Masalah sosial, maksiat berlaku kerana manusia hilang perasaan segan dan silu
MALU antara sifat terpuji yang melambangkan ketinggian budi pekerti Muslim dan ketebalan imannya. Sifat malu juga satu petanda membuktikan iman itu bertapak kukuh dalam jiwa sanubarinya, sebaliknya mereka yang tidak mempunyai rasa malu bermakna sudah hilang imannya.
Rasulullah SAW bersabda bermaksud: "Malu dan iman itu adalah teman yang seiring jalan. Jika salah satu daripadanya terangkat (tiada), nescaya terangkat (tiada) juga yang satu lagi." (Hadis riwayat Muslim)
Sebenarnya, malu adalah sifat semula jadi diciptakan Allah SWT pada setiap insan. Ia dapat diperhatikan apabila seseorang manusia kemerahan wajahnya atau pipinya akibat malu selepas dimarahi atau melakukan sesuatu yang kurang sopan.
Ada juga manusia bermuka tebal sehingga tidak menghiraukan apa dilakukannya. Orang itu tidak mempunyai perasaan malu di sudut hatinya. Sifat malu diberi kedudukan istimewa dalam Islam.
Rasulullah bersabda bermaksud: "Sesungguhnya bagi setiap agama ada tatasusilanya atau ciri-ciri istimewanya, maka untuk Islam ialah sifat malu." (Hadis riwayat Malik)
Sehubungan itu, Sheikh Muhammad al-Ghazali dalam kitabnya Akhlak Muslim menjelaskan, dalam ajaran Yahudi pada zaman Nabi Musa AS ada ciri kekerasan dan dalam ajaran Masihi pada zaman Nabi Isa AS pula ada ciri kelembutan dan kelonggaran dalam kira bicaranya serta saling bermaaf-maafan.
Sementara Islam pula mempunyai sifat malu sebagai ciri keistimewaannya. Ringkasnya, sifat malu mempunyai kedudukan tinggi dalam Islam sehingga dijulang sebagai satu simbol melambangkan nilai keimanan dan kesusilaan seseorang Muslim, sekali gus mengisyaratkan betapa Islam adalah agama menganjurkan umatnya berakhlak mulia dan menjauhi sama sekali segala yang keji.
Rasulullah SAW adalah teladan terbaik dalam penampilan akhlak terpuji sehingga diperakui bahawa akhlak Rasulullah SAW terjemahan menyeluruh al-Quran. Sebenarnya, Rasulullah SAW adalah seorang yang amat pemalu dalam tingkah laku sehariannya. Diriwayatkan oleh sahabatnya, Abu Sa'id al-Khudri yang bermaksud: "Rasulullah SAW adalah seorang yang sangat pemalu dan lebih pemalu daripada seorang anak dara dalam kelubungnya dan apabila Baginda melihat sesuatu yang tidak disukainya, nescaya kami dapat camkan yang demikian itu melalui wajahnya." (Hadis riwayat Muslim)
Justeru, wajarlah setiap Muslim menghiasi dirinya dengan sifat malu kerana sifat itu lambang kesempurnaan iman seseorang kepada Allah SWT. Lebih-lebih lagi, sifat malu mampu bertindak sebagai perisai atau benteng bagi seseorang Muslim terjerumus ke lembah kehinaan.
Malah, dengan sifat malu yang bertakhta kukuh dalam sudut hati berupaya memartabatkan individu Muslim sebagai Muslim yang kental imannya, luhur budi pekertinya, berdisiplin dan disenangi semua insan.
Sebaliknya, seandainya sifat malu terhapus dan tidak bertapak dalam hati seseorang, maka ia menjadi bibit virus atau penyakit yang mampu menggugat keimanan seseorang dan akhirnya dengan mudah terjerumus ke lembah kederhakaan kepada Allah SWT.
Mungkin ini bertepatan dengan peringatan keras Rasulullah SAW dalam sabda yang bermaksud: "Apabila Allah SWT kehendaki untuk membinasakan seseorang hamba, akan dicabut daripadanya perasaan malu. Maka apabila dicabut daripadanya sifat malu, dia akan dibenci orang dan bila dia dibenci orang, akan dicabut daripadanya sifat amanah. Apabila dicabut daripadanya sifat amanah, maka dia didapati sebagai seorang yang khianat dan dikhianati. Jika dia berada dalam keadaan yang sedemikian, akan dicabut pula daripada hatinya perasaan rahmat dan bila ia terjadi begitu, maka dia tidak akan berada melainkan dalam keadaan yang dilaknati dan dimurkai. Bila dia dilaknati dan dimurkai, bermakna terungkailah akhirnya tambatan Islam daripadanya." (Hadis riwayat Ibnu Majah)
Akibatnya, berleluasa krisis sosial dan maksiat tanpa batasan dalam kehidupan manusia seperti diperhatikan dalam masyarakat hari ini. Kita melihat muda mudi tanpa segan silu bergandingan tangan dan berpelukan di khalayak ramai biarpun tidak mempunyai ikatan sah.
Malah, ada juga yang sudah terlanjur ke lembah perzinaan di mana akhirnya si gadis yang hamil terpaksa melakukan pengguguran terhadap anak yang dikandunginya secara haram.
Begitu juga, amalan rasuah yang semakin menjadi-jadi. Semuanya berpunca tidak lain tidak bukan kerana sifat malu tidak menjadi perhiasan wajib dalam diri seseorang Muslim. Pendek kata, sifat malu berupaya menghambat hawa nafsu dan menghalang daripada terjebak ke kancah kehinaan.
Sumber : BHarian 2009/04/25
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Kongsikan komen anda di sini...