Keterangan ayat
Setelah mendapati anaknya bertegas untuk mencari tempat perlindungan daripada banjir besar itu, maka Nabi Nuh memohon belas kasihan Allah agar merahmati anaknya.
Baginda mengatakan dalam ayat sebelumnya iaitu ayat 45 yang bermaksud, ""Ya Tuhanku, sesungguhnya anakku, termasuk keluargaku, dan sesungguhnya janji Engkau itulah yang benar. Dan Engkau adalah Hakim yang seadil-adilnya."
Menurut Abu Sheikh, Allah SWT menafikannya dan menolak doa Nabi Nuh. Allah mengatakan dia termasuk dalam kalangan hamba-Nya yang rugi kerana tidak menuruti Nabi Nuh dalam dakwahnya.
Nabi Nuh memohon keselamatannya selepas banjir reda kerana adatnya mungkin ada yang selamat dalam banjir dengan rahmat Allah.
Terdapat setengah riwayat menunjukkan bahawa anak Nabi Nuh itu sebenarnya adalah seorang munafik iaitu berpura-pura Islam di hadapan bapanya.
Lantaran itu, Nabi Nuh memohon keselamatannya sehingga Allah SWT mewahyukan tentang hakikat kekufurannya itu. (Tafsir Ruhil Ma’ani, tafsir ayat 47 surah Hud).
Menurut Fudhail Iyadh, Nabi Nuh menangisi kesilapannya yang memohon perkara yang tidak diketahui rahsia ketetapan Allah di sebaliknya itu selama 40 tahun.
Al-Imam Ahmad pula menyatakan, baginda menangis selama 300 tahun sehingga menjadi kesan laluan air mata di mukanya seperti laluan anak air. (Tafsir Ruhil Ma’ani, tafsir ayat 47 surah Hud).
Khasiat dan kaifiat beramal
Marilah kita jadikan pengajaran daripada kisah ini untuk meminta keampunan Allah atas permintaan kita kepada-Nya dalam banyak perkara yang kita tidak mengetahui rahsia di sebaliknya.
Jadikanlah doa ini amalan harian sebagai satu usaha bertaubat kepada Allah SWT.
-Petikan daripada buku 101 Doa Para Nabi & Rasul dalam Al-Quran Khasiat & Kaifiat Beramal terbitan Telaga Biru Sdn. Bhd.
Sumber : Utusan
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Kongsikan komen anda di sini...