PAGE

Isnin, Jun 22, 2009

Berdandan untuk suami, satu kewajipan!


Salam,

Semasa bercinta, selalunya si gadis akan berhias secantik-cantiknya jika berjanji dating dengan teman lelaki. Tetapi bila sudah berkahwin, selalunya si isteri jarang-jarang mengambil berat lagi hal kecantikannya. Apatah lagi setelah beranak-pinak, mana sempat hendak menguruskan diri sendiri, mana sempat nak calit bedak di pipi yang sentiasa berpeluh. Semuanya jadi tidak terurus! Tubuh badan semakin berlemak, kulit muka berkedut-kedut, kuku di jari pun tak sempat hendak dipotong. Bau badan dah semacam bercampur dengan haruman perfume dengan belacan terbakar!

Menjadi seorang surirumah sekaligus seorang isteri yang baik bukannya mudah. Suami mahu dilayan, anak-anak pula tidak boleh diabaikan. Memang cekap betullah jika isteri boleh menguruskan segala-galanya. Kasihan isteri-isteri yang setiap hari berjuang apatah lagi jika tidak ada orang gaji dan berkerjaya pula. Nasiblah dapat suami yang mahu menolong, jika tidak terpaksalah semuanya diuruskan sendiri. Suami pula hanya pandai komplen dan susahkan hati saja.

Kebahagiaan rumahtangga ada pasang surutnya. Isteri tidak semestinya karam dalam emosi yang tercipta oleh keadaan semasa. Isteri perlu mempertingkatkan kemahiran dan kecerdasannya untuk menjadi yang terhebat di mata suami dan anak-anak. Seorang suami tidaklah menuntut berlebih-lebih, tetapi hadis Rasulullah SAW berikut boleh dijadikan panduan, apakah sebenarnya yang suami cari di dalam diri si isteri?

1 – Akhlak muslimah sejati

Wanita memiliki empat kelebihan yang membuatkan lelaki tertarik kepadanya iaitu harta, keturunan, kecantikan dan akhlak. Jika anda memiliki keempat-empatnya, sungguh beruntung lelaki yang menjadi suami anda! Seolah-olah bidadari syurga turun ke bumi. Tetapi tidak semua isteri memiliki semua itu, ada yang berharta tapi tak cantik, ada pula yang cantik tapi tidak berbudi. Bolehkah anda mewujudkan keempat-empatnya dalam keperibadian anda?

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, “Biasanya wanita dikahwini kerana empat perkara, kerana hartanya, kerana nasabnya, kerana kecantikannya dan kerana agamanya. Maka pilihlah wanita kerana agamanya, semoga kamu beruntung.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)

2 – Pandai membangkitkan ghairah suami

Isteri yang cantik biasanya amat disiplin menjaga kesihatan dan kesegaran tubuh badannya. Deria bau atau penciumannya mesti lebih sensitif daripada hidung sang suami. Jangan biarkan diri anda kotor dan berbau tidak sedap kerana akan menyebabkan datangnya stress. Biasanya ghairah seks berkait rapat dengan keceriaan anda. Aktifkan tubuh badan dengan jogging atau senaman. Kulit yang kerap berpeluh akan lebih cantik dan tampak muda. Suami yang letih bekerja tentu suka diurut dan dibelai dengan tangan isteri yang halus dan mulus. Kedua-duanya mesti berusaha membangkitkan ghairah untuk bercinta dengan gembira.

Sabda baginda SAW yang bermaksud, “Sebaik-baik isteri kamu ialah yang paling kuat menjaga kehormatannya dan andai membangkitkan syahwat suaminya.” (Hadis riwayat al-Dailami)

3 – Redha dan ceria walau apa jua keadaan suami

Kesan pertama yang membuatkan suami jatuh cinta kepada anda suatu ketika dahulu ialah apabila dia terpandang wajah anda yang cantik berseri-seri. Cuba perhatikan masih adakah iras-iras kecantikan alami yang memikat hatinya? Berhias itu wajib bagi anda ketika di rumah, saat menemani makan, melayari internet berdua, menonton televisyen dan saat-saat santai bersama dengannya. Apabila suami bangun tidur, alangkah bahagianya jika dia melihat bidadari syurga itu sedang mendakapnya dengan haruman yang paling sedap, sarapan yang paling nikmat dan wajah yang ceria.

Tapi sayang, apabila suami terjaga, dia melihat isterinya masih menganga di atas katil dengan bau mulut yang tidak sedap, bangun dengan wajah yang masam dan penuh kebencian kerana kesal dengan karenah anak-anak yang berebut-rebut hendak ke sekolah. Pagi-pagi dah kacau-bilau! Macam mana hendak menjalani hidup dengan bahagia?

Ramai suami yang tidak berterus terang jika melihat kekurangan isteri. Keadaan sebegini amat bahaya kerana suami akan serta-merta menyalahkan isteri apabila dia bermaksud membuka cawangan baru. Tidak sedap masaklah, tidak cantiklah, tidak mengghairahkanlah, tidak memahami dan banyak lagi kekurangan isteri yang selama ini suami dimakan. Begitulah sifat lelaki kalau sudah ada yang tergila-gilakannya, semuanya dijadikan alasan untuk menghalalkan perbuatannya.

