PAGE

Jumaat, Mei 15, 2009

Q&A : Suami juga boleh nusyuz


Soalan:

SUAMI saya seorang yang panas baran dan bertindak ganas jika berlaku perselisihan. Apa yang membimbangkan saya ialah setiap kali berlaku pertengkaran, bukan saya sahaja yang terima sepak terajang, malah anak-anak juga. Baru-baru ini saya lari ke rumah keluarga saya untuk melindungi diri dan anak-anak daripada dipukul. Suami menuduh saya nusyuz. Apakah yang perlu saya lakukan untuk melindungi diri dan anak-anak? Adakah perbuatan saya dianggap nusyuz dan apakah kesannya?

Lia Kamila, Sentul, Kuala Lumpur.


Jawapan:

Islam menganjurkan kehidupan berumahtangga yang harmoni, saling hormat-menghormati dan kasih sayang antara suami isteri. Kitab suci al-Quran menekankan nilai-nilai ini malah melarang dengan keras sebarang bentuk kezaliman sesama manusia. Dalam surah Ar- Ruum 30:21, “Antara hikmahNya: Dia menjadikan jodoh untukmu dari dirimu (bangsamu), supaya kamu bersenang-senang kepadanya dan Dia mengadakan sesama kamu kasih sayang dan rahmat. Sesungguhnya hal yang demikian itu menjadi ayat (keterangan) bagi kaum yang berfikir.”

Keganasan rumah tangga boleh ditakrifkan sebagai sengaja atau cuba meletakkan mangsa dalam ketakutan, mencederakan secara fizikal, memaksa atau mengancam melakukan perbuatan seksual atau selainnya, mengurung atau menahan tanpa kerelaan dan khianat atau merosakkan harta dengan niat menyebabkan kesedihan atau kegusaran.

Untuk menangani masalah ini, satu akta khusus telah digubal iaitu Akta Keganasan Rumahtangga 1994. Apa yang boleh puan lakukan ialah membuat laporan polis di balai polis berhampiran tentang keganasan yang telah dilakukan terhadap diri dan anak-anak puan.

Di samping itu, rawatan dari hospital kerajaan adalah perlu sebagai laporan kecederaan yang dialami. Puan juga boleh memohon perlindungan sementara di bawah seksyen 4 Akta Keganasan Rumahtangga. Perintah perlindungan ini bertujuan untuk menghalang dan melindungi mangsa daripada terus dianiayai.

Pegawai Penyiasat (polis) akan mengeluarkan satu surat yang menyarankan bahawa puan perlu memohon perlindungan sementara ini. Surat ini ditujukan kepada Pegawai Kebajikan Masyarakat yang akan merujuk kepada mahkamah bagi mendapatkan perintah tersebut.

Di mahkamah syariah pula, puan juga boleh memohon perintah tegahan mengikut seksyen 107 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) 1984 bagi menghalang suami menceroboh diri, anak dan harta puan.

Manakala seksyen 59(2) memberikan definisi nusyuz itu sebagai enggan dengan tidak berpatutan menurut kemahuan atau perintah sah suaminya, iaitu, antara lain -

  1. Apabila dia menjauhkan dirinya daripada suaminya;
  2. Apabila dia meninggalkan rumah suaminya bertentangan dengan kemahuan suaminya; atau
  3. Apabila dia enggan berpindah bersama suaminya ke satu rumah atau tempat lain, tanpa apa-apa sebab yang mengikut hukum syarak.

Kesan seksyen ini adalah seorang isteri tidak berhak mendapat nafkah jika dia dibuktikan nusyuz. Namun, mahkamah akan melihat kepada fakta kes sebelum mensabitkan nusyuz ke atas isteri. Hak nafkah isteri berkenaan tidak luput jika dalam keadaan terpaksa dan bertepatan dengan syarak.

Dalam kes ini tindakan puan tidak dianggap nusyuz kerana puan keluar dari rumah untuk menyelamat dan melindungi diri dan anak-anak dari terus menjadi mangsa keganasan rumah tangga.

Istilah nusyuz pada kebiasaannya digunakan sebagai bererti nusyuz oleh pihak isteri, akan tetapi perlu diingatkan bahawa ayat al-Quran juga menggunakan istilah nusyuz bagi merangkumi pihak suami juga. Dalam surah al-Nisa istilah nusyuz diterangkan dalam ayat 4:34 yang menyatakan maksud: “...Dan wanita-wanita yang kamu khuatirkan nusyuznya, maka nasihatilah mereka, (kemudian) pisahkanlah mereka di tempat tidur mereka, (dan akhir sekali) pukullah mereka (dengan pukulan yang tidak menyakiti) Kemudian jika mereka mentaatimu, janganlah kamu mencari jalan untuk menyusahkannya. Sesungguhnya Allah Maha Tinggi dan Maha Besar.”

Namun ia sebenarnya tidaklah terbatas kepada wanita sahaja. Malah, dalam surah al-Nisaa’, ayat 4:128 ditujukan kepada lelaki. Sebahagian ayat ini bermaksud, “Dan jika seorang perempuan bimbang akan timbul dari suaminya nusyuz, atau tidak melayaninya, maka tiadalah salah bagi mereka membuat perdamaian antara mereka berdua…”

Oleh yang demikian, nusyuz tidaklah mungkin membawa pengertian tentang keengkaran isteri terhadap suaminya, sebagaimana yang sering disangkakan. Menurut Syed Qutb dalam bukunya In the Shade of the Qur‘an nusyuz bererti terganggunya kerukunan rumah tangga.

Suami juga boleh dianggap nusyuz jika tidak menjalankan tanggungjawabnya sebagai seorang suami dengan baik. Oleh itu, kedua-dua suami dan isteri adalah bertanggungjawab menjaga kerukunan rumah tangga.






Sumber : Utusan 15/05/2009

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Kongsikan komen anda di sini...