PAGE

Ahad, Disember 13, 2009

Celaru jantina

Oleh Mohd Fadly Samsudin
fadly@hmetro.com.my


SETIAP suami isteri pasti mengimpikan zuriat yang lahir seorang bayi sempurna, comel, bijak dan sihat. Maha Suci Allah yang menjadikan manusia itu sebaik-baik kejadian.

SETIAP suami isteri pasti mengimpikan zuriat yang lahir seorang bayi sempurna, comel, bijak dan sihat. Maha Suci Allah yang menjadikan manusia itu sebaik-baik kejadian. Namun, manusia hanya mampu merancang dan Allahsentiasa menguji hamba-Nya dengan sesuatu kekurangan bagi menilai tahap kesabaran dan kekuatan iman mereka.

Satu daripadanya adalah Allah SWT ciptakan bayi yang baru lahir memiliki dua ciri jantina atau lebih dikenali sebagai khunsa. Malah, khunsa bukan terhad kepada manusia, malah ia turut berlaku kepada hidupan lain seperti siput, kerang dan ikan kerapu yang memiliki dua jantina bagi proses pembiakan.

Kita perlu yakin setiap ciptaan Allah mempunyai hikmah tersembunyi dan ia fitrah yang membuktikan kekuasaan, kebesaran serta keagungan-Nya. Jarang masyarakat mahu membincangkan secara terbuka isu khunsa kerana ia membabitkan maruah, aib dan tabu apatah lagi jika ibu bapa memiliki anak sedemikian. Namun, insan yang dilahirkan sebagai khunsa juga makhluk Allah dan mereka berhak untuk menikmati nikmat serta rezeki Yang Maha Esa.

Khunsa dalam bahasa Arab bererti lembut. Istilah yang sering digunakan dalam bahasa Melayu merujuk kepada golongan kaum yang lembut atau pondan. Pondan pula merujuk kepada lelaki yang memiliki sifat wanita terutama dalam penampilan dan ada yang sanggup merubah kejadian asal dengan membuat pembedahan bagi memiliki organ wanita (payudara dan alat sulit).

Ada riwayat peristiwa khunsa ketika zaman pemerintahan Khalifah Saidina Ali yang menggemparkan masyarakat ketika itu apabila seorang lelaki berkahwin dengan seorang wanita khunsa iaitu memiliki dua alat kelamin.

Selepas berkahwin, si suami menghadiahkan isterinya seorang jariah (pembantu). Hasil perkahwinan itu, wanita khunsa berkenaan melahirkan zuriat. Namun, wanita khunsa itu timbul pula berahi kepada jariahnya lalu menyetubuhinya sehingga jariah itu melahirkan anak.

Masyarakat amat terkejut dengan kejadian itu dan menyampaikan berita kepada Saidina Ali. Baginda menghantar pakar bagi mengesahkan jantina wanita khunsa itu. Pengesahan itu membuktikan kedua-dua alat kelamin wanita khunsa berkenaan berfungsi. Dia mengalami haid seperti perempuan dan keluar mani dari zakarnya. Ini bermakna wanita khunsa itu boleh dijimak suaminya dan dia dapat menjimak jariahnya.

Namun, Saidina Ali tidak berputus asa bagi mengenal pasti jantina wanita khunsa itu kerana mahu menyelesaikan masalah yang menimpa pasangan terbabit dan menjadi pengajaran kepada umat Islam. Lalu, baginda menghantar pakar menghitung tulang rusuk wanita itu. Ini amat tepat sesuai kepada ketentuan Allah yang menjadikan Hawa dengan mengambil satu tulang rusuk sebelah kiri nabi Adam.

Hasilnya, Saidina Ali membuat keputusan wanita khunsa itu adalah lelaki lalu memisahkan perkahwinan dengan suaminya kerana dianggap tidak sah.

