UMUM mengetahui setiap kita akan mati. Lalu, segala harta yang dimiliki akan ditinggalkan, tidak akan dibawa bersama ke dalam kubur. Walaupun begitu, masih ramai di kalangan kita yang keberatan menghulur sedekah atau zakat.
|
Lebih-lebih lagi dalam keadaan ekonomi yang kurang baik sebagaimana dialami sekarang.
Malah, tidak kurang yang fobia akan jatuh miskin jika berzakat atau bersedekah ketika mana mereka diuji dengan kesempitan hidup. Sedangkan Allah SWT berfirman yang maksud-Nya: "Perumpamaan (nafkah yang dikeluarkan oleh) orang-orang yang menafkahkan hartanya di jalan Allah adalah ibarat sebutir benih yang menumbuhkan tujuh tangkai, pada tiap-tiap tangkai 100 biji. Allah melipatgandakan (ganjaran) bagi siapa yang Dia kehendaki. Dan Allah maha luas (kurnia-Nya) lagi maha mengetahui." (Surah al-Baqarah, ayat 261)
Wartawan MOHD. RADZI MOHD. ZIN menemu bual Eksekutif Zakat Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan, Ahmad Husni Abdul Rahman bagi mengupas isu ini.
MEGA: Apabila keadaan ekonomi kurang baik ramai yang takut bersedekah. Antara sebabnya, takut tidak cukup makan dan kegunaan harian. Apakah benar dakwaan ini?
AHMAD HUSNI: Itu adalah anggapan yang tidak tepat dalam Islam. Walaupun ada pepatah Arab yang sebut, orang yang tidak ada apa-apa tidak mampu memberi apa-apa. Namun, memberi dalam keadaan kita serba kekurangan atau tidak ada adalah sangat berharga dan tinggi nilai peribadinya. Nabi Muhammad SAW pun tidak berharta tetapi baginda tetap bersedekah.
Dalam satu peristiwa, pernah Nabi memberikan baju yang baru dibeli dan dipakainya apabila didatangi oleh seorang lelaki Arab yang meminta baju itu daripada baginda.
Rasulullah SAW pernah bersabda daripada Abu Hurairah r.a. maksudnya: Sedekah tidak akan mengurangkan harta seseorang. Sesiapa yang bersikap pemaaf Allah akan menambahkan kemuliaan baginya. Dan sesiapa yang bersikap tawaduk kepada Allah maka Allah akan menaikkan darjatnya. (Sahih Muslim)
Penulis buku terkenal, Robert Kiyosaki dalam bukunya Rich Dad Poor Dad menyatakan dia berpegang teguh dengan prinsip tidak akan berlaku sesuatu kecuali kita mengorbankan sesuatu. Itu berdasarkan pengalaman Kiyosaki yang pada suatu ketika berada dalam ambang muflis. Tetapi dia mencari orang yang merempat tidak berumah dan membantu orang tersebut. Tidak lama kemudian, dia seolah-oleh dibentangkan jalan keluar daripada masalah kewangan yang dihadapinya.
MEGA: Ada juga yang bagi alasan miskin sebab itu tak perlu bagi sedekah. Betulkah?
AHMAD HUSNI: Kita jangan keliru dengan konsep sedekah. Sedekah tidak sama dengan zakat. Zakat bergantung kepada keupayaan dan keahlian manakala sedekah tidak bergantung kepada yang demikian. Analogi bahawa sedekah itu mesti dengan wang ringgit juga adalah tidak tepat. Rasulullah pernah bersabda bahawa senyum itu pun sedekah. Maknanya, sedekah itu tidak terlalu berkait dengan harta.
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Setiap makruf itu sedekah, dan orang yang menunjukkan kepada kebaikan seperti orang yang melakukannya, dan Allah mengasihi orang yang membantu orang yang benar-benar memerlukan pertolongan. (Hadis riwayat al-Bukhari)
Jadi, kita masih boleh bersedekah tenaga, ilmu atau buah fikiran. Bukan semua orang yang berilmu itu kaya tetapi mereka boleh sedekahkan ilmu untuk kebaikan orang lain. Kemiskinan adalah perkara yang akan berlaku sepanjang masa. Dari segi teorinya, ia mungkin boleh dihapuskan tetapi realitinya ia tetap berlaku.
Pernah berlaku pada zaman Khalifah Umar Abdul Aziz walaupun seolah-olah sukar mencari golongan asnaf. Sebabnya iman rakyat ketika itu adalah tinggi dan semuanya tidak mahu terima zakat. Sebaliknya mahu menjadi pembayar zakat.
Hayatilah firman Allah yang bermaksud: "Syaitan itu menjanjikan (menakut-nakutkan) kamu dengan kemiskinan dan kepapaan (jika kamu bersedekah atau menderma) dan dia menyuruh kamu melakukan perbuatan yang keji (bersifat bakhil kedekut); sedang Allah menjanjikan kamu (dengan) keampunan daripada-Nya serta kelebihan kurnia-Nya dan (ingatlah), Allah Maha Luas limpah rahmat-Nya, lagi sentiasa meliputi pengetahuan-Nya." (Surah al-Baqarah, ayat 268)
MEGA: Ada juga individu yang apabila ekonomi meleset baru hendak membayar zakat. Adakah ini hikmah di sebalik hal itu?
