PAGE

Sabtu, Mac 07, 2009

Tanya Pakar: Lelaki terpuji

Oleh Diyanah Anuar
diyanah@bharian.com.my

Akhil Hayy

Tip contohi peribadi Rasulullah SAW dalam hidup jejaka

DALAM meniti kehidupan, tentu pernah terlintas dalam hati lelaki untuk menjadi individu hebat. Bukan sekadar dilihat hebat oleh wanita, malah dikagumi lelaki lain. Namun, untuk memenuhi definisi mahupun klasifikasi lelaki hebat bukanlah mudah. Antara kriteria yang perlu dipenuhi ialah keperibadian dan personaliti cemerlang. Namun, bagi segelintir pihak, soal kriteria dianggap terlalu subjektif.

Sehubungan itu, dalam membentuk peribadi dan personaliti hebat, lelaki cenderung menjadikan individu lain sebagai idola. Bagi lelaki muslim, tidak perlu berfikir panjang kerana idola yang harus dicontohi semestinya Nabi Muhammad SAW. Sebagai insan pilihan Allah, Rasulullah SAW memiliki sifat terbaik seorang manusia.

“Rasulullah SAW dianggap insan kamil (sempurna). Maka sebagai seorang lelaki, beliau juga pastinya lelaki sempurna. Sifat yang ada pada Rasulullah saw harus menjadi ikutan umat Islam kerana apa saja sifat positif, ada pada Baginda,” kata penceramah, Akhil Hayy.

Akhil juga mengendalikan program diskusi agama, Cafe Akhil Hayy di saluran Astro Oasis.

Kata Akhil, ramai mengakui Rasulullah SAW adalah contoh terbaik. Namun yang menjadi persoalan - sebagai lelaki mampukah kita mencontohi sifat nabi junjungan?

Kehebatan Rasulullah SAW mampu menggalas tanggungjawab sebagai penghulu, pemimpin, pemerintah, tempat rujukan, bapa, suami dan banyak lagi tanggungjawab dalam satu masa. Bukan untuk mengingatkan orang lain tapi juga, diri saya sendiri. Memang sukar menjadi sempurna seperti Rasulullah SAW. Tetapi kita dituntut berusaha mencontohinya. Lelaki bersifat seperti inilah sebenarnya maskulin, tampan, macho dan gentleman.

Sempena sambutan Maulidur Rasul lusa, kolum Tanya Pakar merujuk Akhil untuk berkongsi sifat terpuji Baginda dan tip mencontohi keperibadian Rasulullah SAW...

Lelaki sering dikaitkan dengan tanggungjawab sebagai pemimpin. Bagaimana sifat dan amalan Rasulullah SAW boleh dipraktikkan lelaki?

Dalam kepimpinan, Rasulullah SAW lengkap dengan sifat siddiq (bercakap benar), amanah, tabligh (menyampaikan) dan fatanah (kebijaksanaan). Jika setiap lelaki memiliki keempat-empat sifat ini, bermakna mereka memiliki ciri yang seharusnya dipunyai seseorang pemimpin. Namun, ada masanya, seseorang yang diberi amanah sebagai pemimpin terpedaya dengan godaan hawa nafsu hingga gagal melaksanakan tanggungjawab sepatutnya sebagai pemimpin. Oleh sebab itu, seseorang yang bergelar pemimpin perlu sentiasa merujuk kepada empat sifat mulia ini. Apakah mereka sebagai pemimpin, memiliki dan melaksanakan keempat-empat sifat ini?

Dalam Al-Quran, sudah dinyatakan setiap lelaki adalah pemimpin kepada wanita. Tanggungjawab seorang lelaki sebagai pemimpin pula amat berat. Mereka bukan hanya perlu memimpin satu pihak saja, tapi banyak pihak. Justeru, seseorang lelaki mesti mengambil berat soal kesempurnaan pelaksanaan tanggungjawab mereka sebagai pemimpin kerana semua ini akan dihitung di akhirat nanti. Kalaupun seseorang lelaki itu cukup amal ibadatnya, namun tanggungjawabnya tidak dilaksanakan dengan sempurna, beliau tetap perlu menanggung balasannya.