Penolong Pengarah Institut Latihan Islam Malaysia (Ilim), Zamihan Mat Zain, berkata pengajaran daripada riwayat itu ibu bapa patut berbincang dengan pakar perubatan jika mendapati anak mereka dilahirkan khunsa.

"Dalam Islam, khunsa merujuk kepada seseorang yang dilahirkan secara semula jadi yang diragui jantinanya sama ada mempunyai dua alat kelamin, tiada langsung atau ada alat kelamin lelaki, tetapi batinnya perempuan atau sebaliknya. Jalan terbaik ibu bapa perlu reda dan meminta doktor perubatan mengesahkan jantina bayi mereka sebelum melakukan pembedahan membuang satu alat kelamin itu," katanya.

Beliau berkata, keputusan itu perlu dibuat supaya tidak timbul masalah di kemudian hari terutama yang membabitkan masalah perkahwinan, pendaftaran kelahiran dan proses membezakan lelaki dan wanita.

"Jika khunsa itu menjalani pemeriksaan perubatan dan mengetahui organ seks yang mana yang berfungsi, maka dia tidak boleh pula menyalahkan naluri dan perasaan untuk menjadi individu yang bertentangan dengan jantinanya. Itu sebab berlaku masalah besar, si lelaki yang ingin menukar jantina kepada wanita," katanya.

Katanya, khunsa terbahagi kepada dua jenis iaitu

  1. khunsa musykil (khunsa yang diragui) dan
  2. khunsa ghair musykil (khunsa yang tidak diragui)


Khunsa musykil adalah individu yang tidak diketahui langsung jantinanya disebabkan tiada sebarang tanda-tanda yang boleh diklasifikasikan lelaki atau perempuan. Manakala khunsa ghair musykil pula ialah individu yang dapat dipastikan jantina melalui tanda-tanda seperti datang haid dan dari saluran mana air kencingnya keluar.

"Bagi khunsa yang datang haid, dia adalah seorang wanita dan jika air kencingnya keluar melalui zakar bermakna dia lelaki atau jika melalui faraj, dia wanita," katanya.
Mengikut hukum syarak, khunsa ghair musykil harus berkahwin, tetapi khunsa musykil diharamkan berkahwin.

Jika khunsa ghair musykil seorang lelaki, maka pasangannya mestilah seorang perempuan. Manakala jika khunsa itu seorang perempuan, pasangannya adalah seorang lelaki. Malah, harus bagi individu (khunsa ghair musykil) memotong atau membuang salah satu alat kemaluannya yang tidak berfungsi bagi tujuan persetubuhan atau membuang air kecil.

"Jika khunsa itu menjalani pemeriksaan perubatan dan mengetahui organ seks yang mana berfungsi, dia tidak boleh menyalahkan naluri dan perasan untuk menjadi individu yang bertentangan dengan jantinanya," katanya.

Beliau berkata, golongan ini biasanya menyalahkan takdir dan mengatakan mereka memang dilahirkan sedemikian serta tidak mampu berubah lagi. Tanggapan sedemikian salah kerana Allah mencipta manusia dengan sebaik-baik kejadian. Usaha mereka bagi merubah kejadian asalnya adalah haram kerana bertentangan dengan ajaran agama.

"Golongan ini digelar mukhannas, mak nyah atau pondan. Khunsa dan pondan adalah dua istilah berbeza kerana khunsa dilahirkan mempunyai dua alat kelamin manakala pondan atau mak nyah sengaja melakukan perubahan bentuk fizikal dari lelaki kepada wanita," katanya.

Katanya, golongan pondan atau mak nyah perlu bertaubat dan tidak melayani naluri songsang mereka.

"Mereka tidak perlu mengeluarkan wang yang banyak untuk melakukan pembedahan payudara atau faraj kerana hakikatnya mereka adalah lelaki. Masyarakat perlu memperbetulkan pandangan terhadap mereka yang dilahirkan khunsa dan golongan pondan secara adil," katanya.

Sumber : HMetro

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Kongsikan komen anda di sini...