Oleh Shamshul Azree Samshir
sazree@bharian.com.my
Tip lelaki moden pikul tanggungjawab ketua keluarga
ZAMAN sudah berubah. Cabaran lelaki bergelar ayah dalam era digital tidak sama jika dibandingkan waktu bapa membesarkan kita dulu. Biarpun tanggungjawab teras sebagai ketua dan pelindung keluarga tidak pernah berubah, faktor persekitaran yang berpunca daripada perubahan gaya hidup dan kehendak diri boleh mempengaruhi lelaki dipanggil ayah, abah atau papa ini.
Perubahan persepsi dan nilai termasuk fokus keterlaluan dalam mengejar definisi kejayaan dan kesempurnaan hidup, jika tidak dikawal mampu menjadikan bapa tersasar daripada tanggungjawab utama menjadi ketua keluarga. Kehidupan yang dilihat makin kompleks ditambah pula dunia dihimpit isu keruntuhan nilai, akhlak dan beban ekonomi menjadikan tugas sebagai ayah makin mencabar pada abad ke-21.
Tentunya dalam soal ini, bapa moden perlu lebih fokus serta bijak membahagikan masa antara kerjaya dan keluarga. Lebih-lebih lagi dalam mendidik anak, lelaki zaman sekarang harus memilih kaedah terbaik melahirkan insan seimbang. Tentunya pengalaman sendiri termasuk pengajaran yang diperoleh ketika membesar wajar dijadikan panduan dalam merencana hidup si kecil.
Bapa moden juga harus bijak mengenal pasti bentuk perubahan dalam pendedahan, tuntutan, keutamaan dan keperluan si kecil yang sama sekali berbeza berbanding ketika dirinya membesar. Perkembangan teknologi, kepesatan pembangunan dan peningkatan taraf hidup memberi kesan langsung kepada persekitaran si kecil dan semua ini perlu diawasi agar tidak memberi kesan negatif dalam hidup anak.
Soal keperluan material atau wang ringgit dalam membesarkan anak juga harus ditangani secara bijak oleh lelaki moden. Kuasa RM dalam kehidupan zaman penuh mencabar ini tidak dapat disangkal. Bapa moden perlu bijak menyusun strategi ekonomi, mencari perlindungan dan kebebasan kewangan yang diperlukan setiap kali mengatur bajet untuk si kecil dan keluarga.
Direnung kembali saat bergelar papa, detik itu tentunya memberi seribu makna dalam hidup lelaki matang. Zuriat yang dilahirkan datang bersama pakej tanggungjawab yang bukan kecil.
Sebagai bapa, masa depan si kecil termasuk soal nilai, pendidikan dan tingkah laku yang hendak dipupuk semuanya terletak di bahu ayah. Inilah tanggungjawab tradisi seorang lelaki bergelar bapa yang perlu dilaksanakan dalam apa cara sekalipun dalam melengkapkan pengertian serta aprisiasi dari anugerah yang diperturunkan Allah.
Jika dilihat sekarang (mungkin sesuatu yang boleh dibanggakan), bapa moden lebih banyak menghabiskan masa bersama anak. Istilah participatory fatherhood jelas merungkai karektor bapa moden. Ketepi sifat dan bengis ayah pada zaman silam - walaupun ia sebenarnya menjadi teknik mendidik paling berkesan pada era dahulu kala, bapa moden cenderung mendekati anak sebagai rakan sendiri malah sanggup menggantikan ibu melakukan kerja-kerja rumah.
Bapa moden yang mewakili kelompok usia awal 30-an hingga 40-an sekarang dilihat terbabit secara aktif dalam soal penjagaan anak atau parenting. Mungkin ada juga segelintir lelaki masih terikat dengan identiti ayah zaman silam, lelaki hari ini lebih terbuka dan menyedari pentingnya terbabit secara langsung dalam proses membesarkan anak.
Lelaki moden mula melihat kepentingan terbabit secara aktif dalam proses penjagaan anak, bukannya menyerahkan bulat-bulat kepada isteri atau dalam kes lebih teruk kepada pembantu rumah. Tidak hairanlah lelaki moden hari ini cenderung mencari bahan bacaan panduan membesarkan anak selain sama memikul rutin penjagaan si kecil seperti menukar lampin, membuat susu dan memandikan anak.
