PAGE

Khamis, November 06, 2008

Bahaya pendarahan ketika hamil

Keguguran mungkin berlaku jika tiada rawatan segera

SEBARANG perubahan pada kehamilan seperti pendarahan perlu dirujuk kepada doktor, sama ada sedikit atau sebaliknya, kerana ia mengundang bahaya kepada kandungan serta ibu. Apa yang membimbangkan ia mungkin petanda kepada penyakit lain yang lebih serius.

Pakar Obstetrik dan Ginekologi, Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia, Dr Ani Amelia Zainuddin, berkata jika seseorang wanita itu hamil, sepatutnya si ibu tidak mengalami sebarang pendarahan langsung sewaktu kehamilannya. Bagaimanapun pendarahan ada juga berlaku di kalangan wanita tetapi peratusannya terlalu kecil, dengan kira-kira 20 hingga 30 peratus wanita akan mengalami pendarahan sewaktu tempoh kehamilannya. Bagaimanapun, sebarang pendarahan yang berlaku melalui faraj sama ada sedikit; bertompok-tompok saja ataupun lebat sehingga perlukan pemakaian pad, adalah abnormal dan disarankan supaya segera berjumpa doktor.

Pendarahan pada awal kehamilan, iaitu pada trimester pertama iaitu tiga bulan pertama, sama ada sedikit atau banyak, adalah tidak normal dan wanita yang mengalaminya disarankan berjumpa doktor dengan segera. Ia boleh berlaku akibat beberapa sebab termasuk ‘implantasi embryo’, keguguran, hamil luar rahim, hamil molar dan sebagainya. Implantasi embryo atau pelekatan janin boleh mengakibatkan pendarahan. Pada peringkat awal mengandung iaitu lebih kurang seminggu selepas konsepsi berlaku, iaitu tiga minggu selepas hari pertama haid terakhir. Pelekatan janin pada dinding rahim menyebabkan dinding rahim mengalami pendarahan yang sedikit dan selalunya tidak merbahaya dan tidak perlu rawatan, cuma perlu teruskan pengambilan asid folik.

Paling kerap pendarahan dikaitkan dengan keguguran. Jika wanita itu mengalami pendarahan yang sedikit iaitu bertompok-tompok sahaja - ini boleh disebabkan oleh ancaman keguguran (threatened abortion). Doktor demikian akan memeriksa wanita ini dan mendapati pintu rahimnya (serviks) tutup dan kandungan janinnya masih hidup. Doktor akan menasihati wanita ini untuk berehat dan mungkin memberikannya hormon dalam bentuk ubat untuk menguatkan rahimnya. Wanita ini perlu teruskan pengambilan ubat asid folik. Wanita ini dinasihati untuk mengelakkan dari hubungan kelamin dan membuat kerja atau aktiviti berat. Risiko wanita yang mengalami ancaman keguguran untuk mengugurkan kandungannya lebih kurang 50 peratus. Maksudnya, wanita ini samada boleh teruskan kehamilannya seperti biasa dan melahirkan anak yang sihat ataupun akan gugur juga. Keguguran akan berlaku jika beliau mengalami pendarahan yang semakin banyak, mengeluarkan tisu ataupun darah beku dari farajnya dan merasai kekejangan (cramps) di bahagian pelvis.

Wanita ini perlu berjumpa doktor dengan segera untuk diperiksa dan menerima rawatan. Jika kegugurannya tidak lengkap, si ibu perlu menjalani prosedur pembedahan untuk membersihkan yang tertentu. Jika wanita ini mempunyai kumpulan darah jenis Rhesus negatif, si ibu perlu suntikan anti-D (Rhogam) selepas kegugurannya.

Missed abortion pula adalah keadaan di mana janin tidak terbentuk ataupun janin sudah tidak hidup lagi dan wanita itu belum lagi mengugurkannya, oleh itu wanita itu hanya mengalami pendarahan yang sedikit saja. Ultrasound scan selepas pemeriksaan boleh membuat diagnosea ini. Selalunya doktor akan mengulangi ultrasound scan dalam masa 1-2 minggu untuk mengenalpasti keadaan ini memang sudah berlalu. Rawatan membabitkan kemasukan ubat ke dalam faraj untuk menyebabkan dilasi serviks diikuti dengan D&C. Kadangkala pengambilan ubat sudah memadai untuk melengkapkan penguguran. Bagaimanapun selain keguguran pendarahan juga boleh disebabkan banyak perkara termasuk janin dan sejarah kesihatan wanita itu sendiri.

Dua sebab utama pendarahan berlaku pada peringkat pertengahan atau lewat kehamilan iaitu selepas 24 minggu pula, disebabkan Abrupsi plasenta (placental abruptio) dan Plasenta previa major (major placenta praevia). Abrupsi plasenta adalah keadaan kecemasan ini berlaku apabila uri terpisah atau tercabut daripada pelekatannya di dinding rahim wanita sebelum berlakunya kelahiran bayi. Plasenta (uri) adalah organ yang memberi bekalan oksigen dan nutrien kepada bayi. Oleh itu, abrupsi plasenta boleh menyebabkan bayi lemas akibat ketiadaan bekalan oksigennya apabila uri terpisah. Wanita itu akan mengalami kesakitan di bahagian abdomennya dan pendarahan melalui farajnya. Keadaan ini membahayakan nyawa ibu dan anak. Keadaan ini ada kaitan dengan masalah yang dihadapi oleh ibu sewaktu kehamilannya seperti tekanan darah tinggi, anaemia (kekurangan darah), kurang pengambilan asid folik, merokok dan trauma. Untuk menyelamatkan ibu dan anak jika pendarahan yang berlaku banyak, pembedahan Caesarean section perlu dijalankan dengan segera dan mungkin juga perlukan kemasukan darah dan pengstabilan keadaan ibu sebelum pembedahan berlaku.