AHMAD HUSNI: Bagi golongan begini, kita ucapkan selamat datang dan tahniah. Sebabnya, mereka sudah sedar tentang kewajipan berzakat.
Semasa waktu senang mungkin mereka terlupa mengingat Allah. Ini sebagaimana disebut dalam al-Quran yang maksud-Nya: "Ingatlah! Sesungguhnya jenis manusia tetap melampaui batas (yang sepatutnya atau sewajarnya). Dengan sebab ia melihat dirinya sudah cukup apa yang dihajatinya. Ingatlah, sesungguhnya kepada Tuhanmu tempat kembali (untuk menerima balasa)." (Surah al-Alaq, ayat 6-7)
Bagaimanapun, Allah yang Maha Pemurah bangga melihat hamba-Nya yang ingat kepada-Nya walaupun pada waktu mereka ditimpa kesusahan. Namun, sikap begini harus dipuji. Sebabnya waktu senang mereka susah nak bayar zakat tetapi apabila waktu susah, senang mengeluarkan zakat. Apa yang penting ialah niat, keikhlasan dan istiqamah dalam melaksanakannya.
Tidak dinafikan mungkin ada individu yang berkira-kira untuk memotong pembayaran zakat apabila ditimpa kesempitan. Saya berpendapat ini kurang sesuai kecuali dalam keadaan yang sangat kritikal. Kalau nak dibuat perbandingan contohnya kadar zakat RM10 atau RM20 sebulan, kita harus tolak dulu nilai top-up telefon bimbit atau langganan stesen televisyen berbayar sebelum memutuskan untuk potong bayar zakat.
MEGA: Kita maklum kelebihan menderma sebagaimana ayat 261 surah al-Baqarah di atas. Namun, ramai juga yang gelisah dan kurang senang apabila terlalu ramai yang datang meminta. Apakah saranan Islam dalam keadaan begini?
AHMAD HUSNI: Dari satu sudut barangkali senario sedemikian menunjukkan ekonomi kita kurang baik atau sedikit merosot. Demikian juga apabila semakin ramai yang membuat jualan langsung buku-buku. Tidak dinafikan sebahagian kita kurang senang apabila waktu makan tengah hari didatangi oleh empat atau lima orang daripada pertubuhan yang sama mengutip derma. Sedangkan kita sudah menderma kepada orang yang pertama tadi.
Dalam hal ini, kita mesti ada prinsip. Kalau tidak mahu bagi, cakap dan tolak dengan baik. Jangan pula tuduh yang bukan-bukan termasuk ada sindiket mengutip derma dan sebagainya. Jika ada kemampuan, bagi sekadar yang mampu. Kalau mereka letak harga atau syarat dan kita tidak mampu, katakan sejumlah ini saja yang saya mampu.
Ingatlah firman Allah yang maksud-Nya: "Menolak peminta (peminta sedekah) dengan perkataan yang baik dan memaafkan (kesilapan mereka) adalah lebih baik daripada sedekah (pemberian) yang diiringi (dengan perbuatan atau perkataan yang) menyakitkan hati dan (ingatlah), Allah Maha Kaya, lagi Maha Penyabar." (Surah al-Baqarah,ayat 263)
Jangan pula kita lupa bahawa sedekah itu antara pahala yang mampu sampai kepada kita selepas kita mati kelak. Ini berdasarkan hadis Rasulullah SAW yang bermaksud: Apabila mati seseorang anak adam, maka terputuslah segala amalannya kecuali tiga perkara: Iaitu sedekah yang berterusan pahalanya, ilmu yang dimanfaatkan dan anak soleh yang mendoakan untuknya. (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)
MEGA: Apakah pula strategi pihak yang mengutip zakat dalam keadaan ekonomi yang kurang memberangsangkan sekarang?
AHMAD HUSNI: Institusi seperti Pusat Zakat dan Baitulmal berhadapan dengan cabaran besar dalam keadaan semasa apabila melihat dunia dilanda kemelut ekonomi. Adalah dijangka permintaan terdapat bantuan akan meningkat. Pada masa yang sama kecenderungan masyarakat bayar zakat pula berkurangan. Oleh itu, kita perlu merancang dan membuat kajian teliti untuk memastikan apa yang diberi kepada fakir miskin menepati sasaran, tidak berlaku pembaziran dan tidak disia-siakan.
Ini sudah tentu memerlukan pengamatan dan pengawasan yang lebih teliti. Pada masa yang sama, kita akan menggiatkan usaha turun padang memberi penerangan kepada masyarakat tentang kewajipan berzakat. Ia sedang dilakukan melalui pembukaan kaunter penerangan di jabatan-jabatan kerajaan.
Selain itu, aktiviti ceramah untuk membangkitkan kesedaran juga akan dipergiatkan. Ini supaya kita dapat mengimbangkan antara mereka yang hilang pekerjaan dan mereka yang masih bekerja.
Pada masa yang sama hayatilah kata-kata Saidina Ali, apabila mengukur nikmat Allah, maka lihatlah orang yang lebih rendah atau kurang daripada apa yang kamu ada. Barulah kita tahu, bahawa di sebalik kekurangan dan kesempitan kita, ada lagi orang yang lebih susah daripada kita.
Sumber : Utusan 28/04/2009
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Kongsikan komen anda di sini...