Saidina Ali r.a. menyifatkan kecantikan Fatimah r.a. dengan berkata, “Ketika aku memandangnya, hilanglah kesusahan dan kesedihanku.”

Adakah jiwa Fatimah r.a. di dalam bayang-bayang keperibadian anda, wahai isteri solehah? Jika suami pulang membawa rezeki banyak, anda bersyukur sambil tersenyum kegirangan dan jika dia pulang membawa kerugian, anda tetap tabah sambil mendakapnya dan berbisik lembut, “Abang, yang banyak tidak berkat sungguh menyeksakan tetapi yang sedikit dengan keberkatan Allah SWT mententeramkan hati kita, insya Allah.”



Walaupun entry ini ditujukan khas untuk kaum wanita, tetapi ia juga ‘valid’ untuk kaum lelaki. Suami hendaklah menjaga personaliti atau perwatakan peribadinya. Isteri akan menghormati suami yang sentiasa menjaga penampilan, bukan saja dari segi luaran seperti pakaian dan raut wajah, tetapi juga dari segi dalaman iaitu sifat-sifat hati. Pernahkah anda mendengar kisah di bawah ini?

Diriwayatkan satu peristiwa di mana seorang wanita datang mengadu kepada Khalifah Umar al-Khattab tentang suaminya yang kotor dan hodoh. Kata wanita itu, “Ya Amirul Mukminin, aku sudah tidak sanggup lagi hidup bersama lelaki ini. Dan aku berhajat supaya dia dapat menceraikan aku.”

Melihat keadaan lelaki itu yang tidak terurus, Saidina Umar menyuruhnya mandi, memotong rambut dan kukunya serta menghias dirinya. Setelah itu, Saidina Umar memanggil isteri lelaki tersebut agar melihat suaminya. Setelah melihat wajah suaminya yang bersih, wanita itu tidaj jadi meminta cerai daripada suaminya. Lantas Saidina Umar berkata, “Seharusnya suami menghias diri untuk isteri mereka kerana demi Allah SWT, isteri juga suka melihat suaminya menghias diri sebagaimana halnya kamu suka melihat isteri kamu melakukan hal yang serupa.”

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud, “Sesungguhnya kamu akan menemui saudari-saudari kamu, maka perelokkanlah keadaan kamu, kemaskanlah pakaian kamu, supaya kamu kelihatan hebat dan berketerampilan.” (Hadis riwayat Abu Daud)

Dari Jabir bin Abdullah r.a., katanya: Kami turut berperang bersama-sama Rasulullah SAW dalam suatu peperangan. Setelah kami tiba kembali di Madinah, kami bermaksud hendak segera pulang ke rumah kami masing-masing. Maka bersabda Rasulullah SAW, “Tunggulah dahulu sampai hari agak senja. Sisirlah dahulu rambut kalian yang kusut, berilah kesempatan kepada keluarga kalian untuk bersiap-siap dan berhias menyambut kedatangan kalian.” (Shahih Muslim)

Suami yang menjaga personaliti :

1 – Segak

Dalam kehidupan berumahtangga, bukan saja isteri perlu menghiaskan diri untuk suami, sebaliknya suami juga hendaklah sentiasa segak dan kemas agar sedap dipandang mata dengan memakai pakaian yang bersih dan kemas. Menurut Ibnu Abbas, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, “Aku suka menghias diri untuk diperlihatkan kepada isteriku sebagaimana aku suka dia menghias diri untukku.” (Hadis riwayat Ibn Abi Hatim)

2 – Berwangi-wangian

Suami juga hendaklah sentiasa menjaga bau badan agar tidak ada bau yang tidak menyenangkan pada diri. Jiak isteripun perlu berwangi-wangian ketikda di dalam rumah, demikian juga sebaik-baiknya bagi seorang suami. Rasulullah SAW adalah orang yang paling suka memakai wangi-wangian. Baginda selalu memerintahkan kepada para sahabat untuk memakainya kerana bau wangian dapat menambahkan rasa cinta dan kasih sayang antara suami isteri. Sabda baginda SAW yang bermaksud, “Sesiapa ditawarkan kepadanya wangi-wangian, maka hendaklah ia jangan menolaknya kerana harum baunya dan mudah pula membawanya.” (Hadis riwayat Muslim)

3 – Cergas

Seorang isteri tidak suka melihat suaminya suka bermalas-malas. Jika isteri bangun awal pagi untuk memulakan kerja-kerja rumah, maka demikian juga dengan suami. Rasulullah SAW selalu menggalakkan umatnya agar bangun sebelum subuh untuk bersembahyang tahajud dan seterusnya solat berjemaah bersama keluarga. Orang-orang yang suka bangun pada awal pagi akan memperoleh banyak kebaikan seperti dilimpahi pahala, dimurahkan rezeki, diberi kesihatan yang baik dan diberi ketenangan perasaan.

Kesimpulannya, untuk kesejahteraan rumahtangga, adalah wajib bagi isteri mahupun suami menjaga penampilan dan keterampilan masing-masing agar kebahagiaan rumahtangga terpelihara kerana kebahagiaan rumahtangga tidak terletak di atas bahu sebelah pihak sahaja.

Renung-renungkan!

Sumber : Dr Juanda Jaya dan Ustazah Siti Nor Bahyah Mahamood

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Kongsikan komen anda di sini...