Bagaimana seseorang lelaki harus menjadikan Nabi SAW sebagai ikutan dalam konteks menjadi anak yang baik?

Jika kita rujuk kepada sirah, Nabi Muhammad SAW membesar sebagai anak yatim piatu. Hidupnya juga serba kekurangan, namun keadaan itu tidak membataskan dirinya untuk menjadi manusia cemerlang.

Iktibar dari kehidupan Baginda antaranya ialah sedangkan Baginda tidak dapat merasai kasih sayang ibu bapa dan hidup serba kekurangan mampu menjadi menjadi manusia hebat dan pemimpin ulung, apatah lagi kita yang masih mempunyai ibu bapa dan membesar dalam kehidupan yang selesa dan cukup serba-serbi ini.

Bagaimana pula contoh sifat Rasulullah sebagai suami?

Dalam soal perkahwinan, memang ramai lelaki mahu mengikut jejak langkah Rasulullah SAW. Namun, apa yang patut dicontohi sifat Baginda sebagai seorang suami ialah bagaimana Baginda memimpin isterinya. Ini termasuk bagaimana beliau sentiasa mewujudkan hubungan baik dan mesra dengan isterinya.

Mungkin kisah sahabat Nabi, Saidina Umar Al Khattab pada zaman pemerintahan beliau (Umar) boleh dijadikan panduan. Suatu hari, seorang lelaki ingin berjumpa dengan Saidina Umar untuk mengadu mengenai isterinya yang sering membebel.

Namun, ketika beliau mahu bertemu Saidina Umar di rumahnya, beliau terdengar dari luar, isteri Saidina Umar sedang membebel. Namun, tidak terdengar pula suara Saidina Umar ‘membalas’ bebelan isterinya itu.

Melihat keadaan itu, lelaki berkenaan membatalkan hasratnya untuk mengadu masalahnya kerana memikirkan, khalifah seperti Umar pun dibebel isteri. Apatah lagi lelaki biasa seperti beliau. Kemudian, apabila bertemu semula dengan Saidina Umar, beliau bertanya, mengapa membiarkan isterinya membebel kepadanya.

Lalu, Saidina Umar menjawab, “Apa salahnya aku membiarkan isteriku berleter. Bukankah dia yang menjaga aku, anak-anakku, rumah tangga kami. Apalah halnya jika dia sekadar membebel kepadaku.”

Ini menggambarkan betapa kesabaran harus menjadi sifat yang perlu ada pada seseorang suami dalam memastikan kebahagiaan rumah tangga. Hendak menegur kesalahan isteri juga perlu dilakukan secara berhikmah.

Setiap lelaki harus ingat, bermula saat diijab kabul dengan seseorang wanita, merekalah yang perlu menggalas tanggungjawab terhadap isteri hingga meninggal dunia.

Apa agaknya panduan menjadi bapa mengikut modul amalan Rasulullah SAW?

Menggalas tanggungjawab sebagai seorang bapa dalam situasi sekarang memang agak tinggi cabarannya. Dalam mendidik anak-anak, apa yang kita boleh lihat contoh sifat Rasulullah sebagai bapa adalah, Baginda menjadi rakan kepada anak-anaknya.

Dengan cara itu kita dapat lebih memahami anak-anak. Dalam pada itu, sikap tegas juga perlu dipraktikkan dan bila anak-anak sampai ke sesuatu peringkat umur, ajar mereka untuk melaksanakan ibadat.

Apa persepsi baginda mengenai golongan wanita?

Pada zaman jahiliah, kedudukan wanita sering diletakkan pada tahap yang rendah dalam masyarakat. Hanya selepas kedatangan Islam, wanita diangkat martabatnya. Hak wanita juga dipelihara. Seperti yang saya katakan, lelaki dipertanggungjawab membimbing golongan wanita, bukan merosakkan.