Bapa moden juga aktif mengambil tahu perkembangan anak-anak baik dari aspek fizikal mahupun rohani. Jika anak bersekolah, bapa mengambil inisiatif mengambil tahu apa yang dipelajari si kecil atau bertanyakan soal siapa rakan-rakan si anak. Bapa juga mengambil berat soal pencapaian akademik anak di sekolah - amat berbeza berbanding dulu apabila ibu saja yang dilihat sering menandatangani kad kemajuan atau prestasi anak.
Tidak hairanlah, disebabkan terbatasnya peranan ayah dalam proses pembesaran anak, ada antara kita memiliki persepsi bapa sebagai individu yang sukar difahami atau distant figure. Ayah dikatakan individu yang sukar didekati, dingin dan tidak beremosi. Amat malang berlakunya situasi sebegini kerana sedar atau tidak, kesannya dirasai hinggalah si anak sudah berumah tangga dan memiliki keluarga sendiri.
Mungkin banyak puncanya jika disoroti mengapa ayah menjadi insan yang sukar dimengertikan atau umpama terlalu ‘jauh’ dari keluarga sendiri. Mungkin faktor bebanan kerjaya dan tumpuan terhadap usaha mencari wang demi membina keluarga ketika usia mudanya, bapa terlupa soal hubungannya dengan si anak. Selain itu, sifat seperti terlalu mengejar kesempurnaan dan enggan menerima pandangan orang lain misalnya, menambah lagi tekanan dalam hubungan.
Bagaimanapun, ayah biar apapun persepsinya, tetap ayah. Mana mungkin jasa dan pengorbanan ayah dibalas ganti dan jika ayah menjadi insan yang terlalu ‘jauh’, sebagai anak berusahalah memperbaiki hubungan. Ini kerana mungkin apa yang terpendam dalam hati masing-masing perlu dirungkai kerana bak air, kasih sayang dalam sesebuah keluarga tidak akan putus.
Berita baik menunggu golongan papa hari ini ialah kita masih belum terlambat untuk membuat perubahan. Andai diuji godaan zaman moden hingga bapa hilang pertimbangan, segeralah kembali ke pangkal jalan. Tidak ada manusia yang sempurna, namun jadilah bapa penyayang, prihatin dan paling penting, teman baik kepada anak sendiri.
Catatan seorang papa
DETIK 12.30 pagi 27 November 2004 mengubah segala-galanya dalam hidup papa dan mama. Kehadiran kamu, Mikhail Muiz Zakwan disambut penuh syahdu disulami perasaan yang sukar digambarkan.
Pertama kali menyentuh, mendukung dan mengazankanmu dalam keheningan pagi di hospital, hati menjadi tenang setenang riak wajah comelmu.
Percayalah Mikhail, membesarkanmu memberi pengalaman tidak ternilai. Daripada memandi dan menukar lampinmu, semuanya suatu pengajaran dan pembelajaran baru dalam hidup papa.
Dari hari ke hari hingga usia kamu menginjak lima tahun tidak lama lagi, keletah, kenakalan, gelak tawa, tangisan dan percakapanmu menjadi sebahagian daripada hidup papa.
Jika dulu kamu perlu didukung apabila bersiar-siar atau membeli belah, kini papa dan mama bagai main ‘kejar-kejar’ dengan kamu. Dalam memikul amanah sebagai ayah, papa mahu menjadi papa penyayang dan teman yang memahami. Namun kadangkala papa perlu menjadi guru membimbing dan bersikap tegas.
Namun, percayalah Mikhail, ini semua dilakukan untuk membentuk nilai positif dan jati diri kamu sebagai insan berguna. Papa berjanji, setiap detik kita bersama akan menjadi kenangan manis buat kita sekeluarga.
Papa masih ingat kali kenangan Hari Bapa tahun lalu. Petang itu, kepulangan papa disambutmu di muka pintu. Papa masih terbayang kerianganmu melafazkan ‘Happy Father’s Day’ kepada papa lalu kamu menghulur sekeping kad ucapan. Sungguh terharu...
Mikhail, ingatlah, kamu adalah permata hati papa. Papa berharap Mikhail membesar menjadi anak soleh yang tidak lupa tanggung jawab kepada ibu bapa, agama, bangsa dan negara.
Dari Papamu,
Araz 12
Tip jadi bapa hip pada abad ke-21!
