Ramadan telah berlalu meninggalkan kita dan sekarang kita berada dalam minggu kedua bulan Syawal, cukup terkenal dengan bulan 'makan puas puas'... Kehangatan sambutan Syawal masih lagi terasa dengan adanya rumah terbuka dan amalan ziarah-menziarahi serta kunjung-mengunjungi. Di segenap rumah pasti tidak ketinggalan untuk mengadakan rumah terbuka dengan menjemput sanak saudara dan rakan taulan. Amalan ini mampu mengeratkan ukhuwah sesama muslim kerana masing-masing sibuk dengan urusan seharian. Tetapi dengan adanya amalan ini ibarat menautkan kembali tali persaudaraan yang terungkai. Namun, satu perkara yang mungkin masyarakat kita terlepas pandang ialah penjagaan kesihatan. Penjagaan kesihatan seringkali diabaikan tatkala masyarakat kita terlalu sibuk dengan aktiviti harian, aktiviti sosial termasuk kesibukan kita dalam memenuhi undangan rumah terbuka. Kadangkala, kita seolah-olah melupakan tentang isi kandungan pengajaran yang boleh diambil daripada Ramadhan adalah mengawal diri termasuk dalam hal yang berkaitan makanan dan minuman. Malah, sesetengah daripada kita menjadikan Syawal sebagai medan untuk membalas dendam dengan mengambil semua jenis makanan yang terhidang yang tidak dapat diambil semasa bulan puasa. Kita lupa bahawa penjagaan kesihatan itu penting untuk kehidupan yang baik.
Masyarakat kita menyalahertikan bahawa konsep penjagaan kesihatan itu adalah berasaskan penyakit semata- mata. Dan seringkali apabila seseorang itu sembuh, kita menganggap bahawa pesakit itu sudah sihat. Sedangkan penjagaan kesihatan kini lebih menjurus individu pesakit itu sendiri dan juga pergaulan persekitaran dengan mengambilkira unsur biologi, psikologi dan sosiobudaya. Apabila seseorang itu menghidapi penyakit, barulah menjalani rawatan, sedangkan kita boleh mencegahnya daripada awal bertepatan dengan kata-kata ‘mencegah itu lebih baik daripada mengubat'. Sejajar dengan keadaan sekarang, kita lupa akan kesihatan apabila menjamu selera dengan semua makanan disebabkan menuruti hawa nafsu. Jiwa kita diruntun apabila melihat pelbagai jenis hidangan yang dikaitkan dengan lebaran seperti ketupat, lemang, satay, kuah kacang, dodol dan sebagainya. Makanan ini semuanya mengandungi nilai kalori yang agak tinggi. Bukan semua makanan, kita tidak boleh ambil, tetapi biarlah berpada-pada dan tidak berlebihan. Agama juga menyarankan agar umatnya tidak berlebih-lebihan di dalam makan dan minum.
Undangan rumah terbuka semestinya masih lagi rancak terutama bagi yang tinggal di kawasan bandar dan ibu kota. Juadah yang disajikan sudah pasti menggoda. Kita boleh makan tetapi biarlah dalam pengambilan yang terkawal. Selaras dengan tuntuan agama agar bersederhana, menurut pendekatan sains juga pengambilan makanan tidak dibenarkan berlebih-lebihan kerana dikhuatiri akan menimbulkan kesan kepada kesihatan. Pengambilan hidangan di hari lebaran yang mengandungi kadar lemak dan gula yang tinggi akan merisikokan tubuh kepada pelbagai penyakit seperti tekanan darah tinggi, penyakit kencing manis, penyempitan pembuluh darah, penyakit jantung dan sebagainya. Lemak yang berlebihan akibat makan terlalu banyak sukar untuk ditukarkan menjadi gula dalam darah. Oleh itu, makan berlebihan akan membuatkan seseorang itu menjadi lemah dan malas. Lemak dan karbohidrat yang berlebihan akan membawa bahaya terutama kepada pesakit kencing manis kerana ia boleh menyebabkan ‘hiperglisemia' iaitu keadaan di mana berlebihan glukosa dalam aliran darah.
Satu perkara yang boleh kita fikirkan bersama ialah kesan penambahan berat badan akibat pemilihan makanan yang tidak betul dan pengambilan makanan yang berlebihan. Tidak mustahil ramai yang menguntum senyum apabila berjaya menurunkan berat badan semasa bulan Ramadhan. Ia merupakan satu perubahan ketara yang dilalui oleh sesiapa sahaja yang ingin menukar bentuk dan penampilan kerana mampu menahan nafsu makan selama sebulan. Namun, usaha tersebut hanya sia-sia apabila tiba bulan Syawal dan seterusnya, kita tidak mampu menolak segala jenis hidangan yang tersedia. Seharusnya, kita boleh jadikannya sebagai satu langkah permulaan untuk pengekalan kesihatan yang berterusan. Harus diingatkan bahawa bentuk tubuh bukan hanya menggambarkan secara zahir tetapi juga ia melambangkan tahap kesihatan yang dimiliki seseorang. Ini kerana bagi yang berlebihan berat badan dan ‘obesiti', keadaan ini akan mengundang lebih banyak penyakit yang tidak pasti. Pengambilan makanan berkarbohidrat tinggi menyebabkan seseorang lebih cenderung mendapat penyakit. Ini disebabkan oleh karbohidrat yang berlebihan akan ditukar kepada lemak di dalam badan jika senaman tidak diamalkan. Jadi, sekiranya seseorang itu sudah pun memiliki berat badan yang berlebihan maka sudah pastilah lemak dalam tubuhnya akan bertambah.
