PAGE

Jumaat, Mei 15, 2009

Kasih sayang tanpa syarat (unconditional love)


Salam,

Luahan rasa kasih sayang yang diucapkan melalui kata-kata mempunyai kesan emosi dan spiritual yang mendalam kepada jiwa orang yang mendengarnya. Ia mampu melembutkan hati dan menenangkan perasaan. Ia boleh mengalirkan air mata. Ia mampu mengeratkan perasaan kasih sayang yang telah sedia terjalin. Inilah kuasa yang ada pada ungkapan kasih sayang tanpa syarat di kalangan sesama manusia.

Bukankah kasih sayang Allah SWT pada kita tanpa syarat? Allah SWT menjadikan kita dengan sempurna tanpa mengharapkan apa-apa daripada kita. Kalau dihitung segala pemberian Allah kepada kita, maka tentunya kering air di laut menjadi tinta, tidak habis kalau kita hendak menghitung pemberian Allah SWT. Demikianlah kasih sayang Allah SWT kepada kita, hamba-Nya.

Begitu juga seharusnya apa yang berlaku cetusan emosi kasih dan sayang sesama insan mengikut prinsip yang sama. Kasih sayang di antara seorang ibu dan anak bukanlah kerana si ibu mengharapkan masa tua anak akan membalas jasa ibu.

Begitu kisah Rabiatul Adawiyah apabila seorang raja masuk meminangnya, maka Rabiatul Adawiyah mengatakan bahawa dalam hatinya sudah tiada ruang lagi untuk dimuatkan perasaan kasih sayang selain daripada kasih sayang Allah SWT. Begitu tingginya perasaan cinta Rabiatul Adawiyah terhadap Allah SWT.

Hubungan cinta dan kasih sayang tanpa syarat ini juga terpancar dalam kisah Nabi Ibrahim a.s.. Cinta Nabi Ibrahim a.s. kepada Allah SWT tidak dapat digambarkan apabila dia sanggup mengorbankan Nabi Ismail a.s. apabila turun perintah Allah SWT supaya beliau melakukan pengorbanan sekalipun Nabi Ismail a.s. merupakan putera yang amat dikasihinya setelah menunggu kelahirannya begitu lama sehingga menjangkau usia tuanya.

Tiada tolok banding

Sebaliknya pula, kasih sayang Nabi Ismail a.s. terhadap Allah SWT dan bapanya juga tiada tolok bandingnya di muka bumi ini apabila bapanya menyatakan bahawa Allah WT memerintahkannya menjadi korban, maka Nabi Ismail a.s. menyerahkan dirinya untuk dikorbankan.

Dengan lain perkataan, kasih sayang dan cinta Nabi Ibrahim a.s. dan anaknya Nabi Ismail a.s. melampaui fikiran logik manusia. Tiada syarat yang diletakkan sebagai galang ganti untuk membuktikan cinta mereka berdua kepada Allah SWT. Kasih sayang kepada Allah SWT mengatasi segala rasa kasih sayang dengan segala makhluk ciptaan-Nya.

Begitu juga pengorbanan yang dilakukan oleh Siti Hajar yang ditinggalkan oleh Nabi Ibrahim a.s. bersama anaknya di tengah-tengah padang pasir yang kering kontang. Akhirnya pengorbanannya itu telah menjadi mercu tanda kasih sayang yang paling agung, bukan sahaja di dunia, malahan melampaui alam ukhrawi.

Lahirlah Baitullah, air zam-zam dan kewajipan ibadah haji sebagai rukun Islam ke-lima yang menjadi symbol dan kemuncak semangat jihad dalam satu pernyataan kasih sayang antara Allah SWT dan makhluk-Nya, terutama manusia yang dinobatkan sebagai khalifah Allah di muka bumi. Inilah tanda kekhalifahan manusia yang Allah SWT tunjukkan kepada para malaikat, kehebatan manusia dalam membuktikan ketinggian cinta dan kasih sayang yang memberikan tenaga yang cukup kuat dalam hubungan denga Allah SWT dan manusia lainnya.