1. Sayangi wanita bergelar isteri dan ibu kepada cahaya mata anda.
Cukup lojik memulakan senarai 10 tip ini dengan elemen pertama iaitu isteri anda. Jika bukan kerana isteri anda yang melalui tempoh getir sembilan bulan, anda tidak akan menjadi seorang papa. Sayangi isteri dan berikan sokongan dalam apa juga segenap aspek. Jika isteri anda hamil, prihatinlah dengan perubahan fizikal dan emosi yang dilaluinya. Peruntukkan masa privasi bersama isteri biarpun anak sudah beranak lima. Bantu isteri dalam melakukan semua tugas rumah dan menjaga anak.
2. Berbincang dengan isteri setiap masa.
Dalam mencari kerukunan rumah tangga, tidak ada pilihan melainkan anda dan isteri berbincang mengenai apa saja perkara. Jika membabitkan soal penjagaan anak, anda wajar bertanya isteri masalah yang dihadapinya. Jika isteri bekerjaya, atur jadual harian supaya keperluan anak anda dipenuhi setiap masa. Jangan jadikan bebanan kerja di pejabat sebagai alasan menyerahkan segala-galanya kepada isteri.
3. Tunjukkan kasih sayang kepada isteri dan anak.
Bapa moden harus bebas daripada stereotaip sukar didekati atau individu yang tidak beremosi. Tidak ada salahnya memberi ciuman kepada isteri dan anak setiap pagi sebaik bangun dari tidur. Kemesraan dan hubungan erat yang terjalin antara anggota keluarga akan hanya memberi satu keputusan - anda kecapi bahagia sehingga usia tua.
4. Habiskan masa bersendiri dengan anak.
Tidak salahnya anda menghabiskan masa bersendiri dengan anak - hanya anda berdua! Bawa anak melakukan aktiviti yang digemarinya atau sekadar beriadah bersama di taman tema, jogging di pagi hari atau membaca buku untuk anak anda. Dengan cara ini, anak akan lebih mengenali si kecil dan mengesan karektor atau kecenderungan anak.
5. Kongsi hobi anda bersama anak.
Dedahkan si kecil hobi atau kegiatan masa lapang anda. Tidak salah berkongsi minat seperti bermain alat muzik, bersukan, berkhemah atau bermain catur dengan si kecil. Dengan cara ini, anak anda akan lebih bersikap terbuka dan sedia berkongsi apa saja perkara bersama anda.
6. Jangan abaikan si kecil hanya kerana beliau anak perempuan.
Tidak dinafikan, ada bapa cenderung memencilkan anak hanya kerana jantinanya perempuan. Anak perempuan juga memerlukan bapa sama seperti anak lelaki. Tidak salah menghabiskan masa bersama anak perempuan termasuk mengajarnya bagaimana menggunakan peralatan pertukangan. Anak perempuan juga perlu diajar situasi berdepan dengan golongan dewasa baik lelaki atau perempuan.
7. Anggaplah anak sebagai teman sendiri.
Bagaimana mahu mendekati si kecil andai dirinya ketakutan jauh sekali meluahkan perasaan kepada anda? Bapa moden perlu menjadikan anak sebagai rakan dengan perhubungan lebih santai atau tidak terlalu menekan. Namun, jangan terlebih-lebih kerana bimbang anak tidak takutkan anda pula. Biarpun anda boleh menjadi pendengar setia, pastikan anda tegas dan anak mendengar kata.
8. Jadi idola kepada anak sendiri.
Tunjukkan contoh baik kepada anak anda. Jika anda mahu anak berdisiplin, tunjukkan perilaku sama. Ingat, anak cekap memerhati dan meniru perlakuan anda.
9. Makan bersama setiap kali berpeluang.
Bagi anda yang bekerjaya, mungkin sukar untuk pulang ke rumah dan menikmati makan malam bersama anak setiap malam. Namun, setiap waktu terluang terutama pada hujung minggu, pastikan anda makan bersama seisi keluarga. Ketika bersama, bermacam cerita boleh disampaikan kepada anak termasuk perkara berbangkit seperti soal kerjaya anda, persekolahan dan aktiviti mingguan.
10. Ikuti perkembangan semasa dan kecenderungan generasi muda sekarang.
Usah terbelenggu dalam dunia sendiri, bapa moden seharusnya bersifat lebih terbuka dan mengikuti perkembangan dunia terutama yang melingkari kehidupan generasi muda. Kenali apa itu i-Pod, web tv mahupun ruang sembang siber. Ini penting supaya anda dapat mengawal selain mengetahui kecenderungan atau minat anak anda.
Sumber : BHarian 2009/06/20
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Kongsikan komen anda di sini...