SOALAN:
BAYI perempuan yang berumur lebih kurang empat tahun, menangis setiap malam lebih kurang pukul 2 pagi sehingga hampir subuh. Apabila menangis, seluruh keluarga dalam rumah menjadi kelam kabut. Kadang-kadang matanya kelihatan terbeliak, tangannya terketar-ketar dan suaranya hilang kerana terlalu kuat meneran ketika menangis. Bagaimana hendak mengatasi masalah yang terus berlarutan ini.
- Haru-biru, Gombak, Selangor.
JAWAPAN:
Ibu mengandung perlukan rehat yang sempurna serta kesihatan yang baik, yang melibatkan bekalan makanan yang sesuai dan mencukupi. Di antara cara untuk memperoleh kerehatan ialah dengan menenangkan fikiran. Kaedah utama untuk memperoleh ketenangan ialah dengan mengingati Allah.
Emosi mendadak, mengejutkan, dan mengerikan yang dialami oleh ibu akan memberi kesan pada bayi dalam kandungan. Andainya berlaku gangguan emosi yang berpanjangan, ia akhirnya akan membentuk atau mempengaruhi corak perilaku anak yang bakal dilahirkan. Hal demikian boleh terjadi akibat banyak faktor, termasuk gangguan emosi iaitu pada perasaan dan fikiran.
Sesetengah ibu menghadapi masalah yang berkaitan dengan diri sendiri, yang mungkin ada kaitan dengan kehamilan yang sedang dialami. Mungkin berlaku kerana kehamilan yang tidak dirancang, termasuk masalah kewangan, masalah orang gaji, sakit atau hilang pekerjaan oleh suami. Masalah seumpama ini boleh dikatakan dialami oleh kebanyakan orang. Kesannya adalah bergantung kepada keupayaan seorang bakal ibu menghadapi gangguan atau emosi yang mendatang. Kerana itu kesan atau gejala daripada kewujudan masalah-masalah tersebut berbeza menurut individu, kerana setiap individu mempunyai keupayaan atau ketahanan yang berlainan ketika berhadapan dengan masalah, yang akhirnya melahirkan emosi yang berlainan.
Perubahan yang berlaku dalam diri boleh menyebabkan berlakunya perubahan kimia yang dikeluarkan oleh saraf dan hormon dalam kelenjar endoktrin. Bahan-bahan inilah yang memberi kesan buruk terhadap perkembangan bayi dalam kandungan. Sekiranya bahan ini masuk dalam sistem darah, maka anak itu akan mengalami seperti apa yang dialami oleh ibu.
Perasaan atau fikiran seseorang itu bermula daripada otak. Perubahan emosi akan menyebabkan berlakunya beberapa perubahan, iaitu perubahan neurochemical (bahan kimia saraf) yang melahirkan tindak balas, lalu disalurkan terus pada saraf autonomik, yang akhirnya disalurkan kepada lain-lain tindak balas, pada otot-otot dan kelenjar endoktrin. Saraf autonomik adalah menuju pada otot-otot dalam tubuh dan kelenjar bawah sedar. Manakala saraf pusat pula berfungsi mengawal otot-otot sistem tengkorak dan di bawah sedar. Apabila sistem ini berjalan dengan lancar, seluruh tubuh akan menjadi sihat. Sebaliknya apabila berlaku gangguan, sistem saraf akan melahirkan kimia tertentu, yang mungkin terus masuk pada saluran darah, terus ke uri dan akhirnya masuk dalam sistem pendarahan bayi yang boleh menyebabkan gangguan.
Jelas menunjukkan bahawa emosi ibu mempunyai hubungan terus pada bayi dalam kandungan. Ibu yang menghadapi tekanan dan menyebabkan rasa tidak tenang kemungkinan besar akan melahirkan bayi yang banyak menangis, lebih daripada biasa, tidak nyenyak tidur, meragam dan sebagainya.
Gangguan emosi yang dialami oleh ibu juga menyebabkan pergerakan bayi bertambah dengan lebih kerap. Semakin lama gangguan yang dialami, maka semakin banyak lagi berlakunya gerakan anak. Ia juga menyebabkan terganggunya kemampuan meresapkan makanan. Tekanan emosi yang teruk juga menyebabkan kehilangan kalsium, kehilangan fosfat dan nitrogen.
