PAGE

Khamis, September 18, 2008

Pening bila tiba raya?

CERITANYA sama. Setiap kali menjelang Aidilfitri, si ayah mula bising. Mengapa tidak, bila hendak membuat persiapan raya, poket ayah jugalah yang menipis. Puas menyindir, letih juga menegur, nampaknya isu bajet raya terus menjadi topik hangat bersama isteri.

Tipikal lelaki - berbelanja hanya bila perlu dan semuanya perlu ada alasan logik. Isteri pula berlainan pendiriannya - Aidilfitri setahun sekali maka perlu diraikan penuh bergaya. Beginilah senarionya saban tahun malah isu hangat ini makin meruncing dengan peningkatan kos sara hidup keluarga. Selain musim jualan mega yang berlangsung dua kali setahun di negara ini, Ramadan juga dianggap antara ‘fasa kerancakan’ aktiviti membeli-belah bagi masyarakat tempatan. Dalam fasa ini, perbelanjaan seseorang, baik lelaki mahupun wanita banyak tertumpu kepada pembelian makanan dan juga persiapan menyambut hari raya.

Walaupun secara logiknya, seseorang sebenarnya boleh berjimat pada tempoh seperti ini memandangkan mereka harus berpuasa di siang hari (tidak perlu membeli sarapan, makan tengah hari dan minum petang, rata-rata individu masih tidak dapat mengelak daripada berbelanja lebih sepanjang bulan ini.

Situasi ini bagi seseorang lelaki mungkin lebih memeningkan buat mereka. Kebanyakan lelaki, tidak kira yang bujang atau berkeluarga menggalas tanggungjawab sebagai pembiaya ekonomi keluarga. Kedatangan Ramadan dan Syawal pastinya memerlukan golongan ini bersiap sedia dari segi kewangan untuk menampung perbelanjaan yang meningkat berbanding bulan biasa.

Waktu beginilah mereka terpaksa melayan permintaan keluarga yang berkehendakkan pelbagai benda baru, daripada pakaian, aksesori, juadah hingga kepada perhiasan rumah untuk sambutan hari raya, yang kononnya akan lebih bermakna dengan adanya semua kelengkapan ini. Mahu tidak mahu, cukup tidak cukup, permintaan keluarga tidak sampai hati untuk diabaikan. Bagi yang tidak bersiap-sedia mengikat perut dan menabung beberapa bulan lebih awal bagi mengharungi fasa ini mulalah mencongak-congak baki wang simpanan sama ada cukup atau tidak untuk bajet raya ini. Bagi yang sudah berpengalaman, bersiap sedia menyimpan dana perbelanjaan lebih awal pula nampaknya tidak begitu terbeban menghadapi Ramadan dan Syawal.

Bagaimana pula dengan kebanyakan lelaki di luar sana tahun ini? Adakah ramai yang menghadapi dilema kewangan kala tibanya Syawal? Adakah lelaki selaku ketua keluarga membuat pertimbangan dalam soal perbelanjaan musim perayaan ini? Sebenarnya, ini semuanya bergantung kepada seseorang individu bagaimana cara mereka menghadapi tanggungan perbelanjaan Hari Raya untuk keluarga mereka.

1. Mereka yang menghadapi masalah biasanya tidak melakukan persediaan dengan lebih awal. Setiap yang berkeluarga seharusnya sudah memikirkan mengenai bajet ini sejak awal tahun lagi. Jangan pula sudah tiba Ramadan baru hendak memikirkan semua ini. Memanglah memeningkan.

2. Mereka yang berperanan bapa dalam sesebuah keluarga juga bukan hanya perlu memastikan dana perbelanjaan mencukupi untuk persiapan raya tetapi juga untuk persiapan persekolahan anak-anak selepas musim raya nanti.

3. Kadangkala, bukan masalah tiada wang, tapi salah cara membelanjakannya. Ada segelintir lelaki yang terlebih belanja untuk perkara yang bukan keutamaan, misalnya untuk hobi memancing dan seumpamanya. Tidak dinafikan, memang dalam agama sendiri kita digalakkan untuk menyambut hari raya dengan kegembiraan, tapi tidak bermakna semua benda hingga kepada perabot dan kelengkapan rumah juga hendak ditukar setiap kali raya. Dalam tempoh ekonomi yang tidak menentu ini, kita perlu berfikir lebih rasional dan ikut kemampuan diri. Mana yang masih boleh digunakan, tidak perlulah diganti baru. Kalau tak dapat sediakan tiga pasang baju baru, sepasang pun sudah memadai.

4. Perkara yang perlu diberi keutamaan dalam peruntukan perbelanjaan hari raya, katanya adalah dari segi penampilan diri yang lebih cantik daripada hari biasa, makanan untuk meraikan sambutan ini dan tidak lupa, perbelanjaan bagi mereka yang bercadang untuk pulang berhari raya di kampung.

Dalam hal ini, golongan lelaki sebagai suami juga haruslah lebih bertegas dalam menentukan perancangan perbelanjaan yang berhemah supaya tidak berlaku pembaziran hingga menyusahkan pula di kemudian hari.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Kongsikan komen anda di sini...