Assalamualaikum warahmatullahi Ta'ala Wabarakatuh....
Salam serta selawat ke atas Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam, ahli keluarga baginda serta salam kepada para sahabat yang berjuang menegakkan Islam di muka bumi ini.
Lanjutan daripada entry Nasib-malang-anak-tidak-sah-taraf, saya mendapat feedback yang mengatakan saya sengaja memperbesar-besarkan dan gembar-gemburkan isu ini. Saya pulak, ya?! Padahal, inilah yang dipaparkan di Kosmo!. Katanya lagi, "Apa yang kita lakukan untuk membantu anak anak ini? Adakah cukup dengan mengetahui angka angka yang terlibat? Adakah hanya dengan menyalahkan ibu dan ayah anak anak ini? Adakah cukup dengan melabel anak anak ini dengan label anak tak sah taraf seterusnya menghukum anak anak ini seumur hidup mereka seolah-olah mereka mewarisi kesilapan ayah dan ibu mereka sehinggakan mereka tidak layak untuk hidup bersama kita? Memang senang bagi kita bercakap dan menulis, dan menyebarkannya namun bagaikan tin kosong sekiranya tidak disusuli dengan tindakan yang konkrik. Yang penting tindakan."
Sebenarnya, banyak yang kita boleh lakukan untuk generasi remaja masa kini. Cuma kita mahu atau tidak mahu lakukan perubahan, itu saja. Saya ingin kongsikan komen yang diterima setelah keluarnya persoalan di atas, dari Abah Muizz Halim, "Memang sangat mudah untuk menulis, untuk berkata-kata, sebab tidak banyak pakai modal. Sebab itulah ramai antara kita suka guna frasa, 'Cakap memanglah mudah.' Saya tidak sangkal, bercakap, menulis, tanpa tindakan adalah mudah, dan mungkin tidak nampak kesannya, tapi setidak-tidaknya untuk yang membaca akan apa yang ditulis, sudah pasti terletak juga dibahu anda tanggungjawab untuk bertindak. Bukan nak suruh pergi cari anak-anak luar nikah ini dan jadikan anak angkat atau tampung perbelanjaan bulanan mereka (kalau itu yang boleh anda buat, sangat-sangat dihargai). Saya percaya ramai antara kita tidak sekuat itu untuk membuatnya, termasuklah diri saya sendiri. Tapi bertindak dengan mencegah perkara-perkara ini dari terjadi lagi, adalah satu impak yang kita boleh sumbangkan dalam mengatasi permasalahan ini, setidak-tidaknya untuk masa hadapan. Didik anak-anak anda, anak-anak saudara anda, cucu-cucu anda dan anak jiran-jiran anda (jika boleh), supaya statistik yang kita tengok beribu-ribu lemon jumlahnya itu tidak akan bertambah. Itulah peranan dan tindakan yang anda boleh bantu, supaya fakta dan statistik yang dikongsi itu bukan sekadar untuk dibaca semata, dan kemudian, kita pakat buat-buat lupa. Sekadar pandangan saya sahaja, yang juga sangat mudah dilontarkan. Tiada niat negatif."
Aduhai... Saya kurang pasti kenapa entry Nasib-malang-anak-tidak-sah-taraf dijadikan pertikaian, walau bagaimanapun, saya amat setuju dengan pandangan Abah Muizz Hakim. Tidak keterlaluan jika saya katakan cuma yang MAHU menggunakan akal saja dapat memberikan yang positif. Cuma kita yang berakal dan diberi kelebihan sedikit ilmu oleh Allah ini (insyaAllah) kena tahu bezakan persepktif yang betul dan tidak. Sebab kadang-kadang kerana cuba menerima perspektif manusia yang berbeza ini kita salah buat penilaian. Pernah dengar, "Alah tak apalah saya tak bertudung atau solat, bukan saya buat jahat atau saya kacau hidup orang!" atau "Alah, rilekslah, apa kamu kisah dia nak jadi gay ke nyah ke penkid ke apa ke, dia tak kacau hidup kamu, dia bukannya aniaya orang." Ini semua perspektif dan semoga kita dapat menilai perspektif dan pandangan yang betul dan salah.
Saya HAIRAN kenapa ada yang mempertikaikan apakah sumbangan saya pada masyarakat? Esok Allah tak tanya apa sumbangan rakan/musuh kamu kepada masyarakat, TETAPI Allah akan tanya, apa yang kamu sumbangkan kepada rakan/masyarakat/musuh kamu? Teringat saya kisah seekor burung yang bersusah payah memadamkan api yang membakar Nabi Ibrahim a.s. Yang ingin tahu lebih lanjut tentang ini, sila-silalah melawat entry Kisah-seekor-burung-dan-seekor-cicak.
Ikuti tazkirah kali ini....
Seorang bapa mengeluh penuh kehibaan dan kesedihan tatkala mengetahui anak remaja perempuannya terjebak dengan zina dan hamil empat bulan. Wajah ibu dan ayah menggambarkan kepiluan, di mana hendak diletakkan muka apabila maruah dicemari perlakuan anak. Malangnya, zina atau seks sebelum nikah menjadi fenomena biasa dalam masyarakat Islam hari ini.
Islam memberi ingatan bahawa malapetaka dahsyat bakal menimpa generasi muda yang terhasil akibat perlakuan zina. Syahwat seksual dan zina adalah seperti dadah dan kegilaan harta material, boleh membawa seseorang menjadi mabuk dan lupa segala-galanya. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Jika anak Adam punyai dua lembah dipenuhi emas, nescaya sudah tentu mereka akan inginkan yang ketiga dan tidak disumbatkan ke dalam perutnya kecuali tanah (mati).” (Hadis riwayat al-Bukhari).
