Harta benda hamba takwa sentiasa dipelihara sehingga dapat dinikmati turun-temurun
KISAH bangsa Saba diceritakan dalam al-Quran, mengenai keistimewaan hidup mereka yang beriman dan beramal salih sehingga hidup dilimpahi keberkatan. Dikisahkan ulama tafsir, wanita Saba tidak perlu bersusah payah memetik buah-buahan di kebun mereka.
Sebaliknya, mereka hanya menaruh keranjang di atas kepala, lalu melintas di kebun. Buah-buahan su masak berjatuhan memenuhi keranjang tanpa harus memetik atau mengupah pekerja untuk memetiknya.
Sebahagian ulama juga menyebutkan bahawa di negeri Saba tidak ada lalat, nyamuk, kutu, atau serangga. Keadaan demikian terjadi lantaran udaranya bagus, cuacanya bersih dan berkat rahmat Allah yang sentiasa meliputi mereka.
Kisah keberkatan yang menakjubkan pada zaman keemasan umat Islam juga pernah diungkapkan Imam Ibnul Qayyim. Katanya: "Sungguh, biji-bijian dulu, baik gandum mahupun yang lainnya lebih besar dibanding yang ada sekarang seperti keberkatan yang ada padanya (biji-bijian kala itu) lebih banyak."
Imam Ahmad meriwayatkan: "Sudah ditemukan di gudang sebahagian kekhilafahan Bani Umawi sekantung gandum yang biji-bijinya sebesar biji kurma dan bertuliskan pada kantung luarnya: Ini adalah gandum hasil tuaian pada masa keadilan ditegakkan."
Menyedari hakikat ini, kita tentu ingin mendapat keberkatan dalam pekerjaan dan penghasilan harta. Bagaimanakah caranya supaya usaha, penghasilan dan harta kita diberkati Allah? Untuk memperoleh keberkatan, terdapat dua syarat yang mesti dipenuhi iaitu pertama beriman kepada Allah. Inilah syarat pertama dan terpenting supaya rezeki diberkati Allah iaitu dengan merealisasikan keimanan kepada Allah.
Allah berfirman yang bermaksud: "Andai kata penduduk negeri beriman dan bertakwa, pasti Kami akan melimpahkan kepada mereka keberkatan dari langit dan bumi. Tetapi mereka mendustakan (ayat Kami), maka Kami seksa mereka disebabkan perbuatannya." (Surah al-A'raf, ayat 96)
Demikian balasan Allah bagi hamba-Nya yang beriman dan sekali gus menjadi penjelasan bahawa orang yang kufur kepada Allah nescaya tidak pernah berasakan keberkatan dalam hidup. Oleh itu hendaklah sentiasa sedar rezeki apapun yang kita peroleh adalah kurniaan dan kemurahan Allah. Kebanyakan kita setiap kali mendapatkan suatu keberkatan, lupa daratan dan menganggap apa yang diperoleh kerana kehebatan diri. Namun, setiap kali terjadi kegagalan atau bencana, kita menuduh alam sebagai penyebabnya dan melupakan Allah.
Pemikiran seperti itu menyebabkan Qarun ditelan bumi. Allah berfirman yang bermaksud: "Qarun berkata: Sesungguhnya aku hanya diberi harta itu kerana ilmu yang ada padaku. Apakah ia tidak mengetahui Allah sungguh sudah membinasakan umat sebelumnya yang lebih kuat daripadanya dan lebih banyak harta yang dikumpulnya." (Surah al-Qashah, ayat 78)
Menyebut nama Allah ketika menghadap rezeki juga menunjukkan keimanan melalui ingatan kepada-Nya. Saidatina Aisyah berkata, Nabi SAW pada suatu saat sedang makan bersama enam sahabatnya. Tiba-tiba datang seorang Arab Badwi lalu menyentap makanan Baginda dalam dua kali suapan (saja). Maka Nabi SAW bersabda yang bermaksud: "Ketahuilah seandainya ia menyebut nama Allah (membaca Bismillah), nescaya makanan itu akan mencukupi kalian." (Hadis riwayat Ahmad, An Nasa-i dan Ibnu Hibban)
Amal salih bermaksud menjalankan perintah dan menjauhi larangan-Nya sesuai dengan syariat diajarkan Rasulullah SAW. Inilah hakikat ketakwaan yang menjadi syarat keberkatan.
Firman Allah yang bermaksud: "Dan jika mereka benar-benar menjalankan Taurat, Injil dan (al-Quran) yang diturunkan kepada mereka, nescaya mereka akan mendapat makanan dari atas mereka dan dari bawah kaki mereka." (Surah al-Ma'idah, ayat 66)
Ulama tafsir menjelaskan yang dimaksudkan dengan 'mendapatkan makanan dari atas dan dari bawah kaki' ialah Allah akan melimpahkan kepada mereka rezeki yang sangat banyak dari langit dan bumi, sehingga mereka mendapatkan kecukupan serta pelbagai kebaikan tanpa susah payah. Antara contoh keberkatan harta orang yang beramal salih ialah kisah Khidir dan Nabi Musa bersama dua anak kecil. Khidir menegakkan tembok pagar yang hendak roboh untuk menjaga harta warisan dimiliki dua orang anak kecil yang terpendam di bawah pagar itu.
Allah berfirman yang bermaksud: "Adapun dinding rumah itu adalah kepunyaan dua anak yatim di kota itu dan di bawahnya ada harta benda simpanan bagi mereka, sedang ayahnya seorang yang salih, maka Rabbmu menghendaki supaya mereka sampai kepada umur dewasa dan mengeluarkan simpanannya itu, sebagai rahmat dari Rabbmu." (Surah al-kahfi, ayat 82)
Ibu Katsir berkata: "Pada kisah ini ada dalil bahawa anak keturunan orang salih akan dijaga dan keberkatan amal salihnya meliputi mereka di dunia dan akhirat. Ia memberi syafaat kepada mereka dan darjatnya diangkat ke tingkatan tertinggi supaya orang tua mereka menjadi senang."
Sebaliknya, apabila seseorang enggan beramal salih malah berbuat kemaksiatan, maka keadaan lain akan berlaku. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Sesungguhnya seseorang tercegah daripada rezekinya akibat dosa yang ia kerjakan." (Hadis riwayat Ahmad, Ibnu Majah, Al Hakim)
Daging busuk dan makanan basi sebenarnya salah satu akibat buruk yang harus ditanggung manusia. Baginda SAW bersabda yang bermaksud: "Seandainya jika bukan kerana ulah Bani Israel, nescaya makanan tidak pernah basi dan daging tidak pernah membusuk." (Hadis Muttafaqun`alaih)
Ulama menjelaskan, tatkala Bani Israel diberi rezeki oleh Allah berupa burung salwa (seperti burung puyuh) yang datang dan dapat mereka tangkap dengan mudah setiap pagi hari, mereka dilarang untuk menyimpan daging burung itu. Setiap pagi hari mereka hanya dibenar mengambil daging yang akan dimakan pada hari berkenaan. Mereka melanggar perintah itu, dan mengambil daging dalam jumlah melebihi keperluan pada hari itu untuk disimpan. Akibat perbuatan mereka ini, Allah menghukum mereka sehingga daging yang mereka simpan menjadi busuk.
Kesimpulannya dapatlah dikatakan bahawa untuk memperoleh keberkatan rezeki, maka kita hendaklah beriman kepada Allah dan sentiasa melakukan amal salih.
Sumber : BHarian 2009/05/11
Capaian untuk artikel berkaitan : Sempit rezeki disebabkan dosa?
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Kongsikan komen anda di sini...