelaki dan wanita memahami hakikat dan fitrah penciptaan diri mereka, nescaya aman sentosalah dunia ini. Tetapi hakikatnya tidak begitu, terutama bagi umat akhir zaman. Kelemahan manusia zaman ini suka ikutkan nafsu, suka saling salah-menyalahkan antara satu sama lain sebelum menilai apakah perbuatannya itu cerdik, betul, benar dan menepati kehendak syariat.

Pada pendapat saya, kebahagiaan akan lahir jika perkongsian perasaan (dalam perkahwinan) benar-benar dibahagi sama rata. Dalam sebuah rumahtangga dan perkahwinan, tidak wujud pihak yang dominan. Suami sebenarnya hanya mempunyai share 50% manakala isteri turut memiliki share yang sama iatu 50%. Jika sebelah pihak saja dominan, maksudnya, jika suami saja yang berhak untuk bersuara (isteri kena dengar cakap suami) tanpa kompromi dan si isteri pula tidak dibenarkan bersuara atau memberi pendapat mahupun menasihati suami, akan pincanglah sesebuah rumahtangga. Seringkali perbalahan berlaku bila ada yang memendam rasa, makan hati atau merasa tak puas hati dan sebagainya. Tindakan tidak bijaksana akan merugikan kedua-dua pihak, tidak wujud pihak yang menang. Yang diperolehi hanyalah kepuasan nafsu yg akan disesali untuk selamanya.

Contoh suami mendengar kataisteri

Rasulullah SAW sendiri pernah meminta pandangan isterinya Ummu Salamah r.a. sejurus selepas perjanjian Hudaibiyah dengan kaum musyrik Makkah ketika para sahabat enggan mengikut perintahnya untuk menyembelih qurban dan bercukur. Jika diimbas kembali sejarah yang lebih lama, Nabi Ibrahim a.s. mendengar rungutan Sarah supaya membawa Hajar berpindah jauh dari tempat tinggalnya. Firaun sendiri mendengar rayuan Asiah supaya dibenarkan membela Nabi Musa a.s. yang masih bayi sedangkan dia seorang Raja yang jauh hanyut dalam kebongkakkannya. Bapa kita Nabi Adam a.s. juga ikut makan buah larangan setelah mendengar hujah Hawa. Suami-suami dalam kisah di atas tetap mulia kedudukannya, walaupun mendengar nasihat isteri masing-masing, kecualilah Firaun.

Islam adalah satu-satunya agama yang bersikap tegas dalam membela nasib kaum wanita. Islam membawa pembaharuan dalam menilai, memandang dan mengakui taraf kedudukan wanita sehinggakan Saidina Umar bin Al-Khattab r.a. pernah mengeluh tentang keadaan wanita setelah 'dimerdekakan' oleh Islam. Beliau merasa takut jika angin pembaharuan yang, membela wanita Islam akan menjejaskan kekuasaan lelaki ke atas mereka.

Diriwayatkan daripada Umar bin al-Khattab r.a. berkata: Kami orang-orang Quraisy (di Makkah) pada mulanya mengalahkan kaum wanita. Namun ketika kami hijrah kepada orang Ansar (di Madinah), kami lihat mereka dikalahkan oleh isteri-isteri mereka. Maka isteri-isteri kami mengikuti cara hidup isteri-isteri orang Ansar. Suatu hari aku mengherdik isteriku. Lalu dia mengingatkan aku. Ketika aku tidak menerima nasihatnya, dia berkata, “Mengapa kamu tidak menerima peringatanku, padahal demi ALLAH, isteri Rasulullah SAW mengingati baginda, bahkan salah seorang dari mereka suatu hari mendiamkan baginda hingga ke malam hari. (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Al-Hafiz Ibnu Hajar berkata, hadis ini menunjukkan bahawa sikap terlalu menekan isteri adalah perbuatan tercela kerana Rasulullah SAW menggunakan cara hidup orang Ansar dalam menjalani kehidupan isteri-isteri Rasulullah SAW dan Rasulullah SAW telah meninggalkan cara hidup adat kaum Quraisy. Akhirnya Rasulullah SAW betul-betul membebaskan wanita dari kezaliman kaumnya menuju cahaya Islam yang terang-benderang. Islam telah menberikan kaum wanita hak sebagai manusia yang merdeka. Manakala para lelaki pula dituntut untuk menggauli mereka dengan sebaik cara. Sesuai dengan sabda Baginda SAW : “Orang mukmin yang lebih sempurna imannya adalah yang paling berakhlak dan paling lemah lembut kepada isterinya.” (Hadis riwayat Imam al-Tirmizi dan al-Nasai)

Suami ini kadang-kala memang tinggi egonya, pantang jika dinasihati isteri. Ada yang kata, “aku ni ketua, orang bawah kena dengar cakap aku. Mana boleh dibangkang-bangkang.” Amboi, sombongnya... Ego tu bukannya boleh dibawa ke kuburpun, jadi buang sajalah sikap yang kurang elok itu. Nama pun nasihat. Adakah nasihat itu bersifat negatif? Jika kata-kata yang negatif (contohnya isteri nasihat jangan beri duit pada mak sendiri ke...), tak perlulah ikut, sebaliknya jika nasihat yang positif (contohnya isteri nasihat suami supaya lebih bertanggungjawap mencari nafkah ke...), elok sangat-sangatlah dipertimbangkan dituruti, bagi menjaga kesejahteraan rumahtangga. Bukankah itu lebih afdal?

Pokok pangkalnya, keserasian dan persefahaman perlu ada dalam setiap rumahtangga.
Jika timbul perselisihan atau masalah dalam sesuatu perkara, perbincangan bersama atau musyawarah hendaklah dilakukan sesama suami dan isteri. Benar, keputusan di tangan suami kerana suami adalah ketua keluarga, tetapi jika cadangan isteri lebih berkualiti dan tidak melanggar batasan agama, tiada salahnya jika suami mendengar cadangan, buah fikiran, usul ataupun nasihat isterinya.

Ayat di bawah mungkin dapat meleraikan lagi masalah suami yang menolak langsung untuk dengar nasihat isteri.

Ya ayyuha allatheena amanoo la yahillu lakum an tarithoo alnnisaa karhan wala taAAduloohunna litathhaboo bibaAAdi ma ataytumoohunna illa an yateena bifahishatin mubayyinatin waAAashiroohunna bialmaAAroofi fain karihtumoohunna faAAasa an takrahoo shayan wayajAAala Allahu feehi khayran katheeran

Terjemahannya : Firman Allah, "Hai orang-orang yang beriman, tidak halal bagi kamu mempusakai wanita dengan jalan paksa dan janganlah kamu menyusahkan mereka kerana hendak mengambil kembali sebagian dari apa yang telah kamu berikan kepadanya, terkecuali bila mereka melakukan pekerjaan keji yang nyata. Dan bergaullah dengan mereka secara patut. Kemudian bila kamu tidak menyukai mereka, (maka bersabarlah) kerana mungkin kamu tidak menyukai sesuatu, padahal Allah menjadikan padanya kebaikan yang banyak." (Surah An-Nisa, ayat 19)

Wallahu’alam.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Kongsikan komen anda di sini...