Demikian juga perihal nafsu syahwat, penyakit dalaman yang serius serta amat sukar dirawat. Sebelum menjadi lebih parah kerana zina akan merosakkan keturunan manusia, Islam hadir dengan kaedah sad al-zara ei’ (menutup pintu) supaya segala kebejatan zina dihindari dan dijauhi. Allah berfirman yang bermaksud: “Dan jangan kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina adalah perbuatan yang keji dan jalan yang jahat (yang membawa kerosakan).” (Surah al-Isra’, ayat 32) Larangan zina yang digunakan dalam al-Quran seperti, “Jangan kamu mendekati zina” bukan “'Jangan melakukan zina”, menegaskan bukan hanya perzinaan dilarang, tetapi segala-gala yang menjadi pintu ke arah perlakuan itu perlu dijauhi. Contohnya, memandang aurat wanita, mendengar perkara yang boleh menaikkan nafsu seperti kelunakan suara (rayuan atau pujukan), bergaul bebas antara lelaki dan wanita atau berdua-duaan dengan bukan mahram.
Kecelakaan penzina turut dirakamkan Rasulullah SAW dalam sabda yang bermaksud: “Sesungguhnya tujuh petala langit dan bumi sama mengutuk orang yang selalu berzina dan bau kemaluan pelacur dalam neraka mengganggu ahli neraka kerana sangat busuk.” (Hadis riwayat al-Bazzar). Antara sifat orang mukmin ialah menjaga kemaluannya daripada zina kerana perbuatan itu termasuk dalam dosa besar di samping menyekutukan Allah, meminum minuman keras, berjudi, mencuri dan membunuh. Etika berpakaian juga harus dititik-beratkan. Pakaian Muslimah wajib memenuhi fungsi dasarnya iaitu menghindarkan seseorang daripada dorongan berahi kerana aurat yang tidak ditutup dengan sempurna mengundang rogol atau zina.
Hari ini seakan menjadi aliran kebanyakan pakaian generasi muda (ada juga yang berumur) terlalu pendek, ketat dan nipis. Fenomena seperti itu patut dicegah demi kesejahteraan seluruh masyarakat. Segala yang dikira boleh membawa kepada perzinaan seperti rumah pelacuran, disko dan rumah urut perlu dicegah atau ditutup. Jika tidak, berlaku perkara yang tidak diingini.
Merujuk buku Sirah Nabawiyyah Ibnu Hisyam Jilid 2, dinukilkan bahawa Rasulullah SAW ketika peristiwa Israk dan Mikraj memberi gambaran seksa bagi lelaki penzina. Sabda Baginda SAW yang bermaksud: “Kemudian aku melihat beberapa lelaki memegang daging gemuk yang bermutu, di sebelahnya terdapat daging kurus yang sudah busuk. Mereka memakan daging busuk itu dan meninggalkan daging gemuk yang bermutu. Aku bertanya kepada Jibril: Siapakah mereka wahai Jibril? Jibril menjawab: Mereka adalah orang yang meninggalkan wanita yang sudah dihalalkan oleh Allah terhadap mereka (isteri) dan pergi kepada wanita yang diharamkan oleh terhadap mereka.” (Hadis riwayat Ibnu Ishak daripada Said al-Khudri)
Rasulullah SAW turut memberi gambaran seksaan wanita yang membawa masuk lelaki bukan kalangan anak dan suami mereka. Baginda SAW bersabda yang bermaksud: “Kemudian aku melihat beberapa wanita yang digantung dengan payu dara mereka. Aku bertanya kepada Jibril: Siapakah mereka wahai Jibril? Jibril menjawab: Mereka adalah wanita yang membawa masuk lelaki yang bukan daripada kalangan anak, suami mereka (bukan mahram).” (Hadis riwayat Ibnu Ishak daripada Said al-Khudri)
Ibnu Ishak berkata: “Jaafar bin ‘Amru berkata kepadaku dari Qasim bin Muhammad bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Allah terlalu murka terhadap wanita yang membawa masuk ke atas ‘kaum’ (rumah tangga suami), lelaki yang bukan daripada kalangan mereka, kemudian dia memakan harta dan melihat aurat mereka.”
Wahai anak muda, ingat pesan orang tua, “Jika ingin melakukan sesuatu yang tidak baik, jangan fikir sekali, fikir dan perhalusi 1000 kali; Hari ini orang tidak nampak dan tahu apa yang kita lakukan, tetapi Allah Maha Mengetahui. Jadikan diri kita mukmin sejati yang tahu di mana kebaikan perlu dilakukan dan keburukan perlu dijauhi.”
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesiapa yang rasa gembira dengan amalan baik dan rasa buruk dengan perlakuan dosanya, itulah ciri mukmin sejati.” (Hadis riwayat at-Tirmidzi)
Akhirkata, ingatlah firman Allah SWT yang bermaksud, “Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari neraka yang bahan-bahan bakarannya ialah manusia dan batu (berhala); neraka itu dijaga dan dikawal oleh malaikat-malaikat yang keras lagi kasar (layanannya); mereka tidak pernah derhaka kepada ALLAH dalam setiap perkara yang diperintahkan-NYA kepada mereka dan mereka pula tetap melakukan segala yang diperintahkan.” (Surah al-Tahrim, ayat 6).
Semoga kita dan keluarga kita dilindungi Allah SWT hendaknya, aamiin.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Kongsikan komen anda di sini...