Paling penting, ingatlah, apa yang dikatakan paling menggembirakan Rasulullah adalah wanita solehah.

Apabila diberikan kerja dan tanggungjawab, lazimnya lelaki akan merasa beban untuk menyempurnakannya. Apakah contoh sifat Baginda yang boleh dicontohi dalam melaksanakan tugas?

Rasulullah, apabila menerima sebarang amanah atau tanggungjawab, Baginda akan melakukan yang terbaik. Selepas melakukan yang terbaik, tapi masih tidak memperoleh hasil seperti yang diinginkan, barulah Baginda berserah kepada Allah SWT.

Maksudnya, kita sebagai manusia, mesti berusaha paling maksimum dalam melakukan kerja yang dipertanggungjawabkan. Selebihnya, kita serahkan kepada Allah SWT untuk menentukan. Jangan pernah ada sikap putus asa. Apa yang utama dalam melakukan sesuatu pekerjaan adalah keberkatan yang dapat kita peroleh daripadanya.

Mengapa agaknya, kita sering lupa untuk mencontohi sifat dan keperibadian Rasulullah dalam menjalani kehidupan sedangkan ia adalah contoh terbaik?

Masyarakat kita ini, apabila berlaku masalah atau kepincangan dalam masyarakat, rata-ratanya lebih suka menuding jari kepada orang lain dan menuduh orang lain yang menjadi punca terjadinya masalah itu.

Jarang kita hendak periksa, apakah tindakan yang kita lakukan sebagai satu jemaah dalam menangkis semua punca masalah yang berlaku dalam masyarakat. Siapa yang membenarkan pengaruh negatif dari luar masuk ke dalam jiwa masyarakat kita?

Kita sendiri yang sebenarnya gagal untuk menghadapi perang yang paling besar iaitu hawa nafsu. Antara penyebabnya adalah sikap kita yang terlalu membudayakan agama, yang mana kita cuma rujuk kepada agama dalam sesetengah perkara saja sedangkan Islam itu adalah suatu cara hidup!

Oleh itu, tidak seharusnya kita menjadikan pihak lain sebagai alasan kegagalan kita sendiri. Padahal, kita sudah ada contoh terbaik (ajaran Rasulullah SAW) untuk diikuti tapi kita sering terleka dan memilih contoh yang tidak sepatutnya.

Lelaki kerap dikaitkan dengan sifat ego mereka. Mungkin ada kisah Nabi berhubung soal ego ini yang boleh dijadikan panduan?

Jika dapat kita kaitkan dengan persoalan ego lelaki ini, dalam satu kisah, Nabi bermusafir di sebuah kawasan yang didiami puak Arab Badwi. Kemudian, untuk menuju ke satu tempat yang lain, Nabi memilih sebuah laluan jalan berbanding jalan lain yang ada.

Seorang lelaki dari puak Arab Badwi ini bertanya kepada Baginda, adakah pemilihan laluan ini berdasarkan wahyu daripada Allah? Nabi menjawab, tidak. Lalu, lelaki berkenaan berkata, beliau sudah lama mendiami kawasan berkenaan dan beliau lebih tahu mengenai selok-belok jalan di situ lantas menunjukkan jalan yang sepatutnya dilalui.

Kalau adanya sifat ego pada Rasulullah SAW, sebagai seorang Nabi dan juga pemimpin disegani, sudah tentu Nabi menolak pendapat yang diusulkan lelaki berkenaan. Tapi, Nabi menerima pendapat lelaki berkenaan dan mengikut jalan yang dinyatakan beliau.

Moralnya di sini, kita sebagai lelaki tidak perlulah ego tidak bertempat. Perlu juga ada 'give and take'.

Janganlah sampai tidak boleh ditegur atau dikritik langsung. Kuasa atau kedudukan sebagai lelaki sepatutnya digunakan untuk membendung sesuatu yang boleh mendatangkan kemurkaan Allah.

Sumber : BHarian 2009/03/07

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Kongsikan komen anda di sini...