PAGE

Isnin, Februari 09, 2009

Amru bin Luhay mulakan sembah berhala

Sirah Nabawi Bahagian 5

Kesinambungan dari kisah pembinaan Kaabah oleh Nabi Allah Ibrahim dan putera baginda, Nabi Ismail lazimnya membawa kepada kisah sejarah keturunan Nabi Muhammad SAW yang berasal dari Nabi Ismail itu.

Namun adalah lebih penting untuk kita membicarakan terlebih dahulu mengenai keadaan sosio budaya masyarakat Arab Jahiliah sebelum keputeraan Nabi Muhammad itu.

Ini kerana terdapat fenomena dahsyat yang melanda masyarakat Arab yang membawa kepada perlunya Islam diturunkan bagi menyelamatkan bangsa Arab dan manusia keseluruhannya.

Walaupun puas diceritakan dan digambarkan mengenai perilaku dan aktiviti masyarakat Arab itu namun yang lebih menimbulkan persoalan bagaimana suku-suku atau kabilah di Tanah Arab. Asalnya mereka adalah pengikut agama Nabi Ibrahim dan Ismail (dikenali sebagai agama Hanif) akhirnya menjadi masyarakat yang melakukan perbuatan yang paling sia-sia iaitu menyembah berhala?

Firman Allah yang bermaksud: Benarlah (apa yang difirmankan oleh) Allah, maka ikutilah kamu akan agama Nabi Ibrahim yang hanif, iaitu ikhlas (berdasarkan tauhid) dan bukanlah ia dari kalangan orang yang musyrik. (ali-‘Imran: 95)

Sewajarnya apabila sebahagian besar masyarakat Arab itu merupakan keturunan anak cucu Nabi Ibrahim dan Ismail, mereka sepatutnya mewarisi dan mempertahankan agama dan selok belok agama itu yang bertauhidkan kepada Allah itu.

Namun akibat tempoh masa sehinggalah membawa kepada kelahiran Nabi SAW menyebabkan masyarakat Arab di zaman pra Islam mencampurkan yang batil ke dalam yang hak sama ada disedari atau tidak.

Mereka akhirnya menyembah berhala disebabkan sebahagian besar dari masyarakat Arab itu telah melupai mengenai ajaran Nabi Ibrahim dan puteranya itu.

Golongan kedua pula mereka masih berpegang dengan ajaran Hanif tetapi hanya kepada perkara yang asas-asas sahaja seperti kepercayaan monoteisme.

Golongan kedua ini didapati masih mempercayai Allah sebagai salah satu akidah. Namun dalam masa yang sama mereka mensyirikkan Allah, menyekutukan-Nya dengan menyembah berhala.

Golongan ini disebutkan Allah dalam firman-Nya yang bermaksud:

- Sekiranya engkau bertanyakan mereka: Siapakah yang menciptakan langit dan bumi? Nescaya mereka berkata: Allah! (Luqman: 25)

- Sekiranya engkau bertanyakan mereka: Siapakah yang menjadikan mereka? Nescaya mereka berkata: Allah. (az-Zukhruf: 87)

- Katakanlah: Siapakah yang memberikan rezeki kepada kamu daripada langit dan bumi atau siapakah yang berkuasa (mencipta) pendengaran dan penglihatan, siapakah yang mengeluarkan hidup dari mati dan mengeluarkan mati dari hidup, siapakah yang mentadbir semua ini? Nescaya mereka berkata: Allah. (Yunus: 31)

Walaupun mereka mengetahui mengenai Allah malah mengakui segala kebenaran mengenai soal ketauhidan kepada Allah namun mereka tidak beriman dengan benar. Mereka lebih memilih untuk memperhambakan diri kepada ilah-ilah yang lain dari Allah dengan terus meninggalkan syariat-syariat-Nya.

Akibatnya, mereka inilah yang kadang kala dimaksudkan sebagai Jahililiyyun atau Arab yang jahil.

Tetapi tahukah anda sejarah bermulanya penyembahan terhadap berhala ini? Semua ini tidak akan berlaku jika tidak ada individu tertentu yang bertanggungjawab memperkenalkan berhala untuk disembah.

Individu yang mula-mula atau pertama memasukkan syirik dan mengajak bangsa Arab menyembah berhala merupakan Amru bin Luhay bin Qamaah, iaitu pemimpin kepada Suku atau Bani Khuzaah.

Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah, Rasulullah SAW bersabda: “...Amru itu kafir, sesungguhnya dialah yang mula mengubah agama Islam dengan memasang berhala, mencipta Bahira, Saibah, Wasilah dan Hammi (unta-unta dan kambing betina yang dihadiahkan kepada berhala, haiwan itu dihormati, tidak boleh ditunggang, tidak boleh diminum susunya dan bebas makan rumput di mana juga.”

Kisahnya apabila Amru ke negeri Syam atas urusan perniagaan dan apabila dia tiba di Maab di daerah Bariqa yang didiami oleh suku Amaliq, iaitu anak cucu Amliq bin Lawaz bin Sam bin Nuh a.s. Beliau tertarik dengan perbuatan menyembah berhala yang dilakukan oleh suku Amaliq itu.

“Apakah yang kamu sembah itu?,” tanya Amru. “Inilah yang namanya patung berhala, kami menyembahnya untuk meminta diturunkan hujan maka berhala ini telah menurunkan hujan untuk kami sehingga menyuburkan semula tanah dan tanaman kami,” jawab mereka.

Lalu Amru meminta dari kaum itu supaya diberikan satu daripada berhala-berhala yang ada di situ untuk dibawa pulang dan dijadikan penyembahan di kalangan suku Arab di sekitar Tanah Hijaz pula.

