PAGE

Khamis, November 06, 2008

Penyusuan Susu Ibu dari Pandangan Islam

Apabila seorang bayi dilahirkan ke dunia ini, dia memerlukan ibunya. Bayi itu perlu diberi makanan yang diserap melalui darah ibunya semasa di dalam kandungan. Makanan ini telah ditukar dengan kehendak dan kuasa Allah kepada susu yang mengandungi semua kandungan penting dan perlu untuk tumbesaran bayi itu. Al-Quran ada menyebut tentang penyusuan ibu dan perhubungan antara bayi dan ibu susunya iaitu apabila ibunya tidak dapat menyusu dengan sebab-sebab tertentu maka ibu susu diupah untuk menyusuinya. Jika si ibu tidak dapat menyusukan anaknya sendiri, adalah menjadi tanggungjawap si bapa mencarikan ibu susu untuk anaknya.

Ini jelas dinyatakan dalam Al-Quran dari firman Allah SWT yang bermaksud, “Para ibu hendaklah menyusukan anak-anaknya selama dua tahun penuh, yaitu bagi yang ingin menyempurnakan penyusuan. Dan kewajiban ayah memberi makan dan pakaian kepada para ibu dengan cara yang makruf. Seseorang tidak dibebani melainkan menurut kadar kesanggupannya. Janganlah seorang ibu menderita kesengsaraan karena anaknya dan juga seorang ayah karena anaknya, dan waris pun berkewajiban demikian. Apabila keduanya ingin menyapih (sebelum dua tahun) dengan kerelaan keduanya dan permusyawaratan, maka tidak ada dosa atas keduanya. Dan jika kamu ingin anakmu disusukan oleh orang lain, maka tidak ada dosa bagimu apabila kamu memberikan pembayaran menurut yang patut. Bertakwalah kepada Allah dan ketahuilah bahwa Allah Maha Melihat apa yang kamu kerjakan.” (Surah Al-Baqarah, ayat 233).

“Dan Kami perintahkan kepada manusia (berbuat baik) kepada dua orang ibu-bapaknya; ibunya telah mengandungnya dalam keadaan lemah yang bertambah-tambah, dan menyapihnya dalam dua tahun. Bersyukurlah kepada-Ku dan kepada dua orang ibu bapakmu, hanya kepada-Kulah kembalimu.” (Surah Luqman, ayat 14)

“Kami perintahkan kepada manusia supaya berbuat baik kepada dua orang ibu bapaknya, ibunya mengandungnya dengan susah payah, dan melahirkannya dengan susah payah (pula). Mengandungnya sampai menyapihnya adalah tiga puluh bulan, sehingga apabila dia telah dewasa dan umurnya sampai empat puluh tahun ia berdoa: "Ya Tuhanku, tunjukilah aku untuk mensyukuri nikmat Engkau yang telah Engkau berikan kepadaku dan kepada ibu bapakku dan supaya aku dapat berbuat amal yang saleh yang Engkau ridai; berilah kebaikan kepadaku dengan (memberi kebaikan) kepada anak cucuku. Sesungguhnya aku bertobat kepada Engkau dan sesungguhnya aku termasuk orang-orang yang berserah diri.” (Surah Al-Ahqaaf, ayat 15)

Dari ayat “Para ibu hendaklah menyusukan anak-anaknya selama dua tahun penuh, yaitu bagi yang ingin menyempurnakan penyusuan.”, kita dapati pendirian seperti berikut:
  1. 1. Adalah kewajipan ibu untuk menyusui bayinya dan menyempurnakan haknya untuk menikmati dan mendapat kebaikan susu ibu, jika dia mampu.
  2. Tempoh penyusuan susu ibu bagi mereka yang ingin memenuhinya ialah dua tahun. Ini jelas dinyatakan dalam Surah Al-Baqarah, ayat 233, seperti yang dinyatkan di atas.
  3. Bapa sepatutnya membantu ibu yang sedang menyusu dengan menyediakan keadaan yang ibu itu perlukan untuk menyusu. Ini menunjukkan yang Islam menganggap penyusuan susu ibu itu sebagai kewajipan utama yang ibu patut laksanakan. Disini, ibu tidak patut dibebani dengan kerja yang lain. Adalah jelas di sini bahawa al-Quran sudah menjelaskan hak ibu yang sedang menyusu.
  4. Jika bapa tiada atau sudah meninggal dunia, salah seorang ahli keluarga (wali/waris anak) harus mengambil-alih tanggunggjawab terhadap bayi dan ibu untuk meneruskan penyusuan.
  5. Menceraikan susu adalah dibenarkan sebelum tamat tempoh dua tahun dengan syarat. Keputusan ini dibuat setelah mendapat persetujuan kedu-dua ibu dan bapa, setelah mereka membincangkan kebaikan dan keburukan keputusan yang dibuat serta cara untuk memberi penjagaan yang rapi kepada anak.
  6. Ibu yang mampu dan boleh menyusui bayinya adalah di galakkan mengupah orang lain untuk menyusukan bayinya. Islam memerintahkan bapa untuk memberi upah kepada ibu yang menyusukan anaknya. Dengan cara ini, Islam memastikan anak itu mendapat segala keperluannya dalam tempoh penyusuan itu.
Allah telah memenuhi segala keperluan bayi dan susu yang dihisap olehnya tiga hari pertama dalam kehidupan bayi. Buah dada ibunya akan menghasilkan sejenis cecair berwarna kekuningan iaitu kolestrum yang terdapat dalam kuantiti yang kecil. Cecair ini sudah cukup untuk memenuhi segala keperluan makanan bayi dalam hari-hari pertama kehidupannya. Tambahan pula ia membantu bayi untuk mula menerima dan mencernakan makanan yang dihisapnya. Dalam masa 24 jam buah dada ibu menghasilkan susu yang diperlukan untuk makanan bayi sehinggalah dia mencerai susu. Ibu yang enggan menyusui bayinya tanpa sebab yang munasabah telah mengabaikan satu tanggungjawab hakiki terhadap bayinya yang telah diamanahkan oleh Allah. Penyusuan susu ibu dapat menjalinkan perasaan keibuan dan memperkayakan sifat kasih sayang. Selain dari apa yang diperkatakan tadi, penyusuan susu ibu menggerakkan sistem penghadaman ibu untuk menghasilkan makanan untuk bayi, dengan itu juga mempertingkatkan kesihatan ibu tersebut. Penyusuan susu ibu juga boleh menolong mengembalikan ibu kepada keadaan asal (sebelum bersalin) dengan cepat dan mengurangkan risiko barah buah dada dan ovari.

