Oleh Absurrahman Haqq
Kegemilangan zaman sahabat jadi panduan teruskan tugas dakwah, pimpin umat sejagat
ADA kisah menarik berlaku pada zaman Rasulullah SAW yang perlu kita perhatikan dengan bijaksana dan saksama demi menjaga keutuhan dalam berbangsa dan bernegara.
Kejadian ini menunjukkan ketika perkara tidak menyentuh inti ajaran Islam dan penafsiran sebenar, Rasulullah masih bersikap timbang rasa, tetapi jika menyentuh permasalahan inti, Baginda tidak berdiam diri. Berikut ialah kisah seperti diriwayatkan Imam al-Tarmizi mengenai Adi Hatim.
Selepas sampai kepada Adi dakwah Rasulullah SAW, beliau tidak mahu memeluk Islam dan terus melarikan diri ke Syam kerana menganut Kristian sejak zaman jahiliah. Seorang saudara perempuannya (mungkin kakak) disertai beberapa orang terkemuka kaumnya, menjadi tawanan tentera Islam; tetapi Rasulullah berasa kasihan lalu membebaskan saudaranya itu. Selepas dibebaskan, saudara perempuan Adi pulang menemui beliau (Adi) lalu diajaknya menganut Islam dan mengadap Rasulullah SAW di Madinah. Ketibaan dua beradik itu menjadi buah mulut penduduk Madinah kerana Adi menemui Rasulullah SAW dengan memakai salib perak di lehernya. Kebetulan ketika itu Rasulullah SAW menyampaikan firman Allah yang bermaksud: "Orang Yahudi dan Kristian memandang paderi, pendeta dan ketua agama mereka sebagai Tuhan selain Allah."
Mendengar bacaan ayat ini Adi menjawab: "Tidak, mereka itu (Yahudi dan Kristian) tidak menyembah dan melakukan ibadat terhadap paderi dan rahib," lalu Rasulullah SAW menjawab dengan tegasnya: "Bahkan! Ketegasan ini sangat benar kerana paderi dan rahib mengharamkan perkara dihalalkan Allah SWT. Mereka menghalalkan perkara yang Allah, haramkan lalu mereka (orang Yahudi dan Kristian) terima dan patuh terhadap keputusan dibuat paderi dan rahib itu. Itulah erti ibadat mereka terhadap paderi dan rahib."
Daripada kisah di atas kita dapati Rasulullah SAW tidak membicarakan hal Adi memakai salib. Namun, ketika Adi mempertikai ajaran al-Quran dari sudut pandangannya, Baginda serta merta membetulkannya dari sudut pandang Islam sebenar. Tafsiran ibadat Adi menyeleweng daripada tafsiran ibadat seperti dijelaskan Nabi.
Sayyid Qutb dalam mukadimah tafsir Fi Zilal al-Quran menulis: "Sesungguhnya Islam bukan sekadar pengisytiharan kebebasan dan kemerdekaan manusia dan bumi Arab saja! Perutusan dan mesejnya bukan khas untuk orang Arab sebab dasar dan tajuk percakapannya ialah manusia, setiap jenis manusia dan lapangannya ialah bumi, setiap keping bumi, sebab Allah SWT bukan Tuhan bagi orang Arab dan bukan juga Tuhan untuk penganut Islam saja, bahkan Dia adalah Tuhan seru sekalian alam. Agama itu bertujuan mengembalikan alam ini seluruhnya ke pangkuan Tuhannya; mencegah mereka daripada menyembah dan mengabdikan diri (beribadat) terhadap selain daripada-Nya kerana perhambaan paling besar dalam pandangan Islam ialah sifat patuh dan tunduk manusia kepada undang-undang yang dibuat manusia untuk diterima dan dipatuhi sesama manusia; inilah inti pengertian ibadat.
