Wanita bertahan dengan sokongan kawan, anak
SOALAN :
SAYA berkahwin dengan suami atas dasar cinta. Mulanya ibu saya menghalang kerana keluarga kekasih tidak begitu beradab jauh sekali beradat ditambah dengan keretakan rumah tangga ibu bapanya. Namun, kerana cinta saya gagahkan juga memohon izin daripada ibu, dengan derai air mata.
Ibu mengalah dan kami berkahwin sejak 7 tahun lalu. Namun, rumah tangga kami dilanda badai selepas beranak tiga. Suami bermain cinta dengan wanita lain. Saya dapat mengesan perbuatan curangnya menerusi e-mail dan catatan internet yang dibuatnya. Malah, saya mengesan khidmat pesanan ringkas (SMS) cinta dan lucahnya dengan wanita itu yang juga isteri orang. Saya berdepan dengan suami dan dia mengaku salah. Akhirnya kami berbaik semula.
Malangnya, si isteri orang itu tidak serik. Dalam diam-diam dia berhubung dengan suami. Saya mengesyakinya kerana suami berubah langsung. Tidak mahu bercakap dengan saya, tidak beri nafkah dan tidak melayan anak. Pergi kerja jam tujuh pagi dan pulang jam dua pagi. Saya tidak berjumpa bukti, tiada SMS, tiada apa pun. Bagaimanapun, perubahan suami yang membenci saya, langsung tidak boleh melihat muka, membuat saya sakit jiwa.
Saya berubat dengan bomoh dan sudah empat bomoh mengatakan suami saya dijerat oleh seorang wanita yang dikenalinya dan kata mereka wanita itu masih bersuami. Saya tidak mahu percaya awalnya, saya mahu lihat perubahan suami mungkin salah saya. Saya perbaiki diri dan berdandan untuknya, menyiapkan makan minum dan mencantikkan rumah dalam masa yang terhad terkejar-kejar antara kerja di rumah dan pejabat.
Namun, suami tidak pun berubah dan tidak langsung memandang. Apatah lagi bila empat bomoh mendakwa benda yang sama - suami diguna-gunakan kekasih hatinya itu - saya mula syak dan percaya.
Saya serba salah puan. Saya cintakan dia walaupun gajinya kurang daripada saya. Suami lulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) manakala lulusan sarjana. Banyak perbelanjaan rumah yang saya tanggung, saya tidak kisah semua itu dan masih cintakan dia. Tetapi, dengan ujian ini, saya mahu memadamkan cinta saya.
Pertama kerana saya sudah banyak berkorban termasuk wang ringgit dan tenaga tapi dia tidak mahu langsung menghargainya apabila bercinta dengan isteri orang. Kedua, dia tidak akan diguna-gunakan kalau dia tidak gatal melayan.
Puan, saya tahu dia sakit digunakan-gunakan, mungkin dia pun tidak menyedarinya. Namun dengan layanan kasarnya, memukul, menerajang dan bercinta pula dengan isteri orang, saya malas hendak fikir yang dia itu disihir. Saya ingin sekali berpisah dengannya tetapi kawan-kawan meminta saya bersabar dan ubatilah dia kerana dia disihir. Namun puan, sebenarnya jauh di sudut hati, saya sudah tidak lagi peduli dengannya. Kalau boleh, saya mahu lari jauh darinya. Pada masa ini saya hidup bersamanya atas sokongan kawan-kawan manakala anak-anak mahukan ayah mereka walaupun si ayah tidak pernah ambil peduli mengenai mereka. Ia juga kerana kasih sayang dan sokongan ibu mentua yang sangat baik dan memahami masalah yang saya hadapi. Namun, sampai bila boleh saya menipu diri sendiri?
Isteri Terseksa
JAWAPAN :
SALAM persaudaraan buat isteri yang terbakar bahang cinta. Jika dikata cinta itu buta maka inilah buktinya, cinta membuat pemiliknya buta mata dan buta hati, lalu tenggelam di lubuknya hingga lemas baru sedar cinta yang diburunya sudah tidak menjanjikan bahagia. Terjebak karam dalam kolam buatan sendiri, sesat di rumah sendiri dan terapung di daratan, kering terbakar tanpa api dan lemas tanpa air. Inilah cinta tumbuh tanpa bentuk dan mati tanpa nisan, apa yang disedari puan sudah menjadi mangsa dan mahu mematikan episod cinta itu.