PESANAN UNTUK KAUM BAPA

Ibu yang menyusu bayi sangat mengharapkan sokongan dan galakan anda. Sokonglah dia jika dia membuat keputusan untuk menyusu. Sebagai bapa, anda adalah orang yang paling penting dalam memberi sokongan dan bantuan kepada isteri. Menggalakkan isteri untuk menyusu sendiri adalah permulaan terbaik yang dapat anda berikan kepada bayi anda. Dorongan dan kesabaran anda akan mengeratkan lagi perhubungan kekeluargaan dan ini akan memberi didikan positif terhadap anak-anak anda secara tidak langsung. Di saat menimang cahaya mata baru inilah keadaan isteri anda cukup memerlukan anda. Sebagai ketua keluarga, anda perlu pastikan ahli-ahli keluarga yang lain turut memberi dorongan dan sokongan kepada isteri anda yang baru bersalin. Nenek, datuk dan ahli keluarga yang lain juga dapat membantu dengan cara begini:
  1. Belajar mengenai penyusuan ibu susu ibu dengan berbincang dengan ibubapa yang pernah melaluinya.
  2. Peringatkan ibu bahawa bulan pertama selepas kelahiran adalah masa untuk belajar mengenai penyusuan.
  3. Galakkan ibu untuk berehat. Ibu yang menyusu perlukan keseimbangan diantara aktiviti dan rehat.
  4. Cuba berikan bantuan dalam kerja-kerja seharian di rumah dan juga dalam penjagaan bayi.
Lindungi ibu dari mereka yang tidak bersetuju dengan penyusuan ibu. Perkara yang biasa didengar dan membuatkan para ibu rasa serba salah dalam usaha menyusukan bayi mereka adalah seperti:
  1. Adakah anda pasti susu anda mencukupi?
  2. Kenapa bayi anda seringkali lapar?
  3. Mungkin anda perlu memberinya susu botol/susu berformula
Berikan perhatian kepada anak-anak yang lain agar mereka tidak merasa tersisih. Cubalah mememahami tentang perubahan emosi yang dialami oleh wanita selepas kelahiran. Luahkan kata-kata perangsang untuk isteri seperti:
  1. "Saya rasa lega awak dapat menyusu anak kita."
  2. "Hari ini, biar saya saja yang masak."
  3. "Tak sangka awak ni seorang ibu yang baik."
  4. "Saya bangga bila tengok awak menyusu anak kita."
  5. "Pergi lah berehat. Biar saya saja yang mandikan anak kita."
Bagi menjamin kejayaan menyusu:-
  1. Dapatkan seberapa banyak maklumat mengenai penyusuan susu ibu sebelum kelahiran bayi anda.
  2. Bincang dengan isteri mengenai perkara-perkara yang membolehkan anda membantunya. Cuba kurangkan beban kerja rumah, saling membantu dan saling memahami antara satu sama lain.
BEBERAPA PANDUAN UNTUK BAPA

Bayi yang menyusu susu ibu, biasanya kurang mengalami masalah seperti berikut:-
  1. Alahan
  2. sakit telinga (otitis media)
  3. kerap sakit teruk dan dimasukkan ke hospital
  4. cirit birit dan sembelit
  5. kerosakan gigi.
Ini bererti anda:
  1. tidak perlu kerap berjumpa doktor
  2. menjimatkan wang perbelanjaan keluarga
  3. mempunyai masa yang terluang untuk diri sendiri dan keluarga
  4. adalah lebih mudah dan tenang untuk menjaga bayi yang sihat
Penyusuan susu ibu adalah yang terbaik untuk anak anda kerana:
  1. Susu ibu mengandungi segala khasiat yang diperlukan oleh bayi (sila rujuk entry khasiat-susu-ibu)
  2. Susu ibu berubah mengikut umur dan keperluan bayi.
  3. Susu ibu lebih mudah dihadam.
  4. Najis bayi menyusu susu ibu lebih lembut dan kurang berbau.
  5. Susu ibu melindungi bayi daripada bakteria dan jangkitan lain.
Sumber: http://www.susuanibu-pk.gov.my

1 ulasan:

  1. Salam,

    Saya ingin mengetahui sama ada wujudnya hukum yang mewajibkan kita menceraikan susu setelah cukup tempoh 2 tahun penyusuan. Dan bagaimana jikalau berlaku dimana kakaknya (umur lebih 2 tahun) turut menyusu sama? Maafkan saya kerana kekurangan ilmu dalam bidang ini & semoga saudara/i boleh menerangkan ataupun memaparkannya dalam blog ini berdasarkan 2 situasi yg berbeza seperti yg telah disebutkan. Saya dahului dengan ucapan Terima Kasih.

    BalasPadam

Kongsikan komen anda di sini...