PAGE

Jumaat, Julai 18, 2008

3 hak kanak-kanak

Oleh Nor Affizar Ibrahim
affizar@bharian.com.my

Beri nama baik, ajar al-Quran dan kahwinkan bila sampai jodoh

KANAK-KANAK adalah golongan yang berhak dan perlu diberi perlindungan kerana dalam kebanyakan keadaan, mereka mudah terdedah kepada pelbagai bahaya sama ada menjadi mangsa atau pun berada dalam situasi yang terancam membabitkan keselamatan diri dan masa depan.

Justeru, pertimbangan utama dalam segala tindakan yang menyentuh hal ehwal kanak-kanak perlu diberikan perhatian dan menjadi tanggungjawab semua agar sentiasa dapat menjaga kebajikan serta kesejahteraan golongan itu.

Pensyarah Jabatan Syariah dan Undang-undang, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya, Prof Madya Dr Raihanah Abdullah, berkata penjagaan yang sempurna daripada keluarga terhadap kehidupan kanak-kanak adalah sangat penting dalam menghadapi cabaran semasa.

Malah, katanya, Islam sudah pun menggariskan bahawa kanak-kanak perlu diberi perhatian dan segi keperluan kerohanian, emosi, fizikal serta kewangan kerana golongan itu adalah insan yang memerlukan bantuan dewasa untuk meneruskan kehidupan mereka.

“Senario hari ini menunjukkan bahawa kanak-kanak terdedah kepada pelbagai bahaya sama ada di rumah sendiri mahu pun di luar. Apa pun sebagai ibu bapa tugas memastikan kebajikan dan kehidupan kanak-kanak terpelihara adalah satu tanggungjawab besar yang sudah digariskan oleh Islam. Anak yang lahir perlu dilindungi dan dijaga kebajikannya.

“Kehidupan anak akan sempurna sekiranya kasih sayang, layanan yang baik dan sama rata antara anak, pendidikan, penjagaan serta bimbingan mahu pun perlindungan dipelihara oleh kedua ibu bapa,” katanya ketika membentangkan kertas kerja di bengkel Hak Perlindungan dan Keselamatan Diri Kanak-kanak anjuran Pusat Perundingan dan Latihan, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Dr Raihanah yang mengupas tajuk Hak Perlindungan dan Keselamatan Kanak-kanak Menurut Perspektif Islam berkata, dalam hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah bermaksud antara hak anak yang perlu ditunaikan oleh bapa adalah tiga perkara yang merangkumi memberi nama yang baik, mengajar al-Quran dan mengahwinkannya apabila sampai jodohnya.

“Apabila anak itu dilahirkan daripada perkahwinan yang sah maka secara langsung dia berhak untuk mendapatkan nasab kepada bapanya. Ini bermakna, apabila anak itu dibinkan kepada bapanya maka bapa mempunyai tanggungjawab yang besar terhadap anak berkenaan.

“Selain itu anak berkenaan juga berhak untuk mendapatkan nama yang baik agar tidak berasa terseksa dan terhina dengan panggilan nama buruk,” katanya.

Beliau berkata, begitu juga soal hak pendidikan adalah kewajipan ibu bapa menyediakan pendidikan keagamaan dan keduniaan kepada anak terutama bagi mengharungi kehidupan kedewasaan. Ilmu pengetahuan asas keagamaan adalah penting bagi menyediakan dan membentuk anak sebagai insan yang baik serta beriman kepada Allah. Islam juga menyarankan supaya anak diberi pengetahuan dan pendedahan mengenai ilmu kemahiran hidup.

Katanya, anak turut berhak mendapat layanan yang adil, curahan kasih sayang dan memahami perhubungan kekeluargaan.

“Bagi ibu bapa yang mempunyai anak ramai, Rasulullah SAW berpesan supaya kedua ibu bapa melayan mereka dengan adil dan tidak boleh menunjukkan sikap berat sebelah. Ini berikutan, layanan tidak sama rata boleh melahirkan perasaan yang buruk dalam diri anak termasuklah hasad dengki dan dendam,” katanya.

Pengasas dan Pengerusi Institut Pembangunan Keluarga & Kanak-kanak Nury, Datuk Dr Noor Laily Datuk Abu Bakar yang membicarakan tajuk, Mengembangkan Potensi Anak, berkata setiap anak adalah anugerah Allah kepada ibu bapa, keluarga, bangsa, agama, masyarakat dan negara. Ini bermakna, setiap anak berhak memperoleh penjagaan dan perlindungan dari semua aspek hidupnya bahkan ketika dari peringkat dalam kandungan atau rahim ibunya lagi.

