PAGE

Jumaat, Mei 22, 2009

Pesanan yg mencalar aqidah, sila hentikan!

Salam,

Baru-baru ini saya terima LAGI email yang mengandungi mesej seperti berikut :
Yaasin,
Walqura-nilhakim.
Innakala minalmursalin.
A'lasiratil mustaqim.
Tanzilal azizirrahim.
Litunziraqaumamma unzila aba uhum fahum ghafilun.

Kirim surah Yaasin ini kepada 7 insan berugama islam.. Insya Allah esok saudara akan menerima khabar yang baik, gembira dan rezeki anda sentiasa berada di tangan anda dengan izin Allah.
Mengapa saya tulis 'LAGI', ya? Sebabnya saya dahpun terima email sebegini, beberapa tahun yang lepas, sekarang email itu masuk kembali ke mailbox saya. Sebenarnya ada banyak versi email yang mengandungi mesej yang baik-baik, dimulakan dengan pembacaan ayat-ayat al-Quran, peringatan dan sebagainya, namun pada pengakhiran mesej, dimintanya kita menyebarkan kepada 10-20 orang lain, diselitkan pula mesej, "Insya Allah esok saudara akan menerima khabar yang baik, gembira dan rezeki anda sentiasa berada di tangan anda dengan izin Allah." atau "Insya Allah, situasi kewangan anda akan lebih baik.." bla... bla... bla...

Saya merasa kesal kerana masih ramai umat Islam yang masih keliru aqidah mereka. Sememangnya kita digalakkan, malah diberi pahala apabila membaca, mendengar malah melihat tulisan-tulisan yang mengandungi kalamullah (al-Quran). Lebih digalakkan supaya kita mempelajari bacaan tajwidnya dan memahami maksudnya.

Kita juga dianjurkan ingat mengingat sesuai dengan perintah dalam surah al-Asri. Semuanya bagus cuma apabila ingatan-ingatan tersebut diikuti dengan pesanan supaya mesej ini dikirim kepada 7 insan berugama islam... "Insya Allah esok saudara akan menerima khabar yang baik, gembira dan rezeki anda sentiasa berada di tangan anda dengan izin Allah", maka disinilah letaknya KECELARUAN akidah/keyakinan umat Islam.

Antara keyakinan yang wajib bagi umat Islam ialah percaya kepada Qadar dan Qadar. Ini terkandung dalam 6 rukun imam yang wajib kita yakini. Jangan kita hanya percaya tetapi tetap menyengutukan keyakinan tersebut dengan satu amalan yang merosakkan keyakinan itu sendiri. Ini samalah seperti kita percaya kepada Allah tetapi tetap menyembah patung.

Apabila kita mengikut arahan pada akhir email ini, secara sedar atau tidak dan secara langsung atau tak langsung kita sebenarnya yakin dengan pesanan tersebut dan mengharapkan esok kita akan menerima khabar yang baik, gembira dan rezeki anda sentiasa berada di tangan kita. Dengan izin Allah. Sedangkan kita sepatutnya berusaha beramal dengan membaca surah Yasin (keseluruhannya) sebagai amalan sunat, tidak meninggalkan solat fardu, tidak meninggalkan kewajipan kepada Allah dan kepada makhluk dan berusaha untuk mencari nafkah dengan cara yang halal. Kemudian kita bertawakkal sama ada khabar baik atau buruk yang bakal kita terima esok atau hari seterusnya.

Kadangkala satu perbuatan yg kita anggap saja-saja sekadar uji, test, cuba, try itu ini semakin hari semakin akan mengikis iman kita dan iman rakan-rakan yang kita hantar mesej sebegini. Tidakkah kita mahu mencari punca amalan ini, apakah ini amalan yg diajarkan oleh Nabi atau ulama-ulama kita? Atau ianya adalah perancangan musuh-musuh Islam yang mencari peluang atas kealpaan dan sikap 'mudah percaya' yang menular di sanubari umat ketika ini?

Cuba kita tanya pada hati kita, semasa kita menghantar mesej sebegini, apakah ianya atas dasar mahu ingat mengingati atau kita sebenarnya mengharapkan rezeki datang menggolek dengan izin Allah? Jika benar-benar rezeki datang esoknya, maka tentulah kita akan lebih yakin bahawa rezeki itu datang disebabkan kita menghantarkan kepada rakan-rakan sebanyak bilangan yang diarahkan. Keyakinan kepada Allah sudah terjejas tanpa kita sendiri sedari!

Lantas kita akan terus mengikut arahan-arahan lain yang mungkin datang selepas ini. Bila sudah manthob keyakinan seperti ini maka umat Islam akan terus mengikut apa pun arahan email yg tak tahu siapa pengirim asalnya. Bermakna kita sudah menumpahkan/mengongsikan keyakinan kita kepada arahan email bukan lagi kepada Allah semata-mata.

Apabila kita di depan Kaabah, kita sembah Allah. Kita bukan sembah Ka'abah. Kalau sembah Kaabah syirik. Basic akidah kena kita perbetulkan. Kalau kita sebar email surah yassin pada 7 orang akan dapat bla... bla....... itu SYIRIK namanya! Kalau percaya sebar email yasin pada 7 orang dapat itu dan ini, jatuh syirik! Rosak akidah kita! Seolah-olah menyebar email yang memberi 'bekas' - musibah atau malapetaka atau kebahagian atau kesenangan. Kita lupa, yang memberi bekas CUMA Allah SWT!

Perlu diingatkan, dosa mensyirikkan Allah adalah dosa paling besar. Allah berfirman yang bermaksud: "Sesungguhnya Allah tidak akan mengampunkan dosa syirik mempersekutukan-Nya (dengan sesuatu), dan akan mengampunkan dosa yang lain daripada itu bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya (menurut aturan syariat-Nya). Dan sesiapa yang mempersekutukan Allah (dengan sesuatu yang lain), maka sesungguhnya ia sudah melakukan dosa besar." (Surah al-Nisa', ayat 48)

Fikir-fikirkanlah. Selamatkan akidah kita dari unsur-unsur syirik.

Capaian entry berkaitan :
  1. Syirik weh!!! (そのI) - surat/email berantai?!
  2. Syirik weh!!! (そのII) - “Uncle sebelah buat apa tu, ayah?”
  3. SMS atau email berantai?
Jika anda berkesempatan, sila semak balik entry di atas.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Kongsikan komen anda di sini...