Perlu difahami bahawa bayi dalam kandungan berupaya berfikir, mendengar dan berperasaan. Dengan itu, emosi atau perlakuan ibu yang menyebabkannya rasa kurang selesa akan melahirkan tindak balas bayi. Pada kebiasaannya bayi yang mencapai umur enam bulan dalam kandungan sudah mempunyai daya ingatan dan memperlihatkan kebolehan menyerapkan maklumat-maklumat untuk menjalani hidupnya setelah dilahirkan. Kerana itu, emosi ibu ketika itu memainkan peranan besar dalam tujuan mencorakkan perwatakan bayi dalam kandungan dan seterusnya akan terbawa hingga dewasa kelak.
Ketegangan yang diingini oleh seorang wanita yang bakal menjadi ibu itu sukar diperoleh sekiranya faktor-faktor luaran mempengaruhinya, menyebabkan emosinya terganggu, terutamanya oleh suami. Kerana itu, kita di sini diperlihatkan bahawa pasangan yang sesuai dan bertimbang rasa itu perlu dalam usaha mencari jodoh. Ketika inilah suami perlu memperlihatkan sifat-sifat kejujuran dan bertimbang rasa, membolehkan penderitaan daripada kandungan yang semakin membesar itu hanya terasa pada bahan fizikal sahaja.
Selain daripada faktor makanan yang perlu diambil kira kebersihan tempat kediaman, terutamanya bilik tidur itu perlu. Udara yang cukup dan selesa memainkan peranan penting dalam usaha memperolehi ketegangan, terutamanya selepas menunaikan tugas harian.
Tangisan yang berpanjangan dalam masyarakat Melayu dikenali sebagai sawan tangis. Ada bayi yang tidur nyenyak di siang hari, tetapi mula menangis pada masa-masa tertentu terutamanya di tengah malam tanpa sebab-sebab yang jelas. Sawan tangis tidak semestinya kerana bayi lapar, dahaga, kesejukan, panas, berubah tempat tidur atau kehilangan orang yang selama ini berada di sampingnya.
Tangisan biasa selalunya mempunyai sebab-sebab yang jelas seperti sembelit, tercucuk pin, pakaian terlalu ketat, lampin basah, rasa sakit perut, dahaga, kesepian dan sebagainya. menangis bagi bayi merupakan satu perkara biasa, bukan semestinya kerana kelalaian ibu. Malah menangis merupakan satu penyataan bayi gantian daripada pertuturan yang tidak dapat dilakukan terhadap sesuatu yang berlaku,
Ada orang yang mengaitkan sawan tangis ini dengan rasukan ataupun gangguan makhluk-makhluk halus, yang juga melibatkan makhluk yang diistilahkan sebagai qarin. Perkataan qarin adalah berasal daripada bahasa Arab, yang bererti teman, atau pasangan. Istilah qarin bererti roh-roh jahat, yang terdiri daripada makhluk-makhluk halus yang sentiasa mendampingi manusia sejak seseorang itu dilahirkan sehinggalah seseorang itu meninggal dunia.
Allah SWT menjadikan manusia itu daripada dua unsur utama, iaitu jasad dan roh. Islam mengajar agar anak yang baru dilahirkan itu diazankan di telinga kanan dan dikamatkan di telinga kirinya. Itulah ajaran yang awal yang perlu diperhatikan dan dituruti sebaik-baik sahaja seorang bayi itu dilahirkan, dengan tujuan agar bayi itu mendengar kalimah Allah sebaik-baik sahaja dilahirkan. Pencipta yang melahirkan bayi yang baru dilahirkan, yang akan memberi rezeki dan membesarkannya yang akhirnya akan mematikannya, untuk menemui-Nya.
Sekiranya diperlakukan demikian, insya-Allah, bayi berkenaan tidak akan diganggu oleh ummu s-sibyan iaitu sejenis makhluk halus yang sering mengganggu bayi, yang boleh menyebabkan pelbagai masalah kepada bayi, termasuk gangguan tidur di waktu malam yang akhirnya boleh menyebabkan pelbagai masalah, termasuk demam panas ataupun sawan.
