PAGE

Ahad, Februari 08, 2009

Mencari rezeki halal sara keluarga dianggap jihad

Oleh Mohd Kamel Mat Salleh

Muslim digalak kumpul harta ikut ketetapan syarak, ikhlas bantu golongan memerlukan

ISLAM tidak mengetepikan persoalan mengumpul harta kerana ia adalah sumber kehidupan. Justeru, ada manusia tidak berhenti memikirkan apa yang bakal mereka peroleh hari ini, esok dan waktu mendatang.

Kehendak ini pasti tidak dapat dielakkan kerana ia termasuk daripada sifat semula jadi manusia yang cinta dan sayangkan harta. Jika tidak, masakan Allah berfirman yang bermaksud: "Harta benda dan anak pinak itu ialah perhiasan hidup di dunia." (Surah al-Kahfi, ayat 46)

Melihat kepentingan pemilikan harta, Allah berfirman yang bermaksud: "Kemudian selepas selesai sembahyang, maka bertebaranlah kamu di muka bumi (untuk menjalankan urusan masing-masing) dan carilah apa yang kamu hajati daripada limpah kurnia Allah." (Surah al-Jumuah, ayat 10).

Harta dalam konteks Islam bukan sekadar dalam bentuk wang, malah anak, isteri, binatang ternakan, hasil tanaman termasuk kategori harta. Dalam usaha mengumpul harta, Allah menyeru supaya memperolehnya daripada sumber halal, tidak mengabaikan tuntutan-Nya serta menjaga batas akhlak.

Hal ini boleh dirangkumkan melalui firman Allah yang bermaksud: "Wahai orang beriman, jangan kamu dilalaikan oleh (urusan) harta benda kamu dan anak pinak kamu daripada mengingati Allah (dengan menjalankan perintah-Nya) dan ingatlah sesiapa yang melakukan demikian, maka mereka itulah orang yang rugi." (Surah al-Munafiqun, ayat 9).

Firman Allah lagi, "(Ibadat itu dikerjakan oleh) orang yang kuat imannya yang tidak dilalaikan oleh perniagaan atau berjual beli daripada menyebut serta mengingati Allah dan mendirikan sembahyang serta memberi zakat, mereka takutkan hari (kiamat) yang padanya berbalik-balik hati dan pandangan." (Surah al-Nur : 37).

"Dan apabila mereka mengetahui kedatangan barang dagangan (yang baru tiba) atau (mendengar) sesuatu hiburan, mereka bersurai (lalu pergi) kepadanya dengan meninggalkan engkau berdiri (di atas mimbar berkhutbah), katakanlah (wahai Muhammad), pahala (balasan) yang ada di sisi Allah lebih baik daripada hiburan dan barang dagangan itu, dan Allah sebaik-baik pemberi rezeki." (Surah al-Jumuah : 11).

Islam melarang perbuatan mengumpul harta untuk kepentingan peribadi dengan mengabaikan keperluan kepada insan yang memerlukan. Dalam merealisasikan hal ini, wujud hukum zakat, sedekah, wakaf, hadiah dan hibah untuk tujuan sumbangan kepada golongan yang memerlukan.

Dalam aspek pengajaran Islam, setiap larangan itu ada hikmahnya dan setiap tegahan pasti ada suruhan bagi memperoleh manfaat yang baik.

Justeru, Islam menyanjung tinggi usaha seseorang hamba mencari rezeki hasil titik peluhnya sendiri. Sunnah nabi membenarkan hal ini seperti dilakukan Nabi Daud dan junjungan besar Nabi Muhammad SAW yang mencari rezeki hasil usaha tangannya sendiri.

Amalan mulia ini dinilai oleh Allah SWT sebagai jihad fi sabilillah. Riwayat daripada Kaab Umrah, beliau berkata, Nabi Muhammad SAW lalu di hadapan seorang lelaki dan sahabat melihat lelaki itu bekerja dengan keadaan gagah dan cergas. Sahabat bertanya: Wahai Rasulullah, adakah lelaki itu dinilai sebagai jihad di jalan Allah?

Sabda Rasulullah SAW: Jika dia keluar mencari rezeki untuk anak yang kecil, maka dia berada di jalan Allah. Jika dia keluar mencari rezeki untuk kedua ibu bapanya yang tua, maka dia berada di jalan Allah. Jika dia keluar mencari rezeki untuk dirinya sendiri, maka dia berada di jalan Allah, dan jika dia keluar mencari rezeki dengan perasaan riak dan membangga diri, sesungguhnya dia berada di jalan syaitan." (Riwayat al-Tabrani).

Untuk memastikan pencarian rezeki itu mendatangkan pahala, Sayyid Sabiq dalam bukunya Unsur Kekuatan Dalam Islam meletakkan dua syarat:

  • Tidak lalai daripada melaksanakan hak Allah dan berpegang kepada nilai akhlak salih yang dianjurkan Islam. Ini bertepatan dengan firman Allah SWT dalam tiga ayat yang dinyatakan sebelum ini iaitu ayat 9 Surah al-Munafiqun, ayat 37 Surah al-Nur dan ayat 11 Surah al-Jumuah.
  • Sumber rezeki itu bertepatan dengan syarak dan tidak memudaratkan orang lain serta tidak melanggar undang-undang ditetapkan oleh pihak berkuasa.

Dengan sebab itu, amalan seperti riba, monopoli harta, hasil rezeki yang merosakkan akal, menipu dalam timbangan, merompak atau mencuri serta ragut dan memakan harta secara batil adalah sama sekali dilarang dan diharamkan.

Dalam memenuhi tanggungjawab sosial berhubung dengan pemilikan harta ini, Islam menggariskan beberapa tatacara dalam memastikan pengumpul harta menyalurkan harta yang dimilikinya kepada golongan memerlukan.

Ini termasuk melalui zakat, sedekah, wakaf, hibah, hadiah, derma atau segala yang berkaitan dengannya. Sesungguhnya segala sumbangan ini adalah manifestasi daripada suruhan Allah seperti yang wujud dalam wahyu-Nya.

Penulis ialah Penolong Pengarah, Pusat Pemantapan Akidah (Jakim), Jelebu, Negeri Sembilan

Sumber: BHarian 2009/02/08

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Kongsikan komen anda di sini...