PAGE

Isnin, April 20, 2009

Panduan Bagi Orang Yang Diuji


Hadis :

Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya, “Tidak ada keberanian yang paling disukai oleh Allah SWT selain dari keberanian hamba menahan kemarahan. Tidaklah seorang hamba itu menahan kemarahannya melainkan Allah SWT akan mengisi dadanya dengan keimanan.” (Hadis Riwayat Ibn Abi Dunya)

Pengajaran Hadis:
  1. Menahan perasaan marah, memaafkan kesalahan orang lain dan berlaku ihsan adalah antara sifat yang mesti dipupuk dalam diri setiap manusia kerana ia boleh menambahkan keimanan.
  2. Marah umumnya menunjukkan sifat seorang yang lemah kerana gagal mengawal emosinya sendiri. Ia merupakan tabiat yang sukar dihapuskan. Apabila marah, kedua mata menjadi merah, urat leher pula kelihatan timbul. Oleh itu Rasulullah mengatakan bahawa kemarahan itu adalah bara api di dalam hati anak Adam dan ia datangnya daripada syaitan yang dijadikan daripada api di mana api hanya dapat dipadamkan dengan air. Maka Rasulullah SAW menasihatkan apabila marah, hendaklah seseorang itu berwudhuk (mengambil air sembahyang).
  3. Imam al-Ghazali pula berkata: “Kemarahan manusia itu bermacam-macam-macam. Setengahnya cepat marah tetapi cepat tenang. Setengahnya pula lambat marah dan lambat pula tenang dan setengah yang lain pula, lambat marah tetapi cepat tenang. Maka yang ketiga inilah yang paling terpuji.”
  4. Tidak semua kemarahan itu dilarang oleh Islam. Marah perlu ada terhadap perkara yang tidak disukai yang menyalahi kebenaran sebagaimana yang diajarkan oleh agama atau perkara yang terang-terang dilarang agama di mana kita dilarang mendiamkan diri jika kehormatan peribadi dan agama dihinakan.

Anak Adalah Ujian Allah

Hadis :

Dari Aisyah r.a katanya: “Seorang wanita datang kepadaku membawa dua orang anaknya, meminta makanan. Tetapi tiada apa yang boleh didapatinya daripadaku ketika itu selain daripada sebiji kurma, lalu kuberikan kepadanya. Kurma itu dibahagi dua dan diberikannya kepada kedua anaknya itu, dan ia sendiri tidak memakannya. Kemudian ia berdiri dan terus pergi. Setelah Rasulullah SAW datang, aku ceritakan hal itu kepada baginda. Sabda baginda SAW, “Sesiapa mendapat cubaan kerana beberapa anak daripadanya, maka semuanya itu akan menjadi dinding baginya daripada api neraka.” (Hadis Riwayat Bukhari)


Ujian Menghapuskan Dosa

Hadis :

Rasulullah SAW bersabda: “Tidak ada seseorang Islam yang ditimpakan sesuatu yang menyakiti, iaitu penyakit atau lainnya, melainkan Allah gugurkan dengan sebab itu dosa-dosanya, sebagaimana pokok menggugurkan daunnya (pada musimnya yang tertentu).” (Hadis Riwayat Abdullah bin Mas'ud r.a.)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Kongsikan komen anda di sini...