Mereka berikrar bahawa ibadat itu hanya untuk Allah SWT, kepada Allah SWT saja, di depan Allah SWT dan sesiapa yang melakukan ibadat, menumpukan pengabdian serta kepatuhan kepada selain daripada Allah SWT, bererti dia ter- keluar daripada agama Allah SWT, walaupun mengaku, mendakwa dan menepuk dada bahawa dia Islam.
Rasulullah SAW sudah membuat penegasan bahawa kepatuhan dalam peraturan hidup, undang-undang dan dasar pemerintahan adalah ibadat yang menyebabkan orang Kristian (Nasrani) dipandang sebagai Musyrikin yang menentang dan mengingkari perintah Allah supaya ibadat itu ditumpukan kepada Allah saja."
Perbuatan Baginda dalam memperbetulkan keadaan ialah natijah daripada seorang pemimpin umat yang diberi gelaran sebagai ummatan wasatan.
Firman Allah SWT bermaksud: "Dan demikianlah kami jadikan kamu (umat Islam) umat yang adil dan pilihan, agar kamu menjadi saksi atas perbuatan manusia dan agar Rasul (Muhammad) menjadi saksi atas perbuatan kamu." (Surah al-Baqarah: 143).
Umat Islam ialah umat maksudnya: "Kamu (umat Islam) ialah umat terbaik yang dilahirkan untuk manusia, iaitu kamu menyuruh berbuat kebaikan dan melarang berbuat kejahatan dan kamu beriman kepada Allah SWT." (Surah Ali Imran: 110)
Dakwah Islamiah melahirkan satu generasi manusia iaitu sahabat Rasulullah SAW, generasi paling istimewa dalam sejarah Islam dan kemanusiaan seluruhnya. Generasi itu tidak pernah muncul dan timbul sesudah itu. Walaupun ada beberapa peribadi dan tokoh di sepanjang sejarah, tidak lahir lagi segolongan besar manusia di tempat tertentu seperti muncul pada peringkat pertama dari penghidupan dakwah Islam.
Ia adalah fakta dan kenyataan yang terang dan memang berlaku, mempunyai maksud tertentu perlu kita perhatikan dan renungkan bersungguh-sungguh agar dapat menyelami rahsianya. Kemudian kita jadikan sebagai panduan dalam meneruskan tugas dakwah dan memimpin umat sejagat.
Ummatan wasatan disifatkan Allah SWT kepada umat Islam kerana memiliki ciri utama yakni keadilan, persamaan, kemerdekaan, kebebasan beragama, toleransi, musyawarah dan menghargai amal salih.
Umat Islam memiliki ciri ini dan sudah membuktikan kejayaan mereka sepanjang sejarah Barat dan Timur. Ummatan wasatan adalah umat yang menjadi satu generasi utama dengan orang terdahulu dan terkemudian disifatkan Allah SWT maksudnya: "Dan orang yang sudah menduduki kota Madinah dan beriman (Ansar) sebelum (kedatangan) mereka (Muhajirin), mereka mencintai orang yang berhijrah kepada mereka dan mereka tiada menaruh keinginan dalam hati mereka terhadap apa-apa yang diberikan kepada mereka (orang Muhajirin); dan mereka mengutamakan (orang Muhajirin), atas diri mereka sendiri. Sekalipun mereka memerlukan (apa yang mereka berikan itu). Dan siapa yang dipelihara daripada kekikiran dirinya, mereka itulah orang yang beruntung. Dan orang yang datang sesudah mereka (Muhajirin dan Ansar), mereka berdoa: 'Wahai Tuhan kami, beri ampunlah kami dan saudara kami yang sudah beriman lebih dulu daripada kami, dan janganlah Engkau membiarkan dengki dalam hati kami terhadap orang yang beriman; Wahai Tuhan kami, sesungguhnya Engkau Maha Penyantun lagi Maha Penyayang." (Surah al-Hasyr: 9-10)
Amin Ya Rabbal Alamin!
Sumber : BHarian 2009/06/21
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Kongsikan komen anda di sini...