PAGE

Rabu, November 11, 2009

Jimak berapa lama boleh ditinggalkan?


Pada suatu ketika dahulu, tatkala Umar ibn al-Khattab meronda di Kota Madinah, beliau melalui perkarangan sebuah rumah seorang wanita yang ketika itu penghuni rumah tersebut sedang bersenandung seorang diri di malam sejuk yang mencengkam itu, katanya :

“Aduhai….! Alangkah panjangnya malam ini…!
Betapa gelap dan pekat suasana sekeliling, dan
Betapa lamanya aku dalam penantian, tiada teman untuk bergurau-senda,
Demi Allah…! Sekiranya bukan kerana ketakutanku,
Kepada Allah yang maha Esa lagi Maha Melihat,
Nescaya akan bergoncang ranjangku ini, dan segala isinya…!
Tapi, oh Tuhanku…! Malu mencegah diriku, untuk melakukannya.
Demi kemuliaan suamiku…! Tidak patut aku merendahkan,
Apa yang pernah dikenderainya.”

Keesokkan harinya, Umar ibn al-Khattab menyuruh seseorang bertanya kepada perempuan tersebut tentang masalah yang sedang dideritainya, sehingga membuat dia meratap sendu di keheningan malam tersebut.

Kemudian pesuruh itu memberitahu Umar ibn al-Khattab, bahawa suami perempuan itu sedang berjuang ke jalan Allah. Kemudian Umar ibn al-Khattab mengutuskan seorang utusan menemui suami perempuan tersebut untuk mengatakan bahawa suaminya akan segera berada di sampingnya.

Sesuai dengan janjinya, Umar ibn al-Khattab mengutuskan seorang utusan menemui suami perempuan tersebut di medan jihad dan menyuruhnya pulang atas perintah Umar ibn al-Khattab. Maka dengan itu pejuang itupun pulang menemui isterinya. Untuk mengetahui dengan lebih lanjut tentang kemampuan seorang perempuan menahan rindu terhadap suaminya, Umar ibn al-Khattab bertanya kepada puterinya, Hafsah (isteri Rasulullah SAW) dan berkata, “Wahai puteriku! Berapa lamakah seorang perempuan itu dapat bersabar menahan kerinduan terhadap ketiadaan suaminya?”

“Subhanallah! Orang seperti ayah mahu menanyakan aku soalan ini?” jawab Hafsah.

“Jika bukan kerana hendak memberi peringatan kepada kaum Muslimin, aku tidak akan bertanyakan hal seperti itu kepada kamu!” balas Umar.

“Lima bulan….atau enam bulan…! Jawab Hafsah pendek.

Berdasarkan jawapan yang diberikan Hafsah itu, maka Umar ibn al-Khattab menetapkan waktu bagi kaum Muslimin berada di medan jihad hanya selama enam bulan sahaja. Sebulan dalam berjalanan pergi, empat bulan di medan jihad dan sebulan untuk perjalanan balik.

Begitulah kisah yang menjelaskan selama mana seseorang isteri itu mampu bertahan menahan rindu dendam dan belai kasih daripada si suami.

Hari ini ramai pasangan yang tinggal berjauhan demi tuntutan tugas. Mereka duduk berasingan. Ini dipanggil pasangan jarak jauh, seorang di utara dan seorang di selatan. Justeru itu baik di pihak suami mahupun isteri, mereka harus saling mengetahui kehendak dan tahap kemampuan pasangan masing-masing di dalam menahan diri dari terus ditinggal kesepian. Ini bagi mengelakkan berlakunya perkara yang tidak diingini termasuk melakukan perkara yang dilaknati Allah SWT.

Jika anda sudah lama meninggalkan pasangan masing-masing ataupun sudah terlalu lama tidak melakukan hubungan seksual, bertindaklah sekarang dan carilah masa yang sesuai agar anda dapat bersama.

Jangan tolak keinginan suami

Islam turut memperingatkan kepada para isteri yang menolak keinginan seksual suaminya, bahawa perbuatan itu akan membawa akibat yang buruk yang akhirnya membawa kepada keretakan dalam rumahtangga.

Mungkin anda tidak menyedari secara perlahan-lahan rentetan penolakan si isteri, si suami akan menyangka bahawa penolakan itu menandakan isterinya sudah tidak mencintainya lagi. Selain daripada itu, tindakan penolakan isteri akan mendorong suaminya ke dalam pelukan atau rangkulan perempuan lain, dengan cara yang tidak dibenarkan oleh syarak.

Atas dasar ini dan beberapa aspek lain, dari Abu Hurairah r.a. katanya Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya, “Apabila seorang suami memanggil isterinya ke hamparannya (tempat tidur), tetapi tidak diendahkan oleh isterinya, lalu malam itu suaminya marah kepadanya maka isteri itu mendapat kutukan malaikat sehingga Subuh.” (Hadis riwayat Muslim)

Hakikatnya memang benar bahawa wanita itu bukan simbol seks dan tempat pemuas nafsu si suami hingga di Barat, wujud undang-undang yang disebut marital rape (suami merogol isteri). Namun dari satu sudut lelaki memang perlu bertolak ansur. Jika isteri penat, datang haid, baru bersalin dan sebab-sebab lain yang dibenarkan oleh Islam, memanglah tidak patut bagi si suami memaksa isteri melayan kehendaknya. Tetapi jika tidak ada sebarang sebab untuk menolak, jika diminta oleh suami maka si isteri wajib memenuhinya. Permasalahan ada ‘mood’ atau tidak, ia perlu dirujuk pada yang pakar bagaimana mahu mewujudkan mood tersebut tetapi janganlah sampai melanggar batas-batas syarak.