Ikatan cinta dan kasih sayang yang kental menjadi sumber daya yang dapat meledakkan kejayaan dunia dan akhirat. Semarak api percintaan membolehkan individu melakukan kerja dan amal dengan penuh kejayaan (al-falah). Sesungguhnya cinta dan kasih sayang merupakan perasaan yang cukup murni sekiranya ianya dapat menggembleng dengan kecerdasan spiritual.

Cinta suami kepada isteri, begitu juga sebaliknya, tidak harus diletakkan apa-apa syarat selain daripada syarat untuk mendapat keredhaan Allah SWT. Isteri tidak akan mengeluh kepenatan melayan suami dan anak-anak lantaran apa yang dilakukannya sekadar mencari keredhaan Allah SWT. Lantas mencari keredhaan Allah SWT itu menjadi matlamat akhir sebuah bahtera kasih sayang dan kecintaan dalam keluarga.

Urus secara profesional

Begitu juga cinta ibu bapa kepada anak-anak, tidak harus diletakkan apa-apa syarat selain mendapat keredhaan Ilahi di atas anugerah yang penuh bermakna itu. Anak-anak dibelai dan dididik dengan penuh kasih sayang. Biarlah Allah SWT limpahi kasih sayang-Nya ke dalam hati dan perasaan mereka menjadi hamba-hamba Allah yang beriman dan bertakwa.

Waima cinta muda-mudi, kalau diletakkan dalam erti kata yang murni, maka murnilah jadinya. Menerima cinta seseorang dengan harapan menggembleng kekuatan tenaga yang lahir daripada semarak cinta untuk menuju ke jalan Allah SWT, maka cinta itulah yang mendorong ke arah pencarian ilmu pengetahuan, kemahiran dan pengalaman, supaya cinta dan kasih sayang itulah yang bakal melahirkan individu professional yang mencintai diri, keluarga, negara dan agamanya.

Sementelahan pula, kita menolak cinta bercirikan nafsu semata-mata, bermakna kita takut kita kehilangan sifat professionalisme dalam mengurus percintaan dan perasaan kasih sayang. Natijahnya, menundang pelbagai malapetaka yang boleh merosakkan generasi keturunan manusia.

Menguruskan cinta dan kasih sayang samalah juga dalam kaedah menguruskan stress. Kita harus professional dalam mengurus perasaan marah, benci, tekanan dan ketegangan, maka kita juga sepatutnya lebih professional dalam mengurus perasaan cinta dan kasih sayang. Punca daripada kesilapan mengurus perasaan cinta dan kasih sayang inilah yang mengakibatkan kita terjebak dalam stress. Di sinilah wujudnya kaedah dalam pengurusan stress.
Sangat mulia

Kalau kita boleh menguruskan cinta dan kasih sayang, maka tidak timbul persoalan pengurusan stress. Akibat daripada hilangnya kebijaksanaan (wisdom) dalam pengurusan cinta terhadap individu dan kelompok dalam situasi kerjaya, maka kita membenci persekitaran kerjaya. Begitu juga akibat daripada kurangnya professionalisme dalam pengurusan keluarga, maka berlaku pertelagahan rumahtangga, bertukarlah perasaan cinta menjadi api persengketaan yang membawa kepada perceraian.

Begitu juga halnya cinta kepada budaya ilmu yang tidak mendalam, maka alam pengajaran dan pembelajaran menjadi jumud, membosankan, malah menjadi medan mewujudkan generasi yang rosak akhlak. Sepatutnya, wahana persekolahan dan pusat pembelajaran menjadi tempat penjanaan tenaga cinta dan kasih sayang yang begitu semarak, menerbitkan bibit-bibit cinta kepada ilmu pengetahuan dan pengalaman. Apa yang dikhuatiri, bukan sahaja pelajar menjadi bosan dan keliru kenapa mereka perlu berada di situ, malah tenaga pengajar dan guru memilih kerjaya guru sebagai pilihan terakhir. Maka hilanglah kekuatan tenaga dalaman yang menyebutkan guru sebagai ‘murabbi’.