Plasenta previa major berlaku apabila kedudukan plasenta adalah di bahagian bawah rahim, di mana ia menutupi samada sebahagian ataupun keseluruhan pembukaan serviks. Disebabkan uri ini menghalang kepada bayi daripada memasuki pelvis ibunya, bayi ini hanya boleh dilahirkan melalui pembedahan caesarean section sahaja. Selalunya keadaan pendarahan berbeza, adakalanya sedikit, dan adakalanya banyak. Pendarahan pula boleh berlaku pada bila-bila masa dan lazimnya berulang selepas beberapa hari atau minggu. Disebabkan ini, wanita ini perlu dimasukkan ke hospital yang mempunyai tabung darah dan pakar obstetrik, anasesthetik dan pediatrik untuk mengawasi keadaan ibu dan anak. Jika kedua-dua ibu dan anak sihat, pembedahan Caesarean akan dijalankan pada minggu ke 38 kehamilan. Wanita yang berisiko mengalami plasenta praevia adalah wanita yang pernah mengalaminya dulu, wanita yang pernah melalui pembedahan pada rahimnya seperti D&C, Caesaean section dan pembuangan fibroid, mengandung anak kembar, wanita merokok, wanita yang berusia tinggi iaitu melebihi 35 tahun, pengambilan dadah dan sebab tidak di kenalpasti.

Justeru, wanita yang mengalami sebarang perubahan khususnya pendarahan perlu segera mendapatkan nasihat daripada doktor kerana pelbagai rawatan boleh diperoleh seperti menguatkan rahim, mendapat cuti rehat secukupnya dan sebagainya.

INFO

Pendarahan boleh menjadi petanda kepada masalah lain kepada kandungan antaranya:

  • Kehamilan luar rahim / ektopik - Ia adalah satu keadaan kecemasan di mana kehamilan berlaku di luar rahim, selalunya di dalam salah satu tiub Fallopia. Doktor boleh mengesan kandungan luar rahim ini dengan memeriksa wanita ini dengan ultrasound (kaedah menggunakan imbasan bunyi) dan memantau paras HCG di dalam darahnya. HCG adalah hormon yang dihasilkan sewaktu kehamilan. Wanita yang mengalami keadaan ini biasanya mengadu sakit di bahagian pinggang atau pelvis (kadangkala tidak merasa sakit pun) dan mengalami pendarahan sedikit. Apabila janin semakin membesar di dalam tiub fallopia yang tidak boleh mengembang, ini menyebabkan tiub itu pecah dan wanita itu mengalami pendarahan yang banyak di dalam pelvisnya sehingga boleh menyebabkan renjatan (shock). Wanita itu kelihatan pucat, pengsan dan jika tidak mendapat rawatan dengan segera, boleh menyebabkan kematiannya. Rawatan yang diperlukan adalah transfusi darah dan pembedahan untuk membuang tiub yang terbabit. Kadangkala pula pendarahan ini berlaku secara sedikit-sedikit dan tidak memerlukan kemasukan darah tetapi masih memerlukan pembedahan. Ada juga kes dimana wanita itu diberikan ubat kemoterapi untuk mematikan janinnya di dalam tiub fallopia dan tidak memerlukan pembedahan tetapi ini adalah untuk kes-kes tertentu saja. Risiko wanita untuk menghadapi kehamilan luar rahim ini termasuklah mereka yang pernah mengalaminya (boleh berulang) wanita yang mengalami penyakit keradangan pelvis (pelvic inflammatory disease-biasanya disebabkan jangkitan kuman didalam rahim, tiub fallopia dan serviks), yang mengalami penyakit endometriosis dan pernah melalui pembedahan pada tiub fallopia.

  • Kehamilan molar (anggur) - Keadaan ini juga dikenali sebagai penyakit trofoblastik ataupun hydatidiform mole. Ia berlaku di mana ketumbuhan kandungan adalah abnormal dan bertindak seolah barah di mana ia boleh merebak dan menembus rahim, merebak ke otak dan sebagainya. Wanita ini akan mengalami pendarahan ketul-ketul tisu yang seolah-olah kelihatan seperti anggur - ataupun vesicles. Wanita itu akan mengalami loya dan muntah yang lebih dari biasa dan kadangkala menyebabkan tekanan darah menjadi tinggi. Keadaan ini perlukan rawatan segera dimana pembersihan rahim secara sedutan akan dijalankan (suction curettage) dan paras HCG dalam darah wanita itu perlu diawasi dengan lawatan susulan. Jika paras hormon ini meninggi ataupun tidak turun, wanita itu akan dirawat dengan kemoterapi.

  • Ektropion serviks (cervical ectropion) - Perubahan berlaku pada permukaan serviks yang menyebabkan pendarahan daripadanya berlaku. Wanita ini akan mengalami pendarahan sedikit saja dan doktor boleh mengenalpasti keadaan ini dengan memeriksa bahagian ini pada wanita itu dengan menggunakan alat spekulum. Keadaan ini tidak merbahaya kepada wanita ataupun kehamilannya. Sebab-sebab lain mungkin jangkitan pada serviks - (cervicitis), pendarahan selepas persetubuhan, polyp, dan juga adakalanya sebab tidak diketahui.

  • Sumber: BHarianOnLine 06/11/2008

    Tiada ulasan:

    Catat Ulasan

    Kongsikan komen anda di sini...