PAGE

Isnin, November 23, 2009

Kita insan yang beruntung


Cubalah perhatikan, ramai manusia di sekeliling kita sedang menghadapi pelbagai bencana. Betapa banyak penderitaan yang ditanggung dan hanya iman menjadi kekuatan untuk mengharunginya.

Jadi, usah merungut, bersedih dan berputus asa jika kita diuji dengan cabaran yang kecil. Kini sampailah masanya untuk kita merenung ke dalam diri sebagai orang yang mulia bersama mereka yang terkena musibah. Tiba juga masa untuk kita menyedari bahawa kehidupan di dunia ini merupakan penjara bagi orang-orang Mukmin dan ia adalah tempat kesusahan dan cubaan. Semua yang dimiliki hari ini hanya pinjaman dan segala-galanya boleh hilang sekelip mata bila ujian tiba seperti kemiskinan, kematian, kesakitan dan sebagainya.

Firman Allah SWT yang bermaksud, “….Dan Kami pula telah nyatakan kepada kamu berbagai-bagai contoh perbandingan (di dalam al-Quran dan melalui sabda Rasul).” (Surah Ibrahim [014], ayat 45)

Dan firman-Nya lagi yang bermaksud, “Apakah patut kamu mengira (menyangka) bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum sampai kepada kamu (ujian dan cubaan) sebagaimana yang telah berlaku kepada orang-orang yang terdahulu daripada kamu? Mereka telah ditimpa oleh malapetaka dan kesengsaraan (disebabkan kepapaan, kemusnahan harta benda dan serangan penyakit), serta digoncangkan (dengan bermacam-macam cubaan) sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman bersamanya: "Bilakah datangnya pertolongan Allah?" Ingatlah, sesungguhnya pertolongan Allah itu amat dekat.” (Surah al-Baqarah [002], ayat 214)

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, “Tidak ada seseorang Islam yang ditimpakan sesuatu yang menyakiti, iaitu penyakit atau lainnya, melainkan Allah gugurkan dengan sebab itu dosa-dosanya, sebagaimana pokok menggugurkan daunnya (pada musimnya yang tertentu).” (Abdullah bin Mas’ud r.a.)

Dugaan yang kita hadapi merupakan penghapus dosa. Anggaplah dugaan yang diterima itu bagaikan duri-duri kecil yang tidak ada ertinya. Mohonlah kepada Allah SWT agar diberi kekuatan dan bersyukurlah di atas segala kurniaan-Nya. Jadikan Rasulullah SAW sebagai teladan yang redha dan bersabar dengan pelbagai cabaran yang menimpanya dalam menegakkan Islam. Sebagai umat Nabi Muhammad SAW, malulah kita jika hanya kerana dugaan kecil, kita sudah berputus asa.

Panduan bagi orang yang ditimpa bencana

Dari Syaddad bin Aus dan Al-Sunabihi r.a. bahawa keduanya telah masuk melawat seorang sakit, lalu mereka bertanya kepadanya: “Bagaimana keadaanmu pagi ini?” Ia menjawab: “Aku berada dalam keadaan baik.” Syaddad berkata kepadanya: “Bergembiralah engkau dengan perkara-perkara yang menghapuskan dosa-dosa dan menggugurkan kesalahan, kerana aku telah mendengar Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya Allah ‘Azza wa Jalla berfirman: “Apabila aku menguji seseorang dari hamba-hamba-Ku yang mukmin dengan sesuatu penyakit, lalu ia memuji-Ku kerana ujian-Ku itu maka sesungguhnya ia akan bangkit dari tempat baringnya itu seperti masa ia dilahirkan oleh ibunya - bersih dari segala kesalahan”, dan Tuhan Tabaraka wa Taala berfirman kepada Malaikat penulis amal itu: “Aku telah mengikat hamba-Ku itu dan telah mengujinya, maka lakukanlah kepadanya apa yang kamu biasa lakukan untuknya (menulis amal baiknya) semasa ia berkeadaan sihat.”” (Syaddad bin Aus dan Al-Sunabihi r.a.)

Sememangnya, kita insan yang beruntung!

1 ulasan:

  1. artikel yg sesuai utk kita bermuhasabah diri serta merenung kembali segala ujian allah adakah kita dpt bersabar dan redho dgn ujian darinya..kekuatan iman diperlukan untuk itu..

    BalasPadam

Kongsikan komen anda di sini...