Dengan kata lain, apabila cinta dan kasih sayang sarat dengan syarat-syarat yang akhirnya meletakkan tenaga percintaan dan kasih sayang sebagai pusat mencetak masalah dan tekanan. Sehubungan dengan itu, cinta dan kasih sayang sepatutnya dikembalikan ke tempatnya. Perasaan cinta dan kasih sayang menjadi fitrah semulajadi yang dapat menjana tenaga dalaman menuju kejayaan. Apa yang perlu dilakukan hanyalah meletakkan sikap profesional dalam menguruskan perasaan cinta dan kasih sayang. Matlamat akhir sikap profesional dalam menguruskan cinta dan kasih sayang ialah kejujuran, keikhlasan, pengorbanan yang menuju kepada mencari keredhaan Allah SWT.

Amalan berkasih sayang sesama insan merupakan ajaran Islam yang sangat mulia lagi terpuji. Perasaan kasih sayang yang tersemat di dalam hati perlulah diluahkan dengan kata-kata supaya orang yang dikasihi itu mengetahui bahawa dirinya disayangi. Inilah salah satu cara yang diajar oleh Rasulullah SAW kepada umatnya, bilamana mereka kasih dan sayang kepada seseorang.

Beritahu

Anas bin Malik pernah menceritakan bahawa seorang lelaki datang duduk bersama-sama dengan Rasulullah SAW. Tiba-tiba lalu seorang lelaki di hadapan mereka. Lelaki tadi berkata kepada Rasulullah SAW, “Wahai Rasulullah, sesungguhnya aku mengasihi lelaki ini.” Nabi SAW bertanya, “Adakah kamu telah memberitahunya?” Jawap lelaki tadi, “Tidak.” Kata Nabi SAW, “Beritahulah kepadanya.” Lantas dia berjumpa lelaki tersebut dan berkata, “Sesungguhnya aku mengasihi kamu kerana Allah.” Lelaki itu menjawab, “Semoga Allah mencintai kamu yang telah menjadikan kamu mencintai aku kerana-Nya.”

Rasulullah SAW telah mempraktikkan cara ini dalam kehidupan hariannya. Pada suatu hari, baginda SAW menarik tangan Mu’az bin Jabal dan berkata, “Wahai Mu’az, demi Allah, sesungguhnya aku menyayangi kamu dan aku berwasiat kepada kamu wahai Mu’az: Jangan sekali-kali kamu meninggalkan pada pengakhiran setiap sembahyang untuk berdoa: Ya Allah, bantulah aku untuk mengingati-Mu, mensyukuri nikmat-Mu dan mengelakkan ibadah kepada-Mu.”

Sesungguhnya seandainya seorang Muslim itu apabila mereka mendahulukan cinta Allah daripada cinta makhluk, mereka pasti akan beroleh jaminan besar sebagaimana yang disebut oleh Rasulullah SAW dalam sebuah hadis yang bermaksud: Ada tujuh golongan yang mendapat perlindungan daripada Allah pada hari yang tidak ada perlindungan melainkan perlindungan Allah SWT iaitu :
  1. imam yang adil.
  2. pemuda yang mengabdikan diri untuk beribadah kerana Allah.
  3. lelaki yang hatinya sentiasa terpaut dengan masjid.
  4. dua orang lelaki yang bersahabat, mereka bertemu kerana Allah dan berpisah juga kerana Allah.
  5. lelaki yang digoda oleh seorang wanita yang memiliki kedudukan dan kecantikan kemudian menolaknya lalu berkata: ``Sesungguhnya aku takutkan Allah'’.
  6. lelaki yang bersedekah sehingga tangan kirinya tidak mengetahui apa yang tangan kanannya sedekahkan
  7. lelaki yang menitiskan air mata, beribadah menyebut nama Allah ketika bersendirian.
(Hadis Riwayat Muslim)

