PAGE

Rabu, Januari 21, 2009

Hak Muslim: Wanita perlu mapan emosi jika sanggup bermadu

SOALAN

Janda yang mahu kahwin lagi patut sahkan status cerai dengan bekas suami di mahkamah

HAMPIR setahun saya hidup bersendiri selepas ditinggalkan suami dan tidak mempunyai anak. Alhamdulillah, baru-baru ini saya dilamar seorang lelaki untuk dijadikan isteri. Saya bersyukur dengan ketentuan Ilahi.

Persoalannya, saya ingin tahu bagaimanakah proses perkahwinan kami kerana bakal suami saya sudah mempunyai isteri. Saya juga bersyukur kerana isterinya dapat menerima saya sebagai madu. Apakah perkara yang perlu saya tahu supaya proses perkahwinan berjalan lancar.

Terima kasih.

Sabrina
Kuala Lumpur


JAWAPAN

ADA KALA hidup yang kita sangkakan panas hingga ke petang, rupanya hujan di tengah hari. Ada kala disangka kemarau berpanjangan, rupanya hujan mencurah-curah. Demikianlah rencah dan asam garam kehidupan.

Alhamdulillah, anda bertemu jodoh untuk kali kedua dan semoga berkekalan sehingga akhir hayat. Perkara pertama perlu dilakukan ialah memastikan status anda dengan bekas suami. Adakah sudah disahkan bercerai atau belum. Jika belum, anda perlu menyelesaikan perkara ini dulu.

Sementara bagi bakal suami pula, dia perlu mengemukakan permohonan poligami ke Mahkamah Tinggi Syariah Wilayah Persekutuan. Mahkamah akan memanggil isteri sedia ada untuk menyatakan pendiriannya, sama ada bersetuju atau tidak dengan cadangan perkahwinan poligami itu.

Seksyen 23 (4) Akta Undang-Undang Keluarga Islam Wilayah Persekutuan 1984 meletakkan empat syarat yang perlu dipenuhi sepenuhnya oleh suami yang berhasrat untuk berpoligami iaitu:

  • Perkahwinan itu patut atau perlu menurut hukum syarak.

  • Suami mampu dari segi kewangan untuk menanggung nafkah tanggungan yang sedia ada dan orang yang akan menjadi tanggungannya.
  • Suami berupaya memberi layanan sama rata dan adil kepada semua isterinya.

  • Perkahwinan yang dicadangkan itu tidak akan menyebabkan darar syarie (bahaya yang menyentuh isteri mengenai agama, nyawa, tubuh badan, akal fikiran, akhlak atau harta benda mengikut kebiasaan yang diakui hukum syarak) kepada isteri sedia ada.

    Penghakiman Jawatankuasa Rayuan Syariah dalam kes Aishah lawan Wan Mohd Yusof (1990)7 JH 152 menekankan semua syarat di bawah subseksyen itu.

    Faktor kemampuan kewangan antara perkara penting yang akan dilihat oleh mahkamah. Dalam kes Rajamah lawan Abdul Wahab (1990) 7 JH 171, Jawatankuasa Ulang Bicara Syariah di Selangor membatalkan kelulusan permohonan poligami suaminya kerana mendapati suami tidak mampu dari segi kewangan.

    Jika mahkamah berpuas hati dengan keempat-empat perkara itu, kebenaran berpoligami dikeluarkan dan anda boleh bernikah dengan bakal suami tanpa sebarang masalah perundangan.

    Sebagai orang yang bakal menjadi madu, anda juga perlu fikir dan renungkan perkara berikut:

  • Emosi dan perasaan kewanitaan anda yang berkongsi suami, berkongsi jasad dan jiwanya.

  • Hari tanpa suami di sisi, pada saat anda sakit pening, demam dan sebagainya.

  • Anda terpaksa menggilirkan sambutan hari raya bersama suami.

  • Apabila suami bercuti bersama isteri pertama dan anak mereka.

  • Apabila suami mungkin menyebut atau memuji madu anda atau anaknya di depan anda.

  • Adakah keluarga bakal suami boleh menerima anda seperti menerima isteri pertama.

    Niat anda berkahwin kali kedua untuk kekal lama atau sementara. Adakah benteng mental dan fizikal anda kuat dan mapan untuk menghadapi perkara dinyatakan di atas. Katakan anda gagal dan mengambil keputusan bercerai dengan suami, tidakkah pisang berbuah dua kali?

    Sebelum mengambil keputusan sama ada untuk meneruskan atau tidak hasrat berpoligami itu, anda dan bakal suami sama-samalah membaca dan melihat tafsir al-Quran yang bermaksud: "Dan jika kamu takut tidak akan dapat berlaku adil terhadap anak yatim, maka kahwinilah wanita yang kamu senangi, dua, tiga atau empat, tetapi jika takut tidak dapat berlaku adil (terhadap isteri), maka kahwinilah seorang saja, yang demikian itu adalah lebih dekat kepada tidak berbuat aniaya." (Surah an-Nisa', ayat 3)

    Firman Allah bermaksud: "Dan kamu sekali-kali tidak dapat berlaku adil antara isteri-isteri, walaupun kamu sangat ingin berbuat demikian." (Surah an-Nisa', ayat 129)

    Jawapan disediakan Setiausaha Agung Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), Tuan Musa Awang. Lanjut sila layari http://www.peguamsyarie.org

  • Sumber: BHarianOnLine 2009/01/21

    1 ulasan:

    1. Adakah undang-undang keluarga islam yang diamalkan di malaysia tidak membela nasib isteri kedua? Dari semua artikel yg saya baca, isteri pertama sentiasa terbela haknya. Bagaimana dengan nasib isteri kedua? Adakah isteri kedua layak ditindas setelah tertipu dengan kata-kata manis suami sebelum menikahi? Adakah begini ajaran islam sebenar-benarnya?

      BalasPadam

    Kongsikan komen anda di sini...