Sebuah patung berhala yang bernama Hubal diberikan kepada Amru untuk dibawa pulang. Itulah patung berhala pertama disembah oleh penduduk Mekah. Lebih-lebih lagi apabila patung itu telah diletakkan di dalam Kaabah.

Soalnya, bagaimana penduduk itu begitu mudah menerima konsep menyembah berhala sedangkan mereka sedar bahawa Nabi Ibrahim sendiri sanggup bergalang nyawa menghapuskan amalan menyembah berhala yang dilakukan oleh kaumnya, Namrud dahulu?

Ini mungkin disebabkan faktor keperibadian Amru itu sendiri. Sebagai pemimpin suku, beliau sebenarnya seorang yang banyak melakukan amal kebajikan, bersedekah dan memelihara kehormatan agama suku kaumnya. Ini menyebabkan pengikut dan penduduk Arab yang lainnya menyangka Amru seorang yang bertaraf sangat mulia lalu apa sahaja yang dibawa dan diminta ditaati oleh Amru dipatuhi oleh mereka tanpa perlu banyak soal lagi.

Bagi Amru pula dikatakan beliau tertarik kepada berhala itu kerana menyangka ia suatu kebenaran yang boleh diterima memandangkan Syam adalah bumi para rasul dan nabi serta bumi yang diturunkan kitab-kitab terdahulu. Jadi tanpa berfikir panjang, Amru pun membawa pulang berhala tersebut.

Namun apa yang disaksikan selepas itu tersebarnya perbuatan syirik dan pelbagai kepercayaan khurafat menggantikan pegangan mereka selama ini terhadap agama Ismail. Kesesatan akidah menyebabkan mereka semakin menyimpang dan menjadikan masyarakat Arab yang dianggap sudah bertamadun dalam aspek ekonomi, perdagangan namun mereka memundurkan diri dari aspek keimanan!

Penyembahan berhala semakin merebak sehingga ke seluruh Hijaz kerana mereka mahu menurut jejak langkah penduduk Mekah disebabkan penduduk Mekah adalah penguasa Kaabah dan penduduk Tanah Haram.

Jumlah berhala semakin bertambah dengan dikatakan terdapat tiga berhala paling besar dan paling tua di seluruh Tanah Arab itu. Iaitu Manat di al Musyallal di pesisiran Laut Merah berhampiran Qudayd. Kedua, al Latta di Taif dan seterusnya al Uzza di Wadi Nakhlah.

Amru sendiri dikatakan dapat melihat jin yang telah memberitahunya bahawa berhala-berhala kaum Nuh iaitu Wadd, Suwa, Yaguth dan Nasr ada tertanam di Jeddah. Lalu Amru pun pergi mencari dan menggali semula patung-patung itu untuk diberikan kepada kabilah-kabilah yang datang semasa musim haji.

Akhirnya setiap kabilah dan rumah memiliki berhala masing-masing sehinggalah di zaman Rasulullah, didapati terdapat hampir 360 buah berhala diletakkan di sekitar Kaabah. Ini menyebabkan baginda bertindak memusnahkan kesemua berhala itu sejurus Islam menguasai Kota Mekah.

Ada yang meminta supaya masyarakat Arab Jahiliah ini tidak dipersalahkan kerana jika tidak gara-gara Amru mereka dikatakan akan tetap pertahankan agama Ibrahim.

Namun, oleh kerana mereka menyangka bahawa segala yang diada-adakan oleh Amru adalah termasuk dalam bidaah yang baik dan bukannya mengubah agama Nabi Ibrahim.

Antara tradisi mereka dalam penyembahan berhala:

1) Iktikaf di hadapan berhala-berhala untuk mengadu pelbagai hal. Mereka berdoa supaya berhala untuk memenuhi hajat mereka kerana berhala-berhala itu dianggap sebagai juru syafaat (perantaraan) di sisi Allah.

2) Mereka menunaikan haji kepada berhala-berhala itu serta bertawaf mengelilinginya. Mereka merendahkan diri di sisi-sisi berhala dan sehinggalah sanggup sujud di hadapan patung-patung itu.

3) Selain membawa makanan untuk dipersembahkan kepada berhala-berhala itu, mereka juga bertaqarrub kepada berhala-berhala itu dengan pelbagai jenis korban. Mereka melakukan penyembelihan dan berkorban untuk berhala dengan menyebut nama berhala-berhala itu.

4) Mereka juga bertaqarrub kepada berhala-hala itu untuk tujuan bernazar terhadap tanaman dan haiwan ternakan mereka.

Begitupun mereka telah terlalu jauh tersasar dalam kesesatan yang terlalu nyata. Untuk mengembalikan mereka ke pangkal jalan kebenaran adalah yang paling getir seperti yang ditempuhi oleh Rasulullah!

Untuk keluaran akan datang ketahuilah bagaimana bermulanya detik keganasan kaum Yahudi seperti yang mereka lakukan sehingga ke hari ini. Jika hari ini mereka menumpukan umat Islam sebagai musuh dan sasaran serangan mereka namun sejarah menunjukkan Yahudi tidak pernah memilih musuh. Malah terlebih dahulu yang menjadi mangsa pembunuhan Yahudi secara genosid, merupakan penganut Kristian. Iaitu seramai 20 hingga 30,000 penganut Kristian dibunuh oleh Yahudi dalam satu peristiwa seperti yang tercatat dalam surah al Buruuj, ayat 4.

Dalam ayat itu, Yahudi telah dicela oleh Allah SWT.

Sumber : http://www.utusan 09/02/2009

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Kongsikan komen anda di sini...