PAGE

Rabu, Jun 17, 2009

Adab bertandang jaga hak tetamu, tuan rumah

Oleh Mohd Shahrizal Nasir

Bertamu disyariat hanya tiga hari, dilayan ikut kemampuan agar terpelihara persaudaraan

ISLAM menitikberatkan hubungan sesama manusia. Justeru, Islam menggariskan adab dan etika bagi memuliakan tetamu. Sebenarnya, tetamu adalah amanah Allah yang harus ditunaikan haknya. Tuan rumah bertanggungjawab terhadap tetamu selama berada di rumahnya. Menghormati tetamu dan menyempurnakan haknya menjadikan Muslim memiliki iman sempurna. Lebih utama, apabila tetamu itu ialah saudara seagama tetapi itu tidak menafikan hak bukan beragama Islam untuk mendapat layanan terbaik daripada tuan rumah beragama Islam.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Tidak sempurna iman seseorang sehingga dia mengasihi saudaranya seperti mengasihi dirinya." (Hadis riwayat Muslim)

Menghormati serta memuliakan tetamu juga sunnah nabi dan rasul yang diutuskan sebagai contoh ikutan terbaik. Nabi Ibrahim AS antara rasul yang amat memuliakan tetamunya. Baginda menerima tetamu yang bertandang ke rumahnya dengan hati terbuka serta melayani mereka dengan layanan yang baik. Allah merakamkan perihal Nabi Ibrahim menerusi firman-Nya bermaksud: "Sudahkah sampai kepadamu (wahai Muhammad) perihal tetamu Ibrahim yang dimuliakan? Tatkala mereka masuk mendapatkannya lalu memberi salam dengan berkata: Salam sejahtera kepadamu", Ibrahim menjawab: Salam sejahtera kepada kamu (sambil berkata dalam hati): mereka ini orang yang tidak dikenali. Kemudian ia masuk mendapatkan ahli rumahnya serta dibawanya keluar seekor anak lembu gemuk (yang dipanggang). Lalu dihidangkannya kepada mereka sambil berkata: Silakanlah makan." (Surah adz-Dzaariyaat, ayat 24-27)

Begitu juga dengan Nabi Lut ketika didatangi tetamu yang sebenarnya malaikat untuk menguji kaumnya. Baginda sedaya upaya menjaga keselamatan tetamu itu daripada menjadi mangsa kezaliman kaumnya yang dilaknat Allah. Firman Allah bermaksud: "Dan kaumnya pun datang meluru kepadanya (dengan tujuan mengganggu tetamunya), sedang mereka sebelum itu sudah biasa melakukan kejahatan. Lut berkata: Wahai kaumku, di sini ada puteriku, mereka lebih suci bagi kamu (maka kahwinlah dengan mereka). Oleh itu, takutlah kamu kepada Allah dan jangan kamu memberi malu kepadaku di depan tetamuku. Tidakkah ada antara kamu seorang lelaki yang bijak berakal (yang dapat memberi nasihat)?" (Surah Hud, ayat 78)

Inilah antara contoh menggambarkan pentingnya memuliakan tetamu yang datang ke rumah. Jika disoroti sejarah Rasulullah SAW, dapat dilihat golongan Ansar menunjukkan contoh yang baik dalam hal memuliakan tetamu. Mereka memberi layanan dan bantuan istimewa kepada golongan Muhajirin yang meninggalkan keluarga, harta benda serta kemuliaan di bumi Makkah semata-mata untuk berhijrah ke Madinah. Segala keperluan Muhajirin dipenuhi dengan sempurna oleh golongan Ansar.