Lazimnya, apabila menjelang raya atau mengadakan jamuan rumah terbuka, pelbagai juadah yang disediakan untuk memeriahkan suasana. Dalam kesibukan kita menyediakan juadah ataupun menghadiri rumah terbuka, soal keselamatan tidak harus dipandang ringan. Gejala keracunan makanan seperti sakit perut, cirit-birit dan muntah biasa berlaku pada musim perayaan ini dan boleh menjejaskan kemeriahan. Banyak perkara yang boleh menyebabkan keracunan makanan ini. Untuk mengelakkan perkara ini daripada berlaku, makanan perlu dipastikan selamat bermula daripada pemilihan dan pembelian bahan mentah, penyediaan, penyimpanan, penyajian sehinggalah kepada pengendalian sisa makanan yang tidak diperlukan. Seharusnya, kita perlu menjadi pengguna yang bijak memilih disamping mementingkan mutu dan keselamatan makanan. Ini adalah selaras dengan tuntutan agama agar manusia mementingkan soal kebersihan dan manfaat sesuatu makanan. Tidak kurang juga ada yang mengadu pening kepala, kembung perut, sesak nafas dan mual. Ini semua adalah kesan daripada pengambilan makanan yang terlampau dan tidak teratur. Sepatutnya, perut diisi oleh satu pertiga makanan, satu pertiga air dan satu pertiga udara, namun apabila kesemua ruang perut diisi oleh makanan sudah pasti akan menimbulkan ketidakselesaan. Jadi, dimanakah silap nya disebalik pelbagai saranan pemakanan yang sihat yang diikuti sepanjang Ramadhan sebagai panduan termasuk juga apa yang disarankan oleh agama? Oleh kerana nafsu makan yang menggelodak, kita lebih suka memenuhi selera daripada memikirkan kesan yang akan timbul.
Rasulullah SAW pernah bersabda, "Kami adalah suatu kaum yang tidak makan sebelum kami lapar dan sekiranya kami makan tidak pula sampai kekenyangan." (hadis riwayat Abu Dawud). Konsep yang dianjurkan oleh Rasulullah SAW ini patut kita amalkan dalam menghadiri majlis jamuan rumah terbuka dan seterusnya mengekalkan amalan tersebut walaupun bukan lagi di musim perayaan.
Walaupun kita masih lagi sibuk memenuhi undangan rumah terbuka atau pun kita yang menjadi penganjur atau tuan rumah, kita seharusnya sedar akan kepentingan pemakanan yang sihat lebih- lebih lagi kita baru tamat daripada ujian pada bulan Ramadan dan sepatutnya ia diambil sebagai iktibar. Sebagai penganjur jamuan rumah terbuka, kita boleh menghidangkan pelbagai jenis makanan dalam cara penyediaan yang berbeza seperti bakar, kukus, panggang dan lain- lain. Ini kerana, penyediaan seperti ini adalah lebih sihat dan boleh mempelbagaikan hidangan. Perlu diingatkan, makan secara perlahan-lahan kerana makan secara gelojoh akan menyebabkan seseorang lebih cenderung makan dengan banyak. Disamping itu, kita boleh memilih hidangan minuman berasaskan jus atau perahan buah segar kerana ia mengandungi banyak vitamin dan zat galian berbanding minuman yang berperisa. Dan semestinya kita perlu mengelakkan daripada mengambil makanan dalam kadar yang banyak kerana ia akan memberi beban kepada perut untuk mencerna selepas berpuasa selama sebulan. Yang penting, pemilihan makanan yang seimbang mengikut piramid makanan adalah lebih tepat.
Seharusnya, bulan Ramadan yang telah kita lalui menjadi penjana kepada pengekalan kesihatan jasmani mahupun rohani. Ramadan menjadi kem pentarbiyahan diri dalam soal yang berkaitan makanan biarpun ia seringkali menjadi unsur yang tidak dianggap penting oleh sesetengah individu. Kesihatan diri perlu dijaga dengan lebih baik selepas berakhirnya bulan Ramadan lebih- lebih lagi di musim perayaan kita lebih cenderung mengikut hawa nafsu apabila melihat pelbagai juadah yang memungkinkan kesihatan kita terancam. Oleh itu, jadikanlah Syawal yang sedang kita lalui sekarang sebagai satu titik tolak untuk penjagaan kesihatan yang lebih baik melalui pemakanan yang sihat.
Sumber: IKIM
~ UTAMAKAN KESiHATAN ~
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Kongsikan komen anda di sini...