Rasulullah SAW bersabda, “Apabila Allah hendak membahagiakan seseorang hamba-Nya, Allah Taala menyeru Jibril dengan firman-Nya: Sesungguhnya Allah kasihkan si anu maka hendaklah engkau mengasihinya; Jibril pun mengasihinya; kemudian Jibril mengisytiharkan kepada sekalian penduduk langit katanya: Sesungguhnya Allah kasihkan si anu maka hendaklah kamu sekalian mengasihinya; dengan itu penduduk langit pun mengasihinya; setelah itu orang yang tersebut dikasihi dan diberi sambutan di bumi. Dan apabila Allah Taala bencikan seseorang hamba-Nya, Allah memanggil Jibril serta berfirman: Sesungguhnya Aku bencikan si anu maka hendaklah engkau bencikan dia. Jibril pun membencinya; kemudian Jibril mengisytiharkan kepada sekalian penduduk langit, katanya: Sesungguhnya Allah bencikan si anu maka hendaklah kamu sekalian membencinya; dengan itu penduduk langit pun membencinya; setelah itu orang yang tersebut dibenci dan dipulaukan di bumi. Orang yang mempunyai sifat dan amalan yang baik sesungguhnya amat dikasihi oleh Allah SWT. Dia juga disayangi oleh sekalian makhluk yang ada di langit dan bumi. Pengisytiharan kasih mahupun benci oleh Allah terhadap seseorang itu adalah sebagai memberi nilai yang sewajarnya agar kesan kebaikan dan kejahatan tersebut dapat dirasai oleh pelakunya di dunia sebelum ia menerima balasan sepenuhnya di hari akhirat. Kita selaku manusia biasa adalah tidak layak untuk menilai tentang buruk baiknya seseorang apalagi menghukum dan membenci manusia yang lain kerana hanya Allah sahaja yang berhak berbuat demikian.” (Hadis Riwayat Abu Hurairah r.a.)

Sesunguhnya umat Islam dilarang melakukan perkara yang buruk dan dibenci agama dan masyarakat tetapi hendaklah sentiasa berbuat kebaikan. Orang yang mempunyai sifat dan amalan yang baik sesungguhnya amat dikasihi oleh Allah SWT. Dia juga disayangi oleh sekalian makhluk yang ada di langit dan bumi. Pengisytiharan kasih mahupun benci oleh Allah terhadap seseorang itu adalah sebagai memberi nilai yang sewajarnya agar kesan kebaikan dan kejahatan tersebut dapat dirasai oleh pelakunya di dunia sebelum ia menerima balasan sepenuhnya di hari akhirat. Kita selaku manusia biasa adalah tidak layak untuk menilai tentang buruk baiknya seseorang apalagi menghukum dan membenci manusia yang lain kerana hanya Allah sahaja yang berhak berbuat demikian.

Dalam hadis yang lain pula, daripada Anas bin Malik r.a., Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya, “Tidak beriman seseorang kamu sehinggalah ia mengasihi kebaikan untuk saudaranya sebagaimana ia mengasihi kebaikan untuk dirinya sendiri.” (Hadis riwayat Al-Bukhari, Muslim, Abu ‘Uwanah, an-Nasai, at-Tirmidzi, ad-Darimi, Ibnu Majah, Ath-Thayalisi dan Ahmad)