Allah menjelaskan dalam firman-Nya bermaksud: "Dan orang (Ansar) yang mendiami negeri (Madinah) serta beriman sebelum mereka, mengasihi orang yang berhijrah (Muhajirin) ke negeri mereka dan tidak ada pula dalam hati mereka perasaan berhajatkan apa yang sudah diberi kepada orang yang berhijrah itu; dan mereka juga mengutamakan orang yang berhijrah itu lebih daripada diri mereka sendiri, sekalipun mereka dalam keadaan kekurangan dan sangat berhajat." (Surah al-Hasyr, ayat 9)

Amalan menghormati dan memuliakan tetamu bukan saja menunjukkan perilaku terpuji, malah ia berkait rapat dengan tahap keimanan seseorang. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari kemudian, maka hendaklah ia berkata perkara yang baik atau diam. Siapa beriman kepada Allah dan hari kemudian, maka hendaklah ia memuliakan jirannya. Siapa beriman kepada Allah dan hari kemudian maka hendaklah ia memuliakan tetamunya." (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Antara adab memuliakan tetamu yang dianjurkan Islam ialah menyambut kedatangan mereka dengan perasaan gembira serta wajah manis, bertanya khabar dan menyembunyikan masalah keluarga supaya tidak diketahui tetamu.

Selain itu, menyajikan hidangan makanan dan menyediakan tempat tidur yang baik serta kemudahan diperlukan jika mereka bermalam di rumah juga sebahagian daripada adab memuliakan tetamu. Apa yang lebih penting, semua itu disediakan mengikut kemampuan tuan rumah, tidak terlalu berkira dan tidak berlebihan serta bukan untuk bermegah.

Firman Allah bermaksud: "Dan juga mereka (yang diredai Allah itu ialah) yang apabila membelanjakan hartanya, tiadalah melampaui batas dan tiada bakhil kedekut; dan (sebaliknya) perbelanjaan mereka adalah betul sederhana di antara kedua-dua cara (boros dan bakhil) itu." (Surah al-Furqaan, ayat 67)

Ulama menyatakan bertamu yang disyariatkan ialah tiga hari. Melayani tetamu pada tahap yang wajib secara terbaik mengikut kemampuan hanya untuk sehari semalam, sementara dua hari selebihnya, maka disyariatkan melayani tetamu dengan apa yang ada di rumah saja.

Sebenarnya, keadaan ini bagi mengelak perasaan terbeban oleh tuan rumah. Amalan yang awalnya dianggap mulia, tetapi jika berlarutan sehingga menyusahkan tuan rumah, dikhuatiri menimbulkan suasana tidak elok, malah mungkin menimbulkan perbalahan dan persengketaan pada kemudian hari.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Bertamu itu tiga hari; dan selebihnya siang mahupun malam. Tidak halal bagi seorang Muslim menetap di rumah saudaranya sehingga saudaranya itu berdosa kerananya. Sahabat bertanya: Bagaimana caranya dia berdosa? Jawab Baginda: Orang itu menetap di rumah saudaranya, padahal saudaranya itu tidak mempunyai apa-apa lagi yang akan dihidangkan kepada tetamunya itu." (Hadis riwayat Bukhari)

Bagi pihak tetamu, mereka juga harus menjaga adab serta etika bertamu. Contohnya, memilih masa sesuai bagi tuan rumah sebelum bertandang.

Percakapan juga mesti sentiasa dijaga supaya tidak mengundang rasa kurang senang kepada tuan rumah serta tidak sesekali menyakiti hati mereka. Selain itu, mereka harus menjaga tingkah laku serta tidak mengganggu masa tuan rumah menyelesaikan tugasan lebih penting. Tetamu patut mengucapkan terima kasih atas layanan diberikan tuan rumah pada akhir kunjungan serta mendoakan kebaikan buat tuan rumah seisi keluarga. Di samping itu, tetamu wajib menjaga rahsia serta aib tuan rumah jika didapati berlaku sepanjang berada di rumah itu.

Penulis ialah Felo Akademik Fakulti Bahasa Dan Komunikasi Universiti Darul Iman Malaysia


Sumber : BHarian 2009/06/17

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Kongsikan komen anda di sini...