“Mendidik anak seharusnya suatu usaha yang mudah dan hasilnya, sempurna. Tetapi apa yang berlaku pada masa kini ahli keluarga dipecah-pecahkan daripada institusi kekeluargaan sehingga terdapat semakin ramai ibu tunggal, bapa tinggal dan anak ‘dipajak gadaikan,” katanya.

Beliau berkata, walaupun bergelar sebagai ibu, wanita boleh bekerja tetapi mereka perlulah melakukan tanggungjawabnya. Malah, perlu diingatkan setiap anak daripada saat percantuman benih ibu dan bapanya lagi sudah dibekalkan dengan fitrah atau potensi untuk menjadi khalifah di bumi ini maka itulah menjadi tanggungjawab ibu bapa mendidik anak dengan sebaik-baiknya.

Penguatkuasaan perlu penelitian

UNDANG-UNDANG dan akta membabitkan penjagaan serta perlindungan kanak-kanak sudah lama ada di negara ini, tetapi cuma penguatkuasaan ada kala tidak dilaksanakan kerana ia mengambil beberapa faktor yang perlu diambil kira atau dipertimbangkan.

Bagaimanapun, Prof Madya Datin Noor Aziah Mohd Awal, berkata apa yang diperuntukkan dalam undang-undang mengenai penjagaan dan perlindungan kanak-kanak adalah perkara biasa serta sudah semestinya menjadi tanggungjawab semua ibu dan bapa.

“Tanpa dinyatakan dalam undang-undang sekali pun, semua mungkin sudah tahu bahawa tanggungjawab ibu bapa adalah jelas iaitu anak perlu mendapatkan perlindungan dan penjagaan yang sempurna. Cuma apa yang merisaukan ialah perubahan di luar sana dan ada ibu bapa yang tidak sedar mengenai keselamatan anak mereka.

“Namun, oleh kerana ibu bapa sebagai pelindung maka perlindungan terhadap anak amat penting dan jika mengikut undang-undang mereka perlu berbuat demikian sehingga anak berkenaan mencapai usia 18 tahun,” katanya ketika mengupas tajuk Hak Perlindungan dan Penjagaan Kanak-kanak Menurut Akta Kanak-kanak 2001.

Beliau berkata, perlindungan dan penjagaan anak di negara ini termaktub dengan jelas dalam Anak Kanak-kanak 2001 dan ia mengkategorikan kanak-kanak kepada beberapa perkara. Antaranya ialah kanak-kanak yang memerlukan jagaan dan perlindungan, kanak-kanak memerlukan perlindungan dan pemulihan, kanak-kanak di luar kawalan, kanak-kanak dilarikan serta diperdagangkan dan kanak-kanak yang melakukan kesalahan jenayah.

Beliau berkata, Akta Kanak-kanak 2001 yang digubal dan diterima pakai di negara ini bertujuan bagi memastikan kanak-kanak selamat dan menghukum mana-mana pihak yang cuai atau mengabaikan kanak-kanak. Selain itu ia juga bertujuan memastikan kanak-kanak diselamatkan segera dan diberikan perlindungan segera.

“Hakikatnya, kita masih dalam masyarakat yang statik kerana misalnya, apabila tindakan atau hukuman dijatuhkan kepada ibu bapa yang didapati cuai atau mengabaikan anak ada yang mungkin berkata kasihan dan sebagainya. Oleh kerana itulah pendakwaan yang hendak dibuat perlu berhati-hati dan ada faktor mesti diambilkira.

“Contohnya, seorang ibu tunggal mungkin terpaksa meninggalkan anaknya sendirian di rumah ketika bekerja kerana jika tidak berbuat demikian bagaimana dia hendak menyara keluarganya terutama jika bekas suami tidak bertanggungjawab untuk memberi nafkah anak. Oleh kerana itulah jika hendak dakwa, asas kecuaian itu perlu diteliti terlebih dulu. Tetapi kita juga tahu kemalangan perkara yang tidak dirancang dan ada kala sememangnya kita tidak terfikir ia akan berlaku,” katanya.

Sumber: BHOnLine

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Kongsikan komen anda di sini...