Puan sedang karam dan terkapai mencari arah untuk mendaratkan sisa bahtera hidup yang sudah remuk redam. Diberi susu namun dibalas tuba, itulah namanya manusia, mudah lupa dan tidak pandai berterima kasih. Syukurlah puan tidak terus meminum racun yang terhidang. Dalam keadaan apa pun puan tidak boleh berputus asa.
Sabar itu berusaha, bergerak dan bertindak membina matlamat baru setelah gagal melabuhkan bahtera kehidupan di pulau bahagia. Berdasarkan apa yang puan paparkan jelas menunjukkan bahawa cinta suami pada puan sudah berkubur tanpa nisan maka puanlah yang harus meletakkan nisannya. Allah tidak membenarkan hambanya membiarkan diri kekal dalam penderitaan yang mampu dielakkan. Sebab itu disediakan perkahwinan dan perceraian. Jika suami isteri sudah tidak bahagia lagi bersama maka usahakanlah untuk berpisah kerana bersama dalam keadaan menderita tidak disuruh oleh agama, memberi kesan kejiwaan yang sangat negatif pada diri dan anak yang akhirnya membina sikap memberontak dijiwa anak kerana tidak mampu menjalani kehidupan yang tidak bahagia ini.
Puan sendiri akan mendapat gangguan emosi dan fizikal jika terus kekal dalam penderitaan jasad dan batin. Maka nasihat Umi, bina keyakinan diri, bahawa anda boleh hidup tanpa suami dan mampu menjaga anak dengan baik. Hidup berkeluarga tidak mampu bertahan hanya dengan sokongan dari luar seperti sahabat dan sesiapa pun kecuali anda sendiri berusaha untuk menyelamatkan diri. Tidak ada orang yang paling sayangkan kita kecuali Allah dan diri kita sendiri. Jika kita tidak berusaha untuk gembira semua tenaga akan terbuang sia-sia dan mengenangkan penderitaan yang dialami lantas fokus pada anak juga akan ikut terabai.
Siapa pun yang membantu dari luar tidak akan mampu mengangkat kebahagiaan yang hilang. Oleh itu jangan biarkan diri terus jadi mangsa kekejaman suami lagi, selamatkan diri dan anak-anak dari kekejaman suami, kerana dia akan semakin ganas terhadap anda kerana anda menjadi penghalang cintanya bersama wanita itu.
Belajarlah untuk berdikari, buat aduan dan permohonan berpisah dengan suami di pejabat agama serta dapatkan nasihat kaunselor andai anda belum yakin untuk mengambil tindakan. Mengingat dan mengenang masa lalu, kemudian bersedih dengan nestapa dan kegagalan yang berlaku adalah tindakan bodoh dan boleh mendorong anda mengalami gangguan emosi dan kemungkinan terperangkap di ambang sakit mental.
Tindakan itu bermakna membunuh semangat, melupuskan tekad dan menguburkan masa depan yang belum terjadi. Jangan mahu kekal hidup dalam mimpi buruk, selamatkan diri. Jernihkan fikiran dan jangan lagi menoleh ke belakang, jadilah ibarat angin sentiasa menghembus ke hadapan, air akan mengalir ke hadapan segala sesuatu bergerak ke hadapan. Itulah sunnah kehidupan. Ingatlah Allah menciptakan setiap hambanya agar selalu mengingati-Nya dan Dia menganugerahkan rezeki kepada setiap makhluk ciptaan-Nya agar mereka bersyukur kepada-Nya. Namun, banyak yang tidak bersyukur. Mungkin kita termasuk ke dalam kategori yang kurang bersyukur maka Allah uji dengan cabaran.
Masih banyak orang berakal yang sering kehilangan keseimbangan bila diuji Allah. Oleh itu, kembalilah kepada Allah dan buatlah apa yang dibenarkan oleh Allah kerana Allah sangat sayang pada hambanya. Selamat berusaha.
Bagi pembaca yang ingin berkongsi masalah dan pendapat dengan Dr Rubiah K Hamzah, anda boleh menghantar soalan ke alamat Ruangan Kaunselor Anda, Berita Minggu, Balai Berita, 31, Jalan Riong, 59100 Kuala Lumpur atau e-mel bminggu@bharian.com.my
Sumber : Dr Rubiah K Hamzah (Pakar Motivasi) di BHarian 2008/12/07
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Kongsikan komen anda di sini...