PAGE

Selasa, Disember 02, 2008

Kisah seekor burung dan seekor cicak

~ gambar hiasan ~

Assalamualaikum warahmatullah,

Lanjutan daripada kisah Nabi Ibrahim a.s. di entry Kisah Nabi Ibrahim a.s., di sini saya kongsikan sekisah seekor burung dan seekor cicak semasa Nabi Ibrahim a.s. dibakar oleh kaumnya.

Semasa Nabi Ibrahim dibakar oleh kaumnya, ada seekor burung kecil (menurut hikayat, burung kecil tersebut adalah burung layang-layang atau dipanggil 'walit') yang menyaksikan peristiwa itu, lalu terus terbang
berulang-alik mencari air. Burung kecil itu menyedut dan mengisi air di dalam paruhnya lalu dilepaskannya ke atas unggun api yang membakar Nabi Ibrahim a.s. Itulah yang dilakukannya berulang-ulang kali, sehinggalah Nabi Ibrahim a.s. dikeluarkan daripada api.

Perbuatan burung kecil itu diperhatikan oleh
makhluk Allah yang lain, lantas bertanya kepada burung kecil itu, "Mengapakah kamu bersusah-payah berulang-alik mengambil air, sedangkan kamu tahu api besar yang membakar Nabi Ibrahim takkan terpadam dengan sedikit air yang kamu siramkan itu?"

Lalu dijawab oleh burung kecil, "Walaupun aku tahu aku tidak berupaya memadam api tersebut, namun aku mesti berusaha untuk menegakkan kebenaran atas kemampuan yang terdaya oleh diriku sendiri, Allah tidak akan bertanya sama ada aku berjaya memadamkan api itu ataupun tidak! Aku lebih takut kepada Allah kerana Allah akan menyoal aku nanti, kelak di hadapan Allah aku tidak akan dipertanggung-jawapkan kerana aku telah berusaha melakukan sesuatu apabila melihat kezaliman!"

Dan janganlah kita menjadi seperti cicak (yang terbang), yang bertindak jahat dengan menghembus-hembus kepada api yang membakar Nabi Ibrahim a.s. dengan harapan api akan menjadi marak lagi untuk terus membakar Nabi Ibrahim a.s. (walaupun sebenarnya hembusannya itu tidak membawa kesan ke atas api berkenaan.)

Firman Allah SWT :


قُلۡنَا يَـٰنَارُ كُونِى بَرۡدً۬ا وَسَلَـٰمًا عَلَىٰٓ إِبۡرَٲهِيمَ 

Maksudnya: Kami berfirman, "Hai api, jadilah engkau sejuk serta selamat sejahtera kepada Ibrahim!"
(Surah Al-Anbiya, ayat 69)


Nah! Sekarang pilihan di tangan kita, mahu jadi burung atau cicak?

Renung-renungkan dan selamat beramal!





Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Kongsikan komen anda di sini...