Manusia yang paling baik hidup di atas muka bumi ini adalah manusia yang selalu berusaha memberikan manfaat dan kebaikan bagi orang lain. Bukankah manusia yang paling mulia adalah manusia yang memiliki keikhlasan dalam memperjuangkan keselamatan diri dan orang lain? Paling tidak kita mendoakan tetangga kita, saudara-saudara kita dan semua manusia untuk kebaikan sebagaimana kita menginginkan kebaikan untuk diri kita sendiri. Atau kita tidak pernah berfikir sama sekali akan perkara ini kerana kita selalu disibukkan dengan urusan masing-masing. Bahkan kita sudah tidak memiliki rasa kasih sayang kepada orang lain sehingga kita selalu memikirkan diri sendiri. Seandainya kita semua bersatu padu dengan membuat satu perkara penting dalam kehidupan untuk saling mengajak kepada kebaikan dan ketaatan kepada Allah SWT dan selalu berdoa dengan kesungguhan maka pasti Allah akan merubah keadaan kita kepada situasi yang lebih baik.
Ucapkan rasa sayang

Alangkah indahnya ajaran Rasulullah SAW. Perasaan kasih sayang tanpa syarat yang tersimpan di dalam hati perlu dizahirkan dengan ucapan pada lidah. Ucapkan kasih sayang kepada orang-orang yang kita sayangi. Sebagai suami, ucapkanlah kasih sayang kepada isteri. Sebagai ibu bapa, zahirkan perasaan kasih sayang kepada anak-anak. Sebagai guru, ucapkanlah kasih sayang kepada anak didik. Sebagai seorang insan, nyatakan rasa kasih sayang kepada semua manusia yang kita cintai.

Rasulullah SAW telah menjelaskan, “Tiga perkara apabila ia ada pada diri seseorang, maka ia akan merasai kemanisan iman. Pertama, hendaklah Allah dan Rasul-Nya lebih dicintai mengatasi selain keduanya. Kedua, hendaklah dia mencintai seseorang, tidak mencintai seseorang melainkan cintanya itu kerana Allah. Ketiga, hendaklah dia benci untuk kembali kepada kekufuran setelah Allah menyelamatkannya, seperti mana dia benci dicampakkan ke dalam api neraka.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Baginda SAW juga bersabda, “Allah SWT berseru pada hari kiamat, DI manakah orang-orang yang berkasih sayang kerana kebesaran-Ku. Pada hari ini, Aku akan melindungi mereka dengan perlindungan-Ku, pada hari yang tiada perlindungan melainkan perlindungan-Ku.”

Manisnya tebu tidak dapat digambarkan oleh perkataan buat sesiapa yang tidak pernah merasanya. Manisnya iman, hanya pemiliknya sahaja yang dapat mengecapi kenikmatan dan kekusyukannya. Dalam tiga ciri tersebut, baginda SAW nyatakan bahawa dengan mencintai seseorang hanya kerana Allah, akan terasalah manisnya iman. Indahnya kemanisan iman hanya pemiliknya yang faham.

Bagaimana mungkin kita dapat membina rasa cinta kepada seseorang kerana Allah SWT semata? Pastilah dek kita tahu hubungan dan kasih sayang kita kepadanya mendapat keredhaan Allah. Mungkin kerana dia orang yang dekat kepada Allah, atau dia boleh menjadi faktor kita dapat mendekatkan diri kepada Allah. Apabila perasaan yang seperti itu terbina, kita akan dapat merasa nikmatnya perasaan cintakan seseorang kerana Allah. Hanya hubungan yang seperti itulah yang membuahkan kesetiaan dan kejujuran yang tidak mampu dibeli oleh pangkat, kedudukan dan harta.

Justeru itu, binalah kekuatan rasa kasih sayang tanpa syarat dalam jiwa supaya emosi dan spiritual kita semakin mantap dan kukuh. Sesungguhnya kasih sayang inilah yang membahagiakan diri kita dan orang lain sekitarnya. Nantinya, kasih sayang Allah SWT senantiasa memayungi segala urusan kehidupan kita sehingga menjadi kehidupan yang diredhai-Nya.

Sumber: RMJ

1 ulasan:

  1. Salam... rasa kasih sayang perlu dipupuk dalam diri setiap insan - terutamanya sejak kecil lagi...

    * kalau kasih sayang terhadap manusia pun kurang, apa lagi terhadap haiwan...

    BalasPadam

Kongsikan komen anda di sini...