PAGE

Rabu, April 15, 2009

Kita umpama pinggan

Renungan untuk kita semua....

Ku letakkan gambar pinggan ini kerana cita-cita ku untuk memilikinya masih belum tercapai... Ini semua gara-gara boycott Yahudi... huk... huk...
Andai kata tiga individu berbeza meminjam sebiji pinggan daripada kita. Selang beberapa tempoh masa, individu pertama memulangkan pinggan tersebut dalam keadaan bersih cantik tanpa sebarang kecacatan. Lalu kita pun terus meletakkannya di atas rak pinggan mangkuk seperti keadaan asalnya.

Individu kedua pula memulangkan pinggan tersebut dalam keadaannya yang kotor, tidak berbasuh. Pinggan tersebut akan kita basuh sehingga bersih, kemudian barulah ianya diletakkan di tempat yang sepatutnya.

Individu ketiga pula memulangkan pinggan tersebut dalam keadaan pecah bersepai. Tidak boleh dibezakan lagi bentuknya antara pinggan mahupun serpihan kaca. Bagi kita pinggan itu sudah tiada nilainya lagi. Kita tiada pilihan lain selain menghumbankannya ke dalam tong sampah yang hina.

Begitulah jua halnya dengan Allah Taala.

Jika kita kembali kepada-Nya dalam keadaan bersih, elok, tanpa kekotoran dosa, maka Allah akan terus meletakkan kita di tempat yang baik dan tempat yang selayaknya bagi kita, iaitu di syurga.

Namun sebaliknya, jika kita kembali ke sisi-Nya dalam keadaan kotor disaluti dosa, Allah akan 'basuh' kita sebersih-bersihnya di dalam api neraka sebelum memasukkan kita ke dalam syurga.

Tetapi alangkah malangnya, jika kita kembali kepada-Nya dalam keadaan yang rosak imannya, sehingga tidak dapat dibezakan antara iman dengan kufur, maka Allah tidak akan teragak-agak untuk menghumbankan kita ke daalm neraka jahannam buat selama-lamanya, ibarat pinggan yang pecah, tiada nilai lagi.

~ Mutiara kata ~

“Tidak ada simpanan yang lebih berguna daripada ilmu. Tidak ada sesuatu yang lebih beruntung daripada adab. Tidak ada kawan yang lebih bagus daripada akal. Tidak ada benda ghaib yang lebih dekat daripada maut.”
~ Bijak Pandai ~


Semoga bermanfaat...

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Kongsikan komen anda di sini...