Kepuasan bersama

Sebagaimana pentingnya suami memenuhi keperluan material isterinya, sudah menjadi tanggungjawabnya melayani keperluan batin isteri. Kebiasaannya wanita memiliki sifat pemalu terutamanya untuk berbincang tentang kehendak seksualnya. Namun, sebenarnya mereka juga berkehendakkan kepada nikmat kepuasan ketika melakukan persetubuhan (berjimak) sebagaimana suami.

Rasulullah SAW menegaskan tentang hal ini melalui hadis daripada Anas bin Malik r.a., baginda SAW telah bersabda yang bermaksud, “Jika seseorang antara kamu melakukan hubungan kelamin dengan isterinya, dia hendaklah bersungguh-sungguh. Apabila dia hendak menyelesaikan hajatnya itu (mencapai kepuasan) sedangkan isterinya belum sampai klimaksnya, maka janganlah dia tergesa-gesa (untuk menamatkan persetubuhan tersebut) sehingga hajat isterinya diselesaikan pula.” (Hadis riwayat al-Suyuthi di dalam Jami’ al-Saghir, hadis no: 549 dan al-Hafiz al-Haithami di dalam Majma’ al-Zawaid, hadis no: 7566)

Untuk ini para suami yang terlalu cepat mengalami ejakulasi, hendaklah mendahului hubungan seksual dengan cumbuan bagi merangsang ghairah seksual isterinya. Agar isterinya juga berjaya menikmati kepuasan seksual tersebut dengan sempurna. Adalah penting bagi suami untuk mengetahui daerah-daerah sensitif atau yang mudah terangsang di tubuh isterinya.

Bagi sebahagian suami, ada yang segera meninggalkan isterinya setelah dia memperoleh kepuasan seksual dan tidak berusaha untuk melayani isterinya sehingga isterinya juga mencapai klimaks. Ini sebenarnya adalah satu kesalahan yang rumit jika ditinjau dari aspek agama, kesihatan, ilmu jiwa mahupun seksologi. Sebagai suami, tabiat tersebut akan memberi akibat buruk kepada kejiwaan dan kesihatan jasmani isterinya. Hal ini amat penting kerana suami tidak perihatin terhadap permasalahan ini atau jika tindakan ini dilakukan secara berulang-ulang, maka tidak hairanlah nantinya akan menimbulkan kesan negatif seperti isteri membenci suaminya, melalaikan perintahnya ataupun menolak apabila diajak untuk berjimak dan sekiranya bersetuju pun ia tidak dilakukan dengan sepenuh kerelaan hati. Mungkin ada yang merasakan ini suatu perkara yang terlalu remeh untuk diperbincangkan.

Oleh itu, para suami hendaklah menjaga perasaan isteri ketika berjimak dan melakukannya dengan niat agar kedua-dua belah pihak mencapai kenikmatan. Janganlah para suami hanya memikirkan kepuasan diri sendiri tanpa memastikan isteri mereka juga sudah mencapai klimaks.

Kelebihan berjimak

Dalam Islam berjimak adalah termasuk perkara yang boleh mendatangkan pahala. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud, “Dan pada hubungan kelamin kamu semua (bersama isteri) merupakan sedekah. Para sahabat bertanya: Ya Rasulullah! Apakah jika seseorang kami mendatangi isterinya (untuk berjimak) maka dia mendapat pahala? Rasulullah menjawab: Bagaimana pendapat kamu semua jika dia menyalurkan syahwatnya ke jalan yang haram, (sudah tentu) dia akan mendapat dosa kerananya. Demikian juga jika dia menyalurkan di jalan yang halal, pasti dia mendapat pahala.” (Sahih Muslim)

Jika kedua-dua pasangan suami isteri sudah mencapai klimaks, barulah mereka mencapai kepuasan dan kenikmatan yang tidak terhingga, ini akan menguatkan kasih sayang suami isteri disamping meningkatkan kesihatan, jasmani dan mental. Tenaga yang digunakan untuk melakukan jimak ini sama dengan kalori yang terbakar setelah lari dikejar harimau sejauh 400 meter. Wanita yang tidak mencapai kepuasan melakukan seks boleh mengalami sakit seperti sakit datang haid.

Pasangan kurang keinginan seks apabila stress, penat atau sedih, tidak cukup tidur, pelbagai penyakit, usia meningkat yang menyebabkan kekurangan hormon testosteron dan masalah hubungan suami isteri. Masalah ini boleh menyebabkan tekanan mental dan gangguan emosi.

Oleh itu, pastikan para suami dan isteri berkomunikasi sesama sendiri untuk sama-sama mendapat kenikmatan dari hubungan kelamin tersebut.




Sumber : NUR

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Kongsikan komen anda di sini...