Seperti yang dijelaskan, bayi yang mengalami masalah menangis tiada semestinya berlaku akibat kehendak- kehendak tabiinya tidak dipenuhi. Lebih memelikkan lagi, bayi atau kanak-kanak tadi menangis pada waktu-waktu tertentu seperti selepas tengah malam sehingga berjam-jam. Pada waktu-waktu lain, anak tadi tidur dengan nyenyak dan tidak ada tanda-tanda menunjukkan ia terganggu apabila diperiksa doktor.
Latar belakang demikian membuktikan bahawa roh bayi tadi mungkin terganggu akibat gangguan yang tidak dapat dilihat oleh mata kasar, ataupun melalui eksperimen teknologi moden. Dalam masa tertentu, bayi tadi kadang-kadang memperlihatkan reaksi luar biasa, dengan wajah yang ketakutan seolah-olah sedang melihat satu objek yang menggerunkan di hadapannya.
Mungkin sukar untuk menjelaskan bagaimana gangguan yang tidak dapat dilihat itu boleh menganggu bayi menyebabkannya tidak berhenti-henti menangis, terkujat-kujat dan terketar mulut sehingga tidak terdengar suara tangisannya.
Bayi di bawah umur tiga bulan selalu menangis di waktu senja yang dikenali sebagai evening colio. Setelah berhenti dia akan menangis semula. Demikianlah halnya, yang kadang-kadang memakan masa berjam-jam menyebabkan ibu merasa gelisah dan letih yang amat sangat.
Sukar untuk membuktikan bahawa sawan tangis boleh terjadi akibat gangguan seperti yang dijelaskan.
Walaupun demikian, peristiwa-peristiwa yang dijelaskan oleh hadis berikut mungkin boleh dijadikan alasan atau pengajaran, bahawa gangguan seumpama itu memang pernah berlaku,
Hurairah r.a. berkata, bahawa Khalid bin al-Walid r.a. telah mengadu kepada Nabi SAW dan berkata: Ya Rasulullah, aku tidak dapat tidur malam kerana al-caraq. Nabi SAW berkata: Apabila engkau baring di atas tempat tidur bacalah: Ya Allah, Tuhan pemelihara langit yang tujuh dan apa yang dilindungi-Nya, Tuhan pemelihara langit yang tujuh dan apa yang dilindungi-Nya. Tuhan pemelihara segala bumi dan apa yang terkandung di dalamnya, dan Tuhan pencipta syaitan dan apa juga yang tersesat kerananya. Jadikanlah daku terpelihara daripada kejahatan makhluk-Mu semua, daripada melampaui salah seorang daripada mereka mengalahkan daku dan berbuat alim. Muliakanlah pemeliharaan-Mu, maha besar pujian-Mu, tidak ada Tuhan selain daripada Engkau.
Dalam hadis ini Rasulullah SAW mengajar Khalid bin al-Walid doa agar dia terlepas daripada sakit al-caraq (tidak boleh tidur malam). Doa yang diajarkan tersebut terkandung dalam terjemahan di atas. Setelah Khalid membacanya, beliau dapat tidur seperti biasa dengan kehendak Allah.
Tidak dapat tidur malam berpunca daripada sebab yang banyak; mungkin berpunca daripada runsing akibat masalah yang berpanjangan, masalah di tempat kerja dan lain-lain masalah, ataupun kerana terlalu gembira. Selain daripada itu, tidur lewat juga boleh menyebabkan seseorang itu sukar hendak tidur.
Sebab-sebab lain mungkin kerana gangguan makhluk-makhluk halus. Dalam doa yang diterjemahkan di atas disebut jelas tentang syaitan yang menyesatkan manusia. Untuk merawat bayi, ibu atau bapa boleh membacakan doa tersebut dan ditiup pada ubun-ubun bayi, atau pada air yang digunakan untuk mandi.
Di sebalik ketentuan tersebut. Sesuatu yang kamu tidak sukai itu mungkin lebih baik bagi kamu, tetapi kamu tidak tahu. Sebaliknya sesuatu yang kamu sukai itu mungkin buruk bagi kamu. Ketika itu kesabaran paling perlu. Allah SWT memberi ganjaran tanpa hisab bagi mereka yang bersabar.
Sumber : Utusan 12/04/2009
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Kongsikan komen anda di sini...