PAGE

Sabtu, Mac 07, 2009

Doa Nabi Yunus


Assalamualaikum warahmatullah,

Hari ini saya kongsikan tasbih Nabi Allah Yunus ketika di dalam perut ikan Nun, yang dipercayai amat bagus untuk dijadikan zikir sepanjang kehamilan dan ketika hampir melahirkan.


وَذَا ٱلنُّونِ إِذ ذَّهَبَ مُغَـٰضِبً۬ا فَظَنَّ أَن لَّن نَّقۡدِرَ عَلَيۡهِ فَنَادَىٰ فِى ٱلظُّلُمَـٰتِ أَن لَّآ إِلَـٰهَ إِلَّآ أَنتَ سُبۡحَـٰنَكَ إِنِّى ڪُنتُ مِنَ ٱلظَّـٰلِمِينَ

Dan (ingatlah kisah) Zun Nun (Yunus), ketika ia pergi dalam keadaan marah, lalu ia menyangka bahwa Kami tidak akan mempersempitnya (menyulitkannya), maka ia menyeru dalam keadaan yang sangat gelap: "Bahawa tidak ada Tuhan (yang berhak disembah) selain Engkau. Maha Suci Engkau, sesungguhnya aku adalah termasuk orang-orang yang zalim." [21:87]

Ibnu sunni meriwayatkan: Rasulallah SAW telah menerangkan bahawa barang siapa yang membaca kalimah ini, orang itu akan dilapangkan Allah dari segala kesempitan. Kalimah itu ialah doa yang diucapkan oleh nabi Allah Yunus ketika di dalam perut ikan Nun. Iaitu :

لَا إِلَهَ إِلَّا أَنْتَ سُبْحَانَكَ إِنِّي كُنْتُ مِنَ الظَّالِمِينَ

(La ilaha illa anta. Subhanaka inni kuntu minaz zolimin)

Ertinya: "Bahwa tidak ada Tuhan (yang berhak disembah) selain Engkau,
ya Allah. Maha Suci Engkau, sesungguhnya aku adalah termasuk orang-orang yang zalim." (Surah Al-Anbiya' (21), sebahagian ayat 87)

Menurut riwayat, nabi Allah Yunus telah dicampakkan ke laut setelah diundi beberapa kali, tatkala kapal yang dinaiki oleh baginda hampir karam. Allah memerintahkan kepada ikan Nun untuk menelannya. Keadaan di dalam perut ikan Nun itu sungguh tidak selesa dan baginda berharap agar Allah mengeluarkan baginda dari perut ikan tersebut. Allah telah mengilhamkan Nabi Allah Yunus untuk membaca doa tersebut. Dan apabila Nabi Allah Yunus membaca doa tersebut, baginda terasa lapang dan tenang. Akhirnya Nabi Allah Yunus terselamat apabila dimuntahkan kembali oleh ikan Nun dan baginda terdampar di tepi pantai serta diselamatkan oleh orang lain.

Jadi, jikalau kita rasa susah hati dan menghadapi kesusahan serta kepayahan, maka bacalah doa ini. Di samping itu kita jangan lupa berdoa dan mengharapkan pertolongan Allah. Zikir ini juga dapat mengukuhkan iman dan menimbulkan keinsafan di dalam diri kita. Tatkala kita membacanya patut kita hayati sungguh-sungguh bahawa kita telah menzalimi diri kita. Oleh itu kita bertaubat daripada segala dosa, samada kecil atau besar, yang disedari atau tidak, terhadap manusia atau dosa terhadap Allah.

Mudah-mudahan Allah mengampunkan segala dosa kita dan melapangkan segala kesempitan kita.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Kongsikan komen anda di sini...